Nak tahu cara melebatkan bunga ros? Bagi orang yang hobinya menanam pokok bunga, anda mesti meminati pokok bunga ros Jepun. Walaupun namanya ros, bentuk fizikalnya tidaklah seperti bunga ros yang biasa. Namun begitu, pokok ros Jepun sangat cantik dijadikan pokok hiasan.

Kini, di Malaysia tanaman pokok bunga ros Jepun semakin mendapat perhatian masyarakat. Bunga ini akan kembang mekar pada awal pagi dan itulah yang menjadi daya tarikannya. Selain itu, bunganya yang berwarna-warni dan comel menjadi igauan semua orang.

Apa Itu Pokok Ros Jepun?

ros jepun
Imej Via Bidadari

Pokok ros Jepun atau nama lainnya portulaca grandiflora berasal dari negara Argentina, selatan Brazil dan Uruguay. Ia biasanya dijadikan pokok hiasan di taman dan kebun bunga. Kini, penanamannya semakin popular di halaman rumah, landskap dan sebagainya.

Ia merupakan sejenis tumbuhan sekulen seperti spesies kaktus. Sekulen bermaksud akar pokok akan menyerap air dengan banyak lebih-lebih lagi ketika musim hujan. Ini menyebabkan batangnya jadi melecur, terkena jangkitan kulat dan pertumbuhan terbantut.

Pokok renek ini juga mudah ditanam dan cepat membiak. Dalam tempoh antara 2 hingga 3 bulan selepas ditanam, ia akan mula berbunga. Selain itu, harganya yang murah dan mudah didapati menjadi pilihan pencinta tanaman.

Pokok bunga ini boleh ditanam di dalam pasu mahupun secara langsung di atas tanah. Rimbunan bunganya yang lebat dan berwarna-warni pasti akan memukau mata yang memandang. Pokok ini juga berbunga tidak mengikut musim.

Namun, ada tips untuk melebatkan bunga ros Jepun ini. Anda nak tahu cara untuk melebatkan bunga ros Jepun?

Penulis akan menyenaraikan beberapa tips yang dikongsikan oleh Puan Nur Rabitahani dalam laman Facebook miliknya. Beliau yang merupakan seorang penjual pokok hiasan memberikan info yang berguna.

Cara Tanam Pokok Bunga Ros Jepun

Cara menanam pokok ini sangat mudah dan menjimatkan. Ia boleh ditanam melalui keratan batang dan memerlukan tanah yang bersaliran baik. Potong keratan batang dari pokok induknya dan ditanam ke dalam pasu baru.

Kemudian, letakkan pasu tersebut di kawasan yang menerima pancaran cahaya matahari yang tinggi. Pokok ini perlu disiram setiap hari. Ia akan berkembang mekar pada waktu pagi dan menguncup selepas pukul 10 pagi.

ros jepun
Imej Via Bidadari

Cara Melebatkan Bunga Ros Jepun

  • Rumput yang tumbuh di sekeliling pokok perlu dicabut dan jangan dibiarkan.
  • Jika pokok tiada sebarang masalah, tidak perlu gunakan racun perosak.
  • Salah satu cara untuk mengawal serangga perosak secara natural ialah menanam pokok bunga marigold berhampiran pokok ros Jepun.
  • Menggunakan baja kopi seminggu sekali sahaja (bukan serbuk kopi biasa, anda boleh beli di kedai baja).
  • Ia akan membesar dengan optimum dan menghasilkan bunga yang lebat jika disiram setiap hari.
  • Jangan menyiram ketika kelopak bunga ros Jepun sedang mekar kerana akan menyebabkannya layu.
  • Selepas seminggu disemai, tabur baja kopi supaya pokok sentiasa subur.
  • Tabur baja kopi sedikit sahaja dan tidak perlu disiram.
  • Pastikan medium semaian bersaliran baik dan tidak menyebabkan air bertakung di dalam pasu. Air yang banyak menyebabkan batang pokok melecur dan terbantut.
  • Jika tanah keras dan saliran kurang baik, akarnya tidak dapat membiak menyebabkan pokok terbantut. Pastikan tanahnya digembur terlebih dahulu.
  • Elakkan guna tanah bersabut. Gunakan tanah organik dengan campuran pelbagai jenis medium. Antaranya ialah tanah biasa, tanah hitam, sekam padi, dan lain-lain.
  • Pada peringkat awal penanaman keratan batang, penggunaan campuran baja organik dan kimia yang bersesuaian adalah penting.
  • Pastikan pokok bunga ros Jepun diletakkan di kawasan yang mendapat cahaya matahari yang banyak.
ros jepun
Imej Via Bidadari
  • Jika batangnya kurus dan memanjang, tandanya ia kurang mendapat cahaya matahari.
  • Jangan tanam terlalu banyak pokok dalam 1 pasu. Memadai 15 hingga 20 keratan batang.
  • Berbanding ditanam di atas tanah, pokok bunga ros Jepun yang ditanam di dalam pasu gantung lebih mudah subur.
  • Pastikan tiada siput babi, bena (sejenis serangga putih) dan kulat di sekitar tanaman.
  • Jika ada pasu bunga yang terkena serangan makhluk perosak, asingkan segera dengan pasu-pasu yang lain. Serangan ini akan merosakkan keseluruhan tanaman anda.
  • Gunakan racun organik brogard seminggu sekali atau 2 kali untuk mencegah masalah haiwan perosak.
  • Pokok yang mengalami kerosakan janganlah terus dibuang. Potong sahaja pucuk atau ranting yang mengalami kerosakan. Sembur racun organik sekali setiap kali senja selama 3 hari. Tunas baru akan berputik.
  • Bunga ros Jepun hidup subur ketika musim panas. Namun begitu, ketika musim hujan anda perlu mengalihkan pasu atau membina pelindung supaya air tidak masuk ke dalam pasu.

Mudah bukan untuk menanam dan menjaga bunga ros Jepun. Apa yang perlu anda buat ialah konsisten menyiram dan membajanya. Biarkan ia di kawasan yang terdapat pancaran cahaya matahari 100 peratus. Jangan siram air secara berlebihan dan awasi makhluk perosak.

Bunga ros Jepun sejenis tanaman yang sensitif dan mudah mati jika tidak dijaga dengan baik. Anda perlu sentiasa memerhatikan perkembangan pertumbuhannya. Jika batangnya terlalu kurus atau melecur, daun kerinting, kering dan pucuk kehitaman, tandanya ada yang tidak kena.

Bagi pembaca yang mempunyai hobi menanam pokok bunga, apa kata cuba tanam pokok bunga ros Jepun. Anda boleh membeli benihnya di kedai-kedai menjual anak pokok atau secara online.

Jangan lupa juga praktikkan cara melebatkan bunga ros Jepun yang telah dikongsikan ini. Mana tahu anda dapat memanfaatkan hobi ini pada bidang perniagaan pula pada masa akan datang.

Sesiapa yang telah mencuba tips yang diberikan ini boleh berkongsi pengalaman anda kepada kami. Kami sangat mengalu-alukan pandangan dan maun klum balas anda itu. Semoga berjaya!

Jangan lupa baca tentang 14 jenis bunga yang popular di Malaysia dan petua melebatkan bunga ros.

Rujukan

  • Peniaga Ros Jepun Ni Kongsi Cara Jaga Pokok Biar Subur & Berbunga Lebat (link)
  • Facebook Nur Rabitahani (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.