Sandakan yang juga dikenali sebagai Bandaraya Alam Semulajadi sememangnya kaya dengan pelbagai tempat menarik. Cuma kita je yang tak tahu. Jom kami kongsikan 13 tempat menarik di Sandakan yang pasti membuatkan anda teruja.

1. Sandakan Memorial Park

Pada tahun 1945, tapak Sandakan Memorial Park ataupun Taman Peringatan Sandakan ini pernah menjadi saksi kepada kekejaman tentera Jepun yang telah menjadikan sebilangan besar askar Australia dan British sebagai tawanan perang.

Bukan seorang dua yang terbunuh sewaktu menjadi tawanan, tetapi lebih daripada 2400 orang terkorban dan yang terselamat hanyalah 6 orang tawanan yang berjaya melarikan diri. Bayangkanlah situasi di Sandakan pada waktu itu.

Kini, untuk memperingati mereka yang telah terbunuh, memorial ini ditubuhkan. Anda juga dapat melawat sebuah muzium kecil yang ada di sini untuk mendalami lebih banyak lagi tentang sejarah Sandakan yang penuh dengan peristiwa hitam.

Tempat Menarik Di Sandakan

Sumber Gambar: Wikipedia

2. Labuk Bay Proboscis Monkey Santuary

Nama lain bagi monyet ini adalah Monyet Belanda iaitu spesies monyet yang berhidung besar dan panjang. Untuk melihat keletah monyet unik yang hanya wujud di sekitar Borneo ini, anda boleh pergi ke Labuk Bay Proboscis Monkey Santuary.

Santuari ini terletak tidak jauh dari Kampung Semawang, di tengah-tengah kawasan hutan bakau di Labuk Bay, Sandakan. Sampai sahaja ke sini, anda perlu menaiki platform pemerhatian yang disediakan untuk mendekati haiwan eksotik ini, jangan risau, monyet ini bukanlah daripada spesies yang agresif. Jangan lupa untuk bawa kamera.

Waktu Operasi (Jadual Waktu Pemerhatian): Platform A (9.30am – 2.00pm) | Platform B (11.30am – 4.30pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM15, Pelancong: RM60 | Kanak-kanak MyKad: RM5, Pelancong: RM30 | Kamera RM10

Tempat Menarik Di Sandakan

Sumber Gambar: Phys

3. Pasar Umum Sandakan

Pasar Umum Sandakan merupakan pasar di dalam bangunan 3 tingkat. Macam-macam boleh dibeli di sini seperti  sayur-sayuran, hasil laut dan buah-buahan yang segar di tingkat 1, dan barangan  wanita di tingkat 2. Kalau anda nak merasa makanan tradisi orang Sabah, pasar inilah salah satu lokasi yang pasti tidak akan mengecewakan anda.

Waktu Operasi: Setiap Hari (3.00am – 7.30pm)

Tempat Menarik Di Sandakan

Sumber Gambar: Jalanjalancaripasar

4. Sandakan Crocodile Farm

Sandakan Crocodile Farm terletak lebih kurang satu setengah jam dari bandar Sandakan. Jauh juga ya? Tapi percayalah, lawatan anda ke taman buaya ini terasa amat berbaloi kerana ia merupakan taman buaya yang terbesar di Malaysia dengan lebih daripada 3000 ekor buaya di dalamnya.

Selain buaya, di sini juga terdapat taman kanak-kanak dan sebuah zoo mini yang menempatkan ikan Amazon bersaiz besar. Kalau anda datang pada hari Ahad ataupun cuti umum, anda bukan sahaja dapat melihat pertunjukan buaya, tapi juga pertunjukan ular.

Waktu Pertunjukan di Sandakan Crocodile Farm: 

Pertunjukan Buaya: Isnin – Jumaat (11:45am & 4.00pm)

Pertunjukan Buaya & Ular: Ahad & Cuti Umum (11.00am, 2.00pm & 4.00pm)

Waktu Diberi Makan: 9.00am – 4.30pm

Tempat Menarik Di Sandakan

Sumber Gambar: Commons

5. Pulau Berhala

Pulau yang terletak berhadapan dengan perkampungan Sim-Sim ini memiliki dua buah bukit batu pasir yang bercantum dengan satu sama lain pada ketinggian 600 kaki dari aras laut. Disebabkan kehadiran batu kapur ini, anda boleh menemui gua yang memukau dan unik untuk diterokai.

Airnya sangat jernih dan cantik. Jika anda naik ke puncak bukit ini pula, terdapat sebuah rumah api manakala sudut curam bukit ini diselubungi oleh hutan simpan dengan tumbuhan pinggir laut yang menjadi tarikan para pengkaji botani.

Tempat menarik di sandakan

Sumber Gambar: Baguskali

6. Sungai Kinabatangan

Sungai Kinabatangan sangat panjang. Berukuran 560 km, menjadikan ia sungai yang terpanjang di negeri Sabah. Anda sekeluarga dapat menikmati pelayaran yang seluas pemandangan, dan membuka mata anda tentang geografi sekitar Sabah yang menarik untuk diamati.

Di sepanjang perjalanan, anda akan disajikan dengan pemandangan ladang kelapa sawit, kawasan perkampungan dan bandar-bandar kecil sekitar Sabah. Bukan itu sahaja, pada waktu inilah anda boleh melihat kekayaan fauna yang ditawarkan muka bumi Borneo seperti orang utan, ungka, monyet, dan banyak lagi.

Kalau bernasib baik, mungkin juga gajah-gajah besar yang digelar Borneo Pygmy Elephants akan menunjukkan diri.

Tempat menarik di sandakan

Sumber Gambar: Astroawani

7. Pulau Lankayan

Pulau Lankayan adalah sebuah pulau yang cukup istimewa dan menawarkan lebih daripada 30 lokasi yang menarik untuk aktiviti menyelam yang kebanyakannya boleh diakses dengan menaiki bot beberapa minit dari jeti pulau.

Yang menariknya, ada juga kawasan menyelam yang memiliki bangkai kapal untuk diterokai.  Antara hidupan laut yang dapat dilihat adalah ikan anemone, ikan kerapu, blue ribbon eel, juvenile cat fish dan bermacam-macam lagi. Semua ini dapat dinikmati secara HD di dalam air yang cukup jernih.

Tempat menarik di sandakan

Sumber Gambar: Tempatmenarik

8. Pulau Selingan

Merupakan sebahagian daripada Taman Laut Pulau Penyu, Pulau Selingan menempatkan sebuah pusat penjagaan dan penetasaan telur penyu yang pertama dibina di Malaysia iaitu pada 1 Ogos 1996. Jenis penyu yang mendarat di sini adalah Penyu Karah dan Penyu Hijau yang selalunya datang mendarat ketika malam menjelma untuk bertelur.

Namun begitu, anda tidak dibenarkan berada di kawasan pantai ketika ini untuk mengelakkan penyu daripada berasa terganggu, namun sebenarnya renjer atau pihak pengurusan tetap bagi peluang untuk anda melihat penyu pada waktu ini dengan pengawasan mereka.

Harga: Dewasa MyKad: RM30, Pelancong: RM60 | Kanak-kanak MyKad: RM20, Pelancong: RM30 | Kamera (Tanpa Flash) RM10

Tempat menarik di sandakan

Sumber Gambar: Flickr

9. Masjid Jamek Sandakan

Masjid Jamek Sandakan ataupun Masjid Jamek As-Sheikh Hasabollah At-Tohiri adalah sebuah masjid yang sudah pun berusia lebih daripada 130 tahun. Masjid tua yang dibina sekitar tahun 1880-an ini merupakan masjid yang memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu agama Islam ketika zaman pemerintahan British di Borneo Utara.

Masjid yang terletak di lereng bukit ini dikatakan telah diasaskan oleh pedagang dan pendakwah yang datang dari Yemen menggunakan hasil sumbangan penduduk setempat, namun ada juga yang mengatakan ianya telah dibina oleh seorang penduduk Sandakan berketurunan India Muslim.

Disebabkan usia masjid ini yang telah terlalu tua, sudah semestinya ia pernah melalui peristiwa yang menarik. Salah satunya adalah kerana ia pernah dijadikan tempat perlindungan beberapa tentera Jepun dan penduduk ketika Perang Dunia Kedua.

Tempat menarik di sandakan

Sumber Gambar: Wikipedia

10. Sandakan Liberation Monument

Terletak di hadapan High Court Sandakan, Sandakan Liberation Monument adalah sebuah monumen unik yang dibina untuk memperingati tentera bersekutu yang terkorban di Borneo Utara sewaktu menentang askar Jepun, sebuah pengorbanan yang membawa kepada pengakhiran Perang Dunia Kedua.

Tugu yang berbentuk senapang rifle dengan topi di hujungnya ini menunjukkan tradisi yang diamalkan tentera bagi melambangkan tempat dimana pejuang telah gugur.

Tempat menarik di sandakan

Sumber Gambar: Tracesofwar

11. Scout Nature Park

Scout Nature Park adalah sebuah taman ahli pengakap yang mempunyai lanskap alam semula jadi indah untuk dinikmati. Jangan risau, anda yang tidak berpakaian pengakap pun boleh menjadikan taman ini sebagai tempat bersantai bersama keluarga. Selain melihat pemandangan hijau di sekitar, anda juga dapat mempelajari banyak tentang Persatuan Pengakap di Daerah Sandakan.

Tempat menarik di sandakan

Sumber Gambar: Indiependentmms

12. Bulatan Buaya

Secara keseluruhannya, Sabah sebenarnya banyak memiliki tugu yang unik yang sememangnya menarik untuk dijadikan latar belakang foto percutian. Salah satu tugu ini adalah yang terletak di Jalan Lubuk di mana terdapat sebuah bulatan yang ditengahnya berdiri dengan tegak tugu seekor buaya.

Muncung buaya ini dikatakan menghala ke arah Sandakan Crocodile Farm yang terletak tidak jauh dari sini. Apa lagi? Nampak sahaja Bulatan Buaya ini, teruslah singgah ke taman buaya yang terbesar di Malaysia ini ya. Sebelum itu jangan lupa untuk berselfie di depan tugu buaya berdiri ini.

Tempat menarik di sandakan

Sumber Gambar: Maisinggah

13. Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre

Orang Utan ataupun nama lainnya Wild Red Apes dapat dilihat dalam habitat semula jadinya sekiranya anda sekeluarga melawat Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre. Apabila tiba di sini, anda akan melalui laluan kayu yang akan membawa kaki anda menuju ke arah galeri dan platform tempat memberi Orang Utan makanan.

Disarankan untuk anda datang sekitar 30 minit awal sebelum waktu haiwan ini diberi makan kerana sekiranya anda terlewat, kemungkinan pekerja di pusat ini tidak akan membenarkan anda masuk. Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre turut menyediakan tempat solat, kedai cenderamata, pusat informasi yang memaparkan video 6 kali sehari, kafe dan tandas yang bersih.

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (9.00am – 12.00pm & 2.00pm – 4.00pm) | Jumaat (9.00am – 11.00am & 2.00pm – 4.00pm) | Waktu Orang Utan Diberi Makanan (10.00am – 3.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM5, Pelancong: RM30 | 18 Tahun & Kebawah MyKad: RM2, Pelancong: RM15 | Kamera RM10

Tempat menarik di sandakan

Sumber Gambar: Amazingborneo

Itulah dia 13 tempat menarik di Sandakan yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Jemput juga abca artikel tempat menarik di Labuan dan tempat menarik di Miri.

Sumber: Maisinggah

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.