Ayuh ketahui kepentingan menjaga silaturrahim.

Memelihara hubungan silaturrahim adalah amalan yang sangat dianjurkan oleh Islam dan ianya wajib dilaksanakan  dalam menjaga ukhuwah, serta menyuburkan hubungan sesama manusia.

Bersilaturrahim bukan sahaja dengan berkenal-kenalan, berjabat tangan atau bertemu mesra, tetapi turut melibatkan kasih sayang dan keihklasan hati. Bersesuaianlah dengan maknanya; perkataan ‘silah’ atau ‘wasal’ yang bererti menyambungkan atau menghimpun, dan ‘rahim’ yang bererti kasih sayang. Ini juga membawa maksud sesuatu yang asalnya tidak bersambung menjadi  bersambung dan bercantum.

Manakala ‘menghimpun’ pula bermaksud sesuatu yang tercerai-berai atau berselerakan, menjadi sesuatu yang bertaut kembali dan bersatu. Dalam hal ini, Baginda Rasulullah SAW bersabda,

“Yang disebut bersilaturrahim itu bukanlah seseorang yang membalas kunjungan atau pemberian, melainkan bersilaturrahim itu ialah menyambungkan apa yang telah putus.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Selain itu, Allah SWT turut memperincikan tentang tuntutan memelihara silaturrahim ini yang tidak terbatas terhadap golongan tertentu sahaja, tetapi dengan seluruh manusia terutamanya kaum muslimin.

Dalam surah an-Nisa:36, Allah SWT menjelaskan;

“Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutu-Nya dengan suatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawatan, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.”

Kepentingan dan Kelebihan Menjaga Silaturrahim

Sesungguhnya terdapat  banyak kebaikan dan keberkatan bagi golongan yang sentiasa menjaga dan mengeratkan silaturrahim. Antara kelebihan tersebut adalah;

  1. Bukti Ketaatan Kepada Allah SWT

Sabda Rasulullah SAW;

 “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah ia menyambung tali silaturahim.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

  1. Dipanjangkan Umur dan Dimurahkan Rezeki

Rasulullah SAW bersabda;

“Sesiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia menyambung tali silaturrahim.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

  1. Diganjarkan Syurga

“Dari Abu Ayyub al-Anshori r.a bahawasanya ada seorang lelaki yang berkata Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepadaku akan amalan yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan diriku dari api neraka’. Lalu Rasulullah SAW menjawab dengan sabda Baginda. ‘Engkau beribadah kepada Allah semata dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun, menegakkan solat, menunaikan zakat, dan menyambung tali silaturrahim’.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

  1. Memperoleh Pahala Besar

Dalam sebuah hadis dikisahkan, Baginda Rasulullah SAW bersabda;

“Mahukah kamu aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan puasa?” tanya Rasulullah SAW kepada para sahabat. ‘Tentu saja.’ jawab mereka. Baginda kemudian menjelaskan, ‘Engkau damaikan orang yang bertengkar, menyembungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-mara yang terpisah, menyatukan berbagai kelompok dalam Islam, dan mengukuhkan tali persaudaraan di antara mereka adalah amal saleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali silaturrahim’.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

  1. Allah Akan Menyambung Hubungan dengan Orang yang Menyambung Silaturrahim

Dalam sabda Rasulullah SAW;

“Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk-Nya, hingga apabila Dia selesai dari menciptakan mereka, rahim akan berdiri dan berkata, ‘Ini adalah tempat berdiri orang yang berlindung kepada-Mu dari memutuskan tali silaturrahim.’ Allah berfirman: ‘Ya, tidakkah engkau reda bila Aku menyambung orang yang menyambungmu dan memutuskan orang yang memutuskanmu?’ Rahim berkata: ‘Tentu saja.’ Allah berfirman: ‘Maka, itu menjadi milikmu’.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

  1. Mendapat Rahmat Allah SWT

Firman-Nya yang bermaksud:

“Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.”

(al-Hujurat:10)

Selain itu, antara kelebihan lain adalah:

  • Disayangi Allah SWT, Rasulullah SAW dan sesama muslim
  • Disenangi masyarakat
  • Mendapat pengampuan Allah SWT
  • Memudahkan mendapat syafaat Rasulullah SAW
  • Dikurniakan akal fikiran yang jernih
  • Dipermudahakn urusan kehidupan
  • Dimurahkan rezeki
  • Mendapat kebahagian hidup

Penutup: Memelihara silaturrahim tanda kesempurnaan iman.

Menjaga silaturrahim adalah tanda sebaik-baik iman iaitu amal perbuatan yang akan meningkatkan ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Selain itu,  sebagai bukti umtuk menjadi hamba yang sentiasa menuruti perintah Allah SWT  dan benar-benar inginkan keredaan-Nya di dunia dan akhirat.

Dengan itu, persaudaraan sesama muslim adalah seperti tiang-tiang yang saling menyokong antara satu dengan yang lain. Jadi, demi memastikan kekukuhan persaudaraan,  tali-tali silaturahim itu haruslah diperlihara selalu dengan sebaiknya. Secara tidak langsung, ini akan menguatkan perpaduan dalam kalangan umat Islam juga.

Umat Islam sebaiknya menghayati saranan Rasulullah SAW  dalam usaha menjadi mukmin yang   bertakwa,  sentiasa menjaga ukhuwah dan berkasih sayang untuk  mendapat rahmat Allah SWT.

Rasulullah  SAW bersabda:

“Tidak akan masuk syurga bagi orang yang memutuskan silaturrahim.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga kita sentiasa tergolong dalam kalangan yang berpegang teguh kepada ‘hablun minan nas’ di samping menyeimbangkan ‘hablun minallah’  semata-mata kerana Allah SWT. Amin.

 

Mari baca lebih lagi perkongsian menarik kami tentang 15 Sebab Kita Perlu Menjaga Silaturrahim Dengan Semua Orang

dan 20 Tips Membentuk Keluarga Sunnah (Perkongsian Tokoh Agama Terkenal

 

Rujukan

1.http://www.islam.gov.my

2. www.bharian.com.my

3. http://myhadith.islam.gov.my

4. tzkrh.com

 

 

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.