Cuti-cuti ni nak jalan di mana?Nah kami kongsikan 5 bandar menarik di Johor serta 55 tempat menarik di Johor wajib anda pergi.

5 daerah menarik di Johor untuk dilawati bersama keluarga

Nah! 5 Senarai Bandar Menarik Di Johor Untuk Dilawati Cuti Sekolah

Legoland Johor
Imej via Legoland

Setiap daerah di negeri Johor mempunyai keunikan tersendiri. Kerana itulah, senarai ini ditulis berdasarkan daerah dan bukan tempat-tempat tertentu. Menerusi setiap daerah, penulis senaraikan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang berada di sana:

Bandar Maharani @ Bandar Diraja

Bandar Maharani merupakan nama rasmi bagi bandar bersejarah, Muar. Ia terkenal dengan bangunan-bangunan bersejarah, makanan, dan kopinya. Antara aktiviti yang menarik di sini ialah

  • Melawat Taman Tanjung Emas
  • Boat cruising di Sungai Muar
  • Bersiar-siar di Taman Tanjung Kupang
  • Makan, spa, meredah hutan dan bermalam di Ladang Herba Nasuha
  • Berehat di Kolam Air Panas, Sungai Gersik
  • Menikmati pemandangan indah Pantai Leka
  • Melawat Masjid Sultan Ibrahim
  • Mendaki Gunung Ledang

Johor Bahru

Ibu negeri Johor ini tidak kurang hebatnya dengan tempat-tempat menarik untuk dilawati. Bagi mereka yang mahu percutian di bandar di mana ada banyak penginapan atau kemudahan pengangkutan, ada beberapa aktiviti boleh dilakukan di sini. Antaranya ialah:

  • Melawat binaan seperti Masjid Sultan Abu Bakar, Bangunan Sultan Ibrahim, Istana Bukit Serene, Old Chinese Temple, dan Arulmigu Glass Temple, Galeri Glulam
  • Melihat haiwan di Zoo Johor
  • Beraktiviti bersama anak-anak di Legoland dan Austin Height Adventure Park
  • Bersiar-siar di Taman Merdeka, Hutan Bandar MPJB, dan Puteri Harbour
  • Membeli-belah di Bazaar Karat, Kilang Bateri dan Johor Premium Outlet,
  • Menambah ilmu di Johor Art Gallery, Chinese Heritage Museum, dan Muzium Diraja Abu Bakar

Kota Tinggi

Daerah terbesar di Johor ini letaknya kira-kira 40km dari Johor Bahru. Bukan sahaja dikenali kerana sejarahnya tetapi juga beberapa lokasi untuk berekreasi. Antara yang menarik di sini ialah:

  • Mandi-manda di Air Terjun Kota Tinggi.
  • Bersiar-siar di Pantai Desaru dan Tanjung Balau
  • Melawat Muzium Kota Tinggi, Laman Laksamana, Kota Johor Lama dan tapak-tapak bersejarah di sepanjang Sungai Johor.
  • Melihat Kunang-kunang di Kota Tinggi Firefly Park.
  • Membeli-belah di pasar lambak-pasar lambak

Mersing

Mersing terkenal dengan pantai-pantai dan pulau-pulaunya yag cantik. Pulau-pulaunya kerap muncul di media sosial sebagai destinasi yang menyamai pulau-pulau indah di luar negara. Namun, Mersing lebih awal dikenali kerana pengunjung boleh mendapatkan keropok lekor di sana. Antara aktiviti menarik di Mersing ialah:

  • Snorkeling atau menyelam di Pulau Sibu, Pulau Rawa, Pulau Harimau dan pulau-pulau sekitarnya
  • Berehat dan mandi di Pantai Air Papan, Pantai Penyabong, dan Pantai Tanjung Leman.
  • Treking atau mendaki Gunung Arong
  • Meneroka Taman Negara Endau Rompin

Pontian

  • Penghujung Benua Asia adalah gelaran kepada Taman Negara Tanjung Piai yang terletak di Pontian.
  • Bersiar-siar di Laman Diraja Pontian, Pusat Perdagangan Pontian, dan Taman Rekreasi Sungai Rambah.
  • Bersiar-siar di hutan paya bakau di Taman Negara Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup
  • Mandi-manda di Gunung Pulai
  • Melawat Muzium Nenas dan Muzium Bugis
  • Setiap daerah juga mempunyai lokasi makan mereka yang terkenal. Walaupun ia tidak dinyatakan di atas, pengunjung yang datang boleh bertanya kepad penduduk tempatan.

55 Tempat Menarik Di Johor Yang Wajib Pergi

Legoland

Imej via [ Go ticket.my ]

Nama Lego memang cukup dikenali di serata dunia. Bermain dengannya amat menyeronokkan. Apalagi jika berada di dalam dunia yang dipenuhi dengan Lego! Legoland menyediakan semua keseronokan dalam satu tempat.

Mereka ada taman tema termasuk taman tema air dengan berpuluh permainan menyeronokkan sesuai untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa, taman kota mini yang pastinya mengagumkan, kedai yang menjual cenderamata comel secomel permainan Lego anda, dan tempat untuk anda makan selepas penat bermain.

Bukan itu sahaja. Mereka turut mengadakan banyak aktiviti seperti aktivit mewarna, membina lego, perbarisan kostum, malam untuk menonton filem dan banyak lagi. Memandangkan terlalu banyak tarikan ada di sini dan anda mungkin tidak mampu menghabiskan semuanya hanya dalam masa sehari, jadi anda digalakkan untuk tinggal di hotel mereka.

Alamat: 7, Jalan LEGOLAND, Bandar Medini Iskandar Malaysia, 79250 Iskandar Puteri (Nusajaya), Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (10am – 6pm)

Harga Tiket:

Theme Park

  • Dewasa (RM 189)
  • Kanak-kanak (RM 149)

Water Park

  • Dewasa (RM 139)
  • Kanak-kanak (RM 114)

Sea Life

  • Dewasa (RM 89)
  • Kanak-kanak (RM 69)

Double Park (Theme Park & Sea Life)

  • Dewasa (RM 249)
  • Kanak-kanak (RM 200)

Triple Park (Theme Park + Water Park + Sea Life)

  • Dewasa (RM313)
  • Kanak-kanak (RM259)

Desaru Gold Coast

Imej via [ Booking.com ]

Johor memang terkenal dengan negeri yang mempunyai banyak taman tema air. Desaru Gold Coast juga tidak ketinggalan kerana mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri. Sesuai untuk seisi keluarga merehatkan diri dengan pelbagai aktiviti menarik bersama.

Terdapat 5 zon iaitu Penawar Falls, Penawar River, Shipwreck Reef, Tidal Wave Beach dan Kids Ahoy. Antara tarikan dan permainan yang lain dari taman tema air yang lain adalah Kraken’s Revenge. Satu-satunya roller coaster di Malaysia yang menjunam dengan laju menerusi kolam air.

Harga tiket:

  • RM 65

Waktu operasi:

  • Khamis-Ahad (10.00 pagi-6.00 petang)

Alamat: No. 4, Jalan Danau, Desaru Coast, 81930 Bandar Penawar, Johor.

Skyscape Johor Bahru

Imej via [ Skyscape Johor Bahru ]

Banyak tarikan yang ada di Menara JLand dan salah satunya adalah Skyscape. Jom uji keberanian anda bersama rakan atau keluarga berdiri dan berjalan di lantai kaca berketinggian 149 meter. Nak tengok permandangan sekitar bandar ini pun boleh. Bahkan anda boleh turut melihat landskap negara jiran, Singapura.

Jangan lepaskan peluang untuk bergambar dari ketinggian yang cukup mendebarkan. Datang seawal mungkin kerana sesi akhir pembelian tiket adalah pada pukul 4.00 petang.

Waktu operasi:

  • Jumaat – Ahad (9.30 pagi – 5.30 petang)

Harga tiket:

  • Dewasa (RM 28)
  • Kanak-kanak (RM 18)

Alamat: Level 34, Menara JLand Johor Bahru City Centre (JBCC, Jalan Tun Abdul Razak, 80000 Johor Bahru, Johor.

Flyboard City Waterspot

Imej via [ Flyboard City Watersport ]

Nak aktiviti lagi mencabar dan luar biasa di JB? Mungkin aktiviti lasak di air pasti memenuhi citarasa percutian anda. Di Flyboard City Watersport, aktiviti utama adalah flyboard. Pasti seronok bila seakan terbang di atas air.

Dengar kata memang senang nak belajar main flyboard ni. Cuma ambil 5 minit untuk terapung atas air manakala 20 minit seterusnya anda boleh terapung dengan mudah dan seimbang.

Jika anda bawa anak-anak, jangan risau kerana pelbagai aktiviti lain mereka boleh cuba seperti kayak, towable, jetski dan flyboard tandem. Suasana pantai juga sangat cantik. Sesuai untuk mereka yang suka bergambar.

Harga tiket:

  • Dewasa (RM 320)

Alamat: Flyboard Watersport, Forest City, 81550 Kampong Tanjong Kupang, Johor, Malaysia.

Dinasour Alive Water Theme Park

Imej via [ NST ]

Taman tema air yang berkonsepkan dinasour ini berada di perkarangan KSL Hotel dan Resort. Jika anda sedang mencari penginapan sesuai dengan bajet anda, hotel ini antara yang sesuai boleh anda diami.

Banyak replika dinasour yang sangat besar dan kanak-kanak pasti teruja untuk bermandi-manda di sini kerana terdapat air pancut yang keluar daripada mulut dinasour. Paling menarik, audio atau bunyi dinasour sebenar turut diperdengarkan kepada pengunjung.

Harga tiket:

  • Tetamu hotel (RM 20)
  • Pengunjung luar (Dewasa | RM 50, Kanak-kanak | RM 30)

Waktu operasi: Setiap hari

Alamat: 33, Jalan Seladang, Taman Abad, 80250 Johor Bahru, Johor.

Trickeye Museum

Imej via [ Klook ]

Muzium berkonsepkan lukisan 3D ini pasti memberi bayangan ilusi yang pasti memukau dan menguji penglihatan anda. Terdapat 9 zon dengan tema dan latar berbeza yang sangat menarik. Ada latar laut, dinasour dan cupcakes gergasi yang comel.

Berada di tingkat 5 City Square, anda boleh bergambar sepuasnya sambil melakonkan watak sesuai dengan latar yang dipilih. Pastikan memori telefon anda kosong kerana banyak sudut dan gaya menarik yang perlu dirakamkan sebagai memori.

Alamat: Johor Bahru City Square, M5-02, LEVEL 5, Jalan Wong Ah Fook, 80000 Johor Bahru, Johor

Taman Laut Sultan Iskandar (Sultan Iskandar Marine Park)

Taman Laut Sultan Iskandar
Imej via johorpark

Taman Laut Sultan Iskandar meliputi 13 pulau di gugusan 6 buah pulau utama iaitu Pulau Tinggi, Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Besar, Pulau Sibu dan Pulau Rawa.

Semua kawasan ini mempunyai hutan bukit, paya bakau, dan hutan pesisir pantai. Selain mandi dan menyelam, aktiviti lain seperti memberi makanan kepada ikan, mendaki bukit, trekking, dan barbeku turut mengisi masa pelancong.

Kunjungan ke pulau-pulau utama yang terletak di Mersing ini memberikan pengalaman yang tidak akan dilupakan. Air yang jernih, pasirnya yang putih, kaya dengan batu karang dan hidupan laut, lalu menjadikan ia lokasi kegemaran bagi penyelam dan pencinta laut.

Tidak banyak penginapan di setiap pulau, malah ada pulau yang tiada penginapan langsung. Ini menjadikan kecantikan pulau-pulau dan hidupannya terpelihara.

Kahang Organic Rice Eco Farm (KOREF)

Kahang Organic Rice Eco Farm
Imej via mytwogirls

Jika anda mahu lari dari kesibukan bandar tapi pulau atau laut bukan pilihan, KOREF adalah pilihan terbaik untuk anda. KOREF memberikan anda pengalaman eko pelancongan berkonsepkan perladangan dan akuakultur, siap dengan chalet terapung dan tapak perkhemahan.

Ada sawah padi, kolam ikan dan udang, dan haiwan ternakan seperti lembu dan itik.

Terlalu banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Anda dapat merasai kehidupan petani dengan aktiviti penanaman padi. Berseronok dengan menyertai sukan air seperti berakit, menangkap ikan, dan water walking ball.

Tambah cabaran anda dengan flying fox dan nikmati keindahan alam dengan jungle trekking. Pemandangan di sekitarnya amat mendamaikan apa lagi jika anda memilih untuk berbasikal di sekitarnya.

Alamat: KM42, Jalan Kluang, Kg. Sri Lukut, 86700 Kahang, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 6pm)

No. Telefon: 0127683149

Hutan Lipur Gunung Arong

Hutan Lipur Gunung Arong
Imej via heritagemalaysia

Hutan Lipur Gunung Arong menyediakan beberapa tarikan kepada pengunjung iaitu sungai untuk perkelahan dan tapak perkhemahan bagi menikmati keindahan hutan dipterokarpa tanah pamah ini.

Aktiviti trekking memberi peluang kepada pengunjung untuk menelusuri hutan sambil mengenali jenis-jenis pokok di dalamnya. Jadi, hutan lipur ini juga sesuai bagi tujuan kajian dan pendidikan juga. Banyak kemudahan di sini iaitu tandas, masjid, parkir, pondok rehat, chalet dan dewan serbaguna.

Alamat: Hutan Simpan Gunung Arong, 86800 Mersing, Johor (17km dari Bandar Mersing melalui Jalan Mersing – endau dan 151km dari Bandaraya Johor Bahru)

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8am – 6pm)

Kluang Coffee Powder Factory

Kluang Coffee Powder Factory
Imej via johornow

Peminat kopi digalakkan ke sini untuk mendapatkan pelbagai jenis kopi yang turut disukai Sultan Iskandar saat kali pertama ia dihidangkan kepada Baginda. Jenama ini sudah wujud sejak 1966 dengan televisyen menjadi logonya.

Televisyen dipilih kerana pada zaman itu, televisyen merupakan barangan mewah yang tidak mampu dimiliki oleh semua orang. Orang ramai berkumpul untuk menonton bersama-sama. Jadi, kopi ini dicipta untuk meraikan momen itu.

Alamat: 76, Jalan Besar, 86000 Kluang, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 5pm)

Bangunan Sultan Ibrahim

Bangunan Sultan Ibrahim
Imej via mypt3

Bangunan bersejarah ini dirasmikan pada tahun 1942 sebagai pusat pentadbiran negeri Johor. Ia mempamerkan senibina gabungan barat dan timur (Melayu Johor dan Islam). Tiangnya diukir dengan bunga cengkih dan lada hitam yang menjadi hasil utama negeri Johor ketika itu.

Bangunan Sultan Ibrahim direka oleh firma British iaitu Palmer dan Turner. Ia menelan kos RM2 juta dengan keluasan bangunan 60,000 kaki persegi. Bangunan ini gah sebagai bangunan tertinggi di Johor Bahru suatu masa dahulu sehinggalah tahun 1970an.

Alamat: Jalan Bukit Timbalan, Bandar Johor Bahru, 80000 Johor

Ladang Nanas

Ladang Nanas
Imej via spk-kgawah

Sebagaimana namanya, Pekan Nanas dikenali kerana sumbangannya sebagai pengeluar nanas di Malaysia. Dengan perkembangan agro pelancongan di Malaysia, ladang nanas di Pekan Nanas turut mendapat perhatian.

Agro pelancongan memberi pengalaman kepada pelancong untuk melawat dan menyaksikan sendiri ladang yang terbentang luas.

Ladang milik kerajaan ini berkeluasan 300 ekar dan turut dijadikan tempat membuat kajian baja dan penyakit nanas. Pemandangan ladang nanas yang luas ini tampak amat menarik. Setelah puas bergambar, dapatkan juga nanas yang datang daripada pelbagai jenis yang dijual di gerai untuk dibawa pulang.

Alamat: Alor Bukit, pekan Nanas, 81500 Pontian, Johor

Waktu Operasi: Ahad – Khamis (9am – 5pm)

Taman Herba Nasuha (Nasuha Spices and Herbs Paradise)

Taman Herba Nasuha
Imej via imbalo

Ladang seluas 1,295 hektar ini telah dinobatkan sebagai ladang herba yang terbesar di Asia. Ia memiliki lebih 10,000 tanaman herba dan pokok kayu berkhasiat. Tapi, pengunjung yang ke sini bukan sahaja untuk melihat tanaman herba, mereka juga menyediakan penginapan dari jenis log kabin dan set dormitori.

Udara segar yang sejuk daripada tiupan angin gunung menjadikan ia lokasi pilihan untuk aktiviti hari keluarga. Tambahan pula, terdapat restoran di ladang ini yang menyediakan menu berasaskan herba seperti beriani herba ayam dan sup herba bersama-sama teh daripada pelbagai jenis herba.

Tubuh yang letih dan lemah pula boleh disegarkan dengan urutan tradisional di pondok Spa Herba dan Terapeutik yang terletak di puncak bukit.

Alamat: KM13, Jalan Muar – Pagoh, 84500 Muar, Johor

Harga Penginapan: RM250 – RM600 untuk satu malam

Taman Negara Endau- Rompin

Taman Negara Endau- Rompin
Imej via flickr

Ia merupakan taman negara kedua terbesar di Malaysia selepas Taman Negara. Ia meliputi kawasan seluas lebih 80,000 hektar. Taman Negara Endau – Rompin berusia 250 juta tahun lalu menjadikannya antara hutan hujan tropika yang tertua di dunia. Ia kaya dengan flora dan fauna termasuk yang jarang-jarang ditemui.

Di sini ada harimau, tapir, gajah, badak, dan juga Beruang Matahari serta 230 jenis burung, 43 jenis ikan, 26 jenis katak, 14 jenis ular, 9 jenis cicak, dan 3 jenis kura-kura. Lebih menarik adalah di sini juga ada air terjun. Berada di taman negara membolehkan anda menyertai banyak aktiviti luar yang sihat seperti berkayak, night walk, jungle trekking, mandi di air terjun dan berbabeku.

Alamat: Taman Negara Endau – Rompin, Mersing, Johor

Taman Negara Tanjung Piai

Taman Negara Tanjung Piai
Imej via mekarharum

Apabila anda tiba di Taman Negara Tanjung Piai, ada sebuah tugu yang menyatakan anda sedang berada di penghujung benua Asia. Taman negara ini merupakan gabungan 526 hektar kawasan bakau dan 400 hektar tanah lembut dan berlumpur. Ia menjadi tempat tinggal bagi kira-kira 20 spesis tumbuhan bakau sebenar dan 9 spesis bakau berkaitan.

Taman Negara Tanjung Piai turut tersenarai dalam senarai Ramsar iaitu senarai tanah lembap yang dipersetujui melalui Konvensyen Tanah Lembap.

Aktiviti yang anda boleh lakukan di sini adalah mengelilingi hutan paya bakau, melihat sekeliling hutan dari menara tinjau, berkhemah dan memancing. Ada banyak haiwan yang anda boleh lihat di sini termasuk, siput laut, burung, ketam dan ikan tembakul. Jadi, taman ini amat sesuai untuk mereka yang menyintai alam semulajadi.

Alamat: Mukim Serkat, 82030 Pontian, Johor

Harga Tiket: RM5 (warganegara), RM10 (bukan warganegara)

Taman Negara Pulau Kukup

Taman Negara Pulau Kukup
Imej via pelanconganmdp

Pulau ini 647 hektar dan dikelilingi oleh 800 hektar tanah paya. Walaupun ia kecil, ia adalah pulau hutan bakau kedua terbesar di Dunia. Ia juga tersenarai dalam senarai tapak Ramsar.

Taman Negara Pulau Kukup menjadi kawasan pembiakan bagi 12 spesis fauna dan 76 spesis burung. Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini ialah mengelilingi hutan paya bakau, menyusuri Sungai Ular dengan menaiki bot, dan menyaksikan pemandangan pulau dari menara tinjau.

Alamat: Lot 1319, Mukim Air Masin, 82300 Kukup, Pontian, Johor

Harga Tiket: RM5 (warganegara), RM10 (bukan warganegara)

Galeri Seni Johor

Bangunan yang dibina pada tahun 1910 ini menyimpan banyak sejarah. Asalnya ia adalah kediaman Menteri Besar Johor yang ketiga, Dato’ Abdullah Jaafar. Ia juga pernah digunakan sebagai markas tentera Jepun, pejabat sementara RISDA, dan asrama kakitangan serta pelajar Jabatan Pendidikan.

Pada tahun 1994, ia dijadikan galeri seni yang menyimpan artifak berkaitan seni dan budaya negeri Johor, sebelum diubah sepenuhnya menjadi Galeri Seni Lukis yang mengumpulkan, mempamerkan dan menjalankan aktiviti-aktiviti seni lukis.

Alamat: JKR 144, Jalan Petrie, Kampung Bahru, 80100 Johor Bahru, Johor
Waktu Operasi: Ahad – Khamis (9am – 5pm), ditutup pada hari Jumaat dan Sabtu

Nanyang Fish Farm

Nanyang Fish Farm
Imej via dinohauz

Kalau mahu melihat dan membeli ikan, Nanyang Fish Farm merupakan kedai menjual ikan peliharaan yang sangat besar dengan pelbagai jenis ikan termasuk yang jarang-jarang ditemui. Kanak-kanak suka berada di sini.

Nanyang Fish Farm juga ada kolam ikan untuk kaki pancing. Anda boleh menjangkakan untuk memperolehi ikan patin, rohu, tongsan sisik ikan, dan ikan pacu semasa memancing.

Alamat: MLO 197, Air Bemban, 81020 Kulai, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 5pm)

Bayaran (kolam ikan): RM8

Galeri Terompah Mastor

Sama ada anda mahu memakainya untuk majlis tertentu atau harian, menyimpannya sebagai koleksi, menghadiahkannya untuk seseorang, semuanya sesuai untuk anda. Galeri Terompah Mastor amat digemari peminat terompah dan mereka yang suka untuk memiliki barangan bercirikan Jawa Klasik.

Mereka menyiapkan lebih 1000 tempahan terompah setiap bulan untuk pelanggan mereka. Galeri Terompah Mastor ada tujuh rekaan dengan warna-warna yang menarik. Harga sepasang terompah mencapai RM45.

Alamat: Jalan Benut, Simpang Renggam

Laman web: terompahmastortuah.blogspot.my

Istana Bukit Serene

Istana Bukit Serene
Imej via wikipedia

Istana Bukit Serene merupakan kediaman rasmi Sultan Johor. Ia lokasi popular di kalangan pelancong dalam dan luar negara. Anda tidak boleh masuk ke dalamnya kerana ia dikawal rapi oleh askar Diraja. Walaupun begitu, anda boleh mengambil gambar yang menarik terutama di hadapannya terutama dengan pemandangan menaranya yang setinggi 35 meter.

Replika mahkota di puncaknya selalu menarik perhatian pelancong. Jika anda bernasib baik, Sultan Johor akan bertemu dengan pelancong di pintu masuk dan berbual-bual dengan anda.

Alamat: Jalan Straits View, Bukit Serene, 80200 Johor Bahru, Johor

Nictar Bee Farm

Ladang lebah ini memberikan anda pengalaman dan pengetahuan penghasilan dan pengurusan madu lebah selain anda dapat membeli madunya yang unik di penghujung lawatan.

Apa yang menarik dan unik mengenainya adalah madu lebah di sini mempunyai rasa seperti nanas disebabkan oleh proses penghasilannya yang melibatkan nektar daripada pokok nanas. Jadi, anda juga akan dibawa melawat ladang nanas yang mengkacukkan nanas dari Johor dengan nanas dari Sarawak.

Alamat: Parit Sikom, 82010 Pontian Kecil

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 5pm)

Kilang Bateri

Kilang Bateri
Imej via azniaziz

Asalnya ia kilang yang mengeluarkan bateri Eveready. Kini, ia menjadi lokasi menyeronokkan terutama bagi anak muda. Hiasannya dianggap hipster bagi ramai pengunjungnya. Suasananyalah yang menarik ramai pengunjung untuk ke sini.

Selain membeli-belah, ia lebih dikenali sebagai lokasi makan kerana ada pelbagai menu lazat dengan hiasan kedai yang membangkitkan selera. Selain makanan tempatan, ada shell out, makanan Thai, barbeku, dan banyak lagi. Banyak acara diadakan di sini seperti persembahan live, konsert, dan sambutan Tahun Baru.

Alamat: No. 83, Jalan Tampoi, 81200 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (12pm – 12am)

Zoo Johor (Johor Safari Park)

Zoo Johor dibina pada tahun 1928 dan merupakan zoo tertua di Malaysia. Ia menempatkan lebih 100 jenis haiwan. Antara haiwan yang ada di sini termasuk singa, harimau, gajah, kuda dan haiwan-haiwan eksotik yang lain.

Jadi, bawalah anak-anak anda ke sini untuk memperkenalkan mereka dengan haiwan-haiwan yang ada di Malaysia.
Alamat: Jalan Gertak Merah, 80000 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 6pm)

Harga Tiket: RM3

Muzium Bukit Kepong

Muzium Bukit Kepong membawa anda untuk mengimbau kembali sejarah pahit negara ketika Balai Polis Bukit Kepong diserang oleh komunis. Kunjungan anda ke sini adalah untuk mempelajari lebih banyak sejarah mengenai Bukit Kepong dan menghargai pengorbanan wira-wira negara untuk keselamatan dan keharmonian negara ini.

Bagi para pelajar atau pengkaji, ini adalah tempat yang sesuai untuk mendapatkan bahan-bahan rujuakan yang dijaga dengan baik di muzium ini. Antara barangan pameran adalah senjata, bilik lokap, peralatan polis, dan artifak.

Alamat: Jalan Muar – Labis, Bukit Kepong, 84600 Muar, Johor

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (10am – 6pm)

Muzium Diraja Sultan Abu Bakar (Royal Abu Bakar Museum)

Pengunjung berpeluang melihat koleksi milik kesultanan Johor sejak 1800 di Muzium Diraja Sultan Abu Bakar. Ia merangkumi hampir 60,000 harta termasuk peralatan memburu, kulit binatang, lukisan dan gambar. Sesiapa sahaja yang mengunjunginya akan berasa kagum dengan koleksi milik Sultan Johor ini.

Muzium ini menyimpan banyak sejarah termasuk hiasan dalamannya. Bangunannya mengikut gaya Renaissance yang dibina oleh rakyat tempatan dengan seliaan arkitek Eropah, manakala permaidaninya mempunyai motif lada hitam dan gambir yang menjadi sumber ekonomi negeri Johor suatu ketika dulu.

Alamat: Jalan Seri Belukar, Kebun Merah, 80000 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (9am – 5pm)

Masjid Sultan Abu Bakar

Masjid Sultan Abu Bakar
Imej via orangjohor

Ia sudah berusia lebih 120 tahun dan terletak di puncak bukit yang menghadap Selat Johor. Masjid Sultan Abu Bakar dibina sekitar tahun 1892 sehingga 1900. Rekabentuknya dihasilkan oleh arkitek tempatan bernama Tuan Haji Mohamed Arif bin Punak.

Senibinanya menggabungkan beberapa jenis gaya termasuk Melayu dan Moor, serta zaman Viktoria. Malah, menaranya juga mengambil bentuk menara jam British abad ke 19.

Gaya bangunan masjid adalah mirip dengan beberapa bangunan dan istana di Johor pada waktu itu. Masjid Sultan Abu Bakar boleh memuatkan sehingga 2000 jemaah pada satu-satu masa.

Alamat: Jalan Abu Bakar, 80100 Johor Bahru, Johor

Hutan Bandar MBJB

Hutan Bandar MBJB merupakan hutan di tengah-tengah Bandaraya Johor Bahru yang amat sesuai untuk tujuan riadah. Ia meliputi kawasan seluas 50 ekar. Banyak kemudahan disediakan di dalamnya termasuk laluan jogging, taman dengan alatan senaman, beberapa kolam ikan dan kolam renang yang sesuai untuk kanak-kanak.

Ramai penduduk tempatan datang ke sini untuk sekurang-kurangnya mengambil udara segar di bawah pepohon hijau, makan di restoran, dan melihat kecantikan orkid di taman khas bunga orkid mereka. Pemandangannya yang indah juga menyebabkan ramai pasangan pengantin juga suka untuk mengambil gambar hari bahagia mereka di sini.

Alamat: Jalan Tasek Utara, Kolam Ayer, 80100 Johor Bahru, Johor
Waktu Operasi: Setiap hari (6am – 10pm)

Taman Rekreasi Tanjung Emas

Taman Rekreasi Tanjung Emas menghadap Sungai Muar. Dari Jeti Tanjung Emas, pengunjung dapat menaiki bot menusuri Sungai Muar selama kira-kira 45 minit dengan pemandangan pokok bakau di sepanjang sungai. Taman ini turut memiliki sebuah kelab golf dengan 9 lubang.

Alamat: Jalan Puteri, 84000 Muar, Johor

Taman Negara Gunung Ledang (Mount Ophir)

Taman Negara Gunung Ledang
Imej via fromheretonowhere

Gunung Ledang terkenal dengan kisah seorang puteri cantik yang mendiaminya dan telah menolak peminangan Sultan. Namun, Gunung Ledang memiliki lebih daripada itu. Pada tahun 1854, seorang ahli alamiah terkenal, Alfred Russel Wallace, telah pergi ke Gunung Ledang dan telah terpesona dengan keindahan hutan Gunung Ledang.

Anda yang ke sini bukan sahaja boleh melakukan aktiviti pendakian gunung setinggi 1276 meter, malah anda juga boleh memilih untuk aktiviti yang lebih santai iaitu menikmati kesegaran air sungai dan mandi di bawah air terjunnya.

Alamat: Ledang, Johor

Kota Iskandar

Kota Iskandar gah dengan senibina bangunan-bangunan di dalamnya. Ia merupakan kota pentadbiran sebagaimana Putrajaya. Senibina bangunan-bangunan di sini mengambil elemen kesenian Islam dan mengharmonikannya dengan sejarah dan budaya negeri Johor. Kota Iskandar menjadi bandar destinasi ikon untuk dikunjungi pelancong dari merata tempat.

Alamat: Kota Iskandar, 79000 Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali cuti umum (830am – 530pm)

Pantai Pasir Lanun

Pantai Pasir Lanun
Imej via heritagemalaysia

Pantai ini mendapat namanya daripada kisah mengenai lanun yang singgah di pantai ini dan diceritakan turun-temurun. Oleh itu, terdapat juga kisah yang lanun-lanun ini telah menyembunyikan harta karun di dalam gua yang ada di situ.

Walaupun begitu, kebenarannya tidak dapat dipastikan selain pintu gua itu juga semakin tertutup oleh pasir. Dari pantai ini, pengunjung dapat melihat beberapa buah pulau termasuk Pulau Acheh. Pantai ini sering dikunjungi penduduk tempatan bagi tujuan perkelahan atau bersantai.

Alamat: Kampung Penyabong, Mersing, Johor

Tanjung Balau

Tanjung Balau merupakan antara pantai yang sering menerima kunjungan orang ramai untuk beriadah. Jika tidak mahu mandi di laut atau bermain laying-layang, menikmati pemandangan di sekitarnya pun sudah mencukupi.

Di sini jugalah tempat seluruh keluarga berkumpul, berkelah dan berbabeku. Ia tenang, jauh dari kesibukan bandar, dengan penginapan ada banyak di sekitarnya. Ini sudah tentu memudahkan pengunjung yang datang dari luar daerah.

Alamat: Tanjung Balau, 81930 Kota Tinggi, Johor

Desaru

Desaru
Imej via nickswanderings

Desaru terkenal dengan pantainya. Peminatnya bukan sahaja datang dari Johor, tapi kebanyakannya dari Singapura. Ia sudah menjadi tempat berehat bagi warga negara jiran. Ini kerana terdapat banyak aktiviti untuk dilakukan di sini seperti berenang, menaiki bot, memancing, jungle trekking, menunggang kuda, bermain golf, dan berkayak.

Jika tidak mahu terlibat dengan mana-mana aktiviti air, cukuplah untuk menikmati pemandangan dan tiupan angin laut sepanjang hari.

Alamat: Pengerang, Kota Tinggi, Johor

Air Terjun Kota Tinggi

Air Terjun Kota Tinggi merupakan lokasi yang sentiasa dipenuhi pengunjung terutama ketika hujung minggu. Ia merupakan air terjun yang popular di kalangan rakyat Johor terutama bagi tujuan perkelahan.

Air Terjun yang bertingkat dengan kedalaman yang berbeza memberi pilihan kepada para pengunjung untuk memilih bahagian yang mereka gemari. Namun, bahagian yang agak dalam dan berbahaya telah dipasang dengan jaring bagi tujuan peringatan dan amaran.

Pengunjung juga boleh menyewa pelampung dengan harga dari RM5 sehingga RM8 sebuah. Gerai makanan turut disediakan memandangkan pengunjung tidak dibenarkan untuk membawa makanan dari luar. Ini bertujuan untuk menjaga kebersihan air terjun dan sekitarnya.

Alamat: KM16, Jalan Lombong, 81900 Kota Tinggi, Johor (15km dari Bandar Kota Tinggi)

Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 7pm)

Harga Tiket: RM7.50 (dewasa mykad), RM10 (dewasa antarabangsa), RM3.50 (kanak-kanak mykid), RM5 (kanak-kanak antarabangsa)

Desaru Fruit Farm

Percutian yang menyeronokkan adalah makan makanan yang sedap-sedap. Jika dapat makan buah-buahan tempatan yang segar dari dusun tentulah lebih menyeronokkan. Desaru Fruit Farm mempunyai lebih 100 jenis pokok buah-buahan tempatan dan ladang sayur-sayuran. Desaru Fruit Farm turut menambah keseronokan dengan menyediakan tarikan lain seperti permainan go-kart, paint ball, ATV dan melihat kunang-kunang serta bermain di taman tema air.

Alamat: Sungai Camaran, Desaru, 81900 Kota Tinggi, Johor

Harga: Berbeza mengikut pakej

No. Telefon: 07-8308017 / 8223886

Teluk Sengat Crocodile Farm

Teluk Sengat Crocodile Farm
Imej via sg2jb

Ladang buaya ini telah dibina sejak tahun 1979. Ia menempatkan kira-kira 1000 ekor buaya di mana ada di antaranya yang sudah berusia 130 tahun dan tidak bergigi. Buaya-buaya di sini adalah dari jenis buaya air masin.

Anda akan melihat, malah merasai pengalaman bermain dengan anak buaya, memegang dan menyentuh buaya. Semua ini dilakukan di bawah seliaan staf berpengalaman. Kedai cenderamata turut disediakan agar anda dapat mengingati pengalaman baharu yang menyeronokkan di sini.

Alamat: Lot 1289 & 1290, Jalan Sembilan, Kampung Belading, Teluk Sengat, 81940 Kota Tinggi, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 6pm)

Harga Tiket: RM8 (dewasa), RM4 (kanak-kanak)

Muzium Nelayan Tanjung Balau

Lokasi muziumnya menarik kerana hanya beberapa meter sahaja dari pantai. Muzium yang dibuka sejak 1992 ini membawa anda mengenali kehidupan masyarakat yang hidup sebagai nelayan atau secara umumnya aktiviti lautan.

Muzium Nelayan dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Galeri Nelayan, Galeri Geologi, Galeri Lautan, dan Galeri Kapal Karam. Galeri Nelayan ada perahu dan sampan sebenar selain alatan yang digunakan untuk menangkap ikan.

Lebih 100 jenis batu dipamerkan di Galeri Geologi. Galeri Lautan pula adalah untuk mereka yang mahu mempelajari mengenai komunikasi dan navigasi di lautan. Manakala Galeri Kapal Karam mempamerkan barangan daripada sebuah kapal China yang karam pada tahun 1830an.

Alamat: Tanjung Balau, 81920 Kota Tinggi, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 6pm)

Harga Tiket: RM4 (dewasa)

Pulau Rawa

Imej via [ Rawa Island Resort ]

Pulau Rawa destinasi yang sesuai untuk backpackers, mereka yang mencari lokasi berbulan madu dan sebagainya. Walaupun pulau ini kelihatan kecil, namun tempatnya sangat cantik dan pasti memukau setiap mata memandang.

Terdapat dua buah penginapan di sini iaitu Rawa Island Resort dan Alang’s Rawa Resort. Tempat ini sesuai jika anda ingin bersantai jauh dari kesibukan kota. Pasir pantai yang putih dan air laut kehijauan, kebiruan dan jernih memang sangat indah.

Nak ke Pulau Rawa, anda perlu menaiki boat dari jeti Mersing selama 30 minit. Banyak aktiviti boleh dilakukan di Pulau Rawa seperti snorkeling, bermain bola pantai, hiking, kayak dan sebagainya.

Puteri Harbour Family Theme Park

Bawa anak-anak anda ke sini dan mereka pasti akan menyukainya. Puteri Harbour Theme Park mempunyai 2 tarikan utama di dalamnya iaitu Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town. Rambang mata apabila melihat terlalu banyak produk Hello Kitty, Pingu, Bob the Builder, Thomas the Tank Engine dijual di kedai khas di tingkat satu.

Lebih menyeronokkan apabile memasuki rumah Hello Kitty yang sudah tentu bertemakan warna merah jambu. Terdapat jug ataman permainan indoor dan pentas khas di mana Hello Kitty atau Barney tampil membuat persembahan dan berkenalan dengan kanak-kanak yang mengunjungi mereka.

Begitu juga semasa memasuki dunia Thomas Town. Ada permainan-permainan khas sesuai dengan tema yang menyeronokkan kanak-kanak.

Alamat: Persiaran Puteri Selatan, Puteri Harbour, Nusajaya, 79000 Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (10am – 6pm)

Harga Tiket: Sanrio Hello Kitty Town – RM68 (Mykad), Thomas Town – RM68 (Mykad)

Rumah Bugis

Rumah Bugis
Imej via ruggedmom

Mereka yang hendak ke Tanjung Piai melalui mukim Kukup, pasti akan teruja apabila lalu di hadapan sebuah rumah tradisional Bugis. Rumah yang diberi nama Seri Salewangeng ini menelan kos berjumlah RM2.3 juta dan 80 peratus mirip rumah asal yang dibina sejak 75 tahun dahulu.

Rumah ini sering dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara yang mahu melihat sendiri keindahan rumah tradisional sama ada pada bahagian luar mahupun bahagian dalamannya yang mempamerkan budaya masyarakat Bugis.

Mereka turut dikunjungi pengkaji baik dari dalam dan luar negara. Rumah ini dibina sepenuhnya menggunakan kayu belian dari Jambi dan Kalimantan, Indonesia.

Alamat: Kampung Sungai Kuali, 82000 Pontian

Bazar Karat

Bazar Karat di Johor Bahru terletak di tengah-tengah bandar. Ia meliputi Jalan Tan hiok sehingga Jalan Segget. Ramai orang mengunjungi tempat ini bagi mendapatkan pelbagai barangan termasuk makanan dan minuman yang dijual oleh kira-kira 560 orang peniaga.

Maka, tidak mengejutkan apabila jumlah yang mengunjunginya mencecah 6000 orang pada hari biasa dan 10,000 pada hujung minggu dan cuti umum. Sambil membeli-belah, anda akan dihiburkan dengan pemuzik jalanan. Bazar Karat ini sememangnya berjaya menghidupkan malam di Johor Bahru.

Alamat: Jalan Segget, 80000 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (6pm – 12pm), Sabtu – Ahad (730pm – 12pm)

Hutan Lipur Gunung Pulai

Hutan Lipur Gunung Pulai
Imej via mpkulai

Walaupun ia dipanggil sebagai gunung, namun ketinggiannya hanyalah 654 meter sahaja. HUtan Lipur Gunung Pulai menang pada sisi hutan dipetrokarpanya di samping mempunyai air terjun yang menarik kedatangan ramai pengunjung kepadanya.

Melihat hutan dan berada di tengahnya cukup mendamaikan. Ia kaya dengan tumbuh-tumbuhan hutan yang menarik terutama bagi pencinta alam. Bagi yang suka mendaki, anda boleh mendaki sampai ke puncak bukit.

Jika pendakian bukan pilihan, pilih untuk berada di air terjunnya yang mempunyai ketinggian sehingga 40 hingga 50 meter dan bertingkat. Ia sering menjadi pilihan keluarga dan rakan-rakan untuk tujuan perkelahan.

Alamat: Pekan Nenas, Johor

Muzium Kota Johor Lama

Muzium ini terletak di Kota Johor Lama iaitu sebuah kawasan yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Melayu yang penting selepas kejatuhan Kesultanan Melaka pada tahun 1511. Oleh itu, bukan sahaja muzium ini menyimpan bahan penting berkaitan sejarah, malah lokasinya juga memainkan peranan penting dalam sejarah negara.

Muzium dengan rekabentuk rumah tradisional ini dibahagikan kepada beberapa segmen yang merangkumi pengenalan Kota Johor Lama sehingga kepada kajian-kajian arkeologi yang pernah dijalankan oleh penyelidik tempatan dan luar negara di kawasan ini.

Muzium Kota Johor Lama menyediakan lawatan berpandu atas permohonan pengunjung, tandas dan tempat meletak kereta.

Alamat: Lot 1468, Kampung Johor Lama, 81940 Kota Tinggi, Johor

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (9am – 6pm), ditutup pada hari pertama Aidilfitri dan Aidiladha

Harga Tiket: PERCUMA

Muzium Layang – Layang

Muzium Layang – Layang
Imej via johortravel

Ia dibuka pada tahun 2002 dan merupakan muzium pertama seumpamanya di Malaysia. Muzium ini berfungsi sebagai monumen untuk semua pemain layang-layang di seluruh dunia.

Oleh itu, ia dipenuhi dengan banyak perkara mengenai layang-layang termasuk sejarah layang-layang dunia dan video tentang Festival Layang – Layang Antarabangsa yang dijalankan setiap tahun di Pasir Gudang. Pengunjung sudah tentu dapat melihat pelbagai jenis layang-layang dari pelbagai bentuk dan negara termasuk wau.

Mereka turut mempamerkan peralatan dalam permainan layang-layang.

Alamat: Kompleks Pusat Bandar, 81700 Pasir Gudang, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 5pm)

Harga Tiket: RM2 (dewasa), RM1 (kanak-kanak)

Muzium Tokoh Johor

Tarikan utama muzium tokoh ini adalah rekabentuk bangunannya dan landskap yang menarik. Bangunan muzium ini asalnya merupakan merupakan kediaman Menteri Besar Johor yang pertama iaitu Dato’ Jaafar bin Muhammad.

Oleh itu, nama bangunan ini iaitu Bangunan Dato’ Jaafar adalah bersempena nama beliau. Muzium Tokoh Johor terletak di atas Bukit Senyum di kawasan berkeluasan 100 ekar.

Bangunan ini dibina pada tahun 1893 dengan rekabentuk menyerupai bentuk bangunan keluarga Diraja Inggeris iaitu Mahligai Matlock dan Hardwick Hall di England. Muzium Tokoh mengisi semua maklumat mengenai Kesultanan Melayu Johor.

Alamat: Jalan Lingkaran Dalam, Bukit Senyum, 80400 Johor Bahru

Waktu Operasi: Setiap hari (9am – 5pm)

Harga Tiket: PERCUMA

Galeri Glulam

Galeri Glulam
Imej via wikipedia

Galeri Glulam mempunyai rekabentuk bangunan yang menarik. Ia tersenarai dalam Malaysia Book of Records kerana menggunakan perekat atau glulam sebagai bahan struktur menanggung beban melebihi 80% penggunaan kayu.

Bangunan yang menelan kos RM24.061 juta ini dijadikan rujukan dan pameran kepada pakar profesional dari kalangan arkitek, jurutera, dan kontraktor serta pemegang saham dan agensi-agensi kerajaan.

Struktur utama bangunan menggunakan kayu resak dan keruing dengan bumbung daripada kayu belian. Dindingnya pula diperbuat daripada kayu kekatong dan kayu balau, belian. Bangunan ini memiliki kemudahan seperti tempat meletak kenderaan, 3 dewan serbaguna, surau dan bilik mesyuarat eksklusif yang boleh disewa.

Alamat: Jalan Tampoi, Kawasan Perindustrian Tampoi, 81200 Johor Bahru

Muzium Mersing

Bangunan yang kini menjadi Muzium Mersing telah dibina pada tahun 1920an. Ia pernah menjadi pejabat pentadbiran daerah Mersing dan pernah berfungsi sebagai markas operasi Tentera Imperialis Jepun semasa Jepun menjajah Tanah Melayu. Antara yang dipamerkan di sini ialah peralatan perang, pakaian, dan banyak lagi. Muzium Mersing turut menjalankan pelbagai pameran khas yang menarik dalam tempoh masa tertentu seperti pameran kapal karam dan seni.

Alamat: 243, Jalan Ibrahim, Mersing Kechil, 86800 Mersing, Johor

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (9am – 5pm)

Taman Merdeka

Taman Merdeka
Imej via gyppotravelreviews

Taman Merdeka merupakan antara taman rekreasi yang terdapat di Johor Bahru. Ia dibina bagi memperingati usaha negara dalam mencapai kemerdekaan. Taman Merdeka adalah antara lokasi pilihan untuk berjogging, berenang, memanjat dinding batu, menaiki bot, berkayak dan senaman berkumpulan seperti aerobik dan Tai Chi. Ia sibuk dengan program kemasyarakatan, aktiviti sekolah dan sukan.

Taman Merdeka mempunyai kemudahan tandas awam, gerai makanan, taman permainan kanak-kanak, alatan senaman, dan tempat duduk serta arca dan catatan sejarah. Landskap di sini amat menarik. Ia dipenuhi pokok dan tasik buatan serta air pancuran berirama yang cantik, sesuai untuk ketenteraman jiwa. Taman Merdeka dibahagikan kepada 12 zon yang mana setiap satunya mewakili peringatan kepada sejarah kemerdekaan.

Alamat: Jalan Kolam Ayer, 80200 Johor Bahru

Chinese Heritage Museum

Sebagaimana namanya, Chinese Heritage Museum mempamerkan barangan dan maklumat yang menceritakan sejarah kaum Cina di Johor. Antara barangan yang dipamerkan di sini termasuk foto, syiling lama, alat muzik dan porselin.

Antara maklumat yang menarik adalah kaum Cina yang datang ke Johor berasal daripada pelbagai tempat. Ini menyebabkan kaum Cina yang menetap di Johor bertutur dalam dialek yang berbeza iaitu Kantonis, Hakka, Hainan, Hokkien, dan Teochew. Muzium empat tingkat ini mewakili pameran secara kronologi mengikut tingkat.

Alamat: 42, Jalan Ibrahim, Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (9am – 5pm)

Harga Tiket: RM5 (dewasa), RM2 (kanak-kanak dan warga emas)

Johor Premium Outlet

Johor Premium Outlet
Imej via lipstiq

Johor Premium Outlet (JPO) merupakan antara kompleks membeli-belah barangan berjenama antarabangsa. Ia adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara. Kompleks ini mempunyai 130 kedai semuanya dan memiliki landskap yang menarik iaitu pokok-pokok dan air pancuran.

Ia lantas memberikan pengalaman berbeza semasa pengunjung membeli-belah. JPO turut menyediakan medan selera kepada pengunjungnya.

Alamat: Indahpura, 81000 Kulai, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (10am – 10pm)

UK Farm / UK Agro

UK Farm dikenali sebagai ladang kambing dan biri-biri terbesar di Malaysia. Ia memiliki 100 ekar padang rumput yang mampu menempatkan 4000 biri-biri pada satu-satu masa. Selain itu, mereka juga mempunyai 15 ekar tanah yang ditanam dengan pokok buah markisah, kelapa, betik, jambu batu dan banyak lagi.

UK Farm turut menanam sayur-sayuran. Antaranya seperti cili, bendi, bayam dan kacang panjang. Jika anda mahu merasai tinggal di ladang, UK Agro Resort memberikan anda pengalaman itu. Mereka menyediakan chalet dan bilik asrama siap dengan dewan makan, kawasan BBQ, pentas terbuka, restoran, kafe, dan bilik mesyuarat.

Alamat: Plot 8, Project Pertanian Moden Kluang, KM13 Jalan Batu Pahat, 86000 Kluang, Johor

Harga Tiket: Layari www.ukfarm.com.my untuk mendapatkan harga mengikut pakej serta promosi menarik

Kolam Air Panas Sungai Gersik

goasiaplus
Imej via goasiaplus

Ia sering dikunjungi penduduk setempat kerana airnya yang bersuhu 50 hingga 70 darjah celcius didakwa mampu merawat kaki yang lenguh dan sakit sendi.

Walaupun begitu, pengunjung juga suka ke sini sekadar untuk berehat dan menghilangkan keletihan. Air kolamnya mengandungi mineral yang tinggi. Pejabat Daerah Muar menaiktaraf kawasan Kolam Air Panas Sungai Gersik dengan menyediakan kemudahan parkir, tandas, bilik persalinan, wakap, chalet, medan selera dan kolam berbumbung.

Alamat: Kampung Sungai Gersik, Muar

Waktu Operasi: Setiap hari (830am – 7pm)

Harga Tiket: PERCUMA

Austin Height Water & Adventure Park

Austin Height Water & Adventure Park merupakan taman tema yang sesuai untuk seluruh keluarga. Taman tema ini dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu taman tema air, taman cabaran, dan taman sukan.

Setiap bahagian mempunyai pelbagai jenis permainan yang menyeronokkan sesuai untuk setiap peringkat umur. Mereka juga menyediakan ruang bagi mereka yang mahu aktiviti merehatkan.

Contohnya, Lazy River di taman air. Taman cabaran sesuai untuk mereka yang tidak takut dengan ketinggian dan suka aktiviti memanjat serta berjalan di udara. Taman sukan pula ada aktiviti seperti geluncur ais, go-kart, dan trampoline.

Alamat: No. 71, Jalan Austin Heights 8/1, Taman Mount Austin, 81100 Johor Bahru

Waktu Operasi: Setiap hari (10am – 10pm)

Harga Tiket: Harga berbeza mengikut usia dan taman. Layari https://www.funtime.my untuk tempahan tiket.

Don Hu Jurassic Park

Don Hu Jurassic Park
Imej via tinynasweet

Bawa anak-anak anda ke sini untuk melihat banyak dinasour. Ini tempat yang akan menyeronokkan mereka. Don Hu Jrassic Park dibina di kawasan tapak semaian pokok yang dihias dengan patung dinasour yang ditempah khas dari China.

Don Hu Jurassic Park memiliki kira-kira 20 ekor replika dinasour bersaiz gergasi yang bergerak dan mengeluarkan bunyi. Mereka turut menjual cenderamata bertemakan dinasour dan baju-T dengan gambar dinasour yang comel.

Jika anda bernasib baik, ada maskot dinasour yang berjalan-jalan dalam kawasan taman.

Alamat: 2700, Jalan Pintasan Muar, Kampung Sabak Aur, 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi: Jumaat – Ahad (8am – 8pm)

Harga Tiket: PERCUMA

Mural

Cari mural-mural yang terkenal ini apabila anda berada di Muar.

I. The Loving Sisters

Ia merupakan mural terbesar di Malaysia. Pelukis, Julia Volchkova telah melukis dua adik-beradik iaitu Nur Najwa dan Nur Najiyah untuk mural ini.

Lokasi: 1986, Jalan Arab, Pekan Muar, 84000 Muar

II. Bangsa Johor

Pelukis Thomas Powell telah melukis 2 lelaki dan 2 wanita yang mewakili setiap kaum utama di Malaysia.

Lokasi: Taman Sri Tanjung, 84000 Muar

III. Ferry Pier

Mural 3D yang terletak di lorong antara dua bangunan ini memaparkan pembangunan yang berlaku di situ. Terus berjalan di lorong ini untuk melihat mural lain di sepanjang laluannya.

Lokasi: Jalan Abdullah, 84000 Muar

IV.The Roots of World Furniture

Mural yang sangat cantik ini menggambarkan perkembangan industri perabot di Muar. Ia dihasilkan oleh empat orang pelukis.

Lokasi: Jalan Haji Abu, Pekan Muar, 84000 Muar

V. Opera

Mural ini meraikan budaya opera Kantonis. Ia dilukis oleh seorang pelukis dari Taiwan.

Lokasi: Wisma Kwong Sui Koon, Pekan Muar, 84000 Muar, Johor

VI. Wanita dengan Harimau

Mural yang memaparkan seorang wanita berbaju kurung menaiki harimau ini dilukis oleh pelukis dari Sepanyol iaitu Alberto

Sabek.

Artikel Menarik Tempat Lain

Bagaimana dengan senarai tempat menarik di Johor yang dikongsikan? Anda teruja?Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel tempat yang lain untuk dilawati.

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.