Jom ketahui tentang solat sunat rawatib.

Setiap ibadah sunnah sangat dituntut bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT dan untuk mendapat redaNya. Antara ibadah sunat yang amat diajak dan digalakkan oleh Rasulullah SAW adalah solat sunat rawatib ataupun lebih dikenali sebagai solat sunat Qobliyah Ba’diyah.

Dari Ibnu Umar bahawa;

“Rasulullah SAW tidak meninggalkan solat sunat 10 rakaat iaitu dua rakaat sebelum zuhur, 2 rakaat sesudahnya zuhur,dua rakaat selepas maghrib, dua rakaat selepas isyak dan dua rakaat sebelum solat subuh.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Juga perkara yang sama diungkapkan oleh Rasulullah  SAW dalam riwayat yang lain. Dari Aisyah r.a, Baginda bersabda;

“Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan  solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; empat rakaat sebelum solat zuhur dan dua rakaat selepas zuhur, serta dua rakaat sesudah maghrib, dua rakaat  selepas isyak dan dua rakaat lagi sebelum solat subuh.”

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Maksud dan Jenis Solat Sunat Rawatib

Solat sunat rawatib sebenarnya datang dari perkataan ‘Raatib’ yang membawa makna ‘berterusan’. Hal ini kerana solat rawatib dilakukan seiring, sebelum mahupun selepas solat fardu.

Antara sebab kita digalakkan mendirikan solat sunat ini adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT,  selain dapat menampung sebarang kecacatan dalam solat-solat fardu.

Terdapat dua jenis solat sunat rawatib iaitu;

  1. Solat sunat Qobliyyah: solat sunat yang didirikan sebelum solat fardu
  2. Solat sunat Ba’diyyah: solat sunat yang didirikan selepas solat fardu

Hukum Melaksanakan Solat Sunat Rawatib

Pada setiap waktu solat fardu sunat rawatib boleh dilakukan, terdapat hukum yang berbeza sama ada muakkad (dituntut) atau tiada muakkad (tidak dituntut).

Pembahagian Solat Sunat Rawatib

Solat sunat rawatib dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ‘Muakkad’ dan ‘Ghairu Muakkad’. Sunat Muakkad bermaksud sunat yang sangat dituntut manakala sunat Ghairu Muakkad pula bermaksud sunat yang tidak dituntut. Berikut adalah pembahagiannya:

Solat Sunat Muakkad atau solat sunat rawatib yang dituntut ialah:

  1. Dua rakaat sebelum Subuh
  2. Dua atau empat rakaat sebelum zuhur
  3. Dua rakaat (dari empat rakaat) selepas zuhur
  4. Dua rakaat selepas maghrib
  5. Dua rakaat selepas solat isyak

Solat rawatib Ghairu Muakkad atau solat sunat rawatib yang tidak dituntut pula ialah:

  1. Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) sebelum zuhur
  2. Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) selepas zuhur
  3. Empat rakaat sebelum asar
  4. Dua rakaat sebelum maghrib
  5. Dua rakaat sebelum isyak

Cara Menunaikan Solat Sunat Rawatib

Solat sunat rawatib dilakukan dua rakaat sama seperti solat sunat yang lain, cuma perbezaannya adalah dari segi bacaan niat, surah dan juga doa.

Solat Sunat Qobliyyah

  1. Niat

أصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ قَبْلِيَةً رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

“Sahaja aku menunaikan solat sunat sebelum (Zuhur/Asar/Isyak/Subuh) dua rakaat, kerana Allah Taala.”

  1. Rakaat pertama: Surah al-Fatihah, diikuti dengan surah al-Kafirun.
  2. Rakaat kedua; Surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas. Namun, bergantung untuk membaca surah yang bersesuaian.
  3. Sirikan solat sunat ini seperti solat sunat dua rakaat yang lain.
  4. Selesai solat sunat, barulah dikerjakan solat zuhur.

 

Solat Sunat Ba’diyyah

Sesudah selesai solat fardu zuhur dan selepas bacaan wirid dan doa, berdiri lagi untuk mengerjakan solat sunat rawatib Ba’diyyah.

  1. Niat

أصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ قَبْلِيَةً رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

“Sahaja aku menunaikan solat sunat selepas (Zuhur/Maghrib/Isyak) dua rakaat, kerana Allah Taala.”

  1. Cara mengerjakannya sama seperti solat sunat dua rakaat yang lain.

Perkara yang Perlu Diberi Perhatian Dalam Solat sunat Rawatib

  1. Berniat mengikut solat sunat rawatib yang ingin anda lakukan.
  2. Solat sunat rawatib tidak perlukan azan dan iqamat.
  3. Solat dilakukan bersendirian, tidak boleh menjadi imam dan makmum.
  4. Bacaan dalam solat tidak dikuatkan.
  5. Jika lebih daripada dua rakaat, haruslah dibuat dengan dua rakaat satu kali salam.
  6. Sebaik-baiknya, solat sunat ba’diyyah dilakukan di tempat yang lain daripada tempat solat fardu sebelumnya.
solat sunat rawatib
Imej via [islamituindah]

Fadhilat Setiap Solat Sunat Rawatib

  1. Solat Sunat Qobliyyah Subuh

“Dua rakaat solat subuh lebih aku sukai daripada dunia dan seisinya”

(Hadis Riwayat Muslim)

  1. Solat Sunat Qobliyyah/Ba’diyyah Zuhur

“Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas zuhur sebanyak empat rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka.”

 (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

 

“Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat zuhur empat rakaat.”

 (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

  1. Solat Sunat Qobliyyah Asar

“Sesiapa yang solat sunat sebelum asar empat rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka.”

(Hadis Riwayat at-Tabrani)

Sesungguhnya solat sunat rawatib ini merupakan solat yang sangat dituntut untuk dikerjakan serta dijanjikan ganjaran yang besar oleh Allah SWT. Bahkan waktu untuk mengerjakannya jugak tidaklah sukar, iaitu boleh dilakukan seiring dan bersama-sama dengan solat fardu yang lain (selain waktu yang diharamkan untuk solat).

Oleh itu, keraplah untuk melazimi solat sunat ini supaya kita tidak tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi. Amin…

Doa Yang Sesuai Dibacakan Selepas Solat Sunat Rawatib

Sebenarnya tidak ada sebarang dalil pengkhususan tentang doa selepas sunat rawatib daripada Rasulullah S.A.W. Namun begitu, bolehlah berdoa memohon agar diampunkan dosa, kejayaan dunia dan akhirat dan dikabulkan segala hajat.

Itulah dia panduan solat sunat rawatib yang boleh anda rujuk dan pelajari. Semoga panduan ini bermanfaat buat anda! Jom baca juga jenis solat qiyamullai, cara solat tahajud, cara solat dhuha dan cara solat taubat.

Rujukan:

  1. Solat Sunat Rawatib (Panduan Lengkap). (link)
  2. Solat Sunat Rawatib (link)
  3. Solat Sunat Rawatib Yang Mu’Akkad dan Tidak Mu’akkad.muftiwp

Penulis: zulrina

Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.