Jom baca tentang khasiat pisang.

Pengenalan

Pisang adalah antara buah-buahan yang paling popular di dunia. Walaupun asalnya dari Asia Tenggara, namun ia kini ditanam di banyak kawasan yang lebih hangat di dunia.

Terdapat banyak jenis pisang yang berbeza warna, saiz dan bentuknya. Antaranya pisang emas, pisang tanduk dan pisang embun. Pisang bukan sahaja sedap dimakan begitu sahaja, tetapi juga ia boleh dipelbagaikan penyediaannya. Contoh, pisang goreng, kerepek pisang dan kek pisang.

Tahukah anda, pisang merupakan salah satu buah yang disebut dalam al-Quran. Malah, ia menjadi buah yang terdapat di dalam syurga. Namun begitu, sudah pastilah buah pisang di syurga itu lebih sempurna dan tidak tergambar kejadiannya untuk dibandingkan dengan buah pisang yang ada di dunia.

Berada di antara pohon bidara yang tidak berduri, dan pohon-pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya), dan naungan yang terbentang luas, dan air yang tercurah, dan buah-buahan yang banyak, yang tidak berhenti (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya.” (al-Waqi’ah [56]: 28-33).

Imej via Bidadari

Kandungan Pisang

Pisang sangat kaya dengan nutrisi. Ia terdiri daripada 75% air, 1.3% protein dan 0.6% lemak. Buah pisang juga mengandungi karbohidrat dan potassium yang tinggi hingga mampu memberi tenaga segera kepada badan.

Ia juga dipercayai dapat melegakan banyak penyakit, pisang sangat dianjurkan untuk merawat demam, gangguan sistem pencernaan, kejang-kejang, dan pelbagai lagi.

Selain berkhasiat, pisang juga mudah diamalkan untuk dijadikan snek harian. Berikut adalah 8 manfaat kesihatan pisang yang disokong oleh penyelidikan saintifik.

Khasiat Pisang Yang Ramai Tidak Tahu

1. Kaya Nutrien Penting

Pisang mengandungi sejumlah serat yang tinggi, serta beberapa antioksidan. Satu pisang sederhana (118 gram) juga mengandungi kalium, vitamin B6, vitamin C, magnesium, tembaga, mangan, karbohidrat,  serat, protein dan lemak.

Setiap pisang mengandungi hanya kira-kira 105 kalori, dan hampir keseluruhannya adalah air dan karbohidrat. Pisang mengandungi protein yang sangat sedikit dan hampir tidak ada lemak. Karbohidrat dalam pisang yang belum matang (hijau) kebanyakannya terdiri daripada kanji tetapi apabila sudah ranum, kanji tersebut bertukar menjadi gula (glukosa, fruktosa dan sukrosa).

Sekumpulan penyelidik dari India pada tahun 2016 ada menyenaraikan beberapa sebatian bioaktif yang sangat membantu meningkatkan kualiti kesihatan, antaranya fenolik, karotenoid, biogenik amin dan fitosterol.

2. Meningkatkan Tahap Penghadaman

Diet serat telah dikaitkan dengan banyak manfaat kesihatan, termasuk pencernaan yang lebih baik. Pisang bersaiz sederhana mengandungi kira-kira 3 gram serat, menjadikan pisang sebagai sumber serat yang cukup baik.

Pisang mengandungi terutamanya dua jenis serat, iaitu pektin dan kanji resisten. Serat ini ditemui dalam pisang yang belum masak. Kanji resisten tidak dicerna dan berakhir di dalam usus besar, di mana ia menjadi makanan untuk bakteria usus yang bermanfaat.

Selain itu, beberapa kajian sel menyarankan bahawa pektin boleh membantu melindungi daripada kanser kolon.

3. Membantu Menurunkan Berat Badan

Imej via Bidadari

Tiada kajian setakat ini yang menguji kesan pisang pada penurunan berat badan. Walau bagaimanapun, pisang mempunyai beberapa ciri yang boleh menjadikan ia makanan mesra diet penurunan berat badan. Pisang mengandungi kalori yang rendah. Kebanyakan pisang mengandungi hanya lebih daripada 100 kalori, namun ia juga sangat berkhasiat dan mengenyangkan.

Pisang juga kaya serat. Makan lebih banyak serat dari buah dan sayuran berulang kali dikaitkan dengan berat badan yang lebih rendah dan penurunan berat badan.

Selain itu, pisang mentah tinggi dengan kanji resisten, jadi ia cenderung membuatkan anda berasa kenyang dan boleh mengawal selera makan anda. Menurut penyelidik dari New Zealand, Thakorial dan rakan-rakan pada tahun 2010, kanji resisten bermaksud kanji yang lambat dicerna dalam perut menjadikannya memberikan rasa kenyang yang lebih panjang.

Mereka membandingkan pengambilan pisang secara mentah dengan pisang yang dijadikan bahan masakan seperti kerepek dan pancake, lalu mendapati bahawa pisang mentah mempunyai kanji resisten yang paling tinggi dan disyorkan untuk memakan pisang mentah sebagai snek.

4. Kesihatan Jantung

Kalium adalah mineral yang penting untuk kesihatan jantung, terutamanya kawalan tekanan darah. Namun, walaupun penting, kebanyakan orang tidak mendapat cukup kalium dalam diet mereka. Pisang adalah sumber kalium yang hebat. Satu pisang sederhana (118 gram) mengandungi 9% daripada RDI.

Tambahan pula, diet yang kaya dengan potassium dapat membantu menurunkan tekanan darah, dan individu yang makan banyak kalium mempunyai risiko penyakit jantung sebanyak 27%.

Selain itu, pisang juga mengandungi sejumlah besar magnesium, yang juga penting untuk kesihatan jantung.

5. Antioksidan

Kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber antioksidan yang sangat baik, termasuklah pisang. Ia mengandungi beberapa jenis antioksidan kuat, termasuk dopamin dan catechin. Antioksidan ini telah dikaitkan dengan banyak manfaat kesihatan, seperti risiko penyakit jantung dan penyakit degeneratif yang berkurang.

Walau bagaimanapun, terdapat salah faham yang menyatakan dopamine dari pisang bertindak sebagai bahan kimia dalam otak.Pada hakikatnya, dopamin dari pisang tidak menyeberangi penghalang darah-otak. Ia hanya bertindak sebagai antioksidan yang kuat dan bukannya mengubah hormon atau emosi. 

Para pengkaji dari Kuwait pada tahun 2018, Jiwan Sadhu & Tasleem Zaafar melaporkan aktiviti antioksidan yang tinggi dalam pisang melalui kehadiran derivatif anthocyanin. Menariknya, anthocyanin bukan sahaja dikesan dalam buah pisang tetapi juga kulit buah pisang, batang umbut dan putik buah.

6. Mengurangkan Risiko Asma

Satu kajian yang dijalankan oleh Imperial College of London mendapati bahawa kanak-kanak yang makan hanya satu pisang setiap hari mempunyai peluang 34% lebih kurang untuk risiko mendapat asma.

Kandungan karotenoid dalam pisang adalah tinggi dalam pisang yang berwarna kuning atau oren. Pengambilan karotenoid sememangnya sudah banyak dilaporkan membantu meningkatkan kepekaan sel, sistem pertahanan dan melawan risiko pelbagai penyakit.

7. Meningkatkan Kepekaan Insulin

Rintangan insulin adalah faktor risiko utama bagi kebanyakan penyakit yang paling serius di dunia, termasuk diabetes jenis 2 atau kita kenali sebagai kencing manis.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa 15-30 gram kanji resisten sehari boleh meningkatkan kepekaan insulin sebanyak 33-50%, dalam masa 4 minggu. Pisang belum masak adalah sumber yang sangat baik untuk kanji resisten, dan dengan itu boleh membantu meningkatkan kepekaan insulin.

Walau bagaimanapun, kajian yang lebih banyak diperlukan untuk mengesahkan perkara ini.

8. Kesihatan Buah Pinggang

Potassium adalah penting untuk kawalan tekanan darah dan fungsi buah pinggang yang sihat. Sebagai sumber diet kalium yang baik, pisang mungkin bermanfaat untuk mengekalkan buah pinggang yang sihat.

Satu kajian pada wanita menunjukkan bahawa lebih dari 13 tahun, mereka yang memakan pisang 2-3 kali seminggu adalah 33% kurang berkemungkinan menghidap penyakit buah pinggang.

Kajian lain mendapati bahawa mereka yang memakan pisang 4-6 kali seminggu hampir 50% kurang berkemungkinan menghidap penyakit buah pinggang berbanding dengan orang yang tidak memakan pisang.

Imej via Bidadari

Risiko Pisang

Gangguan buah pinggang

Penyekat-beta, sejenis ubat yang paling biasa diamalkan kepada pesakit jantung, boleh menyebabkan kadar kalium meningkat dalam darah. Makanan kalium yang tinggi seperti pisang perlu dimakan secara sederhana semasa mengambil penyekat-beta.

Mengambil terlalu banyak kalium boleh membahayakan mereka yang buah pinggangnya tidak berfungsi sepenuhnya. Sekiranya buah pinggang anda tidak dapat mengeluarkan lebihan kalium dari darah, ia boleh membawa maut.

Dr Peter S. Gelfand, yang mengamalkan Perubatan Dalaman di Long Beach NY, berkata, “Ubat-ubatan tertentu yang digunakan untuk penyakit jantung dan tekanan darah tinggi berpotensi meningkatkan kadar kalium.

Contohnya termasuk penyekat-beta tertentu seperti Labetalol, ubat-ubatan yang berfungsi dengan menyekat tindakan hormon aldosteron seperti Lisinopril dan Losartan, dan diuretik tertentu seperti Spironolactone Eplerenone.

Ini adalah beberapa senarai sahaja, dan anda harus berunding dengan doktor anda jika tahap potassium ditahap yang membimbangkan.”

Alahan

Sesetengah orang mungkin mengalami alahan terhadap pisang. Jika sesiapa yang mempunyai alahan pisang makan pisang, mereka mungkin mengalami gejala di dalam mulut dan tekak seperti gatal-gatal dan bengkak.

Migrain

Pisang boleh mencetuskan migrain pada sesetengah orang. Orang yang sering mengalami sakit kepala migrain dinasihatkan untuk tidak makan pisang lebih dari sebiji setiap hari.

Masalah pencernaan

Pisang juga mengandungi banyak serat. Makan terlalu banyak serat boleh menyebabkan kembung, gas, dan keras perut.

Kesimpulan

Pisang kaya nutrien yang penting untuk tubuh. Banyak khasiat dan manfaat pisang untuk kesihatan anda. Ia bukan sahaja lazat dijadikan snek, tetapi juga boleh dibuat smoothie pisang yang lemak berkrim.

Namun begitu, bagi mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi, anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu kerana pisang boleh memberi risiko kepada pesakit darah tinggi. Pengambilan pisang juga perlulah dalam kadar yang sederhana tanpa berlebihan.

Rujukan:

  1. Medicalnewstoday
  2. Healthline
  3. Sidhu, J. S., & Zafar, T. A. (2018). Bioactive compounds in banana fruits and their health benefits. Food Quality and Safety2(4), 183-188.
  4. Singh, B., Singh, J. P., Kaur, A., & Singh, N. (2016). Bioactive compounds in banana and their associated health benefits–A review. Food Chemistry206, 1-11.
  5. Thakorlal, J., Perera, C. O., Smith, B., Englberger, L., & Lorens, A. (2010). Resistant starch in Micronesian banana cultivars offers health benefits. Pacific health dialog16(1), 49-60.

Artikel Khasiat Lain

Jom baca artikel khasiat yang lain jika anda sukakan khasiat pisang ini. Jemput like dan share ya.

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.