Solat sunat gerhana matahari dan bulan adalah solat yang didirikan ketika berlakunya fenomena alam yang digelar sebagai gerhana matahari (solar eclipse) dan gerhana bulan (lunar eclipse)

Ayuh ketahui bagaimana caranya untuk mendirikan kedua-dua solat sunat gerhana ini.

Maksud gerhana dan fenomena alam

Dalam Bahasa Arab, gerhana disebut sebagai ‘Khusuf’ bagi bulan dan ‘Kusuf’ bagi matahari, iaitu bermakna hilangnya cahaya bulan atau matahari.

Kusuf, bermaksud hilang atau berkurangan cahaya matahari, atau terlindung sebahagian atau keseluruhan cahayanya.

Khusuf pula bermaksud hilang atau berkurangan cahaya bulan, atau terlindung sebahagian atau keseluruhan cahayanya.

Manakala, gerhana adalah satu fenomena alam yang terjadi apabila matahari, bulan dan bumi berada pada kedudukan yang selari.

Apabila bulan berada di tengah antara matahari dan bumi, ia dinamakan gerhana matahari kerana matahari dilindungi oleh bulan.

Dan jika gerhana bulan terjadi apabila bumi berada di tengah, kerana cahaya matahari yang sepatutnya sampai kepada bulan terhalang oleh planet bumi.

Maksud solat sunat gerhana

Solat Kusuf atau Khusuf juga disebut sebagai solat sunat gerhana yang didirikan sebanyak dua rakaat seperti solat lainnya berserta khutbah.

Solat ini disunatkan didirikan sewaktu berlakunya gerhana matahari atau bulan. Solat sunat ini boleh dikerjakan bersendirian atau berjemaah.

Hukum solat sunat gerhana ini mendapat banyak perbezaan pandangan  daripada para ulama, ada sesetengahnya menyatakan hukumnya sebagai sunat muaakad, dan sebahagiannya berhukum wajib dan ada yang menetapkannya sebagai sunat tidak muakkad.

Waktu mendirikan solat gerhana matahari dan bulan

Berikut adalah waktu yang sesuai untuk anda mendirikan solat sunat gerhana matahari dan gerhana bulan:

Waktu Solat Gerhana Matahari

Solat sunat gerhana matahari

Bagi solat gerhana matahari waktunya bermula apabila berlakunya peristiwa gerhana dan berakhir dengan hilangnya gerhana itu, dan sehingga jatuh matahari dan gerhana tersebut.

Sekiranya gerhana berlaku ketika atau selepas terbenam matahari, maka tidak ada solat gerhana.

Waktu Solat Gerhana Bulan

Solat sunat gerhana bulan didirikan bermula berlakunya gerhana bulan dan berakhir dengan hilang gerhana dan naik matahari. Tidak dikira dengan naik fajar atau jatuhnya pada malam dengan gerhananya.

Sekiranya berlaku gerhana bulan ketika terbenamnya, dan sebelum terbit fajar maka dibolehkan solat. Tetapi jika terbenamnya bulan sesudah terbit fajar, terdapat dua pendapat iaitu:

  1. Qaul Qadim: Tidak ada solat gerhana kerana kekuasaan bulan telah hilang apabila terbit fajar (subuh).
  2. Qaul Jadid : Ada solat gerhana kerana kekuasaan bulan masih ada sehinggalah terbit matahari (syuruk).

Cara mendirikan solat sunat gerhana

Solat sunat gerhana matahari

Cara mengerjakan solat sunat gerhana adalah seperti berikut:

Niat Solat Sunat Gerhana Matahari

“Sahaja aku solat sunat Gerhana Matahari dua rakaat (sebagai imam/makmum) kerana Allah Taala.”

Niat Solat Sunat Gerhana Bulan

 “Sahaja aku solat sunat Gerhana Bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

Rakaat Pertama

  1. Takbiratul ihram
  2. Membaca doa iftitah
  3. Membaca surah al-Fatihah
  4. Membaca apa-apa surah. Dicadangkan membaca ayat daripada surah al-Baqarah (ayat 1-25) atau surah al-A’la (19 ayat)
  5. Rukuk (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih)
  6. Iktidal dan qiam kali kedua, seterusnya membaca surah al-Fatihah dan surah lain. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 26-48) atau surah al-Ghasyiyah (26 ayat)
  7. Rukuk sekali lagi (kali kedua) dengan membaca tasbih (90 kali tasbih)
  8. Iktidal
  9. Sujud (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih)
  10. Duduk antara dua sujud (sunat dipanjangkan tempohnya)
  11. Sujud (kedua) dan membaca tasbih (90 kali tasbih)

Rakaat Kedua

  1. Qiam dan membaca surah al-Fatihah
  2. Membaca apa-apa sahaja surah. Dicadangkan membaca ayat daripada surah al-Baqarah (ayat 49-61) atau surah asy-Syams (15 ayat)
  3. Rukuk (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih)
  4. Iktidal dan qiam keempat, membaca surah al-Fatihah dan membaca apa-apa surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 62-74) atau surah az-Zalzalah (8 ayat)
  5. Rukuk sekali lagi (kali keempat) dengan membaca tasbih (50 kali tasbih)
  6. Iktidal
  7. Sujud (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih)
  8. Duduk antara dua sujud (sunat dipanjangkan tempohnya)
  9. Sujud (keempat) dan membaca tasbih (50 kali tasbih)
  10. Membaca tahiyat akhir
  11. Memberi salam dan imam bangun menyampaikan khutbah (jika solat berjemaah)

Bacaan Tasbih Dalam Solat

Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar. Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.”

Khutbah solat sunat gerhana

Solat sunat gerhana matahari

Hukumnya adalah sunat untuk membaca khutbah selepas solat sunat gerhana matahari atau bulan ini, walaupun gerhana sudah hilang.

Khutbahnya adalah seperti khutbah hari raya tetapi tidak sunat bertakbir. Isi kandungan khutbah pula mestilah menyeru serta menyuruh para jemaah  untuk bertaubat, bersedekah, menjauahi perbuatan maksiat, tidak mengagungkan duniawi dan sebagainya.

Namun, jika solat ini didirikan oleh golongan wanita sahaja, bacaan khutbah tidak perlu dilakukan.

Kesimpulannya, solat sunat gerhana didirikan untuk menunjukkan rasa kagum dengan kejadian yang Allah ciptakan, dan bukanlah bertujuan untuk memuja, mahupun membesar-besarkan matahari atau bulan yang sedang mengalami fenomena gerhana itu.

Sekaligus, kejadian yang jarang kali berlaku ini adalah tanda peringatan Allah kepada umatnya bahawa Dia mampu mengalihkan apa-apa sahaja keadaan kepada bentuk yang luar biasa dengan kehendaknya tanpa apa-apa halangan.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah.”

Dan, sebagai hamba Allah SWT hendaklah kita sentiasa beringat bahawa Allah boleh melakukan apa-apa sahaja pada bila-bila masa pun dengan kehendak-Nya.

Dengan itu hendaklah kita sentiasa memohon keampunan daripada-Nya, sentiasa bertaubat serta menjaga diri daripada melakukan hal yang dimurka dan dilarang Allah SWT.

Selain dari cara solat sunat gerhana ini, anda juga boleh baca artikel tips kami yang lain berkenaan panduan solat seperti:

Sumber:

  1. Gerhana Bulan dan Matahari 2023. Falak Online
  2. Solat Gerhana Bulan: Niat & Panduan Lengkap Solat. Taqwa.My
  3. Solat Gerhana Matahari Lengkap Dalam Rumi (Bergambar). Taqwa.My

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.