Kulit kusam dan tidak bermaya menyebabkan seseorang itu kelihatan tidak bersemangat dan kurang daya tarikan. Keyakinan diri pun boleh terganggu! Mari ketahui punca kulit kusam terutamanya kulit muka yang kelihatan tak bermaya.
Kulit yang sihat mengandungi komposisi sebum (minyak) yang seimbang, kelembapan yang tinggi, liang pori yang mengecil dan licin.
Masalah kulit seperti kulit kering, jerawat, acne, pengelupasan, berminyak dan kusam menjadikan penampilan seseorang tidak menarik. Hal ini banyak dikaitkan dengan gaya hidup dan penjagaan kebersihan wajah.
Terdapat juga mereka yang mudah hilang rasa keyakinan diri dan berhadapan dengan tekanan emosi apabila kulit wajah mereka mengalami masalah-masalah kulit yang disebutkan tadi. Sekalipun tidak mempunyai kulit muka yang licin bak telur yang dikupas, kebersihan wajah boleh dinilai dengan penampilan kulit yang anjal dan tidak kusam.
Untuk mengetahui langkah rawatan atau pencegahan yang terbaik bagi menangani masalah kulit kusam ini, punca kulit kusam perlulah diketahui. Berdasarkan ulasan dan laporan oleh pakar dermatologi dan perubatan, berikut merupakan punca kulit kusam yang harus anda ketahui:
Keadaan dehidrasi atau masalah kekurangan air akan menyebabkan penurunan isipadu aliran darah ke bahagian kulit yang mengakibatkan penampilan kulit yang pucat dan kusam.
Malah, jika keadaan dehidrasi ini berlanjutan, kulit anda akan mengalami masalah kulit yang lain. Contohnya:
Keadaan kulit kering akan menyebabkan pengumpulan sel kulit mati pada permukaan kulit. Oleh itu, anda disarankan untuk mencuci muka DAN melakukan proses pengelupasan “exfoliating” sendiri.
Proses exfoliating ini bertujuan menyingkirkan lapisan kulit mati yang terbentuk pada permukaan kulit sehingga menjadi punca kulit kusam.
Terdapat dua jenis cara exfoliating iaitu secara kimia (menggunakan produk krim di pasaran) dan secara fizikal (scrub atau berus pembersih). Dinasihatkan, anda elakkan daripada melakukan kedua-dua jenis exfoliating secara serentak.
Penyingkiran kulit mati seterusnya akan menjadikan kulit lebih cerah.
Selain itu, masalah kulit tidak lembab apabila anda jarang menggunakan krim pelembab boleh menyebabkan masalah kulit kusam.
Kebanyakan bahan krim pelembab di pasaran akan mengisi lapisan kulit dengan lemak semula jadi dan lipid untuk memberikan rasa dan permukaan yang lembut.
Walaupun tidak mempengaruhi secara fizikal, tekanan perasaan sebenarnya boleh menyebabkan masalah kulit kusam secara tidak langsung.
Sebenarnya, apabila kita berada dalam keadaan tertekan, sejenis hormon yang bernama kortisol akan dirembeskan oleh otak. Kandungan kortisol ini akan menyebabkan gangguan aliran darah ke bahagian kulit terganggu.
Di samping itu, hormon kortisol ini dilaporkan mempengaruhi proses penyembuhan kulit semula jadi dan melambatkan pembentukan sel kulit yang baru.
Berdasarkan kajian, kita perlu mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi selama 6-8 jam pada setiap malam.
Ketika kita tidur, sistem tubuh badan akan menggunakan masa ini untuk membaiki mana-mana keadaan sel yang tidak sihat dan menyumbang kepada penghasilan sel yang baru.
Antara kesan tidur yang tidak cukup ialah penampilan kulit yang kusam. Semakin lama anda tidak mendapat tidur yang mencukupi dan berkualiti, semakin rendah kecekapan kulit untuk kembali anjal dan sihat.
Pencemaran yang berlaku boleh menyebabkan kulit kusam dengan serangan bahan pencemar ini mengganggu kesihatan kulit.
Selain itu, faktor seperti kelembapan yang rendah pada cuaca panas terik, kawasan berangin kuat, kawasan industri dan pendedahan sinar UV yang tinggi akan menjadikan kulit semakin tidak dilindungi.
Dalam satu kajian, perbandingan kulit wanita yang tinggal selama 20 tahun di bandar dan di kawasan kampung telah dibandingkan. Persekitaran kampung yang lebih segar dan kurang bahan pencemar menunjukkan kualiti kesihatan kulit yang lebih baik.
Sudah terang lagi bersuluh, tabiat merokok boleh menyebabkan ancaman kesihatan secara keseluruhan dalam jangka masa pendek dan panjang.
Bahan karsinogenik yang terkandung dalam rokok menimbulkan gangguan kepada struktur dan kesihatan sel kulit. Penguraian kolagen akan berlaku dengan kehadiran asap rokok, seterusnya menyebabkan kulit kurang anjal dan mudah berkedut yang menjadi punca kulit kusam.
Hal ini telah diuji secara klinikal oleh para penyelidik dari Hospital Universiti Kebangsaan Seoul, Korea Selatan pada tahun 2001.
Antara punca kulit kusam lain yang boleh dikaitkan dengan masalah kulit ini secara tidak langsung adalah seperti:
Ringkasnya, antara punca kulit kusam ialah kekurangan air dehidrasi, masalah kulit, tekanan perasaan, kurang tidur, persekitaran yang kotor, tabiat merokok dan lain-lain faktor.
Masalah kulit kusam ini boleh menjadi penanda awal kepada kualiti dan kesihatan tubuh badan secara keseluruhan. Dengan gaya hidup yang sihat dan diet yang seimbang, anda boleh mendapatkan kulit yang sihat dan manfaat kesihatan yang lain bagi seluruh tubuh. Jemput juga abca artikel kulit cantik semulajadi dan petua kulit muka glowing