Ayuh ketahui kisah Nabi Musa dan Firaun.

Nama penuh Nabi Musa ialah Musa bin Imran bin Qohath bin Lewi bin Yakqub bin Ishaq bin Ibrahim. Musa merupakan anak kepada Imran dan Yukabad binti Qahat.  Baginda dilahirkan di Mesir semasa pemerintahan Firaun dan menjadi utusan Allah SWT untuk memimpin bani Israel ke jalan benar.

Kisah Nabi Musa dan Firaun sangat banyak disebutkan dalam al-Quran, bahkan nama Firaun disebutkan sebanyak 74 kali. Dakwah Nabi Musa kepada Firaun sangat mencabar sekali kerana Firaun seorang yang angkuh dan bongkak sehingga menganggap dirinya adalah tuhan.

Kelahiran Nabi Musa dan Mimpi Firaun

Suatu hari, Firaun bermimpi; Mesir terbakar dan semua penduduknya mati kecuali bani Israel sahaja yang terselamat. Mimpi tersebut telah menghantui Firaun apabila ahli nujumnya meramalkan kuasa pemerintahnnya akan jatuh ke tangan seseorang lelaki berbangsa Israel. Disebabkan terlalu takut dan khuatir, Firaun segera  memerintahkan semua bayi lelaki dibunuh.

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.”

(al-Qasas : 4)

Sementara itu, pada masa sama ibu Musa melahirkan Baginda. Kelahiran itu dirahsiakan dan Musa yang masih bayi itu disembunyikan kerana bimbang akan dibunuh.

Suatu hari ibu Musa mendapat petunjuk dari Allah agar dihanyutkan Baginda dalam sungai. Walaupun terlalu sayangkan anaknya itu, ibunya dengan berat hati memasukkan Musa ke dalam bakul dan menghayutkannya ke dalam Sungai Nil.

“Kemudian Kami ilhamkan kepada ibu Musa: ‘Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari rasul-rasul Kami’.”

(al-Qasas : 7)

Kemudian bakul yang menghayutkan Musa ditemui oleh Asiah, isteri Firaun yang ketika itu berada di sungai. Asiah segera membawa Musa ke istana.

“Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.”

(al-Qasas : 8)

Asiah juga berjaya meyakinkan Firaun untuk menjaga Musa, walaupun pada mulanya Firaun sangat menghalang dan mahu membunuh bayi itu.

“Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: ‘(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak’. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).”

(al-Qasas : 9)

Ibu Musa yang masih bersedih mengarahkan anak perempuannya mendapatkan khabar tentang bayinya itu. Dan dari jauh kakaknya mengetahui bahawa Musa telah dijagai di Istana Firaun.

 “Dan berkatalah ia kepada kakak Musa: ‘Pergilah cari khabar beritanya’. (Maka pergilah ia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.”

 (al-Qasas : 11)

Nabi Musa Bertemu Ibunya Semula

Asiah kemudiannya mencari pengasuh untuk menyusu dan menjaga Musa, namun semuanya tidak sesuai kerana Musa tidak berhenti menangis dan tidak mahu disusui.

Kakak Musa lalu datang menawarkan bantuan, katanya terdapat seseorang boleh membantu menyusukan Musa dengan baik.

“Dan Kami jadikan dia dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata: ‘Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”

(al-Qasas : 12)

Lalu ibu Musa datang dan menawarkan diri untuk disusui oleh Musa. Namun dia tidak beterus terang bahawa dia adalah ibu Musa sebenar.

Sebaik sahaja mendapatkan ibunya, barulah Musa mahu menyusu dan didodoikan. Ibunya sangat gembira dan bersyukur kerana dapat membesarkan anaknya sendiri di istana Firaun.

 “Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya ia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu)”

(al-Qasas : 13)

Nabi Musa Meleraikan Pergaduhan

Suatu hari, Musa keluar berjalan sekitar kota dan tanpa sengaja terserempak dengan dua lelaki yang sedang bergaduh. Salah seorang daripada mereka berbangsa Israel (sebangsa dengan Musa) dan seorang lagi dari bani Firaun.

Lelaki yang sebangsa dengan Musa meminta pertolongannya, lalu Musa mahu mententeramkan mereka dengan melepaskan satu tumbukan dan tanpa sengaja telah menyebabkan kematian lelaki dari kaum Firaun itu.

“Dan masuklah ia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, – seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: ‘Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya)’.”

(al-Qasas : 15)

Musa segera memohon ampun kepada Allah SWT;

“Ia merayu (dengan sesalnya): ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah – apalah jua kiranya – akan dosaku’. (Maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani’. Ia merayu lagi: ‘Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah’.”

(al-Qasas : 16-17)

Selepas peristiwa itu, Musa sangat resah dan bimbang perbuatannya diketahui oleh Firaun.  Tidak lama kemudian Firaun mengetahui akan kejadian itu dan mahu menangkap Musa. Disebabkan itu Musa terpaksa melarikan diri dan keluar dari Mesir.

 “Datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: ‘Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu’.”

(al-Qasas : 20)

“Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim’.”

(al-Qasas :21)

Nabi Musa Berkahwin dengan Anak Nabi Syuaib

Semasa berjalan tanpa arah dan tujuan selama lapan hari, Musa tiba di kota Madyan, iaitu tempat tinggal Nabi Syuaib yang terletak di timur Semenanjung Sinai, selatan Palestin.

Selepas berlaku beberapa peristiwa dan Nabi Syuaib menikahkan Musa dengan anak perempuannya bernama Saffurah. Musa tinggal di Madyan beberapa lama bersama Nabi Syuaib, sebelum meminta izin bapa mentuanya itu untuk pulang ke Mesir.

Berbicara dengan Allah SWT

Dalam perjalanan pulang ke Mesir, Musa dan isterinya tiba di Bukit Sinai. Dari jauh, Baginda ternampak api dan terfikir untuk mendapatkannya sebagai penyuluh jalan. Musa meninggalkan isterinya sebentar untuk mendapatkan api itu.

“Setelah Musa menyempurnakan tempoh kerjanya itu dan (mendapat izin) berjalan dengan isterinya (kembali ke Mesir), ia melihat (dalam perjalanannya itu) api dari sebelah Gunung Tursina. (Ketika itu) berkatalah ia kepada isterinya: ‘Berhentilah; sesungguhnya aku ada melihat api, semoga aku dapat membawa kepada kamu sesuatu berita dari situ, atau sepuntung dari api itu, supaya kamu dapat memanaskan diri’.”

(al-Qasas : 29)

Sebaik sampai di tempat api itu, Musa mendapati api tersebut menyala pada sebatang pokok, tetapi tidak membakar pokok tersebut. Musa sangat terkejut dan hairan. Dan ketika itu jugalah Musa terdengar suara wahyu daripada Allah SWT.

“Maka ketika ia sampai ke tempat api itu, (kedengaran) ia diseru dari tepi lembah yang di sebelah kanan, di tempat yang dilimpahi berkat, dari arah pohon kayu (yang ada di situ): ‘Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Tuhan sekalian alam. (Sesungguhnya api itu adalah sebagai satu isyarat yang didatangkan oleh Allah untuk menarik perhatian Musa ke tempat itu dan bukannya zat Allah, Wallahu a’lam)”

(al-Qasas : 30)

|Kemudian Musa mendengar suara menyuruhnya mencampak tongkatnya,  dengan tiba-tiba tongkat tersebut menjadi seekor ular yang besar dan bergerak sangat pantas. Musa terkejut dan lari dari situ. Namun Musa diseru untuk kembali ke tempat itu semula dan ditenangkan oleh Allah SWT.

“Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu. (Ia pun mencampaknya), maka apabila ia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah ia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu ia diseru): ‘Wahai Musa, datanglah kemari dan janganlah engkau takut. Sesungguhnya engkau dari orang-orang yang beroleh aman’.”

(al-Qasas : 31)

Lalu, Allah SWT telah memerintahkan Musa untuk menemui Firaun dan kaumnya demi menegakkan kebenaran agama Allah SWT.

“Masukkanlah tanganmu melalui belahan dada bajumu, nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tiada cacat; dan kepitlah tanganmu di celah ketiakmu ketika merasa takut (nescaya hilanglah takutmu). Yang demikian adalah dua bukti dari Tuhanmu (untuk engkau menunjukkannya) kepada Firaun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik – derhaka.”

(al-Qasas : 32)

Mendengarkan perintah Allah itu, Musa pun berterus terang  bahawa Baginda pernah membunuh salah seorang daripada kaum Firaun, dan telah melarikan diri daripada ditangkap.

“Wahai Tuhanku, bahawa aku telah membunuh seorang dari kalangan mereka; oleh itu aku takut mereka akan membunuhku.”

(al-Qasas : 33)

Bahkan Musa merayu lagi agar Nabi Harun menjadi penemannya untuk menghadapi Firaun kerana Nabi Harun lebih pandai berkata-kata berbanding dirinya sendiri.

“Dan saudaraku – Harun, ia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong yang mengakui kebenaranku; sesungguhnya aku bimbang bahawa mereka akan mendustakan daku.”

(al-Qasas : 34)

Lalu Allah SWT menerima permintaan Musa dengan berfirman:

“Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang.”

(al-Qasas : 35)

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.”

(Taha:43)

Firaun Menolak Kebenaran

Firaun begitu marah mengetahui kepulangan Nabi Musa yang membawa ajaran baru selain amalan mereka.

Nabi Musa menemui Firaun dan mengajak kembali kepada Allah SWT. Tetapi ditentang keras oleh Firaun dengan angkuhnya.

“Setelah Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami yang terang nyata, mereka berkata: ‘Apa yang engkau bawa ini hanyalah sihir yang dibuat-buat, dan kami tidak pernah mendengar tentang perkara ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu’.”

(al-Qasas : 36)

Nabi Musa tidak berputus asa memberi peringatan kepada Firaun. Tetapi Firaun dengan lebih yakin mengakui bahawa tidak ada tuhan lain melainkan dirinya sendiri. Bahkan memerintahkan Haman membina bangunan paling tinggi untuk melihat tuhan Nabi Musa.

“Dan Firaun pula berkata: ‘Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta’.” 

(al-Qasas : 38)

Pertarungan dengan Ahli-ahli Sihir Firaun

Firaun yang begitu marah mencabar Musa untuk membuktikan kenabiannya.

Maka Nabi Musa pun menunjukkan mukjizatnya dengan mencampakkan tongkatnya. Lalu tongkat itu bertukar menjadi ular. Tangan Baginda juga mengeluarkan cahaya terang setelah diletakkan di ketiaknya, sehinggakan mata semua yang berada di situ menjadi silau.

Melihat kejadian itu, Firaun terus menuduh Nabi Musa sebagai ahli sihir dan mencabar Baginda melawan semua ahli sihirnya dalam satu pertarungan.  Lalu Firaun menyeru semua ahli sihir di negaranya menyertai pertandingan itu,  sehingga bilangan mereka mencecah  10,000 orang.

“Kalau demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang seperti itu untuk melawanmu! Maka tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami denganmu, yang kita bersama tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang sesuai bagi kedua belah pihak.”

(Taha: 58)

Nabi Musa menjawab: ‘Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha’.”

(Taha : 59)

Tiba harinya, para penyihir Firaun mengejek dan memperlekeh Nabi Musa dan Nabi Harun. Mereka menunjukkan kehebatan masing-masing, ada yang melontarkan tali-tali, lalu bertukar menjadi ribuan ekor ular. Nabi Musa sedikit cemas kerana melihat ular yang sangat banyak.

“Mereka berkata: ‘Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang mula-mula mencampak?’ Nabi Musa menjawab: ‘Bahkan kamulah campak dahulu’. Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka. Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.”

(Taha: 65-67)

Lalu  Jibril datang dan menenangkannya dengan menyuruh Nabi Musa melemparkan tongkatnya,

Kami berfirman kepadanya: ‘Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan. Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada’.”

(Taha : 68-69)

Lalu Nabi Musa mencampak tongkatnya dan muncullah seekor ular yang sangat besar lalu memakan semua ular yang ada di situ. Semua ahli sihir di situ terkejut dan takjub. Kemudian mereka tunduk untuk menjadi pengikut Musa, termasuklah isteri Firaun sendiri.

“Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa.”

(Taha : 70)

Firaun menjadi sangat marah.

“Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal.”

(Taha : 71)

Namun, para pengikut Nabi Musa tetap berpendirian teguh dan yakin dengan Allah SWT.

“Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkan-Nya kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahala-Nya.”

(Taha : 73)

Mukjizat Nabi Musa Membelah Laut

Nabi Musa bersama pengikutnya yang beriman terpaksa melarikan diri dari Firaun dan tenteranya sehingga mereka sampai di tebing Laut Merah, dan tidak ada jalan lain selain menyeberang laut tersebut.

Lalu, Nabi Musa memukul tongkatnya ke tanah, dengan kuasa Allah dan mukjizat Baginda, laut itu terbelah menjadi  dua. Serta merta mereka menyeberangi laut itu.

“Dan sungguh, telah Kami wahyukan kepada Musa, ‘Pergilah bersama hamba-hamba-Ku (Bani Israel) pada malam hari, dan pukul lah (buat lah) untuk mereka jalan yang kering di laut itu, (engkau) tidak perlu takut akan tersusul dan tidak perlu khuatir (akan tenggelam).”

(Taha : 77)

Firaun dan pasukannya yang mengejar dari belakang  turut menyeberang laut itu, namun mereka semua  mati kerana ditenggelamkan dalam laut yang telah bercantum itu.

“Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya. Dan dengan itu Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan, dan tidaklah ia membawa mereka ke jalan yang benar.”

(Taha : 78-79)

Penutup: Lupa bahawa dirinya adalah hamba, bukannya tuhan

Allah SWT mengurniakan kemewahan, kedudukan tinggi, kemasyuran, kesihatan yang baik bukanlah untuk bermegahan, sebaliknya untuk beribadah dan menyerah diri kepada-Nya jua. Apatah lagi sehingga lupa kedudukan diri sebagai hamba Allah SWT.

Demikian kesombongan Firaun yang menganggap dirinya sebagai tuhan, telah menerima azab dan balasan Allah SWT. Semoga kita semua mengambil sedikit pengajaran daripada kisah Firaun ini dalam menjalani kehidupan seharian. Amin.

Semoga anda menyukai artikel kisah nabi Musa dan Firaun ini. Jika anda menyukai artikel ini, sila baca juga perkongsian menarik kami yang lain tentang Kisah Nabi Musa Dengan Wanita Penzina dan Kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa

Rujukan

 1. ikimfm.my

2. alkisahnabi.blogspot.com

3. http://www.addeen.my

4. alquran5.blogspot.com

 

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.