Langkau ke kandungan
Bidadari
Menu

Kisah Masyitah: Tukang Sikat Firaun Yang Mengagumkan

Ayuh kenali kisah biodata Masyitah dan kehebatan beliau mempertahankan keimanannya. Semasa pemerintahan Firaun sebagai penguasa Mesir, dia terkenal…

Motivasi & TazkirahDikemas kini 7 Februari 2022oleh Rabiatul Adaweeyah Othman
Ilustrasi piramid Mesir purba melambangkan zaman pemerintahan kejam Firaun.

Ringkasan Ringkas

  • Masyitah merupakan tukang sisir rambut puteri Firaun yang menyembunyikan keimanannya kepada Allah S.W.T.
  • Keimanannya terbongkar apabila sikat terjatuh dan beliau tanpa sengaja menyebut nama Allah.
  • Firaun murka dan memberi kata dua kepada Masyitah untuk kembali menyembahnya atau direbus dalam kawah tembaga bersama keluarganya.
  • Masyitah tetap teguh beriman, lalu suami dan anak-anaknya dicamparkan ke dalam kawah air mendidih.
  • Anak bayinya yang masih dalam kendongan berkata-kata menggesa ibunya terjun kerana syurga menanti mereka.
  • Semasa Israk dan Mikraj, Rasulullah S.A.W diberitahu malaikat Jibril bahawa bau harum di satu makam adalah kubur Masyitah, tanda kemuliaan dari Allah.

Ayuh kenali kisah biodata Masyitah dan kehebatan beliau mempertahankan keimanannya.

Semasa pemerintahan Firaun sebagai penguasa Mesir, dia terkenal sebagai seorang yang sangat kejam dan penentang utama ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa A.S. Sekiranya didapati ada seseorang yang dianggap sebagai menentangnya pasti akan dihabisi kehidupan mereka dengan cara yang sangat tidak berperikemanusiaan.

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.”

(al-Qasas: 4)

Antara mangsa kekejaman Firaun adalah Masyitah yang merupakan seorang tukang sisir  rambut puterinya. Beliau menyahut seruan Islam yang dibawa Nabi Musa A.S tetapi menyembunyikan keislamannya itu tanpa pengetahuan sesiapapun termasuklah Firaun sendiri.

Suatu hari, ketika sedang menyisir rambut puteri Firaun, tanpa sengaja sikat rambut terjatuh dari tangannya, dengan lantas Masyitah menyebut nama Allah. Hal tersebut didengari oleh anak Firaun lalu mempersoalkannya.

Anak Firaun bertanya, “Adakah yang dimaksudkan ‘Allah’ itu ialah ayahandaku?”

“Tidak Allah adalah Tuhanku, Tuhanmu dan tuhan sekalian alam,” jawab Masyitah yang pada mulanya teragak-agak dan enggan menjawab pertanyaan tersebut. Namun dia menjawab dengan tenang.

Mendengar jawapan Masyitah. Puteri Firaun menjadi sangat terkejut dan menyatakan akan  menyampaikan hal tersebut kepada ayahandanya. Tidak lama kemudian, Masyitah dipanggil oleh Firaun atas laporan itu.

Firaun lantas bertanya, “Wahai Masyitah, apakah ada Tuhan selain  diriku?”

“Ya, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.” Jawab Masyitah.

Mendengar jawaban itu, Firaun menjadi begitu marah dan berang.

Firaun lalu mengumumkan bahawa dia akan menyiksa wanita itu bersama seluruh keluarganya. Dia segera memerintahkan pengawalnya untuk menyiapkan sebuah kawah besar yang terbuat dari tembaga. Lalu mereka menyalakan api dan memanaskan air di dalamnya.

Piramid Mesir yang menjulang tinggi di bawah langit biru

 Selepas semua persiapan selesai dan air mendidih dengan dasyatnya, Firaun memberi kata dua kepada Masyitah, iaitu kembali menyembahnya sebagai tuhan ataupun dia bersama keluarganya akan dihumban ke dalam kawah jika memilih beriman kepada Allah S.W.T. Dengan tegas dan tenang Masyitah menyatakan pendiriannya untuk tetap beriman kepada Allah S.W.T berbanding Firaun.

Lalu Firaun yang sangat kemarahan itu  pun memaksa Masyitah dan keluarganya terjun ke kawah yang airnya sedang menggelegak itu. Suami Masyitah menjadi orang yang pertama yang dicampak ke dalam kawah, diikuti dengan tiga orang anaknya.

Anaknya yang keempat yang masih bayi itu masih berada dalam kendongan Masyitah. Masyitah berasa sungguh sedih melihat suami dan anak-anak terkapai-kapai dalam air yang sangat panas itu. Masyitah melihat ke arah anaknya yang masih kecil kemerahan itu, lalu timbul rasa kasihan dan mulai ragu-ragu untuk terjun. Syaitan mulai menggodanya dengan menimbulkan rasa serba salah.

Ada riwayat menyatakan dengan kuasa dan izin Allah S.W.T,  anak Masyitah yang bayi itu berkata-kata dengan menyuruh ibunya terjun ke dalam air itu.

 “Wahai ibu! Marilah kita menyusul ayah. Sesungguhnya syurga menanti kita. Wahai Ibu, masuklah! Sesungguhnya siksaan di dunia lebih ringan daripada siksa akhirat kelak.”

Penutup: Pengabdian Masyitah Terhadap Tuhan-Nya Sangat Sukar Dicariganti

Walaupun zahirnya hukuman kejam Firaun terhadap Masyitah dilihat sangat tidak berperikemanusiaaan, namun dari sudut yang lain, inilah ujian Allah terhadap Masyitah serta keluarganya dalam menguji ketaatan dan keimannya.

Rupa-rupanya, dalam kelembutan fizikal seorang wanita bernama Masyitah, tersembunyi kekuatan yang luar biasa yang sangat sukar dimiliki oleh wanita lain. Bahkan keberanian dan ketegasannya dalam mencintai Islam sangat menggagumkan.

Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah S.A.W telah melalui satu makam yang baunya sangat harum semerbak kasturi. Malaikat Jibril yang mengiringi Baginda lalu mengkhabarkan bahawa itulah makam Masyitah, seorang penghuni syurga yang kentalmempertahan imannya. Demikian Allah S.W.T memberi kemuliaan terhadap seorang wanita yang kuat iman serta kehambaan-Nya yang sukar didapati di zaman ini.

Sila baca juga artikel-artikel menarik yang ingin kami kongsikan seperti;

Rujukan: