Ketahui cara berpantang selepas bersalin yang sebenar.

Dialog biasa yang kita dengar antara orang-orang tua dengan ibu yang baru melahirkan anak.

Orang Tua 1: Jangan makan kubis, jangan minum ais, jangan makan laksa, jangan makan durian. Nanti Dialog biasa yang kita dengar antara orang-orang tua dengan ibu yang baru melahirkan anak.

Orang Tua 1: Jangan makan kubis, jangan minum ais, jangan makan laksa,  jangan makan durian. Nanti kau yang akan sakit sendi bila dah tua nanti. Badan penuh angin, sakit tulang nanti.

Orang Tua 2: Betul tu. Jangan lupa pakai pilis, bertungku, berstokin, bertangas. Kalau tak nanti, suami kau cari perempuan lain. Dengar nasihat orang tua. Kami ni semua dah makan garam dulu.

Orang Tua 3: Air jangan minum banyak sangat. Makan sup sayur dengan ikan masin je. Jangan gerak-gerak sangat nanti badan sakit. Jangan lupa pula pakai bengkung, perut menggelebeh nanti.

Persoalannya, betulkah nasihat-nasihat mereka ni? Adakah pengalaman mereka dahulu wajar dijadikan panduan walaupun tiada sebarang kajian yang menyokong semua hujah-hujah tersebut.

Inilah dilema yang sering dihadapi oleh para ibu yang baru saja melahirkan anak. Ada yang seakan-akan taksub dengan amalan turun-temurun ni. Ada pula yang berpandangan jauh dan moden menganggap ni semua mitos saja.

Jika tak diikuti pelbagai kata-kata perlian dan cacian yang akan diterima. Jika ikut saja pantang lama yang diagung-agungkan, ibu tersebut pula yang terseksa jiwa dan raga. Apa pendapat pembaca sekalian?

Kali ini, artikel akan membincangkan soal pantang dari sudut sains. Menurut kata para doktor sakit puan, tiada istilah berpantang sebenarnya. Oleh itu, penulis akan membincangkan isu ini mengikut pandangan doktor sakit puan terkenal di Malaysia.

Pantang Bersalin Secara Tradisional

Pada zaman moden ini, ramai wanita yang mempunyai pandangan mereka sendiri soal berpantang. Ini kerana isu berpantang selepas bersalin sangat berkait rapat dengan soal kesihatan diri sendiri dan usaha memulihkan emosi.

Wanita yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan adat, kemungkinan akan mengikut berpantang cara lama. Manakala, yang berfikiran moden lebih menjurus ke arah berbeza.

Ketika dalam proses kehamilan, ibu perlu membawa kandungan sehingga lebih sembilan bulan. Pelbagai masalah terpaksa dilalui bermula dari peringkat awal kehamilan. Oleh itu, selepas melahirkan anak, secara automatik tubuh akan menjadi lemah.

Berpantang secara tradisional mengambil masa dalam lingkungan 40 hingga 100 hari. Jangka masa yang panjang ini diambil untuk melegakan emosi, kembalikan bentuk badan yang asal dan supaya anak mendapat khasiat susu badan yang secukupnya.

Dikatakan bahawa amalan tradisional ini dapat mengurangkan tekanan perasaan, membetulkan peredaran darah, mengurangkan angin dan sakit kepala. Malahan, ramai yang percaya amalan berurut dapat memanaskan badan dan mengeluarkan peluh.

Berpantang Ikut Sudut Sains

Amalan berurut, memakai bengkung dan bertangas tidaklah menjadi isu yang besar jika ada ibu yang hendak mengamalkannya. Masih ada ibu-ibu moden yang menggabungkan pantang moden dan tradisional.

Namun, yang selalu didebatkan oleh para doktor sakit puan tentang pantang tradisional ialah soal pemakanan. Kita sedia maklum bahawa dalam amalan pantang secara tradisional, ibu yang baru melahirkan anak tidak boleh menjamah makanan dan minuman sewenang-wenangnya.

Adakah cara pemakanan pantang tradisional itu betul? Wujud ke makanan yang berangin dan sejuk? Bagaimana pandangan sains tentang isu ini?

Menurut Prof. Dr Imelda Balchin iaitu seorang pakar sakit puan yang dikagumi menerusi posting di Facebook miliknya, seseorang ibu yang baru lepas bersalin perlu mengamalkan pemakanan seimbang.

Menurut beliau, selagi tiada masalah kesihatan yang kronik atau alahan pada ibu dan anak, tiada makanan yang perlu dipantang. Amalkan pemakanan yang berkhasiat dan gaya hidup yang sihat.

Berikut ialah 11 tips cara berpantang selepas bersalin yang diberikan oleh beliau supaya kesihatan ibu terus terjaga sehingga ke usia tua.

1. Kurangkan Gula

Jangan tambah gula ke dalam makanan dan minuman melebihi 6 sudu setiap hari. Yang paling penting, baca kandungan gula pada label makanan atau minuman yang dibeli. Jika berpantang tetapi masih minum air manis, bukan saja boleh kena diabetes tetapi juga masalah kegemukan.

2. Kurangkan Garam

Jangan tambah garam ke dalam makanan melebihi 1 sudu kecil setiap hari. Garam yang bagus digunakan ialah garam yang mengandungi iodin. Menurut Prof. Imelda, setiap makanan semula jadi tanpa proses juga sudah mempunyai garamnya yang tersendiri. Kalau asyik makan ikan kering, bukan ke berbahaya dan tak berkhasiat?

3. Elakkan Makanan Berproses

Dalam amalan pantang secara tradisional, memakan biskut dibolehkan. Sebenarnya makanan berproses seperti biskut, roti dan makanan ringan mempunyai kandungan garam, gula, bahan perasa lain yang lebih tinggi.

4. Cara Penyediaan Makanan

Lebih baik makan makanan yang dikukus, dipanggang, dibakar, direbus dan dibuat sup. Yang paling penting pelbagaikan jenis makanan dan hanya fokus pada makanan tertentu sahaja. Ikutlah piramid makanan yang lengkap dengan karbohidrat, protein, kalsium, zat besi, vitamin, mineral dan sebagainya.

5. Elakkan Perasa Tambahan

Elakkan bahan perasa tambahan seperti MSG, kicap, sos dan bahan-bahan pengawet yang lain. Lebihkan bawang merah, halia, lada hitam, lemon dan bawang putih untuk memberikan perasa semula jadi yang lebih berkhasiat.

6. Jangan Makan Berlebihan

Ikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan makan suku-suku dan separuh. Hadkan nasi kepada suku pinggan saja. Sumber protein seperti ikan, ayam dan daging juga perlu diambil suku saja. Lebihkan sayur-sayuran untuk memberi rasa lebih kenyang.

7. Tak Perlu Pantang Sayur dan Buah

Tiada istilah angin sebenarnya. Makan saja seperti saranan KKM. Yang penting jangan sesekali makan buah-buahan dalam tin yang mempunyai sirap atau jus di dalam kotak. Serat sayur dan buah bagus untuk mengelakkan sembelit dan kesihatan usus.

8. Jangan Amalkan Jamu

Jangan sesekali membeli produk kesihatan yang tak berdaftar. Sehingga sekarang khasiat jamu dalam proses pemulihan wanita lepas bersalin masih lagi kabur. Jaga pemakanan dan gaya hidup sudah mencukupi.

9. Minum Air Secukupnya

Jangan catu air. Minum air mengikut keperluan badan iaitu sekurang-kurangnya 2 liter setiap hari. Pastikan minum air kosong dan bukannya air manis.

10. Bersenam

Ibu yang baru lepas bersalin boleh membuat senaman kegel, stretching, plank dan berjalan-jalan. Jangan malas bergerak kerana ia akan membuat badan menjadi kurang aktif. Jika risau peranakan jatuh, buatlah senaman kegel dan bukannya makan jamu.

11. Berpantang Seumur Hidup

Kesemua tips yang dikongsikan ini bukannya hanya dibuat selepas bersalin saja tetapi juga seumur hidup.

Menurut Prof. Imelda berpantang secara moden lebih menjurus pada panduan menjaga kesihatan secara umum. Ia tak tertakluk untuk menjaga kesihatan selepas bersalin saja. Amalan ni boleh dipraktikkan oleh semua orang tak kira wanita atau lelaki.

Konsep dalam sains lebih mudah iaitu amalan berpantang dapat menjaga kesihatan para ibu lepas bersalin dari aspek yang lebih besar. Bukan saja untuk mengelakkan penyakit meroyan, mengekalkan bentuk badan tetapi juga untuk mengelak obesiti, diabetes, strok, kanser dan sebagainya.

Oleh itu, berpantang secara tradisional tak wujud sebenarnya dari sudut sudut sains. Ia perlu dilakukan seumur hidup dan bukannya selama 40 atau 100 hari. Cukup anda menjaga pemakanan, elakkan stres dan gaya hidup aktif.

Apa pendapat para pembaca pula tenntang cara berpantang selepas bersalin ini? Kongsikan pandangan anda. Jemput juga baca artikel sebab perlu minum air secukupnya ketika berpantang

Rujukan

https://www.facebook.com/search/top/?q=pantang%20yang%20terbaik%20imelda&epa=SEARCH_BOX (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.