Jom baca cara basuh baju. Hampir setiap hari kita akan membasuh baju kotor. Dengan teknologi canggih masa kini, hampir semua orang dah tak basuh baju secara manual menggunakan tangan lagi. Kini, sudah ada pelbagai jenis mesin basuh dengan pelbagai fungsi.
Namun, ramai suri rumah yang pening kepala apabila baju yang dibasuh tetap tak bersih, malah berbau kurang menyenangkan. Di manakah salahnya? Dah tukar sabun basuh pun, masalah yang sama berulang lagi.
Kalau nak tukar sabun tak ada masalah. Tapi tak mungkin pula nak tukar mesin basuh. Sebenarnya, perkara ni terjadi disebabkan oleh teknik membasuh baju yang salah. Apa yang biasa kita buat?
Kumpulkan baju-baju kotor dalam bakul. Kemudian, masukkan semuanya ke dalam mesin basuh dan masukkan sabun pencuci serta pelembut pakaian. Bila dah siap basuh, kita menyidai baju-baju seperti biasa. Betul ke cara ni?
Jangan risau. Dalam artikel ni, penulis akan kongsikan cara basuh baju supaya kekal wangi dan bersih. Lepas ni, anda tak akan merungut menyalahkan mesin basuh lagi. Jom semak!
Seelok-eloknya baju-baju kotor jangan dikumpulkan lama-lama dalam bakul. Lebih baik basuh pada setiap hari. Apabila anda mengumpulkan semua baju tu, pelbagai bau akan terperangkap. Bau peluh, tertumpah kari, terpercik kuah masakan dan sebagainya.
Kesemua ni akan menggalakkan bakteria membiak disebabkan keadaan baju yang lembap dan basah. Lebih lama baju dikumpulkan, lagilah kuat bau hapak yang terhasil.
Pakaian-pakaian yang nak dibasuh seelok-eloknya diasingkan ketika membasuh. Asingkan mengikut jenis ketebalan, material dan saiz. Jika anda membasuh cadar katil atau langsir yang tentunya bersaiz besar, jangan masukkan baju.
Ini disebabkan apabila mesin basuh berada dalam mode ‘wash’ dan ‘spin’, baju-baju tersebut akan terbelit. Kesannya pakaian tak akan menjadi bersih dan kotoran akan terperangkap pada bahagian yang tak dapat dibasuh.
Baju yang kotor atau berbau perlulah dicuci dengan tangan terlebih dahulu untuk menghilangkan kesan. Jika tertumpah warna atau terkena sambal sardin, jangan terus masukkan ke dalam mesin basuh dengan baju-baju yang lain.
Cara yang betul ialah cuci, bilas dan rendam seketika. Anda boleh memasukkan sedikit sabun pencuci dan pelembut fabrik. Ia dapat menanggalkan kekotoran walau hanya secara ringan.
Namun, jangan rendam terlalu lama sehingga berjam-jam atau semalaman. Apabila direndam lama, akan ada bau yang kurang sedap. Bila dimasukkan ke dalam mesin basuh, baju-baju lain juga akan terkesan sama.
Jangan lupa masukkan sabun pencuci khas untuk pakaian dan pelembut fabrik. Hanya sabun jenis ni yang mampu menanggalkan kotoran degil. Apabila menggunakan pelembut fabrik, ia dapat melembutkan kain dan memudahkan proses pencucian.
Pelembut fabrik yang terdapat di pasaran direka dengan fungsi untuk mewangikan pakaian sekaligus. Oleh itu, pakaian anda akan kekal wangi walau selepas kering.
Terdapat 2 jenis sabun pencuci pakaian iaitu yang berbentuk serbuk dan cecair. Jika diperhatikan, jenis cecair jauh lebih mahal berbanding serbuk. Ini disebabkan sabun cecair lebih mudah sebati dan menyerap ke dalam pakaian berbanding sabun serbuk.
Manakala, jenis serbuk ada yang kurang efektif untuk larut dalam air. Ia akan kekal menjadi serbuk walaupun baju dicuci berkali-kali. Kesannya, selepas selesai proses mencuci, saki-baki serbuk pencuci masih melekat pada baju.
Penulis mencadangkan baju-baju dibasuh pada waktu pagi sebelum anda menyidainya. Jangan cuci baju malam sebelumnya, kemudian membiarkan ia di dalam mesin basuh atau bakul. Lama-kelamaan, bau hapak akan mula terhasil.
Setelah cuci pada paginya, terus jemur sekitar pukul 10.00 pagi. Pada waktu itu, cuaca dah mula panas dan berangin. Apabila baju benar-benar kering, anda boleh terus angkat.
Jangan tak tahu pula, nak sidai baju pun ada tekniknya. Jangan main jemur saja. Apa yang anda perlu buat ialah jemur baju ikut ketebalan dan material. Sidai baju kurung yang berkain nipis sebaris dan t-shirt yang tebal sebaris yang lain.
Jangan campurkan antara baju yang nipis dan tebal kerana tempoh masa untuk proses pengeringan setiap material tu berbeza. Baju yang nipis lebih cepat kering berbanding yang tebal. Kalau anda mencampurkannya, susah pula nak tahu mana yang kering dengan yang tak.
Sidai pakaian yang dibasuh di tempat yang panas dan berangin. Seelok-eloknya, jemur di luar rumah. Jika anda menyidai di dalam rumah atau bilik yang mempunyai pengudaraan yang kurang baik, pakaian akan menjadi lembap.
Masa yang diambil untuk kering pun menjadi sangat lama dan pastinya bau kurang enak nanti. Jika kawasan rumah anda tidak mempunyai kawasan tanah lapang, boleh disidai di halaman rumah yang tertutup. Yang penting masih ada ruang untuk cahaya matahari masuk.
Anda mesti perasaan di bahagian dalam mesin basuh terdapat penapis (filter) yang menyedut kotoran dan habuk yang terdapat pada pakaian. Jangan lupa bersihkannya dengan kerap. Buang semua kotoran yang tersangkut dan membilasnya.
Jika kita biarkan kotoran terkumpul di dalamnya, lama-kelamaan nanti kotoran tersebut akan terkeluar semula. Ini kerana penapis tersebut dah tak mampu menampung kotoran lagi. Tak pasal-pasal baju yang dibasuh kotor semula.
Setakat ni saja perkongsian tentang cara basuh baju supaya wangi dan bersih. Jangan lupa kongsikan dengan keluarga, jiran dan sahabat handai. Jika pembaca yang dikasihi mempunyai tips-tips yang lain, sudilah berkongsi dengan kami. Jemput juga baca artikel cara cuci mesin basuh dan cara kemas rumah cara KonMari
Semoga bermanfaat.