Zoo di KL dan Selangor merupakan cadangan yang terbaik untuk anda lawati jika ada kelapangan, lebih-lebih lagi buat pecinta haiwan. Mengenal dan melihat telatah haiwan bukan sahaja disukai kanak-kanak, malah dewasa turut terpegun melihatnya.

Secara tidak langsung kita dapat belajar tentang habitat ini serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan haiwan-haiwan ini terhadap kelestarian alam semula jadi. Kami senaraikan zoo yang mempunyai pelbagai haiwan liar hinggalah petting zoo yang mempunyai pelbagai haiwan jinak.

Ada beberapa zoo di KL dan Selangor yang boleh dilawati oleh pecinta haiwan yang berada di negeri ini. Nak tahu zoo mana yang berdekatan dengan kawasan anda? Teruskan membaca artikel ini!

99 Wonderland Park

99 Wonderland Park merupakan sebuah taman rekreasi yang mempunyai lebih pelbagai jenis tarikan yang sesuai untuk seisi keluarga. Berkeluasan 23 ekar, tarikan utama di sini semestinya haiwan.

Apa yang lebih menarik, konsep taman haiwan di sini lebih terbuka dimana rata-rata haiwan dibiar berkeliaran dengan bebas. Pengunjung tidak perlu takut kerana kesemua haiwan yang berkeliaran adalah jinak. Malah pengunjung boleh berinteraksi dengan lebih dekat bersama haiwan tersebut.

Flamingo, rusa dan burung unta antara haiwan yang boleh anda lihat berkeliaran dengan bebas. 99 Wonderland Park mempunyai banyak bahagian haiwan seperti 99 Wild Island, 99 Tapir Malaya with Jacuzzi dan 99 Monster Fish.

Bukan itu sahaja, ada juga tarikan yang lain, terdiri daripada hiburan dan aktiviti menarik termasuklah ootd di banyak sudut yang instagrammable, menaiki bot cruise, melihat replika besar haiwan pra-sejarah dan anak-anak boleh menaiki keretapi mini. Datang pada waktu malam lebih meriah kerana dipenuhi lampu neon yang berkelipan.

Alamat: 3a, Jalan 1, KM12, Jalan Ipoh, Pusat Bandar Utara Selayang, 68100 Batu Caves, Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari (9.00 am-4.00 pm | 5.00 am-12.00 am)

IOI City Farm

Nak tengok haiwan di Putrajaya? Jom ke IOI City Farm iaitu zoo mini yang pertama di Malaysia yang berada di ruangan dalam pusat membeli-belah, IOI City Mall.

Berada di tingkat dua, IOI City Farm terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu Green Land, Little Rimba dan Fresh Water World. IOI City Mall bukan sahaja mendekatkan masyarakat dengan haiwan, malah dengan alam semulajadi secara dekat.

Green Land menyimpan 111 spesis tumbuhan yang terdiri daripada bebunga, herba dan tumbuhan karnivor manakala di Little Rimba, pengunjung dapat berinteraksi secara dekat bersama haiwan-haiwan seperti Guinea Pig, arnab dan itik. Nak lihat lebih 50 hidupan akuatik, masuki zon Fresh Water World.

Tiket masuk adalah RM 48 untuk dewasa, pada hari biasa manakala RM 58 dikenakan pada hujung minggu dan cuti umum. Warga emas dan OKU pula dikenakan RM 32 sahaja dan percuma untuk kanak-kanak berumur 2 tahun ke bawah. Nak lebih jimat? Ada pakej yang lebih berbaloi buat yang datang secara berkumpulan.

Alamat: City, AT-6, Level 2 IOI City Mall, Lbh IRC, Ioi Resort, 62502 Sepang, Putrajaya

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-9.00 pm)

Taman Burung KL

Imej via KL Bird Park

Nama pun taman burung, tarikan utama di sini semestinya burung. Pelbagai spesis burung di dunia ada di sini dan ada juga yang jarang ditemui. Tempat ini berada lebih kurang 10 minit jarak pemanduan dari ibu kota Kuala Lumpur. Terbahagi kepada empat zon utama, Taman Burung KL menempatkan lebih 3000 ekor burung yang datang dari 200 spesis yang berbeza.

Masuk sahaja ke taman burung ini, anda akan lihat beberapa spesis yang terbang bebas di kawasan terbuka. Mereka turut menganjurkan beberapa program seperti memberi makan pelbagai jenis burung, persembahan burung dan sesi bergambar pada waktu yang ditetapkan.

Banyak kemudahan yang disediakan termasuklah tandas, surau, kafe dan restoran, kedai cenderamata dan sebagainya. Pengunjung boleh dapatkan tiket secara dalam talian mahupun secara walk-in dengan harga RM 45 untuk dewasa, RM 20 untuk kanak-kanak dan warga emas.

Alamat:  920, Jalan Cenderawasih, Tasik Perdana, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari (9.00 am-6.00 pm)

Saville Wonderland

Turut dikenali sebagai Saville Free Range Agro, tempat ini merupakan petting zoo yang juga menempatkan beberapa aktiviti menarik yang lain. Tiket masuk serendah RM 12 sahaja mengikut pakej yang dipilih. Murahkan?

Merupakan pusat agro perlancongan, petting zoo di sini juga membolehkan pengunjung berada secara dekat bersama haiwan yang ada seperti kucing, burung kakak tua, unta, rusa dan sebagainya.

Selain melawat petting zoo, pengunjung juga boleh memancing di kolam yang berdekatan dengan membawa peralatan memancing sendiri. Bukan itu sahaja, pengunjung berpeluang memanah dengan bayaran RM 10 sahaja untuk seorang. Nak lebih lasak? Ada juga aktiviti menunggang ATV dan menunggang kuda.

Alamat: Saville Free Range Agro, Taman Agroteknologi, 1A, Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir, 43500 Semenyih, Selangor

Waktu operasi: Selasa-Ahad (9.00 am-5.30 pm)

Aves World Eco Farm

Imej via Aves World

Aves World Eco Farm turut dikenali sebagai Aves World Broga yang terletak di Semenyih. Jika ingin melihat haiwan jinak secara dekat, datang saja ke petting zoo di KL dan Selangor ini.

Haiwan di sini bergerak secara bebas dan pengunjung boleh berinteraksi secara dekat. Pengunjung boleh memegang, bergambar dan memberi makan terhadap haiwan tersebut.

Biri-biri, arnab, itik, ayam belanda dan kuda antara haiwan yang menjadi tumpuan ramai. Bukan sahaja untuk tujuan rekreasi, malah pengunjung akan didedahkan dengan maklumat mengenai haiwan tersebut dari segi habitat, pemakanan dan lain-lain.

Banyak aktiviti dan tarikan di Aves World Eco Farm yang pasti tidak akan membosankan pengunjung di sini termasuklah aktiviti menunggang kuda dan bermain di taman permainan. Kemudahan yang disediakan juga lengkap termasuk tandas, ruang solat dan kafe.

Alamat: Lot 2343, Jln Broga, 43500 Semenyih, Selangor

Waktu operasi: Khamis-Ahad (10.00 am-6.00 pm)

Zoo Negara

Imej via Zoo Negara

Berkeluasan 110 ekar, zoo Negara merupakan zoo terunggul dan terbesar di Malaysia yang terletak di Selangor. Jumlah kesemua haiwan adalah lebih 5137 ekor dari 476 spesis meliputi haiwan mamalia, burung, reptilia dan sebagainya.

Datanglah pada 11.00 pagi dan 3.00 petang untuk melihat persembahan haiwan seperti singa laut. Jika mahu memberi makan terhadap haiwan, datang pada hujung minggu dan cuti umum  bermula 12.00 tengah hari hingga 1.00 tengah hari serta 2.00 petang hingga 3.00 petang.

Zoo Negara menyediakan banyak kemudahan termasuk surau, tandas, pondok berehat dan kafe. Bukan itu sahaja, stroller dan kerusi roda disediakan buat mereka yang memerlukan.

Harga tiket adalah serendah RM 18 untuk kanak-kanak, RM 23 untuk warga emas dan RM 45 untuk dewasa. Tiket percuma ditawarkan buat OKU. Harga tiket memang berbaloi untuk melihat telatah pelbagai jenis haiwan ini. Jika tidak mampu berjalan jauh, naik sahaja tram yang disediakan dengan bayaran tertentu.

Alamat: Jalan Taman Zooview, Taman Zooview, 68000 Ampang, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (9.00 am-5.00 pm)

Husin Fauzi Farm

Merupakan taman haiwan yang berkonsepkan petting zoo, Husin Fauzi Farm ditubuhkan dengan tema ‘Kenali dan Sayangi Mereka’. Husin Fauzi Farm mempunyai dua cawangan iaitu di Kuala Selangor dan Shah Alam.

Seperti petting zoo yang lain, pengunjung dibenarkan untuk melihat, menyentuh, bergambar dan memberi makanan pada haiwan tersebut. Bawa anak-anak pasti mereka suka kerana dapat berinteraksi dengan haiwan secara lebih dekat.

Cawangan Shah Alam dibuka bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang manakala cawangan Kuala Selangor dibuka bermula 10.00 pagi hingga 6.00 petang.

Harga tiket untuk cawangan Shah Alam adalah RM 18 untuk dewasa manakala RM 12 untuk kanak-kanak. Di cawangan Kuala Selangor pula tiket serendah RM 15 untuk dewasa dan RM 7 untuk kanak-kanak.

Alamat: Jalan Batu 45 Teluk Penyamun, Kampung Teluk Penyamun, 45600 Batang Berjuntai, Selangor

Waktu operasi: Rabu-Isnin (10.00 am-6.00 pm)

Farm In The City

Siapa sangka di tengah-tengah bandar Selangor anda boleh melihat keindahan alam flora dan fauna yang menakjubkan. Di sini anda boleh melihat pelbagai jenis haiwan di serata dunia.

Bukan sekadar melihat haiwan, pengunjung berpeluang melihat persembahan burung nuri, memberi makan kepada haiwan, menyauk ikan dan menunggang kuda. Datanglah seawal 10.00 pagi kerana pihak Farm In The City menyediakan aktiviti sepanjang masa termasuklah meet and greet dan pertunjukan haiwan.

Alamat: Lot 40187-40188, Jalan Prima Tropika Barat 1, Pusat Bandar Putra Permai, 43300 Seri Kembangan, Selangor

Waktu operasi: Rabu-Isnin | Selasa ditutup kecuali cuti umum dan cuti sekolah  (9.30 am-6.00 pm)

G2G Animal Garden

G2G Animal Garden berada di perkarangan MAEPS, Serdang. Kebanyakan haiwan di sini adalah haiwan hinak dan haiwan ternakan. Bawa anak-anak ke sini juga seronok kerana pengunjung berpeluang mendekati dan memegang haiwan-haiwan tersebut.

Arnab, kambing malah iguana juga anda boleh memegangnya dengan berani. Makanan haiwan juga dijual serendah RM 1 jika ada yang ingin merasai pengalaman memberi makan pada haiwan yang ada.

Harga tiket sangat berpatutan iaitu RM 24 untuk kanak-kanak dan warga emas manakala RM 29 untuk dewasa. Jom bawa keluarga ke zoo menarik di KL & Selangor ini yang menempatkan lebih 80 spesis haiwan jinak dan eksotik.

Alamat: Jalan MAEPS 4/1, Fasa 3 Presint 9, 43400 Serdang, Selangor

Waktu operasi: Rabu, Khamis, Jumaat & Isnin (10.00 am-6.00 pm | Sabtu & Ahad (9.30 – 6.00 pm)

Bukit Jelutong Eco Community Park

Bukan sahaja taman haiwan, malah Bukit Jelutong Eco Community juga merupakan tempat rekreasi dan riadah tersembunyi di Selangor. Yang penting tiket masuk adalah percuma!

Walaupun percuma, berada di sini memang best kerana dapat mengimbau sedikit kenangan berada di kampung dengan pelbagai haiwan ternakan yang ada. Itik, kambing mahupun ayam berada di kawasan tasik.

Kawasan sedikit berbukit namun laluannya mudah tetapi kurang sesuai untuk warga emas. Duduk di puncak bukit lebih memuaskan kerana permandangan yang memukau.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh berkelah di sini. Bawa tikar sendiri dan hamparkan di mana-mana kawasan lapang atau duduk sahaja di ruang tempat duduk yang disediakan. Aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah memancing, beriadah dan bergambar.

Alamat: Jalan Lelangit U8/45, Bukit Jelutong, 40150 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-7.00 pm)

Sunway Lagoon Wildlife Park

Imej via Sunway Lagoon

Berada di perkarangan Sunway Lagoon, terdapat lebih 150 spesis haiwan yang terbahagi kepada Wildlife Encounters dan Pet Village. Di sini juga ada beberapa bahagian atau habitat haiwan seperti Jungle Trail, Tiger Land dan New World Monkey.

Harimau putih antara tarikan utama di sini iaitu harimau yang berwarna pucat, bermata biru ais dan hidung merah jambu. Harimau putih di sini diberi nama Samsons dan Asha.

Pengunjung juga berpeluang memberi haiwan makan dengan set Animal Feed Kit iaitu empat jenis makanan haiwan serendah RM 15.

Alamat: 3, Jalan PJS 11/11, Bandar Sunway, 47500 Subang Jaya, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-11.00 pm)

The Acre by Farm Fresh UPM Serdang

Zoo di KL dan Selangor seterusnya berada di Seri Kembangan. Jika ada yang tidak tahu, The Acre by Farm Fresh terletak Universiti Putra Malaysia. Bukanlah zoo yang mempunyai pelbagai haiwan, namun berada di sini juga memuaskan dengan pelbagai tarikan dan aktiviti menarik.

Bukan sekadar zoo mini, malah ada juga tasik, ladang, taman bunga dan kafe. Namun jika anda ingin makan di sini, pastikan membuat tempahan secara dalam talian terlebih dahulu.

Pengunjung berpeluang melihat ladang lembu yang luas dari jauh. Namun di petting zoo, pengunjung boleh melihat haiwan seperti rusa, ayam dan burung. Kaum wanita pasti suka berada di sini kerana ada taman atau kebun bunga yang cantik dan berwarna-warni. Lebih menarik, pengunjung boleh membeli bunga yang ada.

Alamat: Jalan Maklumat, 43400 Seri Kembangan, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-5.00 pm)

Paya Indah Wetlands Safari

Bagi yang ingin melihat haiwan berdekatan Dengkil, anda boleh mengunjunginya di Paya Indah Wetlands yang merupakan tempat untuk berekreasi.

Tiket masuk adalah percuma namun jika ingin menyertai aktiviti ianya berbayar dengan harga tertentu.Sebenarnya Paya Indah Wetland ini berada di kawasan berpaya dan keseluruhan kawasan meliputi 450 ekar. Luas kan?

Di sini pengunjung boleh melihat pelbagai haiwan eksotik seperti landak, kura-kura, buaya dan badak air. Walaupun haiwan tersebut bergerak bebas, namun jangan khuatir kerana haiwan yang berbahaya berada di kawasan berpagar.

Antara aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah melihat haiwan makan, berkayak, berbasikal dan sebagainya. Banyak kemudahan yang disediakan termasuklah, tandas, surau, menara tinjau dan kafe.

Alamat: KM 4, Jalan Dengkil, Banting, 43800 Dengkil, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (8.00 am-6.00 pm)

The MINs

Siapa sangka di sebalik kafe yang estetik iaitu Luck Bros Kopi terdapat petting zoo di dalamnya.  Bahagian kafe dan zoo mini diasingkan namun boleh dilihat sebahagiannya dari luar menerusi dinding kaca. Jika mahu melihat dan mendekati, pengunjung boleh membayar tiket dengar harga RM 15.

Ular, kala jengking dan iguana antara haiwan reptilia yang menjadi tumpuan ramai. Haiwan ternakan dan haiwan jinak seperti arnab, kuda padi, kucing dan lain-lain pun ada.

Bukan sekadar melihat, malah pengunjung dapat memperoleh pengetahuan mengenai haiwan tersebut melalui kod QR yang berada di setiap bahagian.

Alamat: Pusat Teknologi Sunsuria, No.2A-H, Jalan Teknologi, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-8.00 pm)

Aviary ‘N’ Bunny Park

Mini zoo yang terletak di Taman Botani Negara Shah Alam ini pula dibuka seawal 7.30 pagi. Jika ingin beriadah samil melihat haiwan-haiwan jinak, bolehlah ke sini.

Arnab, rusa, kambing dan ayam antara haiwan yang berada di sini. Sesetengah haiwan boleh dipegang oleh pengunjung dan diberi makan. Yang penting, harga tiada bayaran masuk dikenakan.

Alamat: Taman Haiwan, Taman Botani Negara Shah Alam, Shah Alam, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Selasa – Ahad (7.30 am- 4.30 pm)

Dah jumpa zoo di KL dan Selangor yang ingin dikunjungi bersama keluarga mahupun yang tersayang? Zoo kini menjadi tempat rekreasi yang sesuai untuk seisi keluarga dan semua peringkat umur.

Melawat zoo memberi pelbagai manfaat buat masyarakat bukan sahaja untuk hiburan malah untuk pembelajaran, kesedaran tentang pemuliharaan dan pemeliharaan flora dan fauna serta serba sedikit membantu menambah kos untuk pemeliharaan haiwan tersebut.

Berikut merupakan cadangan lain untuk anda membawa keluarga bercuti di sekitar KL dan Selangor:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.