Kulit yang mengelupas memberikan penampilan masalah kulit yang sungguh ketara bagi seseorang. Kadang kala, pengelupasan kulit ini membuatkan kulit wajah menjadi kemerahan, kepanasan dan kesakitan.

Artikel ini akan membincangkan mengenai punca kulit mengelupas secara lebih terperinci berdasarkan kajian klinikal dan perubatan yang pernah diterbitkan. Betulkah dakwaan yang mengaitkan kulit mengelupas sebagai simptom awal kehadiran sel kanser dalam tubuh kita? Ayuh ketahuinya dengan terus membaca artikel ini.

Pengenalan

Kulit merupakan organ paling besar yang menjadi benteng pertahanan pertama tubuh daripada ancaman luar yang berbahaya seperti kecederaan fizikal dan bahan kimia berbahaya.

Lapisan paling luar kulit dipanggil epidermis yang terdiri daripada sel keratin, liang pori, lipid dan sebagainya. Akibat pengelupasan, lapisan epidermis ini seolah ‘berganti kulit’ dan menyebabkan kemerahan atau kerengsaan pada wajah.

Dari segi perubatan, kulit mengelupas dipanggil erythroderma atau exfoliative dermatitis. Erythroderma didefinisikan sebagai keadaan erythema (kemerahan) kulit yang turut disertai masalah kulit mengelupas pada pelbagai tahap pengelupasan.

Masalah Kulit Mengelupas Erythroderma

Menurut pakar perubatan dari Baylor College of Medicine, Houston, kulit mengelupas merupakan masalah kulit yang jarang berlaku dan dirujuk kepada hospital, tetapi perlu dirawat dengan segera dan betul.

Walaupun keadaan kulit mengelupas ini boleh terjadi kepada kedua-dua lelaki dan wanita, pakar-pakar berpendapat bahawa golongan lelaki mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat masalah ini berbanding wanita.

Nisbah kebarangkalian berlakunya kulit mengelupas dalam kalangan lelaki kepada wanita ialah 2.3/1 bersamaan 23 lelaki kepada 10 wanita.

Berdasarkan laporan kajian tersebut juga, purata umur mereka yang menghadapi masalah ini ialah 55 tahun, namun, semua peringkat usia adalah berpotensi mendapat penyakit ini walaupun dalam kalangan bayi yang baru lahir.

Imej via Bidadari

Punca Kulit Mengelupas dari Aspek Fisioanatomi Secara Perubatan

Kulit mengelupas atau erythroderma ialah hasil tindak balas kepada pembentukan dan kadar lapisan epidermal kulit yang meningkat.

Dalam sampel yang diambil daripada pesakit, kadar mitotik (gandaan sel) dan bilangan sel kulit bercambah adalah lebih tinggi dari kebiasaan.

Kesannya, proses pematangan kulit akan menyebabkan kehilangan bahan lapisan kulit epidermal yang lebih banyak melalui pengelupasan dan ‘keguguran’ kulit yang teruk.

Secara normalnya, lapisan epidermis yang sihat akan mengelupas secara semula jadi pada kadar yang sedikit, sekadar mencukupi untuk menjaga keseimbangan kesihatan kulit.

Analisis makmal menunjukkan bahawa komposisi kulit yang mengelupas teruk ini mengandungi kandungan protein dan folat yang sangat tinggi.

Punca Kulit Mengelupas

Antara punca kulit mengelupas yang telah dikenal pasti berdasarkan kajian lepas ialah masalah kulit sedia ada, tindak balas pengambilan ubat, ketumbuhan dan lain-lain sebab.

1. Masalah Kulit Sedia Ada

Kebiasaannya, masalah erythroderma kulit mengelupas ini berlaku seiring dengan masalah dermatologik (berkaitan kulit) yang sedia ada. Pesakit yang didiagnos dengan masalah kulit berikut akan dimaklumkan antara gejala yang boleh dijangka berlaku ialah pengelupasan kulit:

  • Atopic dermatitis (keradangan kulit akibat alahan secara genetik)
  • Candidiasis (jangkitan kulat pada permukaan kulit oleh spesis Candida)
  • Contact dermatitis (keradangan kulit yang berlaku akibat sentuhan dan persekitaran)
  • Dermatophytosis (Jangkitan kulat pada kulit yang menyebabkan kurap)
  • Ichthyosis (masalah kulit gatal yang disebabkan oleh genetik keturunan)
  • Lichen planus (serangan autoimun yang menyerang sistem imun sendiri khususnya pada kawasan kulit yang menyebabkan kehilangan dan keguguran folikel rambut)
  • Mastocytosis (pertumbuhan sel yang tidak normal pada permukaan kulit)
  • Nummular eczema (masalah eczema kulit yang menghasilkan titik merah gatal berbentuk syiling)
  • Pemphigus (masalah kulit yang menyebabkan kulit melepuh (blister))
  • Psoriasis (penyakit pertumbuhan sel kulit berganda 10 kali lebih pantas berbanding sel normal yang menyebabkan munculnya benjolan dan bekas kesan kulit kemerahan)
  • Sindrom Reiter (radang sendi yang menghasilkan bengkak, kemerahan dan rasa tidak selesa)
  • Scabies (serangan kutu spesis Sarcoptes scabiei) dan sebagainya.

2. Tindak Balas Ubat

Imej via Bidadari

Ubatan moden merupakan antara faktor pertama yang dikenal pasti sejak kes erythroderma kulit mengelupas ini dilaporkan.

Dengan penciptaan lebih banyak ubatan baru, risiko kulit mengelupas akan semakin meningkat sebagai kesan sampingan kepada tindak balas ubat tersebut.

Dengan lambakan produk kesihatan yang dikenali sebagai ‘timbang kilo’ sekarang, anda sebagai pengguna perlu berhati-hati dengan produk yang dibeli. Ini disebabkan ada pengasas produk ini tidak bertanggungjawab menggunakan bahan kimia berbahaya seperti merkuri untuk pengelupasan kulit secara berbahaya demi menampakkan kulit yang cepat cerah dan bebas jerawat.

Antara jenis ubatan moden yang berpotensi menyebabkan kulit mengelupas ialah:

  • Antiepileptik (ubatan untuk merawat sawan)
  • Antihipertensif (ubatan menurunkan tekanan darah tinggi)
  • Antibiotik (rawatan jangkitan dan serangan bakteria)
  • Calcium channel blocker  (ubatan untuk masalah jantung dan tekanan darah)
  • Agen topikal (ubatan jenis sapuan pada permukaan kulit)

3. Ketumbuhan

Imej via Bidadari

Kini, punca kulit mengelupas yang utama telah dikenal pasti disebabkan oleh ketumbuhan atau malignancies.

Ketumbuhan jenis limfoma sel-T sering dikaitkan dengan masalah erythroderma ini. Kehadiran sel kanser ini banyak dijumpai terutamanya dalam kalangan pesakit kanser darah jenis mycosis fungoides dan leukemia.

Kajian menunjukkan bahawa kanser darah ini telah menyebabkan hampir 25-40% daripada semua kes yang melibatkan masalah erythroderma berkaitan ketumbuhan.

Selang masa antara kemunculan kulit mengelupas dengan kehadiran sel kanser darah tersebut mengambil masa antara berbulan hingga bertahun atau berdekad lamanya.

Selain kanser darah, antara ketumbuhan kanser yang dikaitkan dengan masalah kulit mengelupas ialah ketumbuhan pada organ-organ berikut:

  • Kolon
  • Paru-paru
  • Prostat
  • Thyroid
  • Tiub fallopian

4. Lain-lain Punca

Punca kulit mengelupas yang lain boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor lain, antara yang pernah dilaporkan ialah:

  • Hepatitis
  • AIDS
  • Sindrom Omenn (sindrom kekurangan imun)
  • Komplikasi pemindahan transplan organ seperti sum sum tulang

Kesimpulan

Ringkasnya, punca kulit mengelupas atau keadaan exfoliative dermatitis ini adalah disebabkan faktor seperti masalah kulit, kesan sampingan ubatan, ketumbuhan dan lain-lain.

Bagi mereka yang mengalami masalah pengelupasan kulit yang teruk dan tidak mendatangkan keselesaan, anda disarankan berjumpa dengan pakar perubatan dengan segera.Sentiasa berhati-hati dalam memilih barangan atau produk yang ingin diletakkan pada wajah anda khususnya.

Semoga bermanfaat! Jemput juga baca artikel lain seperti penjagaan kulit ala Korea dan khasiat aloevera.

Rujukan

  1. Karakayli, G., Beckham, G., Orengo, I., & Rosen, T. (1999). Exfoliative dermatitis. American family physician59(3), 625. (link)
  2. Rothe, M. J., Bialy, T. L., & Grant-Kels, J. M. (2000). Erythroderma. Dermatologic clinics18(3), 405-415. (link)
  3. Rym, B. M., Mourad, M., Bechir, Z., Dalenda, E., Faika, C., Iadh, A. M., & Amel, B. O. D. (2005). Erythroderma in adults: a report of 80 cases. International journal of dermatology44(9), 731-735. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.