Bagaimana caranya mendirikan solat sunat musafir? Ayuh ikuti cara solat sunat musafir.
Musafir bermaksud seseorang yang masih berada dalam perjalanan ataupun pengembaraan dari sesuatu tempat ke tempat yang lain atas tujuan tertentu.
Dari sudut pandangan Islam, musafir bermaksud perjalanan seorang hamba daripada satu tempat ke satu tempat yang lain yang melebihi dua dua marhalah ataupun sejauh 92 kilometer.
Oleh itu, sebelum memulakan perjalanan, seseorang musafir sangat digalakkan untuk mendirikan solat sunat terlebih dahulu, iaitu solat sunat musafir. Solat sunat ini bertujuan memohon perlindungan dan kemudahan daripada Allah S.W.T semasa dalam perjalanan nanti.
Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah S.A.W;
“Jika kamu keluar dari rumahmu, maka lakukanlah solat dua rakaat yang dengan ini akan menghalangimu dari keburukan yang berada di luar rumah. Jika kamu memasuki rumahmu maka lakukanlah solat dua rakaat yang akan menghalangimu dari keburukan yang masuk ke dalam rumah.”
(Hadis Riwayat al-Bazzar)
Niat Solat Sunat Musafir
“Sahaja aku solat sunat kerana bermusafir dua rakaat kerana Allah taala.”
Rakaat pertama:
1. Takbiratul Ihram berserta niat
2. Membaca surah al-Fatihah
3.Membaca surah al-Kafirun, ataupun surah lain.
Rakaat Kedua:
1. Takbiratul Intiqal (Takbir perpindahan rakaat)
2. Membaca surah al-Fatihah
3. Membaca surah al-Ikhlas dan dibolehkan membaca surah-surah lain
4. Memberi salam
5. Membaca doa musafir:
“Ya Allah, kepadaMu aku memohon dan bertawakkal. Ya Allah, permudahkanlah urusanku, senangkanlah kesusahan perjalananku, berikanlah rezeki kepadaku lebih banyak daripada yang aku minta, jauhkanlah daripadaku segala keburukan.
Ya Allah, aku memohon perlindunganMu dan peliharalah diriku, agamaku, keluargaku, kerabatku, dan nikmat-nikmat yang sudah Engkau berikan kepadaku dan pada mereka dalam hal akhirat dan dunia, dan hindarilah kami semua daripada segala keburukan, wahai Tuhan yang Maha Mulia.”
Sebaik-baiknya bacalah doa ini semasa berada dalam kenderaan atau dalam perjalanan;
“Dengan nama Allah, puji-pujian bagi Allah Maha suci Allah yang telah mempermudahkan kenderaan ini untuk kami, sedangkan kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya, dan sesungguhnya pada Tuhan kamilah, kami akan kembali.”
Setelah selesai melakukan perjalanan, dan selamat pulang ke tempat asal sebaik-baiknya dirikanlah pula solat sunat dua rakaat sebgai tanda terima kasih dan bersyukur atas tujuan yang tertunai. Solat sunat ini disunatkan didirikandi masjid atau di mana-mana tempat sebelum memasuki rumah sendiri. Hal ini sejajar dengan sunah Rasulullah S.A.W, Kaab bin Malik menceritakan;
“Rasulullah S.A.W tidak pernah datang dan berpergian melainkan pada waktu siang hari, iaitu pada waktu Dhuha. Apabila baginda kembali,maka mula-mula sekali beliau akan pergi ke masjid dan solat dua rakaat di dalamnya, kemudian duduk sebentar.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Walau di mana pun kita berada, tambahan lagi ketika dalam melakukan perjalanan sentiasalah mengharapkan pertolongan Allah S.W.T untuk selamat sampai ke destinasi. Solat sunat musafir ini adalah salah satu cara untuk kita memohon bantuan Allah agar dijauhkan daripada segala kesusahan dan kecelakaan semasa dalam perjalanan.
Semoga dengan segala rasa kehambaan, Allah menerima doa dan pengharapan kita melalui solat sunat ini. Amin.
Rujukan:
Jangan lupa untuk membaca lebih banyak artikel menarik kami seperti: