Nak tahu khasiat batang saderi? Artikel ini akan berkongsi tentang manfaat dan khasiat batang saderi untuk kesihatan yang mungkin kita tidak tahu.

Batang saderi merupakan bahagian petiole (batang) pada spesis tumbuhan tidak berkayu yang dikenali sebagai Apium graveolens. Sayuran hijau yang kaya nutrien ini mengandungi sebanyak 90% air daripada berat keseluruhan.

Pokok saderi ini banyak dijumpai dan ditanam di kawasan seperti Eropah Selatan, Asia dan Afrika selain turut dijumpai di kawasan Amerika Utara dan Amerika Selatan. Ketinggian pokok ini boleh mencecah sehingga 12 ke 16 inci.

Tumbuhan ini boleh hidup di permukaan tanah berpasir pada keadaan iklim sederhana. India merupakan pengeluar utama saderi di dunia dengan penghasilan sebanyak 4 ribu tan setahun.

Batang saderi yang dihasilkan di Eropah berwarna keputih-putihan dan kurang hijau kerana tanamannya yang kurang menerima cahaya matahari. Maka, penghasilan klorofil yang memberi warna hijau adalah kurang disebabkan kurangnya cahaya matahari untuk proses fotosintesis yang maksimum.

Imej via Bidadari

Khasiat Kesihatan Batang Saderi

Terdapat pelbagai khasiat kesihatan yang boleh diambil daripada pemakanan batang saderi ini. Ada yang suka memakannya secara mentah, dijadikan ulam ulaman atau dikisar untuk dijadikan jus bersama pilihan buah atau sayuran yang lain.

Oleh itu, artikel ini akan berkongsi khasiat kesihatan batang saderi yang selalu dikaitkan dengan petua menurunkan tekanan darah tinggi.

Turunkan Tekanan Darah Tinggi

Petua tradisional ada mengajar kita untuk mengamalkan jus batang saderi (kadang-kadang dikisar bersama timun atau tomato) untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Menariknya, dakwaan ini telah dikaji secara lebih mendalam apabila melihat kesannya yang positif untuk menurunkan tekanan darah.

Analisis makmal mendapati bahawa batang saderi mengandungi sebatian yang bernama phtalide. Sebatian ini memberikan batang saderi aroma dan rasanya yang tersendiri. Kajian klinikal menunjukkan bahawa phtalide berperanan dalam melegakan otot licin dalam saluran pembuluh darah. Seterusnya, darah akan mudah mengalir dan mengurangkan tekanan darah.

Pemerhatian selama 13 hari ke atas tikus yang diberikan ekstrak saderi telah menunjukkan penurunan tekanan darah tinggi yang positif.

Dijadikan Minyak Pati

Essential oil atau minyak pati saderi semakin giat dihasilkan kerana manfaatnya yang tersendiri. Biji saderi dilaporkan mengandungi kira-kira 2% minyak pati yang memberikan aroma untuk kegunaan sebagai bahan perasa dan minyak wangi.

Minyak pati saderi menghasilkan bau seperti floral/bunga-bungaan dan oriental yang mewujudkan suasana yang menyenangkan.

Analisis makmal mengesan kehadiran limonene dan selinene sebanyak 60% dan 20% di dalam minyak pati. Namun, sebatian utama yang memberi bau kepada minyak pati ini ialah sedanenolide dalam kuantiti yang sedikit.

Aktiviti Antioksidan

Saderi mengandungi vitamin C yang tinggi yang mencukupi untuk diet seharian kita. Vitamin C ini ternyata terbukti dalam memberikan sokongan perlindungan sistem pertahanan badan dalam melawan radikal.

Tambahan pula, saderi dikesan mengandungi sebatian yang bernama coumarins. Sebatian ini bermanfaat dalam mencegah radikal bebas daripada terus merosakkan sel. Seterusnya, hal ini boleh mengurangkan kadar mutasi.

Coumarins juga bagus untuk tujuan meningkatkan aktiviti sel darah putih bagi menyingkirkan serangan berbahaya ke atas sel.

Sumber Elektrolit Elak Dehidrasi

Imej via Bidadari

Sekiranya anda aktif bersukan atau kerap melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh, jus berasaskan saderi boleh diamalkan untuk menggantikan elektrolit dalam tubuh yang hilang akibat aktiviti fizikal anda.

Kandungan natrium dan kalium dalam saderi juga agak tinggi untuk menggantikan garam mineral yang telah dikumuh melalui peluh anda.

Detoks dan Mengurangkan Kolesterol

Ekstrak saderi dilaporkan mengandungi 85% sebatian phtalide yang berkesan dalam menurunkan kolesterol dan meningkatkan proses detoks. Penyingkiran air melalui buah pinggang akan menjadi lebih eifisien, lalu cepat membuang toksin dalam tubuh.

Kajian ke atas tikus makmal yang diberikan diet makanan ekstrak saderi selama 8 minggu menunjukkan penurunan tahap kolesterol yang ketara.

Keradangan yang berlaku pada peringkat sel juga boleh dikurangkan dan mempercepatkan proses penyembuhan.

Melegakan Sakit Sendi dan Arthritis

Disebabkan mekanisme saderi yang menyingkirkan toksin, hal ini sebenarnya membantu pesakit yang mengalami sakit sendi atau arthritis dan rheumatism.

Toksin yang menyebabkan sakit sendi dan lenguh otot tersebut dapat dikurangkan apabila disingkirkan melalui air kencing apabila saderi menggalakkan perkumuhan melalui buah pinggang.

Manfaat Serat Tinggi

Saderi juga dilaporkan mengandungi serat makanan yang tinggi yang bagus untuk kesihatan. Para penyelidik mengakui bahawa diet yang tinggi serat seperti saderi ini amat bagus bagi tujuan merendahkan kolesterol, membantu melancarkan sistem pencernaan, meningkatkan tindak balas insulin dan gula dalam darah serta membantu laktasi atau pertambahan susu ibu.

Didapati, saderi mengandungi 60% jumlah serat makanan, 5% lemak, 19% protein dan 9% kanji.

Kesan Sampingan Pengambilan Batang Saderi Berlebihan

Imej via Bidadari

Batang saderi turut mengandungi kandungan garam yang tinggi khususnya natrium. Maka, pengambilannya perlulah dalam kuantiti yang sederhana kerana sodium boleh menyebabkan diuretik.

Diuretik ialah kehilangan air dari dalam badan. Badan yang diuretik juga akan menyingkirkan garam lain seperti kalium yang sebenarnya diperlukan oleh sistem badan.

Selain itu, pesakit yang sedang mengambil ubat cair darah tidak digalakkan mengambil diet berasaskan saderi kerana sebatian dalam saderi akan melambatkan proses pencairan darah.

Kesimpulan

Saderi banyak digunakan di seluruh dunia sebagai ramuan makanan dengan nilai tambahnya dalam bidang perubatan. Pengambilan saderi adalah lebih dalam bentuk makanan mentah atau ulam-ulaman tanpa dimasak kerana suhu yang tinggi ketika memasak boleh menghilangkan khasiat nutriennya.

Namun, pengambilannya perlulah dalam kuantiti yang sederhana dan bagi mereka yang sedang mengambil ubatan tertentu, sila dapatkan khidmat nasihat daripada doktor pakar masing-masing.

Rujukan

Sowbhagya, H. B. (2014). Chemistry, technology, and nutraceutical functions of celery (Apium graveolens L.): an overview. Critical reviews in food science and nutrition54(3), 389-398. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.