Tempat menarik di Malaysia kian bertambah dari semasa ke semasa. Hampir setiap negeri mempunyai tempat yang menarik untuk dikunjungi demi merancakkan lagi sektor perlancongan dan ekonomi di negara kita.

Malaysia masih mendapat tempat dalam sektor pelancongan bukan sahaja bagi penduduk tempatan malah pelancong asing. Negara yang kaya dengan alam semula jadi, lengkap dengan infrastruktur yang kondusif serta kaya dengan sejarah dan budaya terhadap sesuatu tempat dan masyarakat yang berbilang kaum menjadikannya satu perkara yang unik.

Kemunculan lebih banyak tempat menarik di Malaysia secara tidak langsung memberi satu pembaharuan dalam sektor ini yang berbaloi untuk dikunjungi oleh semua golongan usia. Nak tahu tempat menarik di Malaysia yang terbaru dan terkini? Ini tempat-tempat yang perlu anda kunjungi!

Skyline Luge

Taman tema yang sangat terkenal di dunia dan berpengkalan di New Zealand ini telah berada di Malaysia iaitu pada Disember 2023. Terletak Gamuda Gardens, Rawang, Skyline Luge Kuala Lumpur merupakan yang kedua di Asia Tenggara dan kelapan di dunia. Skyline Luge menawarkan dua tarikan utama iaitu Luge dan Skyride.

Skyride atau kerusi angkut memuatkan empat orang untuk satu kerusi. Anda akan duduk di atas tunggangan ini sambil kaki berjuntaian di udara sambil menikmati permandangan yang memukau di jarak yang lebih tinggi. Bagi individu berketinggian 136 cm ke atas, anda boleh menaikinya sendirian manakala individu berketinggian 85 cm hingga 135 cm perlu menaiki Skyride bersama penjaga dewasa.

Luge pula adalah tunggangan ala-ala toboggan atau go-cart yang membawa anda menuruni bukit dengan seronok. Pengunjung boleh memilih empat jenis laluan berbeza iaitu Express, Legend, Ultra dan Gravity. Tak kira datang pada siang atau malam, ia memberikan tunggangan yang menyeronokkan bersama yang tersayang dengan permandangan yang memukau.

Tarikan lain yang ada di kawasan sekitar adalah Big Bucket Splash, Taman Sentral dan Waterfront Village. Jom luangkan masa seharian anda bersama yang tersayang di Gamuda Gardens!

Alamat:Skyline Luge Kuala Lumpur, Taman Tema Luge Gardens, Persiaran Gamuda Gardens Utama, Bandar Gamuda Gardens, 48050 Kuang, Selangor.

Waktu operasi: Isnin, Selasa & Khamis (10.00 am-6.00 pm) | Jumaat-Ahad (10.00 am-10.00 pm)

Hobbitoon

Perkampungan Hobbit yang sangat terkenal di New Zealand kini boleh anda kunjungi di Simpang Pulai iaitu laluan ke Cameron Highland. Jika ada yang tidak tahu, perkampungan Hobbit adalah perkampungan orang kerdil yang terdapat dalam filem Lord of The Rings.

Dari rumah, pondok-pondok, peralatan, kemudahan hinggalah permandangan persis di dalam filem tersebut. Pengunjung berpeluang bergambar ala-ala fantasi di perkampungan Hobbit dengan puas. Jika anda seorang yang suka ber’ootd, anda perlu datang ke tempat ini sebelum meneruskan perjalanan ke Cameron Highland.

Memang best berada di sini kerana kawasannya sedikit berbukit dan berangin yang membuatkan kita berasa nyaman dan tenang. Harga tiket adalah RM 20 untuk kanak-kanak manakala RM 40 untuk dewasa.

Alamat: Simpang Pulai, Perak

Waktu operasi: Setiap hari (9.00 am-6.00 pm)

Agro Market

Imej via Agro Market

Merupakan satu tarikan baru di Cameron Highland, Agro Market merupakan pusat tumpuan yang viral serta menyediakan banyak tarikan hanya dalam satu tempat. Agro Market telah dibuka pada penghujung 2023.

Antara kemudahan yang disediakan termasuklah 200 parkir yang luas, kafe, tandas, surau dan kedai cenderamata. Jika datang ke sini, banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan sehingga boleh menghabiskan masa berjam-jam tanpa sedar.

Santorini Mini, Zoo Mini, Tangga Romantik dan Cactus Walk antara tarikan menyeronokkan. Di Santorini Mini, pengunjung dapat ootd ala-ala bangunan di Santorini yang berwarna biru dan putih. Di zon Central Garden pula, pengunjung berpeluang bergambar dengan latar pelbagai jenis bunga berwarna-warni dan segar.

Ramai pengunjung mengatakan Agro Market adalah tempat untuk membeli buah-buahan dan sayur-sayuran segar dengan harga yang murah berbanding di tempat lain. Harga tiket juga berpatutan iaitu RM 25 untuk dewasa manakala RM 10 untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 10 tahun.

Alamat: PT3440, Jln Gunung Brincang, Sungai Burung, 39100 Brinchang, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari (8.30 am-6.30 pm)

Bertam Souk & Water Park

Bertam Souk & Water Park telah dibuka semula pada Januari 2023. Taman tema air bertemakan timur tengah ini sesuai untuk seisi keluarga. Tak tahu nak bawa anak-anak ke mana pada cuti sekolah? Bawa sahaja mereka ke sini pasti mereka seronok dan puas.

13 zon meliputi pelbagai tarikan seperti gelongsor, cabaran halangan, tornado dan sebagainya. Buat yang suka akan cabaran, anda perlu mencuba Rush Racer, Voyager dan Salalah Raft.

Al Wadi Wellness memberi peluang kepada pengunjung untuk bermandi-manda di kolam air panas. Wet Venture Course pula sesuai untuk aktiviti bagi kanak-kanak.

Harga tiket untuk dewasa adalah RM 50, kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun dengan RM 35 dan warga emas sekadar RM 35 sahaja. Apa tunggu lagi? Jom bawa anak-anak ke taman tema air ini yang semestinya lokasi kegemaran mereka untuk bercuti.

Alamat: PMT 2200, Bertam Resort, Persiaran Bertam 8, 13200 Kepala Batas, Penang

Waktu operasi: Sabtu-Khamis (10.00 am-10.00 pm)

Tun Razak Exchange (TRX)

Menara Tun Razak Exchange atau dikenali sebagai The Exchange 106 dibuka pada November 2023, mempunyai 106 tingkat setinggi 492 meter. TRX menempatkan pusat membeli-belah, hotel, pejabat dan perumahan mewah.

Satu tarikan baru untuk orang awam adalah TRX City Park yang berada di rooftop bangunan ini. Orang awam boleh masuk dengan percuma ke taman ini. Ia dibuka bermula 7.00 pagi hingga 11.00 malam.

TRX City Park antara taman berada di rooftop terbesar di dunia. Lebih 150 spesis tumbuhan ditanam dengan cantik dan teratur. Port riadah atau healing yang sesuai untuk seisi keluarga ini umpama sebuah oasis yang terletak di tengah-tengah kepesatan kota. Lebih menarik, ada taman permainan mini untuk kank-kanak bermain, kolam dan ruangan santai.

Alamat:Tun Razak Exchange (TRX) Jalan Tun Razak 50400 Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Dream Forest Langkawi

Satu lagi tempat menarik di Malaysia yang baru dibuka dan viral adalah di Dream Forest, Langkawi. Berada di sini seolah berada di alam fantasi. Tengok pintu masuk sahaja pasti membuatkan anda kagum dimana pintu masuknya berkonsepkan sebuah buku cerita fantasi.

Seolah berada di sebuah taman pada waktu malam dan lebih memukau dengan hiasan lampu berkelipan. Pokok-pokok dan tanaman lain dihiasi dengan lampu berwarna-warni serta audio fantasi, memeriahkan lagi suasana malam di sini.

Ada beberapa buah rumah pokok yang cantik boleh anda naiki dan bergambar. Ada juga wayang kulit moden ditayangkan setiap hari. Tak lupa juga tayangan yang memaparkan cerita terkenal Langkawi seperti Tasik Dayang Bunting dan Merong Mahawangsa. Tiket masuk sekadar RM 50 untuk dewasa manakala RM 30 untuk kanak-kanak.

Alamat: Lubuk Semilang, Mukim, Jalan Padang Gaong, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 pm-12.00 am)

Eagle Nest Skybridge

Imej via Langkawi Viral

Satu lagi tarikan baru di Langkawi adalah Eagle Nest Skybride atau Skywalk yang tertetak di Gunung Machinchang. Berada 645 meter dari aras laut, jambatan ini berbentuk helang yang sinonim dengan Langkawi.

Eagle Nest Skybridge ini dikatakan menjadi sky deck atau dek langit yang terpanjang di dunia. Apa yang lebih menarik, pengunjung dapat berjalan di atas dek kaca yang menampakkan bahagian bawah dek tersebut. Untuk ke sini, pengunjung perlu menaiki satu-satunya kereta kabel di Langkawi.

Alamat: Jalan Telaga Tujuh, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu operasi: Setiap hari (9.30 am-6.00 pm)

SplashMania Waterpark

Imej via Gamuda Cove

Dibuka pada 2023, Splashmania Waterpark antara tempat menarik di Malaysia yang masih baharu dan menjadi tumpuan ramai. Taman tema air yang berada di Dengkil ini berkonsepkan hutan hujan tropika.

Banyak tarikan di sini yang sesuai untuk aktiviti rekreasi seisi keluarga. Sebanyak 39 tarikan menanti anda yang terdiri daripada 24 gelongsor air yang mencabar serta 15 tarikan lain yang menyeronokkan. Harga tiket sangat berpatutan iaitu serendah RM 79 sahaja.

Antara tarikan yang popular di sini adalah Shaka Waka, Wild Rush, Atlantis VR dan Twin Turbo. Jika mahu ke sini, seeloknya muat naik aplikasi GL Play yang memudahkan pengunjung untuk mengetahui peta taman serta menempah makanan tanpa perlu beratur.

Alamat: Jalan Cove Sentral 4, Bandar Gamuda Cove, 42700 Dengkil, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-6.00 pm)

Silverlakes Village Outlet

Silverlakes Village Outlet merupakan tarikan baru yang terletak di Batu Gajah, Perak. Mengambil masa kira-kira 30 minit dari bandar Ipoh, lebih 100 tarikan yang ada di sini termasuklah pusat membeli-belah, tempat sukan dan rekreasi, tempat hiburan dan kafe. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu West Village dan North Village.

Salah satu tarikan yang menarik perhatian ramai adalah Dinasour Encounter World iaitu taman tema dinasour yang bukan sahaja dapat membuatkan kanak-kanak terpukau malah dewasa turut kagum dengan landskap di taman ini. Secara tidak langsung, pengunjung dapat mempelajari dan mengetahui fakta menarik tentang haiwan pra-sejarah ini.

Lokasi Silverlakes Village Outlet mudah untuk diakses dimana pengunjung boleh menggunakan jalan susur keluar Simpang Pulai. Jika menaiki ETS juga mudah kerana stesen KTM Batu Gajah berhadapan dengan Silverlake Village Outlet.

Alamat: 1, Persiaran Silverlakes, Kampung Belangkor, 31000 Batu Gajah, Perak

Waktu operasi: Ahad-Khamis (10.00 am-11.00 pm) | Jumaat & Sabtu (10.00 am-12.00 pm)

Escape Ipoh

Imej via Escape Ipoh

Satu lagi tarikan di Batu Gajah yang akan dibuka sepenuhnya pada April 2024 ialah Escape Ipoh. Escape bakal membuka cawangannya di sini dan menjadi tarikan utama sempena Tahun Melawat Perak. Escape Ipoh ini bersebelahan dengan TT5 Perak iaitu lokasi yang menempatkan sebuah kapal korek dan TT5 Maze Park, lokasi yang menjadi tumpuan di sini.

Escape Ipoh bakal menjadi tarikan baharu dimana pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti lasak dan mencabar, sama seperti cawangannya yang lain iaitu Penang dan Petaling Jaya.

Alamat: Tanjung Tualang, Batu Gajah, Perak

Tempat menarik di Malaysia yang baru ini bukan sahaja dapat menarik perhatian pelancong malah dapat meningkatkan sektor ekonomi dan pelancongan serta membuka banyak peluang pekerjaan untuk warga setempat.

Tak tahu nak ke mana pada cuti ini? Jom bawa yang tersayang mengunjungi tempat baru dan viral ini. Pasti lebih seronok dengan pelbagai tarikan dan aktiviti yang luar biasa.

Kami juga ada menulis artikel tentang tempat menarik yang lain dan terkini seperti tempat menarik Langkawi, tempat menarik Perlis dan tempat menarik Cameron Highland.

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.