Mencari punca leher hitam? Leher yang hitam atau berkerak boleh mendatangkan rasa tidak selesa dan penampilan yang kurang menyenangkan. Ada yang berpendapat bahawa tanda leher hitam ini memberi petunjuk kepada beberapa jenis penyakit seperti kencing manis, jangkitan kulat atau masalah kulit.

Sejauh manakah kebenaran dakwaan ini? Ayuh ketahuinya bersama punca leher hitam dengan terus membaca artikel ini.

Pengenalan

Dari segi perubatan, masalah leher hitam ini dikenali sebagai acanthosis nigricans. Keadaan leher hitam ini dicirikan sebagai tekstur kulit yang gelap, kasar dan tebal.

Antara bahagian kulit yang boleh berlaku masalah kehitam kulit acanthosis nigricans ini ialah:

  • leher
  • ketiak dan pangkal lengan
  • siku
  • celah kawasan alat sulit
  • kawasan pusat
  • sekitar kepala lutut

Dari segi klinikal, sampel kulit hitam yang diambil menunjukkan keadaan papillomatosis (ketumbuhan kecil yang tidak merebak) dan hyperkeratosis (penebalan lapisan luar kulit dengan protein yang dipanggil keratin) pada permukaan kulit tersebut.

Masalah Leher Hitam Acanthosis Nigricans Masalah Seluruh Dunia

Fenomena leher hitam atau kulit acanthosis nigricans ini pertama kali direkodkan pada tahun 1891. Dalam sesebuah komuniti, laporan kes berkaitan masalah kulit ini adalah sekitar 7-74%.

Fenomena ini sering dikaitkan dengan umur, bangsa, jenis, tahap obesiti dan sistem imun seseorang. Masalah ini paling banyak dijumpai dalam kalangan masyarakat natif Amerika, Afrika-Amerika, Latina dan bangsa kulit putih kaukasian. Dilaporkan juga, kes leher hitam lebih banyak berlaku dalam kalangan perempuan kulit hitam berbanding kulit putih.

Pertumbuhan dan kemunculan kesan hitam pada kulit ini tidak bersifat barah atau merebak.

Imej via Phiske (2014)

Sejarah Nama Acanthosis Nigricans

Kisah ini dipetik daripada artikel kajian ulasan saintifik yang ditulis oleh pakar dari New Jersey Medical School pada tahun 1994.

Pada Julai 1889, seorang wanita berusia 62 tahun bertemu pakar kulit di Klinik Swasta Paul Gerson Unna di Hamburg, Jerman. Beliau mengadu masalah pembentukan tompokan hitam seakan daki yang berlaku di bahagian leher, tengkuk, mulut dan kawasan alat sulit.

Keadaan ini diberi nama acanthosis nigricans yang berasal dari perkataan Greek untuk acantho = duri, manakala nigricans dari bahasa Latin yang bermaksud menjadi hitam.

Menjelang tahun 1909, hampir 50 pesakit didiagnos dengan keadaan acanthosis nigricans ini. Kesemua mereka memiliki persamaan menghidapi penyakit ketumbuhan kanser di bahagian abdomen atau usus.

Oleh itu, gejala ini menjadi ukuran awal bagi petanda penyakit kanser bagi pakar perubatan zaman dahulu. Kini, gejala ini tidak semestinya dikaitkan dengan pembentukan sel kanser, tetapi boleh jadi berpunca daripada faktor-faktor tertentu.

Jenis- jenis Acanthosis Nigricans beserta Punca Leher Hitam

Menurut pakar dermatologi Hospital Umum Mumbai pada tahun 2014 yang menerbitkan kajian ulasannya mengenai masalah leher hitam dan acanthosis nigricans ini, masalah kulit ini boleh dikelaskan kepada beberapa jenis mengikut punca penyebabnya seperti berikut:

Imej via Phiske (2014)

1. Leher Hitam yang Berpunca daripada Masalah Obesiti Kegemukan

Obesiti atau kegemukan merupakan punca utama bagi masalah leher hitam. Sebarang perubahan tisu atau permukaan kulit disebabkan acanthosis nigricans ini boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur mereka yang obesiti, tetapi lebih menonjol dalam kalangan golongan dewasa.

Mengikut statistik, lebih separuh daripada individu dewasa yang mempunyai berat >200% daripada berat ideal mereka akan mengalami masalah leher hitam atau acanthosis nigricans.

2. Acanthosis Nigricans Disebabkan Ubatan

Imej via Bidadari

Hal ini terjadi disebabkan kesan sampingan pengambilan ubatan moden tertentu. Jenis ubatan yang menyebabkan hyperinsulinemia atau peningkatan kadar insulin yang tinggi dalam tubuh akan mengakibatkan keadaan ini.

Kesan luka kecil atau melepuh akibat acanthosis nigricans pada permukaan kulit hitam ini akan berlanjutan walaupun pengambilan ubat tersebut telah dihentikan.

3. Sindromik – Terhasil sebagai Gejala Penyakit Tertentu

Leher hitam atau kawasan acanthosis nigricans pada kulit boleh jadi merupakan manifestasi kepada serangan penyakit tertentu. Permukaan kulit hitam ini hadir sebagai salah satu gejala bagi penyakit tersebut.

Terdapat dua jenis penyakit yang menunjukkan gejala leher hitam, iaitu:

  1. Gejala hiperandrogenemia apabila hormon steroid menjadi semakin banyak melebihi tahap normal. Jenis penyakit ini dipanggil Jenis A.
  2. Jenis B pula merupakan gejala yang ditunjukkan oleh pesakit yang mempunyai masalah kencing manis, sindrom polisistik ovari (PCOS) atau penyakit autoimun.

4. Berpunca daripada Tindakan Autoimun

Disebabkan perkembangan antibodi terhadap reseptor insulin, hal ini telah menyebabkan berlakunya acanthosis nigricans atau punca leher hitam.

Antara penyakit atau masalah kesihatan yang menyebabkan masalah ini ialah lupus. Sistem pertahanan badan menyerang diri sendiri berbanding menyerang patogen luar.

5. Familial Acanthosis Nigricans (faktor genetik)

Imej via Bidadari

Jenis acanthosis nigricans ini tiada kaitan sama sekali dengan “family” atau keluarga. Masalah ini merupakan penyakit pada kromosom yang bermula pada usia kanak-kanak.

Namun, keadaan acanthosis nigricans yang menghitamkan leher, ketiak, siku dan sebagainya itu boleh timbul pada bila-bila masa, tidak semestinya ketika masih kanak-kanak.

Keadaan ini biasanya akan berkembang sehingga seseorang itu mencecah fasa akil baligh dan akan mula menurun atau stabil.

Kesimpulan

Leher hitam bukan lagi perkara yang boleh dianggap remeh kerana keadaan ini menunjukkan tahap kesihatan seseorang. Keadaan leher hitam atau secara perubatannya dikenali sebagai acanthosis nigricans, bukan keadaan leher ‘berkerak’ daki yang dengan mudah boleh disental buang menggunakan sabun dan scrub.

Antara punca leher hitam atau acanthosis nigricans ini ialah masalah obesiti, ubatan, sindrom penyakit, tindakan autoimun dan masalah genetik pada kromosom. Langkah bersesuaian yang sewajarnya perlu diambil untuk sama-sama menjaga kualiti kesihatan anda.

Semoga bermanfaat! Jempuu juga abca artikel tentang punca jerawat badanpunca kulit kepala gatal dan punca kerap kencing

Rujukan

  1. Phiske, M. M. (2014). An approach to acanthosis nigricans. Indian dermatology online journal5(3), 239. (link)
  2. Schwartz, R. A. (1994). Acanthosis nigricans. Journal of the American Academy of dermatology31(1), 1-19. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.