Dewasa ini, semakin banyak kes jenayah mengerikan yang dikaitkan dengan kemurungan. Kes bunuh diri, bunuh bayi semasa dalam pantang, bunuh ahli keluarga, dan sebagainya.

Kenapa semakin ramai yang dilanda masalah kemurungan? Apakah punca kemurungan yang boleh kita elakkan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini?

punca kemurungan
Sumber: Bukanaku

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kemurungan adalah sejenis penyakit mental yang menyebabkan mood seseorang individu menjadi semakin menurun dan perasaan tidak stabil. Mood yang semakin menurun dan perasaan yang tidak stabil akan menjejaskan kehidupan harian individu tersebut termasuklah:

  • Daya fikiran
  • Perasaan
  • Tingkah laku
  • Kesejahteraan

Sekiranya kemurungan tidak diatasi, ianya akan membawa kepada malapetaka seperti perbuatan membunuh diri dan membunuh orang lain di sekeliling yang tidak berdosa. Jadi, apakah punca kemurungan berlaku?

1. Ubat-ubatan yang tertentu

Sesetengah ubat seperti steroid dan ubat mencegah kanser telah dikenal-pasti sebagai ubat yang boleh menyebabkan pesakit mengalami kemurungan. Ini kerana bahan kimia aktif dalam kedua ubat tersebut boleh bertindak balas dengan hormon dalam badan lalu mencetuskan kemurungan.

Oleh itu, jika anda atau orang tersayang mula menunjukkan simptom kemurungan selepas pengambilan ubat tersebut, sila berjumpa dengan doktor dan berbincang bagi mengelakkan kemurungan yang dialami menjadi semakin serius.

2. Penyalah gunaan dadah

Tidak dinafikan, dadah adalah musuh negara dan boleh memusnahkan hidup individu yang terlibat, temasuk ahli keluarga dan orang yang terdekat.

Penyalah gunaan dadah adalah punca kemurungan kedua yang ingin kami kongsikan kepada anda. Apabila seseorang mengambil dadah dengan cara yang salah, bahan kimia dalam dadah tersebut akan bertindak balas dengan sel otak lalu menyebabkan kemurungan yang tidak terkawal.

Apa yang menakutkan, penagih dadah bukan sahaja boleh mengalami kemurungan malah dadah juga akan menyebabkan individu tersebut berhalusinasi seperti mendengar suara halus yang menyuruhnya untuk membunuh ahli keluarga sendiri, dan tidak dapat membezakan di antara realiti dan fantasi.

Oleh itu, jauhi dadah demi kesejahteraan hidup anda dan keluarga. Sekiranya ada ahli keluarga anda yang terjebak dengan najis dadah, jangan dibiarkan atau disisihkan. Dapatkan bantuan dan rawatan untuknya dengan kadar segera.

punca kemurungan
Sumber: Palmerlakerecovery

3. Penyakit kronik

Mungkin anda tidak pernah tahu bahawa mengidap penyakit kronik boleh menyebabkan seseorang mengalami kemurungan. Di antara penyakit kronik yang sering dikaitkan dengan kemurungan ialah kanser, asma, dan sawan. Bagaimana pesakit tersebut boleh mengalami kemurungan?

Sakit kanser contohnya, akan menyebabkan pesakit berada dalam kesakitan yang melampau dan perlu menjalani rawatan seperti kemoterapi yang akan menyebabkan beliau mengalami kesan seperti loya, muntah, keguguran rambut yang teruk, dan sebagainya. Malah pesakit kanser pada peringkat teruk akan terdampar dan tidak mampu menjalani hidup normal seperti manusia biasa. Keadaan ini akan menyebabkan pesakit tersebut mengalami kemurungan.

Malah ubat anti kanser yang diberikan kepada pesakit kanser juga akan menyebabkan tahap kemurungan yang dialami menjadi semakin teruk. Oleh itu, sebagai ahli keluarga yang rapat dengan pesakit, anda sepatutnya faham akan keadaan ini. Pastikan anda sentiasa ada untuk memberikan sokongan moral dan tidak meninggalkan beliau berseorangan.

4. Peristiwa yang menyebabkan individu tersebut berada dalam keadaan tertekan

Setiap kejadian dan peristiwa yang berlaku dalam hidup akan memberi kesan kepada hidup kita. Sesetengah peristiwa boleh menimbulkan trauma, menyebabkan ketakutan, malah menyebabkan individu tersebut berasa tertekan. Di antara contoh peristiwa yang boleh menyebabkan kemurungan ialah:

  • Kehilangan insan yang tersayang
  • Kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawa
  • Perceraian
  • Kehilangan kerja
  • Kecacatan

Pada mulanya, selepas kejadian berlaku, anda akan berasa sedih. Lama-kelamaan kesedihan tersebut akan menjadi semakin mendalam dan menjerumus kepada kemurungan. Oleh itu, jangan terlalu dilayan perasaan sedih yang dialami. Dapatkan bantuan dengan cepat sebelum kemurungan anda menjadi semakin serius.

5. Stress

Tekanan perasaan juga adalah salah satu punca kemurungan yang sering dipandang ringan. Pada hari ini, tidak dinafikan tahap stress setiap individu adalah sangat tinggi. Kesibukan di tempat kerja, dan perlu menyeimbangkan dengan keluarga, sangat memenatkan. Stress atau tekanan perasaan yang tidak terkawal akan menyebabkan anda dilanda kemurungan.

Oleh itu, kawal stress anda. Jangan simpan perasaan, luahkan kepada mereka yang sudi mendengar. Jika terlalu penat dengan tanggung jawab seharian, dapatkan cuti untuk berehat dan tenangkan fikiran.

punca kemurungan
Sumber: Semuanyajdt

6. Keturunan

Tahukah anda, kemurungan juga merupakan penyakit yang diwarisi dalam keluarga. Ianya ada dalam genetik. Oleh itu, jika ada ahli keluarga anda yang mempunyai sejarah kemurungan, anda perlu berhati-hati. Elakkan perkara-perkara yang boleh menyebabkan kemurungan. Jika anda mula dilanda kemurungan, sila dapatkan bantuan profesional. Berjumpa doktor dengan segera.

7. Kekurangan sokongan keluarga dan sosial

Sokongan dari ahli keluarga dan mereka yang terdekat adalah sangat penting bagi seseorang individu yang sedang mengalami penyakit kronik atau baru mengalami peristiwa yang menyebabkan individu tersebut berada dalam keadaan tertekan. Kegagalan ahli keluarga untuk memberikan sokongan adalah punca kemurungan yang boleh dielakkan.

8. Gangguan fungsi thyroid seperti penyakit Hypothyroidism

Penyakit ini juga telah dikenal pasti sebagai salah satu punca kemurungan. Gangguan pada fungsi thyroid seperti penyakit Hypothyroidism boleh menyebabkan pesakit tersebut dilanda kemurungan.

9. Persepsi buruk terhadap diri sendiri

Ada individu yang mengalami kemurungan berpunca daripada persepsi buruk terhadap diri sendiri. Sebagai contoh, menganggap diri sendiri tidak berguna. Pemikiran dan persepsi sebegini akan menyebabkan individu tersebut mengalami kemurungan.

punca kemurungan
Sumber: Says

10. Persepsi buruk terhadap orang lain dan kehidupan

Punca kemurungan yang terakhir ialah persepsi buruk terhadap orang lain dan kehidupan. Sebagai contoh, sentiasa menganggap orang lain berniat buruk dan cuba menjatuhkan dirinya, dan menyalahkan takdir di atas perkara buruk yang berlaku dalam hidupnya. Lambat-laun, individu tersebut akan terjerumus ke kancah kemurungan.

Itulah dia 10 punca kemurungan yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.