Jom lihat khasiat habbatus sauda.

Pengenalan

Habbatus sauda merupakan perkataan Arab bagi jintan hitam. Selain itu, ia juga dikenali dengan nama bijan hitam di Malaysia. Ia amat terkenal sebagai salah satu rempah-ratus tertua yang banyak kebaikan kepada kesihatan.

Rempah ini berbentuk butiran biji kecil berwarna hitam. Ia telah digunakan secara meluas oleh masyarakat India, Pakistan, dan Timur Tengah untuk mengubati pelbagai jenis penyakit secara tradisional.

Jenis tanaman ini digelar sebagai tanaman ubat dalam sejarah perkembangan awal agama Islam.

Jintan Hitam

Imej via nouribrothers

Habbatus sauda mempunyai banyak nama lain, antaranya black seed, black caraway, natura seed, jintan hitam, bijan hitam, black cumin, nigella sativa, kaluduru dan lain-lain.

Ia digunakan sebagai herba ubatan sejak 2000-3000 tahun sebelum Masihi.

Khasiat habbatus sauda banyak tercatat dalam catatan ilmuwan terdahulu. Ibnu Sina adalah antara pengkaji manfaat habbatus sauda untuk kesihatan dan perubatan. Ahli perubatan Yunani kuno, Dioscoredes, pada abad pertama Masihi juga telah mencatat manfaat habbatus sauda untuk mengubati sakit kepala dan saluran pernafasan.

9 Kebaikan Habbatus Sauda Untuk Kesihatan

1. Anti Penuaan

Menurut kajian yang dilakukan oleh Universiti Harvard pada tahun 2010, mereka mendapati habbatus sauda kaya dengan vitamin B dan zat besi. Manakala, kebanyakan orang yang kekurangan vitamin B dan zat besi dalam badan akan menunjukkan simptom seperti rambut cepat beruban, rambut gugur dan kurang daya ingatan. Simptom-simptom ini menunujukkan ciri-ciri penuaan. Jadi, habbatus sauda yang kaya dengan vitamin B dan zat besi dapat membantu melambatkan proses penuaan.

Selain itu juga, orang Cina turut mempercayai bahawa nutrisi dalam jintan hitam mampu melambatkan proses penuaan. Ia membantu mencegah pembentukan pigmen dan kedut. Malah, ia juga melindungi kulit daripada kesan sinar ultra violet matahari.

2. Elak Sembelit Dan Masalah Penghadaman

Dr. Amol Ghosh dari N.R.S. Hospital di Kolkata, berkata, “Jintan hitam dapat membantu mengubati sembelit kerana serat yang tinggi dan asid lemak tak tepu yang terkandung di dalamnya. Minyak yang terdapat dalam habbatus sauda dapat melicinkan usus anda, sementara seratnya pula membantu melancarkan pergerakan usus.

Biji-bijian ini juga membantu membersihkan cacing di saluran usus anda dan memperbaiki proses pencernaan.” Habbatus sauda yang dikisar dan direndam semalaman akan menyebabkan ia mudah dicerna.

3. Menstabilkan Tekanan Darah

Habbatus sauda kaya dengan magnesium yang membantu menghalang hipertensi. Lemak poli tidak tepu dan sebatian sesamin yang terdapat pada minyak bijan hitam diketahui dapat mengekalkan tekanan darah pada tahap normal.

4. Kulit dan Tulang Yang Sihat

Imej via Bidadari

Kalsium dalam habbatus sauda membantu tulang menjadi kuat. Manakala, zink membantu menguatkan dan meningkatkan ketumpatan tulang. Bijan hitam ini sangat digalakkan kepada lelaki tua dan wanita menopause kerana golongan ini berisiko tinggi untuk menghidap osteoporosis.

Habbatus sauda juga kaya dengan Vitamin E, yang menjadikan kulit anda sihat dan bertenaga. Minyak bijan hitam juga disyorkan untuk digunakan pada bayi. Bayi yang diurut dengan minyak bijan akan merasa selesa dan dapat tidur yang lena. Selain itu, ia juga baik untuk kulit bayi yang naik ruam.

5. Baik Untuk Kesihatan Jantung

Jintan hitam kaya dengan sesamolin dan sesamin, iaitu bahan-bahan yang dikenal pasti mampu menurunkan kadar kolesterol. Ia juga mengandungi magnesium yang membantu menstabilkan tekanan darah. Penyelidikan menunjukkan bahawa dalam kebanyakan biji dan kacang yang digunakan di Amerika Syarikat, habbatus sauda adalah biji yang mengandungi jumlah phylosterols tertinggi.

Phylosterols menurunkan tahap kolesterol. Phylosterols dari tumbuh-tumbuhan dan kolesterol daripada haiwan mempunyai struktur kimia yang serupa. Namun, jika anda makan makanan yang kaya kandungan phylosterols, maka hanya sedikit kolesterol yang akan diserap ke dalam darah anda. Secara tidak langsung, anda telah mengurangkan tahap kolesterol jahat (LDL) dan mengurangkan risiko penyakit jantung.

6. Elakkan Risiko Kanser

Antioksidan (serat dan lignans) dan phytochemicals (phylosterol) dalam habbatus sauda memberi perlindungan terhadap kanser tertentu seperti kanser kolon.

Biji ini juga mengandungi sesamin yang dapat melindungi hati dari kesan radikal bebas. Hati yang sihat sangat penting untuk menyahtoksin dan melawan penyakit seperti kanser. Phylosterols pula membantu menurunkan risiko kanser dengan menguatkan sistem imun.

7. Mengurangkan Tekanan

Imej via Bidadari

Magnesium dan kalsium dalam bijan hitam dapat melegakan tekanan.

Tryptophan dan thiamin dalam bijan hitam membantu dalam pengeluaran serotonin, iaitu sejenis sebatian dalam tubuh manusia yang membantu mengurangkan kesakitan, mengimbangi mood, dan membuatkan tidur lebih lena.

8. Penggalak Susu (Milk booster) Semulajadi

Habbatus sauda memang terkenal dalam kalangan ibu menyusu sebagai penggalak susu semulajadi.

Kandungan kalsium, zink, besi, magnesium, kuprum, vitamin B, lemak tak tepu, dan protein dalam habbatus sauda semuanya bermanfaat, terutamanya dalam membantu wanita untuk menyusukan bayi mereka.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ada membuat tinjaun terhadap pengalaman ibu-ibu yang mengamalkan pemakanan sunnah antaranya amalan pemakanan habatus sauda untuk meningkatkan pengeluaran susu ibu. Mereka mendapati peningkatan yang berkadar terus dan mencadangkan kajian lebih saintifik untuk terus membuktikan korelasi ini.

9. Mengurangkan Sindrom Pramenstruasi (PMS) Dan Migrain

Kalsium dalam jintan hitam ini sangat bermanfaat untuk mengurangkan masalah sindrom pramenstruasi dan migrain.

Habbatus Sauda Dan Kajian Pakar

Terdapat ramai ilmuwan dalam bidang kesihatan membuat kajian mengenai habbatus sauda, antaranya:

Ibnu Sina – Habbatus sauda dapat merangsang tenaga dan membantu memulihkan kepenatan dan semangat. (Buku Ibnu Sina “Canon of Medicines“)

Ibnu Qayyim – Habbatus sauda berupaya memulihkan penyakit seperti batuk bronchitis, masalah perut dan cacing, masalah kulit seperti jerawat, sakit senggugut dan haid, menambah susu badan wanita, menambah pengaliran air liur dan sebagainya. (Buku Ibnu Qayyim “Medicine of the Prophet“)

Dr Ahmad Elkadi – Habbatus sauda mempertingkatkan daya tahan sakit (immune system).

Professor G. Rietmuller – Bahan ekstrak habbatus Sauda menunjukkan kesan amat positif terhadap sistem immunisasi badan dan boleh digunakan sebagai “bio-regulator’. (Professor G. Rietmuller, Director of Institute of Immunology, University of Munich, Germany)

Dr. Haq – Beliau menjalankan kajian terhadap sukarelawan pesakit AIDS di Department of Biological and Medical Research Centre, Riyadh. Dapatan kajian menunjukkan bahawa habbatus sauda berupaya meningkatkan kadar di antara ‘helper T-cells’ dan ‘suppresser T-cells’ sebanyak 55%. Aktiviti ‘natural killer cells’ juga menunjukkan peningkatan purata sebanyak 30%.

Dr. Peter Schleicher – Habbatus sauda berjaya menyembuhkan seramai 420 daripada 600 orang sukarelawan pesakit alahan. Kebanyakan pesakit-pesakit ini menghidap alahan terhadap debunga dan habuk, jerawat dan saraf kulit, pesakit lelah dan pesakit-pesakit yang pada amnya mempunyai daya tahan yang lemah terhadap jangkitan. (Nota: Dr. Peter Schleicher seorang pakar immunisasi di Munich. Beliau telah dipilih sebagai ahli paling muda di World Academy of Scientist)

Professor Michael Meurer – Habbatus sauda berupaya menghentikan keradangan dan masalah saraf kulit (neurodermitis). (Professor Michael Meurer, Dermatology Clinic of Munich, Germany) Telah banyak kajian yang membuktikan habbatus sauda mempunyai khasiat yang sangat banyak kepada kesihatan. Namun, bagi anda yang mengalami sakit kronik, disarankan untuk berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum mengamalkan habbatus sauda sebagai makanan tambahan harian anda.

Bagi anda yang ingin mengamalkan habbatus sauda sebagai makanan tambahan untuk mendapatkan kesihatan optimum, terdapat banyak cara untuk masukkan habbatus sauda dalam diet harian anda. Anda boleh tabur habbatus sauda di atas roti. Anda juga boleh mencampurkannya ke atas bijirin atau salad. Boleh juga ditabur pada pencuci mulut seperti kek dan ais krim. Malah, anda juga boleh menggabungkan habbatus sauda ke dalam minuman ringan atau memakannya dengan yoghurt.

Rujukan:

  1. Food NDTV
  2. Urbol
  3. Treasure Sauda
  4. Junaedi, E. (2006). Sembuhkan penyakit dengan habbatussauda (jinten hitam). AgroMedia.
  5. Osman, M. T., Hamza, A. J. A., Omar, E., & Adnan, A. (2014). The new miracle of Habbatus Sauda: its major component thymoquinone can be used in the management of autoimmune diseases. Procedia-Social and Behavioral Sciences121, 304-314.
  6. Shukri, N. A. M., Basir, S. M. A., Ibrahim, M., Ghani, R. A., Khattak, M. M. A. K., & Omar, M. N. (2018). THE KNOWLEDGE, ATTITUDE AND PRACTICE OF PROPHETIC FOODS CONSUMPTION AMONG EXCLUSIVELY BREASTFEEDING MOTHERS IN KUANTAN, PAHANG: AN EXPLORATORY STUDY. INTERNATIONAL JOURNAL OF ALLIED HEALTH SCIENCES2(1), 234-243.

Artikel Menarik Lain

Selain khasiat habbatus sauda, kami juga menulis khasiat sumber lain yang tidak diketahui ramai. Jom baca dan jangan lupa untuk share di Facebook jika artikel yang dikongsi menarik.

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Penulis: Aniuna

Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.