Ayuh ketahui kisah antara Nabi Sulaiman a.s dengan Ratu Balqis.

Terdapat banyak versi mengenai kisah Nabi Sulaiman a.s dengan Ratu Balqis. Dalam surah al-Naml, Allah SWT menceritakan kehebatan Baginda yang memerintah sebuah kerajaan yang gah, berjaya menawan hati pemerintah negeri Saba’ untuk menerima Islam.

Nabi Sulaiman a.s dikurniakan singgahsana dan tahta sebagai pemerintah tertinggi, bukan sahaja sebagai seorang sultan yang memerintah manusia, tetapi mampu menundukkan bangsa jin  selain  mempunyai kelebihan bercakap memahami bahasa binatang. Namun, dengan kesempurnaan itu Baginda sedikitpun tidak  berasa megah dan bersikap sombong, bahkan sentiasa mengagungkan Allah SWT.

Dan, dengan hanya berantarakan seekor burung  Hud hud, Nabi Sulaiman a.s menjalani dakwah terhadap Ratu Balqis yang angkuh itu, sehingga akhirnya pemerintah kerajaan Saba’ itu tunduk dengan kebesaran Allah SWT.

Burung Hud hud Menyampaikan Perutusan

Suatu  hari, Nabi Sulaiman a.s meminta semua pasukan tenteranya berkumpul dalam kedudukan masing-masing. Sehingga suatu ketika, Baginda mendapati  burung Hud hud tidak berada di tempatnya. Baginda tertanya ke mana-mana perginya burung itu.

“Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata  ‘mengapa aku tidak melihat Hud hud? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?”

(an-Naml : 20)

Lalu membuatkan Nabi Sulaiman a.s murka dan mahu menghukumnya jika burung hud-hud tidak mempunyai alasan yang munasabah.

Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)”

(an-Naml : 21)

Tugas burung Hud hud seperti diterangkan oleh Ibnu Abbas adalah sebagai peninjau yang akan memastikan sesuatu kawasan itu terlebih dahulu, sama ada mempunyai sumber air ataupun tidak.  Termasuklah jika pasukan tentera Nabi Sulaiman a.s mempunyai masalah air di sesuatu tempat, burung Hud hud akan menunjukkan punca air kepada mereka.

Ratu Balqis dan Rakyatnya yang Menyembah Matahari

Setelah itu, burung Hud hud akhirnya datang dan memberikan alasan yang mampu menyelamatkannya daripada didenda azab dan siksaan. Apakah alasan itu?

 “Hud hud itu tidak lama kemudian datang sambil berkata (kepada Sulaiman) ‘Aku dapat mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya dan aku datang kepadamu dari negeri Saba’ dengan membawa berita yang diyakini kebenarannya.”

(an-Naml : 22)

Cerita  Hud hud, ketika dia sedang terbang menuju ke satu negeri bernama Saba’ iaitu negeri yang berdekatan dengan Yaman. Terdapat sebuah kerajaan yang diperintah oleh seorang wanita.

 “Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan (Balqis) yang memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar.”

(an-Naml : 23)

Burung Hud-hud juga menjelaskan bahawa raja perempuan berserta kaumnya itu sujud menyembah matahari, manakala cara mereka beribadah adalah seperti tidak beriman kepada Allah SWT. Wanita yang memerintah negeri itu adalah Ratu Balqis.

 “Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah dan syaitan pula memperelok pada pandangan mereka akan perbuatan syirik mereka lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar) Oleh itu mereka tidak memperoleh petunjuk.”

(an-Naml : 24)

Burung Hud hud terus menyampaikan hal yang dilihatnya secara langsung tanpa sedikit pun tokok tambah.

“(Mereka dihalangi oleh syaitan) supaya tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan dibumi dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan.  Allah! Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar.

(an-Naml : 25-26)

Lalu, Nabi Sulaiman a.s mempercayai kata-kata yang disampaikan oleh penyampainya itu.


“Nabi Sulaiman berkata: Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta.”

(an-Naml : 27)

Surat Kepada Sang Ratu

Nabi Sulaiman kemudiannya menulis sepucuk surat kepada Ratu Balqis, dan mengirimkan burung Hud hud untuk menyampaikannya. Surat tersebut adalah sebagai  dakwah kepada Ratu Balqis serta  kaumnya untuk mengajak mereka beriman kepada Allah SWT.

 “Pergilah dengan membawa suratku ini lalu jatuhkanlah kepada mereka,kemudian berpalinglah dari mereka,lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan.”

(an-Naml : 28)

Ketika surat Nabi  Sulaman a.s sampai di istana Puteri Balqis, burung Hud hud mencampakkan surat itu kepada mereka dan  kemudiannya dibaca oleh Ratu Balqis.

Dalam surat tersebut, ternyata Nabi Sulaiman a.s ingin Ratu Balqis dan pengikutnya memeluk agama Islam dan menyembah tuhan yang Esa iaitu Allah SWT, seperti permulaan surat tersebut yang membesarkan nama Allah SWT.

Lalu bermesyuaratlah Ratu Balqis dengan para pembesarnya mengenai surat yang baru diterimanya itu.

“(Setelah membaca surat itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba’: ‘Wahai ketua-ketua kamu! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia’.”

(an-Naml : 29)

 “Berkata ia (Balqis)’Hai pembesar-pembesarku, Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): ‘Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah).”

(an-Naml : 30-31)

Ada dalam kalangan pembesar yang memberi cadangan untuk berperang dengan tentera Nabi Sulaiman kerana yakin dengan kekuatan dan keberanian tentera yang mereka miliki.

Raja perempuan itu berkata lagi, ‘Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya’. Mereka menjawab: ‘Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan’.”

 (an-Naml : 32-33)

Tetapi Ratu Balqis tidak bersetuju, dan mempunyai pendapat yang berlainan. Ini kerana  beliau berasakan Nabi Sulaiman a.s merupakan lawan yang tidak seperti lawan yang lain.

Lalu Ratu Balqis mendapat akal untuk mencuba cara lain untuk  mengambil hati Nabi Sulaiman a.s iaitu  dengan mengirimkan hadiah berupa harta serta perhiasan.

 “Raja perempuan itu berkata, sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan. Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita.”

(an-Naml : 34-35)

Namun, sebaik sahaja utusan Ratu Balqis sampai ke istana Nabi Sulaiman a.s, Baginda menolak pemberian itu dengan pesanan bahawa Baginda beserta bala tenteranya akan menguasai kerajaan Saba’ tersebut.

“Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya), ‘Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikan-Nya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah)’.”

(an-Naml : 36)

“Kemudian Nabi Sulaiman berkata lagi, “Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.”

(an-Naml : 37)

Sebaik sahaja mendapat pesanan itu, Ratu Balqis tidak memiliki pilihan lain kecuali tunduk dan patuh kepada perintah Nabi Sulaiman a.s itu.

Pemindahan Singgahsana Ratu Balqis

Sewaktu Ratu Balqis dan seluruh kerajaannya menyerah diri kepada Nabi Sulaiman a.s, mereka pun bertolak ke negeri Yaman yang diperintah oleh Nabi Sulaiman a.s untuk menghadap.

Baginda Nabi Sulaiman a.s mendapat akal untuk menguji kebijaksanaan Ratu Balqis lalu bertanyakan kepada para tenteranya, iaitu sesiapa yang boleh membawa istana singgahsana Ratu Balqis ke tempatnya.

“Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): ‘Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang menghadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?”

(an-Naml : 38)

Maka, berkatalah Ifrit dari golongan jin bahawa dia mampu membawa singgahsana tersebut sebelum Nabi Sulaiman a.s berdiri dari tempat duduknya.

“Berkatalah Ifrit dari golongan jin: ‘Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah’.”

(al-Naml : 39)

Terdapat beberapa tafsiran berkenaan hal ini. Ada yang berpendapat ifrit mampu membawa singgahsana tersebut sebelum habis majlis pertemuan itu, dan sesetengah yang mengatakan waktunya adalah pagi sehingga hampir tergelincirnya matahari.

“Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: ‘Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!’ Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: ‘Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah’.”

(al-Naml: 40)

Sesetengah pendapat menyatakan ‘sebelum matamu berkedip’ bermaksud,  sebelum letih mata ketika memandang sesuatu, atau pendapat lain yang mentafsirkannya sebagai memandang sesuatu pemandangan yang jauh.

“Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): ‘Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian’.”

(al-Naml: 41)

Pada ketika itu juga, singgahsana Ratu Balqis dibawa ke hadapan Nabi Sulaiman a.s dalam tempoh waktu yang sekejap sedangkan ianya terletak di tempat yang sangat jauh.

Ratu Balqis di Istana Nabi Sulaiman a.s

Sewaktu  Ratu Balqis tiba di istana Nabi Sulaiman a.s, Baginda bertanya kepada Ratu Balqis sama ada singgahsana di hadapan mereka itu adalah miliknya di Saba’. Lalu Ratu Balqis menjawab, mungkin itu adalah singgahsananya kerana dia sudah sedia mengetahui akan kekuasaan dan kebolehan yang dimiliki oleh Nabi Sulaiman a.s.

“Maka ketika ia datang menghadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: ‘Serupa inikah singahsanamu?’ Ia menjawab: ‘Boleh jadi inilah dia; dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini, dan kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah)’.”

(al-Naml : 42)

“Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu): apa yang ia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari puak yang kafir.”

(al-Naml : 43)

Kemudian, Nabi Sulaiman a.s mempersilakan Ratu Balqis memasuki istananya. Sewaktu ratu itu memasuki istana tersebut disangkanya halaman istana itu adalah sebuah kolam air, lalu dia dengan segera menyingkapi labuhan kainnya. Maka Nabi Sulaiman a.s pun menjelaskan bahawa istanannya itu dibina oleh kaca yang berkilau seperti air.

Sebaik sahaja mengetahui hal itu, Ratu Balqis pun menyesal akan kejahilannya. Lalu berdoa memohon keampunan Allah SWT.

“(Setelah itu) dikatakan kepadanya: ‘Dipersilakan masuk ke dalam istana ini’. Maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata, ‘Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca’. (Mendengar yang demikian), Balqis berdoa: ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam’.”

(an-Naml : 44)

Penutup: Dakwah yang membawa kepada Islam tidak semestinya melalui kekerasan atau paksaan.

Sesungguhnya kisah Nabi Sulaiman a.s dan Ratu Balqis ini memperlihatkan hikmah dakwah yang dilakukan tanpa kekerasan. Dan mengetahui bahawa hidayah dan petunjuk Allah itu mahal dan akan diberikan kepada sesiapa juga yang dikehendak-Nya. Bahkan golongan yang begitu kufur dan keras menentang Islam pun akan mendapat hidayah jika diizin-Nya.

Semoga Allah SWT berterusan memelihara hidayah dan iman kita semua, amin.

 

Rujukan

  1. ikimfm.my
  2. akumuslim.asia
  3. www.thepatriots.asia

 

 

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.