Lumut merupakan bandar bersejarah yang digelar sebagai Bandar Tentera Laut. Ia juga mempunyai pantai dan pulau yang cantik. Nak tak kalau kami kongsikan 12 tempat menarik di Lumut yang wajib anda lawati sekali seumur hidup?

tempat menarik di lumut
Sumber Gambar: Flickr

Pulau Pangkor

Pulau ketiga terbesar di Perak ini merupakan destinasi percutian terkenal buat pelancong tempatan mahupun luar negara. Anda perlu menaiki feri sama ada dari Jeti Lumut atau Jeti Marina Island. Namun kini, pengangkutan udara iaitu kapal terbang juga telah menyediakan perkhidmatan untuk ke Pulau Pangkor.

Pelbagai aktiviti dan tempat menarik yang boleh anda kunjungi di pulau yang penuh sejarah ini seperti Teluk Nipah, Batu Bersurat, Pantai Puteri Dewi, Tortoise Hill, Masjid Terapung dan sebagainya. Nak jelajah dan cuba semua aktiviti di sini memang tidak cukup satu hari. Apa kata anda bermalam di sini kerana pelbagai penginapan dengan bermacam konsep disediakan.

Pantai Teluk Batik

Sekiranya sewaktu bercuti ke Lumut anda wajib singgah ke Pantai Teluk Batik. Pantai yang berpasir putih, dengan air laut yang jernih beserta dengan pukulan ombak yang tenang ini sesuai untuk anda bermandi-manda sambil menenangkan fikiran.

Di sini juga terdapat kedai makan sekiranya anda lapar. Kerusi pantai boleh disewa dengan harga bawah RM5. Selain itu anda juga boleh memancing di kawasan berbatu di pantai ini.

tempat menarik di lumut
Sumber Gambar: Getaroom

Terminal Jeti Lumut

Terminal Jeti Lumut adalah jeti moden dan mesra pelancong. Di sini terdapat banyak kedai yang menjual cenderamata. Kalau anda lapar, kedai makan pun banyak di sini. Jika anda ingin bercuti ke pulau berdekatan, inilah jeti yang akan anda gunakan untuk ke sana.

tempat menarik di lumut
Sumber Gambar: Lensaprima

Lumut Waterfront

Lumut Waterfront terlatak kira-kira 1 kilometer dari Terminal Jeti Lumut. Di sini anda sekeluarga boleh menikmati pemandangan air di sepanjang sungai sambil menikmati angin bayu yang mengasyikkan. Di sini anda juga boleh menyewa basikal ataupun skuter elektrik.  Kalau anda lapar, di sini juga terdapat banyak gerai menjual makanan.

tempat menarik di lumut
Sumber Gambar: Booking.com

Bazaar Lumut

Bazaar Lumut berada tidak jauh dari Lumut Waterfront. Ini adalah tempat membeli-belah yang menawarkan barangan seperti hasil kraftangan, pakaian dan pelbagai hasil laut seperti  ikan bilis, ikan kering dan sebagainya. Jika anda ingin membeli cenderamata sebagai kenangan, bolehlah shopping di sini.

tempat menarik di lumut
Sumber Gambar: Keretsewasitiawan

Teluk Senangin

Jika anda ingin mandi laut iaitu salah satu tempat menarik di Lumut, Teluk Senangin adalah pilihan yang sesuai. Dari sini anda boleh melihat Pulau Pangkor. Di sini anda juga boleh menyewa bot laju. Nak memancing? Di sini sememangnya banyak ikan, sesuai dengan namanya iaitu Teluk Senangin. Pantai di sini lebih cantik dan privasi berbanding Teluk Batik.

tempat menarik di lumut
Sumber Gambar: Flickr

Bukit Engku Busu

Menurut sejarah, nama bukit ini diberikan bersempena dengan nama Raja Engku Busu yang datang dari Selangor setelah dijemput oleh Sultan Perak pada sekitar 1840-an untuk menghapuskan lanun yang menjadikan kawasan sekitar sebagai tempat penyembunyian mereka. Namun begitu, misi tersebut gagal dan Raja Engku Busu mangkat di sini.

Bagi yang sukakan aktiviti Jungle Trekking, anda boleh pergi ke Bukit Engku Busu. Bukit yang berketinggian 331.4 meter ataupun 1087 kaki ini adalah puncak yang paling tinggi di bandar Lumut. Untuk sampai ke puncak bukit ini, anda boleh melalui trek yang telah disediakan. Dari puncak bukit ini anda dapat melihat seluruh Bandar Lumut.

tempat menarik di lumut
Sumber Gambar: Kakisini

Taman Paya Bakau

Taman Paya Bakau yang terletak kurang daripada 10 minit pemanduan dari Bandar Lumut ini adalah sebuah tarikan semula jadi yang dilengkapi dengan laluan pejalan kaki berkepanjangan 366 meter dengan kelebaran 6 kaki. Di sini anda dapat melihat pelbagai jenis hidupan flora dan fauna sambil menghirup udara segar.

tempat menarik di lumut
Sumber Gambar: Flickr

Rockbund Fishing

Bagi kaki pancing, anda wajib ke sini. Rockbund Fishing juga lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti surau, kedai makan, dewan dan bermacam lagi. Kalau ank bermalam di sini, anda boleh menyewa di Rockbund Fishing Chalet.

tempat menarik di lumut
Sumber Gambar: Booking.com

Kota Belanda

Kota Belanda yang terletak di Pulau Pangkor adalah sebuah peninggalan sejarah yang wajib dikunjungi jika anda sampai ke Lumut. Di sini anda dapat melihat sisa peninggalan sebuah struktur yang dibina sekitar tahun 1670 untuk tujuan penyimpanan bijih timah yang dikumpulkan dari sekitar negeri Perak.

Setelah puas mengamati sisa kota ini, anda juga boleh melawat kawasan Batu Bersurat yang hanyalah sekitar 100 meter dari Kota Belanda.

tempat menarik di lumut
Sumber Gambar: Orangperak

Pulau Marina

Pulau Marina adalah satu-satunya pulau buatan manusia yang terdapat di Malaysia. Pantai yang terletak bertentangan dengan Pulau Pangkor ini boleh diakses secara terus dari Pulau Pangkor dengan memandu melalui jambatan yang menghubungkan kedua buah pulau indah ini.

tempat menarik di lumut
Sumber Gambar: Ikhlasatilia

Frenzy Waterpark

Frenzy Waterpark adalah salah satu tarikan hebat sekiranya anda singgah ke Pulau Marina. Taman tema air yang terletak di Marina Island Pangkor Resort & Hotel ini menyediakan permainan air yang mencabar. Anda pernah menonton rancangan Wipeout di Astro AXN? Permainan di sini boleh dikatakan hampir sama dengan yang ada dalam rancangan tersebut. Hebat kan?

tempat menarik di lumut
Sumber Gambar: Anakperak

Itulah dia 12 tempat menarik di Lumut yang wajib anda kunjungi sekali seumur hidup. Kalau sebelum ni anda fikir Lumut hanyalah jeti untuk ke pulau menarik seperti Pulau Pangkor, anda silap sama sekali. Lain kali, kalau anda sampai di Lumut, jangan lupa untuk singgah di tempat-tempat yang kami kongsikan tadi.

Artikel Tempat Menarik Lain

Anda sukakan artikel tempat menarik ini. Apa yang masih kurang dan patut kami ceritakan? Jemput juga baca artikle tempat menarik lain ya.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.