Menurut kamus Lisan al-Arab, ‘hajat’ ditakrifkan sebagai kefakiran atau keperluan terhadap sesuatu. Dari segi istilah pula, menurut al-Syatibi, ‘hajat’ adalah apa-apa yang menjadi keperluan untuk melapangkan dan mengangkat kemudaratan, meningkatkan kesukaran hidup dan hilangnya kesenangan, keceriaan dan maslahat.

Oleh itu, solat hajat adalah solat yang didirikan untuk memohon sesuatu permintaan daripada Allah SWT, ataupun menolak perkara yang tidak diingini.

Biarpun sudah ada solat sebanyak lima kali sehari bertujuan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT serta memohon keampunan dan perkenan atas semua permintaan, namun solat sunat ini tetap dilakukan untuk mendapat kelebihan yang lain atau tambahan kepada amalan kita.

Lebih-lebih lagi apabila ada keperluan tertentu yang mendesak bagi melancarkan urusan dunia dan akhirat. Contohnya solat hajat untuk mencari jodoh atau menghadapi peperiksaan. Malah Rasulullah sendiri menunaikan solat ketika hal-hal tertentu menjadi serius.

Rasulullah SAW bersabda:

"

“Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah SWT atau kepada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudia dia bersolat dua rakaat.”

(Hadis Riwayat at-Tarmizi)

Cara Solat Hajat

 

Bilangan Rakaat Solat Sunat Hajat

Bilangan rakaat dalam solat hajat boleh dilakukan sebanyak dua rakaat (minimum), atau empat rakaat, sehingga 12 rakaat. Namun, mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali berpegang pada pendapat yang pertama iaitu dua rakaat.

 

Waktu Mendirikan Solat Sunat Hajat

Solat sunat hajat boleh dilakukan bila-bila masa sahaja, sama di siang hari ataupun waktu malam.

Sangat baik sekiranya solat hajat bersendirian ketika sepertiga malam yang sunyi, kerana lebih mudah khusyuk dan waktu yang mudah dimakbulkan doa.

Lebih baik juga didirikan solat hajat selepas tidur malam, bersugi dan mandi terlebih dahulu, kemudian berwuduk dan berpakaian putih bersih.

Alhakim berkata;

“Sesiapa yang melaksanakan solat sunat hajat, hendaklah ia mandi pada malam Jumaat dan memakai pakaian yang bersih dan solatlah di waktu sahur dengan niat mohon dipenuhi hajatnya.”

 

Bahkan lebih baik lagi jika didirikan solat sunat wuduk dan tahajjud terlebih dahulu sebelum mendirikan solat sunat hajat.

 

Didirikan Secara Berjemaah atau Sendirian?

Solat sunat hajat boleh didirikan secara bersendirian ataupun berjemaah, dengan niat dan mendoakan hajat yang diingini, ataupun secara berjemaah dengan  niat dan permintaan yang sama.

Cara Solat Hajat

Berikut adalah cara-cara melakukan solat sunat hajat:

  1. Niat

أُصَلِّي سُنَّةَ الْحَاجَةِ ركْعَتَيْنِ أدَاءً لِلَّه تَعَالَى

“Sahaja aku solat sunat hajat dua rakaat kerana Allah Taala.”

 

  1. Rakaat Pertama: Baca surah al-Fatihah (satu kali), diikuti surah al-Kafirun atau ayat Kursi (satu atau 10 kali)
  2. Rakaat kedua: Baca surah al-Fatihah (satu kali), diikuti surah al-Ikhlas (satu kali atau 10 kali).
  3. Selepas memberi salam, bacalah doa solat hajat.
  4. Pohonlah permintaan kehendak yang dihajati.
  5. Akhiri dengan selawat dan zikir.

 

لَا إِلهَ إلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Tiada Tuhan melainkan Engkau Ya Allah! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang-orang yang zalim.”

 

Doa Solat Sunat Hajat

 

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِن كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلَامَةَ مِن كُلِّ إِثْم ٍوَالْفَوْزَ بِالْجَنَّةِ، وَالنَّجَاةَ مِنَ النَّارِ. اللَّهُمَّ إِنَّكَ تَسْمَعُ

كَلَامِي، وَتَرَى مَكَانِي وَتَعْلَمُ سِرِّي وَعَلَانِيَتِي وَلَا يَخْفَى عَلَيْكَ شَيْءٌ مِنْ أَمْرِي وَأَنَا الْبَائِسُ الْفَقِيرُ وَالْمُسْتَغِيثُ

الْمُسْتَجِيرُ وَالْوَجِلُ الْمُشْفِقُ الْمُقِرُّ الْمَعْتَرِفُ إِلَيْكَ بِذَنبِهِ أَسْأَلُكَ مَسْأَلَةَ الْمِسْكِينِ وَأَبْتَهِلُ إِلَيْكَ إِبْتِهَالَ الْمُذْنِبِ

الذّلِيلِ وَأَدْعُوكَ دُعَاءَ الْخَائِفِ الضَّرِيرِ دُعَاءَ مَنْ خَضَعَتْ لَكَ رَقَبَتُهُ وَذَلَّ لَكَ

جسْمُهُ وَرَغِمَ لَكَ أَنفُهُ.

 

“Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu hal-hal yang dapat menentukan rahmatMu dan menguatkan pengampunanMu, memperoleh segala kebaikan, menyelamatkan daripada kejahatan, memperolehi syurga dan selamat daripada api neraka.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui lahir batinku, dan tidak ada satu urusan pun daripada urusanku yang tersembunyi daripada pengetahuanMu.

Aku adalah hamba yang sengsara dan amat memerlukan, hamba yang memohon bantuan, hamba yang penakut, yang meminta dikasihani, yang mengakui dan menyatakan semua dosa-dosanya kepadaMu.

Ya Allah, aku mohon kepadaMu sebagaimana memintanya si miskin dan aku berdoa kepadaMu seperti doanya doa orang berdosa yang amat hina.

Aku mohon kepadaMu seperti orang penakut lagi buta, juga seperti berdoanya orang yang merendahkan jiwanya, merendahkan raga, wajah, serta hidungnya kepadaMu.”

 

Kelebihan Mendirikan Solat Sunat Hajat

  1. Dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT
  2. Doa dimakbulkan Allah SWT
  3. Menenangkan hati dan fikiran
  4. Menguatkan pengharapan pada Allah SWT
  5. Menambah keyakinan dan ikhlas dengan takdir Allah SWT
  6. Menambah semangat dan ketabahan

Sebagai hamba, jangan kita lupa bahawa Allah sangat suka andai kita meminta dan berharap padaNya, jadi sentiasalah memohon kepadaNya dan yakin nescaya akan diperkenankan.

Mintalah kepada Allah untuk apa-apa sahaja dan pada bila-bila masa seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah:186 yang bermaksud;

 

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

 

Jangan lupa untuk memastikan diri dan tempat solat berada dalam keadaan, berpakaian bersih serta khusyuk serta tawaduk dalam berdoa. Bahkan yakinlah Allah akan memakbulkan segala pengharapan kita. InsyaAllah, apa-apa yang diinginkan akan diperkenankan oleh Allah SWT mengikut masa dan kehendakNya

 

 

 

 

 

Rujukan:

Artikel Menarik Lain

Bagaimana artikel cara solat hajat ini? Semoga menjadi amalan dalam meminta sesuatu kepadaNya. Kami juga ada menulis artikel menarik lain untuk dibaca.

Penulis: Lily Izzuan

Lily Izzuan

Seorang yang simple dan berpegang pada prinsip bahawa sesuatu yang baik itu perlu dikongsi. Merupakan salah seorang penyumbang artikel di Bidadari.my. Mencari artikel yang menarik yang ada.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.