Ayuh ketahui bersama cara mendirikan solat sunat Ihram.

Ihram merupakan suatu keadaan khusus apabila seseorang muslim yang menjalani ibadah umrah atau haji berada dalam keadaan mematuhi beberapa pantang larang. Larangan tersebut adalah selama berada dalam keadaan ihram.

Selain itu, ihram juga merujuk pada pakaian khusus yang dikenakan sewaktu berada dalam  keadaan tersebut. Pakaian ihram untuk golongan lelaki adalah dua helai kain tanpa berjahit. Manakala bagi golongan wanita, berpakaian menutupi seluruh aurat selain wajah dan telapak tangan.

Semasa dalam berihram, terdapat beberapa hal yang menjadi sunat atau dilarang.

Solat Sunat Ihram

Solat sunat Ihram adalah solat yang disunatkan dan sangat digalakkan kepada golongan yang ingin melakukan ihram, sama ada ihram semasa menunaikan haji ataupun umrah. Namun, golongan wanita yang berada dalam haid tidak boleh mendirikan solat sunat ihram ini.

Solat sunat ini dilakukan selepas mandi sunat ihram dan memakai pakaian ihram. Selepas solat ini, bakal haji akan berniat ihram haji mahupun umrah.

Solat sunat ihram juga didirikan  sebanyak dua rakaat sebelum memulakan ihram. Lebih afdal dan lebih utama untuk solat ini dilakukan secara bersendirian. Walau bagaimapun, mendirikannya secara berjemaah tidaklah menjadi kesalahan.

Daripada Ibnu Abbas RA, daripada Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Malam tadi, datang kepada aku oleh yang datang daripada Tuhanku, ketika itu Nabi sedang berada di al-‘Aqiq, bahawa engkau hendaklah solat di wadi yang berkat ini, dan katalah, umrah dalam haji.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Lima Larangan Waktu Mendirikan Solat Sunat Ihram;

Solat sunat ihram tidak boleh dilakukan pada 5 waktu tahrim, iaitu:

  1. Selepas sembahyang subuh hingga terbit matahari.
  2. Semasa naiknya matahari hingga lebih kurang satu pertiga selepas matahari naik.
  3. Semasa matahari tegak hingga tergelincir iaitu waktu zohor.
  4. Selepas solat asar hingga terbenamnya matahari.
  5. Waktu matahari kekuningan sehingga terbenam.

Cara Mendirikan Solat Sunat Ihram

Dari aspek pergerakan, solat sunat ini adalah sama seperti solat-solat sunat yang lain. Begitu juga dengan bacaan dalam solat juga tidak disyaratkan dengan surah-surah tertentu.

Dianjurkan untuk mendirikan solat sunat ini dengan dengan niat yang ikhlas sebagai persediaan untuk memulakan ihram bagi  ibadah haji atau umrah.

Berikut adalah cara-caranya dalam mengerjakan solat sunat ini;

Niat

Niat Solat Sunat Ihram:

أُصَلَّى سُنَّةَ الْإِحْرَامِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat sunat Ihram dua rakaat kerana Allah Taala.”

  • Rakaat Pertama:
  1. Berdiri tegak dengan membaca surah al-Fatihah diikuti surah pilihan seperti al-Ikhlas.
  2. Rukuk dan sujud beserta tuma’ninah.
  • Rakaat Kedua:
  1. Membaca surah al-Fatihah dengan surah pilihan yang lain seperti  an-Nas.
  2. Rukuk, kemudian sujud dua kali dengan menjaga tuma’ninah (ketenangan) dalam setiap gerakan.
  3. Duduk untuk tahiyyat akhir dan akhiri solat dengan memberi salam seperti solat biasa.

Selepas selesai mendirikan solat sunat ihram dua rakaat, maka bolehlah berniat ihram dalam hati bergantung kepada ibadah yang ingin dilakukan sama ada haji atau umrah. Lafaz niatnya boleh juga melalui ucapan lisan mahupun lintasan hati sahaja.

Perkara Sunat Sebelum Berihram

Adalah digalakkan untuk melakukan perkara-perkara sunat yang berikut sebelum berihram :

  1. Mengerat kuku
  2. Mencukur bulu ari-ari dan ketiak
  3. Memperkemas janggut, misai dan rambut
  4. Mandi sunat ihram (jika keadaan mengizinkan)
  5. Berwudhuk
  6. Memakai minyak wangi (bagi lelaki) dan untuk jemaah wanita cukup sekadar memakai sesuatu yang menghilangkan bau badan sahaja
  7. Memakai minyak rambut
  8. Memakai ihram yang berwarna putih
  9. Solat sunat ihram

Larangan Ketika Berihram

  • Memakai pakaian bersarung/berjahit/bercantum seperti seluar, baju kemeja, stokin, kasut yang menutup jari-jari dan tumit, kain pelikat bagi jemaah lelaki
  • Menutup kepala atau sebahagian daripadanya seperti songkok, kopiah, serban, kain ihram dan sebagainya bagi golongan lelaki.
  • Menutup muka
  • Memakai Sarung Tangan  
  • Memakai wangi wangian atau bau bauan
  • Memakai minyak di kepala, janggut dan semua bulu muka selain daripada yang tumbuh di pipi dan dahi
  • Mencabut atau memotong rambut atau bulu daripada mana-mana anggota badan dengan sengaja.
  • Mengerat atau memotong kuku
  • Memotong, menebang, mengerat, mencabut pokok-pokok di Tanah Haram Makkah.
  • Memburu binatang buruan darat yang halal dimakan atau membinasakannya di Tanah Halal atau Haram
  • Melakukan pendahuluan persetubuhan
  • Melakukan persetubuhan
  • Berkahwin atau mengahwinkan atau menerima wakil kahwin.

Rujukan:

Bacaan lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.