Ketika kita bangun untuk berdiri atau meregangkan kaki, tiba-tiba lutut menghasilkan bunyi ‘pop.’ Apakah punca lutut berbunyi? Adakah lutut berbunyi ada kaitan dengan masalah lutut atau tulang?

Ketahui dengan lebih mengenai punca lutut berbunyi menerusi pembacaan artikel ini.

Pengenalan

Lutut merupakan sendi terbesar manusia yang bertujuan menghubungkan peha dengan betis ibarat “engsel pintu” untuk memudahkan pergerakan kaki.

Masalah lutut seperti sakit sendi, sengal dan lutut berbunyi ini sering dikaitkan dengan individu lanjut usia. Menurut laporan penyelidik di Fakulti Perubatan, University of Rzeszów di Poland pada tahun 2007, 1 daripada setiap 10 penghuni pusat rehabilitasi dan rawatan fisioterapi adalah dalam kalangan mereka yang mengalami masalah sakit lutut.

Di samping itu, lutut berbunyi sebagai antara masalah berkaitan sakit lutut banyak dilaporkan terjadi kepada mereka dalam usia pertengahan dan warga emas melebihi umur 65 tahun ke atas.

Namun, lutut berbunyi boleh terjadi ke atas sesiapa sahaja seawal usia 3 hingga 5 tahun apabila tulang lutut mengeras sepenuhnya daripada kartilaj lembut dan terdedah kepada risiko sakit lutut.

Bunyi “pop” yang terhasil semasa lutut anda diregangkan adalah disebabkan oleh regangan pada otot yang dikenali sebagai popliteus tendon. Otot ini terlekat antara kepala lutut dengan tulung femur (peha).

Imej via Bidadari

Punca Lutut Berbunyi

Berdasarkan kajian oleh penyelidik di Pusat Perubatan Universiti Baylor, Dallas, Texas pada tahun 1999, kes melibatkan lutut berbunyi sebenarnya boleh berlaku dalam kalangan individu yang masih muda dan sihat.

Huraian lanjut mengenai punca lutut berbunyi adalah seperi berikut:

1. Lutut Berbunyi Tanpa Rasa Sakit

Seringkali apabila anda bingkas bangun atau ketika solat, satu bunyi “pop” kedengaran dari lutut tetapi anda tidak rasa sebarang kesakitan.

Hal ini mungkin terjadi disebabkan kehadiran gelembung udara di kawasan kepala lutut. Gelembung udara ini terhasil melalui perbezaan tekanan pada bendalir yang dikenali sebagai bendalir sinovial di kawasan lutut.

Aktiviti pergerakan dan lipatan lutut memecahkan gelembung udara ini yang menjadi punca lutut berbunyi. Faktor ini bukanlah sesuatu yang agak membahayakan atau merisaukan.

2. Aktiviti Fizikal Berat dan Latihan Intensif

Kajian di Universiti Baylor tersebut turut mengulas berkenaan masalah lutut berbunyi dalam kalangan atlet. Ini disebabkan oleh aktiviti harian atlet yang berlatih dan bertanding dalam acara yang melibatkan aktiviti fizikal intensif.

Hal ini menyebabkan mereka lebih mudah berisiko untuk mengalami masalah sakit lutut dan otot yang terkoyak. Sebagaimana yang dimaklumkan tadi, otot popliteus tendon merupakan otot sensitif di bahagian lutut yang mengeluarkan bunyi “pop” apabila diregangkan dalam keadaan lutut yang sakit.

3. Kemalangan atau Terjatuh

Hentakan dan impak kesan daripada kemalangan atau trauma objek berat akan menyebabkan masalah lutut seperti kepala lutut pecah, retak tulang lutut dan otot terkoyak.

Selain itu, kedudukan tulang lutut dan kartilaj atau dikenali sebagai rawan lutut boleh teralih berpindah kedudukan daripada tempat yang sepatutnya.

Hal ini akan menyebabkan berlakunya lutut berbunyi. Bunyi “pop” yang terhasil boleh berlaku serta-merta ketika anda terjatuh dengan impak yang sangat kuat. Seterusnya, lutut akan berbunyi setiap kali anda meregangkan kaki.

Tambahan, kerosakan saraf di bahagian lutut akibat kemalangan itu akan mendatangkan rasa sangat sakit dan membataskan pergerakan.

4. Arthritis Keradangan Sendi

Penyakit arthritis berpunca daripada bengkakan dan ketegangan pada kawasan sendi. Masalah ini makin teruk dalam kalangan mereka yang berusia terutamanya yang berumur 50 tahun ke atas.

Disebabkan lutut merupakan sendi yang paling besar, keradangan sendi akan menyebabkan masalah sakit lutut yang disertai dengan gejala lutut berbunyi.

Khusus bagi penyakit arthritis di kawasan lutut, keadaan ini berlaku apabila kartilaj rawan pada kepala lutut mula menipis dan bergesel dengan tulang-tulang bersebelahan. Pengeluaran bunyi lutut ketika penggeseran ini berlaku dikenali sebagai “crepitus” oleh pakar-pakar perubatan.

5. Gejala Chondromalacia Patella

Chondromalacia ialah keadaan kartilaj yang menipis dan mula lembut pada permukaan patella (kepala lutut).

Jika arthritis banyak menyerang individu yang berusia, masalah kesihatan chondromalacia ini banyak dilaporkan dalam kalangan remaja dan belia yang aktif bersukan. Chondromalacia ini juga merupakan gejala biasa yang dialami oleh penghidap arthritis.

Keadaan ini menyebabkan geselan antara patella dengan tulang femur (peha). Sindrom ini turut dikenali sebagai “runner’s knee” yang banyak dialami oleh mereka yang gemar melakukan aktiviti marathon dan larian.

Pada peringkat usia muda, tubuh badan masih boleh membaiki masalah penipisan dan kekurangan rawan ini.

Imej via Bidadari

6. Koyakan pada Meniskus

Meniskus ialah lapisan kartilaj rawan yang melindungi permukaan tulang tibia (pada betis). Koyakan atau kecederaan di bahagian ini akan menyebabkan kesakitan setiap kali tulang lutut bergerak terutamanya ketika bangun atau berjalan.

Otot ini boleh tercedera dengan sebarang hentaman atau serangan fizikal pada bahagian betis, contohnya aktiviti bola sepak, lompat jauh atau terjatuh di kawasan berkenaan.

Bunyi “berkerutup” dan lebih perlahan berbanding bunyi “pop” menandakan bahawa terdapat koyakan pada otot meniskus.

Kesimpulan

Ringkasnya, punca lutut berbunyi adalah disebabkan oleh sebarang perubahan atau kecederaan yang berlaku pada bahagian otot kepala lutut dan sekitar. Dari segi kecederaan, terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkannya seperti aktiviti fizikal yang berat, sukan lasak dan kemalangan.

Selain itu, penipisan kartilaj rawan menyebabkan tulang lutut dan kaki saling bergeser yang turut boleh menjadi punca lutut berbunyi.

Waspada semasa melakukan aktiviti fizikal yang berat beserta penjagaan diri dan gaya hidup yang sihat merupakan kunci utama untuk mengelakkan daripada masalah lutut dan lutut berbunyi ini. Jemput juga baca artikel tentang punca lutut sakit , punca hilang selera makan dan punca hidung tersumbat

Rujukan

  1. Barnes, C. L., & Scott, R. D. (1995). Popliteus tendon dysfunction following total knee arthroplasty. The Journal of arthroplasty10(4), 543-545. (link)
  2. Cooper, D. E. (1999). Snapping popliteus tendon syndrome. The American Journal of Sports Medicine27(5), 671-674. (link)
  3. Pennington, B. I. L. L. (2008). Avoiding the dreaded knee “pop.”. The New York Times, D4. (link)
  4. Pop, T., Szczygielska, D., & Druzbicki, M. (2007). Epidemiology and cost of conservative treatment of patients with degenerative joint disease of the hip and knee. Ortopedia, traumatologia, rehabilitacja9(4), 405. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.