Ayuh kenali Sumayyah binti Khibat dan kehebatan beliau mempertahankan keimanannya. Kami kongsikan biodata saidatina Sumayyah di sini.

Sumayyah binti Khibat merupakan sosok seorang mujahidah yang kental mempertahankan akidahnya sehingga titisan darah yang terakhir. Beliau merupakan isteri kepada Yassir bin Amir al-Kinani dan ibu kepada Ammar bin Yassir, iaitu tiga sosok yang bermatian mempertahan akidah dengan sejuta siksaan, sehingga akhirnya syahid dan syurga menjadi milik mereka.

Sumayyah menjadi lambang dalam menegakkan agama suci Allah. Beliau termasuk dalam tujuh orang yang pertama menunjukkan keislamannya di Mekah; Rasulullah S.A.W, Abu

Bakar as-Siddiq, Bilal bin Rabbah, Khabbab bin al-Arat, Shuhaib ar-Rumi, Ammar bin Yassir dan Sumayyah. Bahkan Sumayyah menjadi wanita pertama yang gugur syahid.

Ibnu Hajar berkata dalam kitabnya, Al-Ishabah;

“Sumayyah bekas hamba sahaya Huzaifah bin al-Mughirah bin Makhzum. Beliau adalah ibu Ammar bin Yassir orang yang masuk Islam pada hari ke-7. Sumayyah diseksa Abu Jahal dan ditusuk tombak pada kemaluannya hingga meninggal dunia. Ia adalah wanita yang pertama sekali mati syahid dalam Islam.”

Sumayyah merupakan hamba kepada daripada Abu Huzaifah bin Mughirah al-Mahzumi, seorang ketua kabilah Mahzum. Abu Huzaifah telah mengahwinkan Yassir bin Amir al-Kinani yang berasal dari Yaman dengan Sumayyah, dan tidak lama kemudian memerdekakan Sumayyah. Yassir dan Sumayyah hidup aman dengan jaminan keamanan dari bani Mahzum. Mereka kemudiannya dikurniakan seorang cahaya mata, Ammar.

Keluarga Yassir yang Terawal Menyahut Seruan Islam

Selepas Rasulullah S.A.W menyebarkan syiar Islam (yang ketika itu masih dijalankan secara bersembuyi) mereka sekeluarga antara yang terawal beriman dengan ajaran baginda lalu menjadi golongan pertama yang memeluk Islam

Bermula dengan Ammar yang ketika itu sedang meningkat dewasa sangat senang mendengar dakwah Rasulullah S.A.W di rumah Arqam bin Abi al-Arqam. Pertama kali mendengar ajakan baginda, Ammar terus menghulurkan tangan dan mengucapkan syahadah. Lalu Ammar pulang dan menerangkan kepada ibunya tentang Islam, Sumayyah terus menerima dengan hati terbuka.

Kemudian Ammar berdakwah kepada bapanya, ketika itu jugalah bapanya memeluk agama Allah. Maka, seluruh kaum muslimin menyambut gembira dengan Islamnya keluarga Yassir.

Tetapi, apabila berita pengislaman ini sampai kepada pengetahuan bani Mahzum, mereka bersumpah untuk membawa keluarga ini kembali kepada agama nenek moyang mereka.

Sumayyah Ibu Tua Disiksa

Ibnu Sa’ad meriwayatkan dengan sanad yang sahih dari Mujahid, berkata;

“Wanita yang pertama sekali mati syahid dalam Islam ialah Sumayyah, seorang wanita tua yang lemah. Ketika Abu Jahal terbunuh dalam peperangan Badar, Rasulullah bersabda; ‘Allah membunuh orang yang membunuh ibumu’.”

Kaum Bani Mahzum mengetahui menangkap Sumayyah bersama anak dan suaminya dan diseret ke tengah-tengah padang pasir, kaki dan tangan mereka diikat. Mereka dipakaikan dengan baju besi dan dijemur di bawah terik mentari, langsung tidak diberi air sehinggakan mereka pengsan menangung kepanasan.

Bahkan Kulit mereka juga terkoyak lantaran melekat pada baju besi yang dipakaikan. Setiap hari mereka diseksa mengikuti keinginan Abu Jahal sehingga tidak sedarkan diri. Namun tidak sekalipun keluar kata-kata kufur daripada mulut mereka. Penyeksaan yang dilakukan hanya menambah ketakwaan dan keberanian mereka, terutamanya Sumayyah.

Suatu hari, Rasulullah S.A.W melihat penderitaan mereka. Betapa hancur luluhnya hati baginda. Lalu baginda membisikan kata-kata yang membahagiakan  mereka;

“Besabarlah wahai keluarga Yassir, sesungguhnya telah dijanjikan syurga buat kalian.”

Berita ini membuatkan mereka tenang dan gembira. Kemudian datang Abu Jahal memaki dan mencerca Sumayyah. Sumayyah kemudian membalas cercaan tersebut dengan kata-kata yang sangat menyakitkan hati Abu Jahal serta menyatakan beliau tetap berpegang teguh kepada keimanannya.  Disebabkan terlalu marah, Sumayyah ditikam pada bahagian rahim dengan tombak sehingga tembus ke bahagian belakang.  

Akhirnya Sumayyah dibunuh dengan penyeksaan yang menyedihkan dan gugur sebagai syahid. Sebenarnya Abu Jahal yang kejam dan bengis itu berasa sangat terhina kerana dicabar oleh seorang wanita tua yang lemah. Selepas membunuh Sumayyah, Yassir dan anaknya berterusan disiksa demi membuatkan dua beranak itu meninggalkan Islam.

Mereka mengikat kedua-dua tangan Yassir pada seekor ekor kuda, manakala kakinya pada kuda yang berasingan.  Lalu menusuk besi yang panas pada kuda-kuda itu,  maka berlarilah dua ekor kuda tersebut ke arah yang bertentangan sehingga tercabut kaki dan tangan Yassir. Lantas gugur syahid Yassir.

Ammar yang menyaksikan gugur syahid kedua-dua orang tuanya itu, masih tetap kuat dan tabah mempertahankan akidahnya.  Sehinggalah satu hari Ammar dilepaskan dan beliau segera  bertemu Rasulullah S.A.W dalam keadaan yang sangat sedih.

Baginda lalu bertanya “Wahai Ammar, keresahan apakah yang sedang engkau bimbangi?”

 “Ya Rasulullah, ketika  aku diseksa oleh musuh-musuh Allah dengan seksaan yang aku tidak mampu lagi untuk menahannya. Mereka menyimbah minyak ke tubuhku lalu membakar seluruh tubuhku sehingga aku tidak mampu menanggungnya dan terkeluar kata-kata kufur dan menghina engkau ya Rasulullah.”  Kata Ammar.

Baginda lantas bertanya, “Bagaimanakah hatimu semasa keluar kata-kata kufur itu?”

Ammar menjawab, “Ketika itu hatiku tetap teguh dengan keimanan dan kepercayaanku kepada hanya kepada Allah dan Rasul.”

Maka baginda berkata “Sekiranya begitu, tidak ada masalah. Sesungguhnya kamu tidak bersalah.”

Allah S.W.T telah memuliakan Ammar melalui surah al-Nahl:  106, yang bermaksud:

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman.”

Penutup:

Melihatkan kekuatan cinta Sumayyah terhadap imannya, di manakah tahap iman kita? Adakah seteguh iman Sumayyah?

Riwayat Sumayyah dalam lembaran sejarah sangat wajar diteladani oleh setiap muslim yang mengakui mencintai Islam. Beliau bukan sahaja wanita pertama yang syahid lantaran menegakkan keimanan beliau, bahkan semakin dirinya disiksa semakin kuat keyakinannya.  Sehinggakan musuh Islam tidak mampu berbuat apa-apa lagi kerana malu dengan kekuatan semangatnya yang luar biasa.

Bukan sahaja sebagai motivasi tetapi sosok seorang Sumayyah sangat wajar dicontohi dan dijadikan idola kepada setiap muslim.

Jika anda menyukai artikel ini, pasti anda juga menyukai perkongsian kami yang lain tentang;

Rujukan

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.