Minat makan ulam bersama nasi panas? Jom baca manfaat kesihatan makan serta khasiat ulam-ulaman ini.

Pengenalan

Ulam merupakan gelaran kepada tumbuhan yang dimakan secara mentah, dicelur, atau direbus sebelum dimakan bersama nasi. Ulam juga biasanya dimakan bersama dengan perasa seperti budu, cencaluk, atau sambal belacan.

Ulam diambil dari berbagai-bagai bahagian tumbuhan yang boleh dimakan. Ini termasuklah pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan bunga.

khasiat ulam

Imej via VanillaKismis

Jom ketahui khasiat ulam yang biasa kita makan.

1. Ulam raja

khasiat ulam

Imej via Nona

Ulam raja atau nama saintifiknya Cosmos caudatus tumbuh meliar dan dijadikan sebagai tanaman hiasan kerana bunganya yang cantik.  Antara khasiat ulam raja adalah mampu mengurangkan gejala kencing manis berdasarkan kajian yang pernah dibuat oleh penyelidik dari UPM pada tahun 2017.

Selain itu, ulam raja juga mampu menambahkan kandungan oksigen dalam darah, sekaligus melancarkan peredaran darah dan memberi keanjalan kepada kulit.

Malah klorofil yang diekstrak daripada daun ulam raja mengandungi pelbagai jenis bahan kimia semulajadi, dan dapat membantutkan aktiviti bakteria pembawa penyakit seperti E.coli.

Kajian fitokimia melaporkan kehadiran asid fenolik, flavonoid, tannin, sesquiterpene lakton, karbohidrat, mineral, vitamin dan fenilpropanoid dalam ulam raja. Sebatian bioaktif ini memberikan nilai kesihatan seperti antihipertensi, antihiperlipidemik, antidiabetik, antimikrob, antioksidan dan antiosteoporotik.

2. Daun selom

khasiat ulam

Imej via Soscili

Nama saintifik bagi daun selom ialah Oenanthe javanica. Di Malaysia, daun selom digunakan dalam masakan seperti laksa, sebagai hiasan atau dikisar sekali untuk dibuat kuah. Ada juga yang menggunakannya dalam Nasi Kerabu.

Daun selom juga dikenali sebagai Chinese celery di negara Barat kerana penggunaannya yang terkenal dalam kalangan orang Cina untuk tujuan perubatan.

Berbeza dengan Western celery yang biasa kita tengok, daun selom mempunyai batang yang kecil dan rasa daun yang kuat berbanding Western celery yang mempunyai batang yang rangup dan rasa manis. Kedua-duanya kaya dengan vitamin A, B, C, D, zat besi dan potasium.

Dalam perubatan Cina, daun selom boleh mengubati demam kuning (jaundice), demam panas, melawas kencing, merawat sembelit dan membantu dalam meningkatkan selera makan. Kebiasaannya, daun selom dihidangkan dalam jus atau direndam dalam air panas dan diperah untuk mendapatkan jusnya. Ia kemudian dihidang panas-panas untuk diminum.

Daun selom  juga sesuai untuk orang yang selalu stress. Orang stress ni biasanya sukar tidur (insomnia) dan selalu sakit-sakit kepala. Mereka yang ada simptom ini digalakkan untuk amalkan makan daun selom dengan kerap ataupun amalkan minum secawan jus daun selom yang dicampur dengan susu. Ia dapat membantu menenangkan sistem saraf sekaligus memudahkan proses untuk tidur.

3. Pucuk gajus

Imej via Bidadari

Nama saintifik bagi gajus ialah Anacardium occidental, sejenis tumbuhan yang unik kerana mempunyai biji di luar buah dan isi di dalam. Pucuk gajus yang biasa dibuat ulam ialah pucuk gajus muda berwarna merah atau merah perang. Rasanya kelat masam dan dimakan bersama sambal belacan dan nasi.

Khasiat pucuk gajus dipercayai boleh mengelakkan terkena penyakit kanser, membantu penghadaman dan sesuai untuk mereka yang menghidap darah tinggi. Para penyelidik dari Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) membuktikan pucuk gajus boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik.

Pucuk gajus juga mampu melawan dan meneutralkan bahan toksik dalam badan kerana terdapat antioksida di dalamnya. Pucuk daun gajus boleh melambatkan proses penuaan dan membantu wanita yang memakannya memiliki wajah awet muda.

Selain dari khasiat awet muda dan kesegaran tubuh, pucuk gajus juga boleh merendahkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan sakit kencing manis.

Bagi yang ada ulser dalam mulut, bolehlah menggunakan air rebusan pucuk gajus untuk berkumur. Daun pucuk gajus juga boleh disapukan pada pipi untuk mengurangkan sakit gigi dan disapu pada kulit yang melecur dengan menumbuknya sampai lumat.

Sekumpulan penyelidik dari Nigeria pada tahun 2001 melaporkan kandungan tannin yang tinggi dalam daun pucuk gajus ini menyebabkan kesan antiradang dan pengecutan tisu yang baik. Menurut mereka, amalan makanan pucuk gajus ini ditemui di seluruh dunia dengan pelbagai tujuan, contohnya di  Peru (merawat diarrhea), Brazil (masalah kulit) dan Amerika Utara (masalah pernafasan dan sistem pencernaan).

4. Kacang botol

khasiat ulam

Imej via Marissa

Nama saintifik bagi kacang botol ialah Psophocarpus tetragonolobus. Khasiatnya termasuklah melambatkan penuaan, memastikan kandungan dalam keadaan sihat, membantu masalah penglihatan dan membantu dalam mengurangkan berat badan kerana kandungan kalorinya yang rendah.

Vitamin C dalam kacang botol membantu mengelakkan penyakit jantung, strok dan kanser kerana kandungan antioksida yang sangat kuat. Vitamin A pula membantu mengelakkan kerosakan DNA. Vitamin B pula membantu meningkatkan tenaga sekaligus memberi mood yang baik.

Serat adalah sangat penting dalam imun sistem badan jadi dengan memakan kacang botor ia membolehkan pertumbuhan bakteria probiotik (bakteria baik) dalam kolon badan kita dan enzim hidup untuk meningkatkan kesihatan badan. Kacang botol juga mengandungi kalsium dan fosforus yang tinggi untuk membantu pembentukan tulang yang kuat.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia pada tahun 2007, komponen nutrien penting dalam kacang botol ialan lektin, asid erusik dan poliasid lemak tidak tepu.

5. Daun pegaga

khasiat ulam

Imej via Daun

Nama saintifik bagi daun pegaga ini ialah Centella asiatica. Daun pegaga kaya dengan pelbagai zat makanan seperti protein, gentian, zat besi, vitamin A dan C. Kerana khasiat yang banyak ini, pegaga dikatakan boleh merawat parut, masalah selulit wanita, merangsang peredaran darah dan menjadi agen antipenuaan.

Daun pegaga boleh dimakan begitu saja, direbus, dikisar menjadi air minuman dan disapu pada kulit. Apabila disapukan pada kulit, sifat antibakteria, antikuman dan antiradang yang ada pada pegaga dapat mempercepatkan pemulihan luka dengan merawat tisu yang rosak dan mengurangkan parut.

Masalah keputihan dan haid yang sering dialami oleh wanita juga dapat diatasi dengan mengamalkan daun pegaga. Ia mampu melancarkan aliran darah dan merawat masalah kegatalan faraj wanita yang berpunca dari keputihan.

Amalan meminumnya dikatakan mampu menjadikan wajah kelihatan awet muda kerana ia membantu menyuburkan kulit, rambut dan kuku. Ini kerana ia menyokong pembentukan kolagen sekaligus mengurangkan masalah parut atau regangan kulit.

Bagi Gohil dan rakan-rakan pada tahun 2010, mereka mendapati bahawa kandungan triterpenoid dan saponin merupakan komponen utama dalam pegaga yang bertanggungjawab ke atas tindakan terapeutik dan khasiat yang ditunjukkan oleh pegaga. Mereka juga mengulas bahawa pegaga turut boleh digunakan untuk rawatan pelbagai penyakit kulit seperti leprosi, lupus, ulser, eczema, psoriasi selain meningkatkan keupayaan kognitif otak.

6. Timun

Imej via Bidadari

Nama saintifiknya ialah Cucumis sativus. Timun  mengandungi banyak nutrien seperti protein, kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, vitamin A, B1,B2 dan C.

Berdasarkan kajian lepas, timun mengandungi racun alkoholis jenis hipoxanti yang berkesan untuk merawat kanak-kanak kecacingan.

Secara tradisionalnya, timun  membantu merawat sakit tekak akibat batuk dan dapat mengubati penyakit berak berdarah.

Para penyelidik di Institusi Farmasi di India pada tahun 2015 ada menyenaraikan beberapa bahan fitokimia dalam timun seperti tannin, terpenoid, resin, saponin, fitosterol, alkaloid, flavonoid, glikosida, steroid dan pelbagai lagi yang menyumbang kepada nilai kesihatan jika diambil.

Antara aktiviti farmakologikal yang dipamerkan oleh timun ialah sifat antibakteria, antikulat, aktiviti sitotoksik, aktiviti penyembuhan luka dan lain-lain. Kajian lain juga menyokong kenyataan bahawa timun selamat digunakan untuk kegunaan terapeutik.

Kesimpulan

Itulah dia khasiat ulam yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Terdapat pelbagai lagi ulam-ulaman di luar sana yang turut mempunyai khasiat tersendiri.

Kita khasnya penduduk di Malaysia perlulah bersyukur dan memanfaatkan anugerah alam yang boleh dijumpai di negara kita kerana ternyata tumbuhan-tumbuhan ini memberi banyak khasiat kesihatan.

Namun, pengambilan ulam-ulaman ini perlulah dalam kadar yang sederhana tanpa berlebihan kerana dikhuatiri pada kuantiti yang terlalu banyak, bakal menyebabkan kesan sampingan kesihatan pula.

Rujukan

  1. Ai, G., Huang, Z. M., Liu, Q. C., Han, Y. Q., & Chen, X. (2016). The protective effect of total phenolics from Oenanthe Javanica on acute liver failure induced by D-galactosamine. Journal of Ethnopharmacology186, 53-60.
  2. Akinpelu, D. A., & Ojewole, J. A. (2001). Anacardium Occidentale. Fitoterapia72(3), 286-7.
  3. Gohil, K. J., Patel, J. A., & Gajjar, A. K. (2010). Pharmacological review on Centella asiatica: a potential herbal cure-all. Indian journal of pharmaceutical sciences72(5), 546.
  4. Jamil, S. S., Nizami, Q., & Salam, M. (2007). Centella asiatica (Linn.) Urban—a review.
  5. Latha, L. Y., Sasidharan, S., Zuraini, Z., Suryani, S., Shirley, L., & Sangetha, S. (2007). Antibacterial Activity and Toxicity of Psophocarpus tetragonolobus. Pharmaceutical Biology45(1), 31-36.
  6. Moshawih, S., Cheema, M. S., Ahmad, Z., Zakaria, Z. A., & Hakim, M. N. (2017). A comprehensive review on Cosmos caudatus (Ulam raja): pharmacology, ethnopharmacology, and phytochemistry. Int Res J Edu Sci1(1), 14-31.
  7. Saboo, S. S., Thorat, P. K., Tapadiya, G. G., & Khadabadi, S. S. (2013). Ancient and recent medicinal uses of cucurbitaceae family. International Journal of Therapeutic Applications9, 11-19.
  8. Sahu, T., & Sahu, J. (2015). Cucumis sativus (cucumber): a review on its pharmacological activity. Journal of Applied Pharmaceutical Research3(1), 04-09.
  9. Vijayalakshmi, N., & Rao, M. R. (2019). The antioxidant studies of two medicinal plants, Sphaeranthus indicus and Psophocarpus tetragonolobus. Asian J Pharm Clin Res12(1), 321-327.

Sekiranya anda seronok membaca artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami tentang khasiat kacip fatimah dan khasiat avokado.

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof. 

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.