Masalah lenguh kaki atau dipanggil “sore feet” telah membataskan pergerakan dan aktiviti harian kita. Ada banyak punca lenguh kaki daripada berdiri terlalu lama sehinggalah kepada serangan penyakit tertentu. Ketahui punca lenguh kaki dan penerangannya melalui pembacaan artikel ini. Jom baca.

Pengenalan

Kaki merupakan antara bahagian badan yang penting untuk pergerakan manusia. Kita berdiri, berjalan dan berlari dengan dua kaki yang stabil.

Tulang manusia yang paling besar terletak di bahagian peha yang dikenali sebagai femur dengan panjang hampir 20 inci. Di bahagian betis pula terdapat dua tulang utama yang saling menyokong iaitu tibia dan fibula. Tapak kaki pula seperti tapak tangan dengan tulang-tulang dikenali sebagai tarsal dan metatarsal.

Kulit di bahagian tapak kaki adalah paling tebal berbanding kawasan permukaan kulit tubuh yang lain. Ketebalan kulit ini membantu melindungi kaki apabila memijak sesuatu dan menghalang kemasukan parasit dari tanah.

1. Aktiviti Fizikal

Bagi mereka yang kerap melakukan aktiviti fizikal terutamanya yang melibatkan penggunaan kaki yang utama, terdapat satu keadaan kesihatan yang dipanggil delayed onset muscle soreness (DOMS) dialami oleh mereka.

DOMS ini merupakan rasa lenguh dan sengal kaki yang hanya akan dirasakan 1 ke dua hari selepas aktiviti fizikal tersebut berlaku. Kelenguhan kaki akan paling terasa pada fasa permulaan aktiviti senaman tersebut kerana badan kita belum membiasakan diri dengan aktiviti fizikal yang berat secara tiba-tiba.

Selepas beberapa tempoh waktu, rasa lenguh kaki itu masih juga menyerang tetapi tidaklah seteruk seperti pada fasa permulaan. Di samping itu, keamatan dan durasi tempoh aktiviti fizikal akan menentukan tahap kelenguhan kaki tersebut.

Kajian daripada penyelidik Pusat Penyelidikan Prestasi Atlet New Zealand ada tahun 2003 mengaitkan punca lenguh kaki para atlet yang disebabkan faktor seperti:

  • pengumpulan asid laktik akibat respirasi anaerobik
  • kekejangan otot
  • kerosakan tisu penghubung
  • kerosakan otot
  • masalah keradangan
  • aliran keluar enzim

Selain itu, antara aktiviti melibatkan fizikal kaki yang mempunyai kesan DOMS dan lenguh kaki ialah:

  • larian marathon
  • senaman kecergasan di gym
  • jogging
  • lari pecut
  • sukan bola sepak
  • menari

2. Kekurangan Kalsium dan Zat Besi

Sebarang perubahan pada tubuh dan rasa tidak selesa merupakan respon tubuh terhadap apa-apa nutrien yang diperlukan.

Khusus untuk punca lenguh kaki, antara kemungkinannya ialah badan kita kekurangan mikronutrien seperti kalsium dan zat besi. Disebabkan kaki terdiri daripada tulang-tulang yang bersaiz besar, masalah kekurangan kalsium dan zat besi untuk menyokong kepadatan tulang boleh memberikan rasa lenguh kaki.

Oleh itu, disarankan untuk mendapat sumber kalsium dan zat besi melalui diet seimbang dalam susu, sayuran hijau dan buah-buahan.

3. Jangkitan Kuman

Gejala lenguh kaki mungkin menjadi petanda kepada berlakunya jangkitan di kawasan kulit kaki atau saluran darah.

Saluran darah yang tersumbat juga boleh menyebabkan rasa kebas dan lenguh kaki. Selain jangkitan kuman, saluran darah tersumbat ini boleh disebabkan oleh faktor fizikal yang lain seperti berdiri atau duduk terlalu lama.

4. Kandungan Kolesterol Tinggi Dalam Darah

Selain menyerang organ jantung, kandungan kolesterol yang tinggi boleh menyebabkan punca lenguh kaki. Lebih membahayakan, keadaan ini boleh menyebabkan penyakit arteri periferal (peripheral artery disease, PAD). Bagi pesakit PAD, menurut laporan, hampir 20% daripada mereka akan mengalami masalah sakit jantung pula.

Selain mendatangkan rasa tidak selesa dan punca lenguh kaki, kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah boleh mengakibatkan gejala lain seperti:

  • rasa sakit keseluruhan kaki dari peha ke tapak kaki
  • kaki terasa berat
  • tidak boleh berjalan dalam tempoh yang lama
  • kekejangan kaki sewaktu tidur
  • bulu kaki gugur
  • kulit dan kuku kaki bertukar warna menjadi pucat
  • kuku makin tebal dan lambat panjang
  • kebas kaki

5. Pertambahan Usia

Masalah lenguh kaki akan meningkat seiring dengan pertambahan usia. Sekumpulan penyelidik bersama dari Maryland, Amerika Syarikat dan Firenze, Itali pada tahun 1995 melaporkan pemerhatian mereka berkenaan punca lenguh kaki disebabkan usia ini.

Kajian tersebut melibatkan 775 warga emas berusia 65 tahun dan ke atas yang didapati sering mengalami sakit kaki terutamanya lenguh kaki. Perubahan sistem badan dari segi keadaan tulang dan patologi sel menyebabkan faktor penuaan ialah punca lenguh kaki yang tidak dapat dielakkan.

6. Masalah Kencing Manis Diabetes

Bagi pesakit kencing manis, kandungan gula dalam darah mereka adalah tidak terkawal. Hal ini telah memberi kesan atas fungsi sistem tubuh secara keseluruhan.

Antara yang berkaitan dengan punca lenguh kaki ialah apabila keadaan ini menyebabkan kerosakan saraf pada bahagian kaki. Di samping itu, kandungan gula yang tinggi mengakibatkan saluran darah tersumbat lalu menyebabkan kebas dan lenguh kaki.

Individu obes turut dikaitkan dengan masalah ini kerana masalah kegemukan merupakan antara punca peningkatan kandungan gula dan kolesterol. Seterusnya, lenguh kaki terjadi sebagai antara gejala penyakit-penyakit tersebut.

Kesimpulan

Antara punca lenguh kaki yang diringkaskan ialah aktiviti fizikal, kekurangan diet kalsium dan zat besi, jangkitan kuman, kandungan kolesterol tinggi, pertambahan usia, penyakit kencing manis dan masalah obesiti.

Untuk merawat dan mencegah punca lenguh kaki ini, kita boleh mengubah gaya hidup dan melakukan aktiviti fizikal secara berpada-pada. Namun, jika masalah lenguh kaki ini berlarutan dan mendatangkan rasa tidak selesa, berjumpalah dengan pakar perubatan dengan kadar yang segera.

Semoga bermanfaat! Jemput juga baca artikel:

Rujukan

  1. Healthline
  2. Benvenuti, F., Ferrucci, L., Guralnik, J. M., Gangemi, S., & Baroni, A. (1995). Foot pain and disability in older persons: an epidemiologic survey. Journal of the American Geriatrics Society43(5), 479-484.(link)
  3. Cheung, K., Hume, P. A., & Maxwell, L. (2003). Delayed onset muscle soreness. Sports medicine33(2), 145-164. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.