Ayuh ketahui cara solat unat Isyraq.

Solat Sunat Isyraq adalah solat dua rakaat yang dilakukan ketika matahari tinggi kira-kira segalah, iaitu selepas waktu yang diharamkan solat. Ini bermaksud waktunya antara jam 7.00 pagi sehingga 7.30 pagi. Pendek kata, Solat Sunat Isyrak dilaksanakan pada awal waktu Dhuha.

Tempoh solat ini juga sangat singkat iaitu lebih kurang 12 minit selepas syuruk (terbit matahari) sehingga masuknya waktu Dhuha. Hikmahnya jarak masa ini agar tidak menyamai golongan  yang menyembah matahari.

Rasulullah S.A.W sangat menggalakkan umatnya agar melazimi solat sunat ini, iaitu selepas mengerjakan solat Subuh secara berjemaah atau beriktikaf di masjid.

Baginda juga mengingatkan akan pahala besar bagi golongan yang melaksanakan ibadah tersebut. Sabda Baginda:

“Sesiapa yang melakukan solat Subuh secara berjemaah kemudian dia duduk berzikir kepada Allah hingga terbit matahari kemudian dia bersolat dua rakaat maka dia akan mendapat pahala seperti pahala mengerjakan haji dan umrah. Berkata Rasulullah S.A.W ‘Secara sempurna, sempurna, sempurna’.”

(Hadis  Riwayat Tirmidzi dan Tabrani)

Cara Mengerjakan Solat Sunat Isyraq

Niat Solat Sunat Isyraq

“Sahaja aku solat sunat Isyraq dua rakaat kerana Allah Taala.”

Rakaat Pertama

1. Pada rakaat pertama, bacalah surah al-Fatihah

2. Membaca surah al-Kafirun, al-A’la atau  surah-surah lain daripada  al-Quran

Rakaat Kedua

  1. Membaca surah al-Fatihah
  2. Membaca surah al-Ikhlas atau al-Fil mahupun apa-apa surah lain

Doa Solat Sunat Isyraq

Sangat dianjurkan untuk membaca doa ini selepas selesai memberi salam:

“Segala puji kembali pada Allah, yang telah menjadikan hari ini sejahtera dan telah terbit matahari dari tempat terbitnya. Ya Allah, berilah aku kebaikan hari ini dan jauhkan daripadaku keburukan hari ini. Ya Allah, terangilah hatiku dengan cahaya hidayahMu sebagaimana telah Engkau terangi bumi dengan cahaya matahariMu terus-menerus dengan rahmatMu, Ya Tuhan Yang Maha Pengasih.”

Penutup: Solat Sunat Isyraq Sebagai Tanda Kesyukuran

Solat sunat  dilakukan sebagai tanda syukur kepada Allah S.W.T atas pelbagai limpahan rezeki dan nikmat, termasuklah Solat Sunat Isyraq ini.

Jadi sebagai hamba Allah yang sentiasa mendambakan keredaan-Nya mestilah menjadikan solat-solat sunat sebagai cara untuk mensyukuri kesempatan bertaubat, ataupun menggunakan peluang ini sebagai tanda berterima kasih kepada Allah S.W.T dalam menikmati kehidupan di dunia ini.

Rujukan:

  1. Shafiqolbu
  2. Jabatan Mufti Negeri Terengganu

Jom baca lebih banyak artikel menarik lain iaitu Solat Jenazah dan Solat Sunat Tasbih

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.