Kulit rosak menjadi igauan ngeri bagi setiap individu yang mementingkan penampilan dan kesihatan diri. Banyak faktor yang menyebabkan punca kulit rosak seperti kecederaan fizikal, kemalangan hinggalah kepada persekitaran dan gaya hidup.

Artikel ini akan membincangkan dengan terperinci punca kulit rosak bagi rujukan bersama. Jom ketahui punca kulit rosak supaya anda boleh mencari langkah penyelesaian yang sewajarnya.

Pengenalan

Tahukah anda, kulit merupakan organ terbesar bagi manusia. Purata saiz kulit seorang individu dewasa ialah 2 meter persegi. Komposisi kulit merangkumi 15% daripada keseluruhan berat badan.

Di samping itu, terdapat hampir 11 juta saluran darah dan 300 juta sel kulit yang jika ditimbang kesemuanya, kulit kita adalah seberat lebih kurang 4 kg.

Antara fungsi kulit adalah seperti berikut:

  • Bahan kalis air
  • Penghadang haba
  • Melindungi tubuh daripada persekitaran ekstrim seperti suhu, cahaya matahari dan bahan kimia berbahaya
  • Mempunyai perlindungan sendiri untuk mencegah jangkitan bakteria
  • Tapak penghasilan vitamin D daripada sinaran matahari untuk kegunaan kalsium dan tulang
  • Terdiri daripada reseptor rasa dan deria
  • Sifatnya yang elastik menjadikan pergerakan kita lebih mudah dan bebas

Sekiranya kulit kita rosak, fungsi-fungsi tersebut tidak dapat dilakukan oleh kulit menyebabkan keterbatasan dan mungkin ancaman serta penyakit kepada tubuh.

Kulit Bayi dan Kanak-kanak

Bagi golongan kanak-kanak dan bayi, keadaan kulit mereka masih belum berkembang dan matang sepenuhnya secara biologi.

Oleh itu, masalah kulit rosak seperti kulit kering banyak dilaporkan dalam kalangan mereka. Mereka yang berumur 2 tahun ke bawah mempunyai kulit yang lebih nipis dan lemah berbanding kulit individu dewasa.

Ketebalan kulit mereka ialah 1/5 daripada kulit yang matang secara biologi.

Sel keratin bayi juga masih belum padat menyebabkan fungsi perlindungan kulit bayi adalah rendah. Hal ini memudahkan penyerapan bahan-bahan asing yang didedahkan atau disapu pada permukaan kulit mereka, terutamanya bahan berminyak dan beralkali.

Kulit Golongan Remaja

Pada peringkat akil baligh, kulit mereka yang remaja mengalami perubahan yang mendadak seiring dengan peningkatan kandungan hormon.

Di samping itu, golongan remaja mula membina rasa kesedaran penampilan dan seksual menjadikan mereka peka dengan persepsi dan pandangan masyarakat sekeliling.

Kulit Orang Dewasa

Imej via Bidadari

Semakin bertambah usia seseorang, semakin kering kulit mereka kerana perubahan fisiologi yang berlaku berkadaran dengan umur masing-masing. Penghasilan sebum dan peluh makin berkurangan dan filem lapisan hidrolipid pada permukaan kulit turut menurun.

Pada usia 60 tahun ke atas, dilaporkan bahawa lapisan epidermis atau lapisan paling luar kulit menjadi semakin menipis sebanyak 50%. Terdapat pengurangan keelastikan dan keanjalan kulit apabila struktur serat dan serat kolagen tidak lagi cekap mengikat molekul air pada kulit.

Punca Kulit Rosak

Pada tahun 2001, staf jururawat dari Institut Dermatologi Chelsea dan Westminster, London, ada menerbitkan kertas ulasan saintifik berkenaan penjagaan kulit yang rosak dan kering dalam kalangan komuniti.

Berikut merupakan senarai punca kulit rosak sebagaimana yang dilaporkan:

1. Penggunaan Bahan Kimia Pencuci atau Pelarut Organik

Pendedahan kulit kepada bahan kimia berbahaya seperti pelarut organik menyebabkan kerosakan pada kulit. Sifat asal kulit yang melindungi tubuh daripada ancaman fizikal dan kimia dari persekitaran tidak boleh bertoleransi dengan kerengsaan yang diakibatkan oleh bahan kimia tersebut.

Mekanisma pembentukan lipid pada kulit sebagai langkah perlindungan tidak mampu melindungi sepenuhnya ancaman ini. Kehadiran bahan kimia asing ini juga menyingkirkan bukan sahaja lipid, tetapi faktor kelembapan semula jadi (NMF) yang kedua-duanya berperanan untuk menjadikan kulit sihat.

Kesan kerosakan pada kulit yang dapat dilihat ialah:

  • kemerahan
  • gatal-gatal
  • tekstur bersisik dan berkeping
  • bengkak
  • berpotensi membentuk luka dan jangkitan

2 Masalah Keradangan

Proses melindungi tisu daripada serangan luar berbahaya merupakan tindak balas normal yang menjadikan keradangan. Antara punca keradangan yang menyebabkan kulit rosak ialah:

  • Penyakit autoimun dermatosis
  • Jangkitan kuman
  • Trauma fizikal
  • Kebakaran
  • Kemalangan bahan kimia

3. Penyakit Kulit

Masalah kulit sedia ada boleh memburukkan lagi keadaan kulit dan menjadi punca kulit rosak. Secara kebiasaannya, penyakit kulit ini perlu dipantau secara rapi oleh doktor perubatan bertauliah.

Antara keadaan kulit yang menyebabkan masalah kulit rosak tersebut ialah:

  • Atopik eczema
  • Craqule eczema
  • Varicose eczema
  • Contact dermatitis
  • Psoriasis

4. Cahaya Matahari Berlebihan

Sementara itu, menurut kajian tahun 2010 oleh penyelidik dari Harvard Medical School, Boston, Amerika Syarikat, radiasi ultraungu (UV) daripada cahaya matahari dilaporkan boleh menyebabkan masalah kulit rosak dan penyakit serius seperti melanoma kanser kulit.

Sinar UV ini mencetuskan permulaan, progres dan metastasis (merebak) kanser melanoma dalam kulit. Mekanisma kerosakan kulit disebabkan UV ini bermula dengan kerosakan DNA, keradangan, sekatan sistem pertahanan dan seterusnya pembentukan sel kanser.

Kesimpulan

Ringkasnya, antara punca kulit rosak ialah faktor usia, penggunaan bahan kimia berbahaya, proses keradangan, penyakit kulit dan pendedahan kepada cahaya matahari yang berlebihan.

Kulit rosak akan memudahkan serangan patogen dan jangkitan kuman selain mendatangkan rasa tidak selesa jika keadaan kulit yang rosak adalah berlanjutan.

Sentiasa dapatkan khidmat nasihat dan bimbingan yang betul daripada pihak profesional. Pemilihan produk di pasaran juga perlu dilakukan secara berhati-hati.

Semoga bermanfaat! Jemput juga baca artikel penjagaan kulit ala Korea dan punca kulit kering

Rujukan

  1. Garibyan, L., & Fisher, D. E. (2010). How sunlight causes melanoma. Current oncology reports12(5), 319-326. (link)
  2. Gilchrest, B. A. (1996). A review of skin ageing and its medical therapy. British journal of dermatology135(6), 867-875. (link)
  3. Kanitakis, J. (2002). Anatomy, histology and immunohistochemistry of normal human skin. European journal of dermatology12(4), 390-401. (link)
  4. Peters, J. (2001). Caring for dry and damaged skin in the community. British journal of community nursing6(12), 645-651. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.