Miri sememangnya pusat peranginan yang utama di Sarawak. Di sinilah letaknya gua terbesar di dunia dan tasik terbesar di Sarawak. Bunyi macam menarik, kan. Jom kami kongsikan 15 tempat menarik di Miri yang tak ramai pelancong tahu.

1. Taman Negara Gunung Mulu

Berkeluasan 52,864 hektar, Taman Negara Gunung Mulu cukup kaya dengan flora dan faunanya. Kekayaannya ini menjadikan Taman Negara Gunung Mulu sebagai salah satu taman hijau yang paling banyak diselidiki di dunia. Dikatakan tumbuhan jenis vaskular sahaja terdapat lebih daripada 3000 spesies di dalam hutan ini.

Taman Negara ini juga menempatkan gunung yang memiliki gua-gua yang wajib diteroka sekiranya ke Sarawak seperti Gua Rusa dan Gua Air Jernih. Kalau anda nak tahu, di sini jugalah  terdapatnya ruang bawah tanah yang terbesar di dunia yang dipanggil Sarawak Chamber sehingga dikatakan boleh memuatkan 40 buah kapal terbang! Memang banyak tarikan luar biasa di Taman Negara ini.

Kalau anda memiliki stamina yang tinggi, anda boleh merancang untuk mendaki sehingga ke puncak gunung untuk menikmati pemandangan yang seluas pandangan sekitar Taman Negara.

Bayaran: Dewasa MyKad: RM15, Pelancong: RM30 | Kanak-kanak MyKad: RM5, Pelancong: RM10 | Kanak-kanak 6 Tahun Kebawah Percuma | Warga Emas (60 Tahun Keatas) RM7

Alamat: Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Infobudayaindonesia

2. Hawaii Beach

Dari pusat bandaraya Miri untuk ke  Hawaii Beach, hanya mengambil masa 25 minit pemanduan. Sampai sahaja di Kampong Bakam iaitu lokasi di mana terletaknya Hawaii Beach ini, anda perlu berjalan kaki melalui papan kayu yang disediakan untuk menuju ke destinasi yang diimpikan.

Sambil menikmati pemandangan pantai ‘hawaii’ ini anda boleh berbbq dengan menggunakan peralatan bbq yang disediakan dengan caj tambahan.

Alamat: Kampung Bakam, 98000 Miri

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Tripsavvy

3. Taman Negara Niah

Gua Niah ini bukanlah gua yang biasa, kerana sebenarnya dari satu bahagian gua ke bahagian yang lain, memiliki tarikan tersendiri. Gua yang terdiri daripada sebuah Gua Besar dan beberapa Gua Kecil ini pernah menjadi penempatan awal manusia sekitar 40,000 tahun yang lalu.

Sebelum memasuki kawasan gua yang legend ini, anda perlu melalui laluan berpapan yang berketinggian beberapa kaki daripada lantai hutan sambil disajikan dengan udara segar dan bunyi kicipan burung serta haiwan-haiwan lain.

Setelah beberapa minit perjalanan, anda akan sampai ke Gunung Dagang dan seterusnya Kompleks Gunung Besar yang menjadi penempatan awal manusia beribu tahun yang lalu.

Apa-apa pun, sebelum anda ke sini dan berniat untuk menerokai gua-guanya, anda perlulah memakai penutup kepala untuk mengelak daripada terkena najis kelawar. Di samping itu, lampu suluh juga jangan lupa dibawa, kerana terdapat laluan yang gelap-gelita perlu dilalui untuk melihat banyak lagi gua-gua lain.

Alamat: Taman Negara Niah, 98200 Miri

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Mirisarawak

4. Miri City Fan Recreation Park

Bertempat di dalam Miri Resort City, Miri City Fan Recreation Park merupakan taman indah yang berbentuk seperti kipas yang pernah mendapat anugerah lanskap bandar yang terbaik di Malaysia pada tahun 2001.

Taman yang berkeluasan 10.4 hektar ini memiliki tarikan-tarikan seperti Musical Fountain, Islamic Garden, Health Garden, Chinese Garden yang lengkap dengan kolam ikan koi dan Pustaka Miri. Tapi yang paling best sekali adalah kemudahan kolam renang awamnya, yang juga menawarkan kelas renang bagi anda yang berminat untuk belajar skill sunnah ini.

Alamat: Jalan Kipas, 98000 Miri

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Visitmiri2018

5. The Grand Old Lady No. 1

The Grand Old Lady No. 1 ini adalah nama yang diberikan kepada telaga minyak yang tertua di Malaysia yang menggunakan peralatan kabel, sebab itulah ianya digelar sebagai ‘Old Lady’ iaitu seorang ‘ibu’ yang cukup berharga bagi negaranya. Tanpa minyak, mana mungkin Malaysia sekaya ini.

Lokasinya, adalah di atas Bukit Kanada yang memaparkan pemandangan bandar Miri sekiranya anda berdiri di hadapannya. Anda boleh merancang untuk berjoging bersama keluarga di trek yang disediakan di sekitarnya.

Alamat: Bukit Kanada, 98000 Miri

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Malaysiatouri

6. Bukit Kanada

Bukit ini adalah bukit batu kapur yang cukup terkenal kerana menyajikan pemandangan yang memukau sekitar Miri.Bukan itu sahaja, di sini jugalah terletaknya Muzium Petroleum untuk anda lawati bersama anak-anak bagi mengenali dengan lebih mendalam mengenai teknologi cari gali di Malaysia.

Kenapa dibina muzium petroleum di Bukit Kanada?  Kerana di bukit yang sama inilah lokasinya telaga minyak pertama digali oleh syarikat Shell Sarawak pada tahun 1910.

Alamat: Bukit Kanada, 98000 Miri

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Aljukimong

7. Taman Awam Miri

Terletak 3 km dari bandaraya Miri, Taman Awam Miri merupakan taman indah yang dibina di atas bukit dikelilingi oleh lanskap penuh kehijauan yang menenangkan jiwa.

Jangan terkejut, kerana taman ini bukanlah seperti taman biasa yang memiliki trek berjoging dengan tempat bersantai tapi, ia sebenarnya cukup menarik dengan tarikan seperti jambatan gantung yang merentasi taman, menara peninjau, dan apabila turun dari menara peninjau ini pula anda akan terlihat kolam renang awam yang lengkap dengan gelongsor serta taman permainan dalam air, memang syoklah! Yang bestnya lagi, untuk bermandi-manda di kolam renang yang luas ini adalah percuma!

Alamat: Bintulu – Miri Rd, Taman Awam Miri, 98000 Miri

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Miriresortcity

8. Pantai Tusan Bekenu

Bertempat di sebuah lokasi yang agak tersorok, iaitu di hujung ladang kelapa sawit yang mana anda perlu berjalan kaki dalam 30 meter untuk turun ke kawasan pantainya, Pantai Tusan Bekenu.

Apa istimewanya pantai ini sehinggakan orang sanggup bersusah-payah untuk datang melawat? Semua ini bermula pada tahun 2015, apabila seorang jurugambar tempatan telah menangkap foto yang memaparkan fenomena bio-luminescence ataupun air mata biru yang cukup mengujakan sesiapa sahaja yang melihat. Fenomena alam yang unik ini berlaku disebabkan gangguan oksigen yang berlaku terhadap mikroorganisme di dalam air.

Alamat: Exit Jalan Bekenu – Miri Coastal, 98150 Miri

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Ostyna

9. Tebing Tusan

Tebing Tusan adalah satu lagi tarikan lain yang terletak di Pantai Tusan Bekenu. Anda sekeluarga dapat melihat pembentukan-pembentukan batu yang unik pada bukit di tepian pantai yang telah dihasilkan oleh hempasan ombak yang  berlaku tanpa henti.

Namun, dalam banyak-banyak pembentukan batu di sini, anda pasti akan tertarik dengan satu bentuk batu yang lain daripada yang lain, diberikan nama Batu Kuda, batu ini  memang betul-betul kelihatan seperti kuda yang sedang minum air dari laut.  Apa lagi? Inilah lokasi best bergambar!

Alamat: Exit Jalan Bekenu – Miri Coastal, 98150 Miri

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Youtube

10. Miri Crocodile Farm & Mini Zoo

Miri Crocodile Farm & Mini Zoo adalah sebuah lokasi yang patut dilawati di Sarawak. Kalau tak datang, memang rugi. Seperti namanya, Miri Crocodile Farm cum Mini Zoo, ia bukanlah sekadar memberi peluang untuk anda mendekati buaya-buaya yang tak terkira banyaknya, tetapi juga banyak haiwan lain di zoo mininya.

Antara haiwan eksotik yang terdapat di sini adalah beruang madu, monyet, python, landak, burung merak, dan banyak lagi termasuklah burung yang paling berbahaya di dunia, kasuari.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)

Bayaran: Dewasa RM20 | Kanak-kanak RM10

Alamat: Lot 164, 24Km Miri-Kuala Baram Road, 98000 Miri

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Wikipedia

11. Boulevard Hypermarket (Imperial Mall)

Perhatian kepada kaki shopping, dah datang ke Miri tu, mai singgah ke Boulevard Hypermarket! Dah puas mencuci mata di Boulevard Hypermarket, anda hanya perlu melalui jambatan untuk ke pusat membeli-belah kedua yang terletak di sebelahnya iaitu Permaisuri Imperial City Mall.

Tak merancang untuk  bershopping barang? Di sini jugalah anda dapat melihat pelbagai pilihan makanan ataupun sekadar menonton salah satu filem Hollywood terbaru di panggung wayangnya. Sudah berpanas-panas di luar, apa salahnya meluangkan masa di bawah aircond tempat bershopping kan?

Alamat: Jalan Merpati, 98000 Miri

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Wikimapia

12. Air Terjun Latak

Air Terjun Latak adalah sebuah tarikan alam semula jadi yang terletak di dalam Taman Negara Bukit Lambir. Taman Negara yang terletak sekitar 30 km dari Miri ini menempatkan kawasan air terjun yang dikatakan sebagai kawasan rekreasi yang terbersih di Malaysia. Betapa asyiknya dapat anda sekeluarga nikmati keindahan alam semula jadi tanpa sebarang nodaan ini.

Untuk menuju ke Air Terjun Latak yang juga merupakan air terjun tertinggi dan terbesar di dalam Taman Negara ini, anda sekeluarga hanya perlu berjalan kaki selama 20 minit dari HQ Taman Negara.

Sampai sahaja di kawasan air terjun, anda boleh berenang dengan penuh keseronokan dalam kolam yang terbentuk pada kaki air terjun. Kemudahan seperti meja berkelah, bilik persalinan dan tandas turut disediakan.

Alamat: Taman Negara Bukit Lambir, Miri

Koordinat:  N04 12.1′ E114 2.5′

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Tindalanon

13. Pusat Kraftangan Miri

Terletak di Jalan Brooke, Pusat Kraftangan Miri adalah satu lokasi yang perlu anda lawati sekiranya berada di Miri. Apalah gunanya bercuti ke sesebuah tempat tanpa melihat di depan mata penghasilan produk tradisionalnya, setuju?

Di Pusat Kraftangan inilah anda dapat melihat demo pembuatan kraftangan yang berasal dari bahagian utara Sarawak. Anda juga dapat membeli pelbagai barangan seperti ukiran kayu dan barangan manik yang dihasilkan Orang Ulu, bakul, tikar Penan dan banyak lagi. Yang paling best, jualan makanan etnik dan subetnik Sarawak juga boleh ditemui di sini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)

Alamat: Miri Handicraft Centre, Jalan Brooke, Miri

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Kakinakl

14. Tamu Muhibbah

Tamu Muhibbah ataupun Pasar Muhibbah ini lebih kuranglah seperti Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu. Di sinilah anda dapat membeli-belah aneka makanan dan ramuan khas dari Sarawak.

Dalam banyak-banyak produk yang dijual di sini, yang menjadi tarikan utama adalah Beras Bario. Beras yang harganya mengalahkan kemahalan harga Beras Wangi Siam. Beras Bario ini kalau di tempat lain agak mahal harganya, namun di Miri, boleh dikatakan harga yang ditawarkan untuk Beras Bario ini adalah yang lebih murah daripada di tempat lain.

Alamat: Tamu Muhibbah, 98000 Miri

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Sarawaktourism

15. Rumah Api Tanjung Lobang

Rumah Api Tanjung Lobang adalah sebuah stesen rumah api yang mula dibuka pada sekitar tahun 1930-an dan masih lagi aktif sehingga kini. Namun begitu, menara ini ditutup dari orang ramai kecuali kawasan tapaknya.

Untuk pengetahuan anda, di sebelah rumah api ini terdapat Memorial Perang Dunia Kedua untuk memperingati orang Sarawak, India dan Indonesia yang terkorban semasa peperangan ini berlaku.

Alamat: Jln Bunga Tanjung 2, 98000 Miri

tempat menarik di miri

Sumber Gambar: Azruljaini85

Itulah dia 15 tempat menarik di Miri yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda.

Sumber: Maisinggah

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.