Ayuh kenali kisah Asma’ binti Abu Bakar dan pengorbanannya untuk Islam.

Asma’ binti Abu Bakar dilahirkan 27 tahun sebelum Hijrah. Beliau merupakan anak kepada sahabat karib Rasulullah S.A.W, Abu Bakar as-Siddiq bersama Qutayrah binti Abu Uzza dari Banu Amir bin Lu’ai. Beliau adalah saudara kandung kepada Abdullah bin Abu Bakar R.A.

Termasuk dalam As-Sabiqun Al-Awwalun

Asma’ juga seorang wanita yang mulia yang juga sahabat kepada Rasulullah S.A.W. Beliau merupakan antara golongan terawal memeluk Islam dan beriman dengan ajaran Rasulullah S.A.W iaitu as-Sabiqun al-Awwalun. Dikatakan beliau merupakan orang yang ke-18 yang memeluk Islam.

Memegang Gelaran ‘Zatun Nithaqain’

Asma’ telah mendapat gelaran ‘Zatul Nitaqain’ yang bermaksud ‘wanita yang mempunyai dua tali pengikat pada pinggangnya’. Gelaran ini beliau perolehi kerana telah menyediakan dan menghantar makanan kepada Rasulullah S.A.W dan bapanya yang ketika dalam perjalanan hijrah dan berlindung di Gua Thur.

Suatu hari, oleh sebab Asma’ tidak mempunyai tali untuk mengikat makanan pada unta, maka beliau membuka tali ikat di pinggangnya, lalu dikoyakkannya menjadi dua utas tali. Salah satunya dijadikan pengikat bekas makanan pada unta, dan satu lagi diikatkan pada pinggangnya.

Sehinggalah Rasulullah melihat keadaan itu, baginda berdoa agar Allah menggantikan Asma’ tali pinggang yang lebih cantik dan indah di syurga. Dan sejak itulah Asma terkenal dengan panggilan ‘Zatun Nithaqain’.

Sewaktu berulang-alik menghantar makanan di gua Thur, Asma; sedang mengandung. Namun beliau sangat kuat dan tabah untuk mendaki Bukit Thur walaupun jarak antara Makkah dengan Gua Thur dalam sekitar lima kilometer. Asma’ terpaksa melalui jalan yang menanjak, berbatu dan berliku. Namun beliau tetap berani dan tidak pernah gagal untuk mengikut perintah ayahandanya itu.

Ketika itu juga, kaum Quraisy sangat giat memburu Rasulullah S.A.W, secara tidak langsung mengancam keselamatan Asma’ sendiri. Sehingga Asma’ pernah ditahan dan disoal oleh  Abu Jahal dan pengikutnya. Asma’ telah ditampar sehingga tercabut anting-anting beliau kerana menjawab ‘tidak tahu’. Rasa sakit dari tamparan itu dirasai Asma’ sehingga  beberapa hari, bahkan beliau tidak dapat melupakan peristiwa tersebut seumur hidupnya.

Berkahwin dengan Zubair al-Awwam

Asma berusia lapan tahun lebih tua dari adiknya iaitu Aisyah R.A, isteri Rasulullah S.A.W. Beliau telah dikahwinkan dengan Zubair ibn ‘Awwam, yang ketika itu tidak mempunyai apa-apa harta melainkan hanya seekor kuda yang digunakannya untuk berperang. Namun Asma’ tetap menjalani kehidupan dengan tabah dan menjaga kuda tersebut dengan baik, sehinggga kehidupan mereka menjadi lebih baik dan kemudiannya tergolong dalam kalangan hartawan di Madinah.

Asma’ dan Zubair bin Awwam R.A dikurniakan beberapa orang anak iaitu: Abdullah, Urwah, Mundzir, Asim, Muhajir, Khadijah, Ummul Hasan dan Aisyah.

Menyertai Hijrah ke Kota Madinah

Sewaktu Rasulullah S.A.W mengizinkan kaum Muslimin untuk berhijrah, Asma’ menyertai rombongan hijrah itu bersama-sama suaminya. Ketika itu beliau sedang sarat mengandung. Dan setibanya di Quba, Asma’ melahirkan seorang bayi lelaki yang bernama Abdullah.

Seluruh kaum muslimin bertakbir kegembiraan kerana bayi Asma’ itu adalah anak pertama yang dilahirkan di kota Madinah dalam kalangan Muhajirin.

Kemudian, dengan segera Zubair al-Awwam membawa zuriatnya itu berjumpa dengan Rasulullah. Baginda menyambut bayi itu dengan penuh kegembiraan dan mengambil sesuatu dari dalam mulut baginda lalu mentahnikkan bayi tersebut.

Seorang yang Sangat Pemurah

Asma’ binti Abu Bakar terkenal sebagai orang yang sangat pemurah sehinggakan beliau diberikan perumpamaan; Ketika seseorang ingin menceritakan tentang sikap pemurah, mereka akan berkata ‘Engkau ini pemurah seperti Asma’ binti Abu Bakar’.

Menurut Ibnu Zubair, Asma’ dikenal sebagai seorang perempuan yang sangat dermawan.  Tidak ada perempuan lain yang sangat dermawan kecuali Asma dan Aisyah. Sifat dermawan mereka sedikit berbeza; Aisyah suka mengumpulkan barangan sehingga tersimpan banyak, beliau akan membahagikannya kepada orang lain. Sedangkan, Asma’ tidak pernah menyimpan sesuatu sehingga esok hari, beliau langsung membahagikannya.

Sehinggakan, ketika beliau menghampiri usia tuanya Asma’ memerdekakan semua hambanya. Beliau juga berpesan kepada para wanita untuk banyak bersedekah, jangan menunggu sehingga ada wang yang lebih, tetapi berusaha untuk menyegerakan sedekah.

 “Jika kalian menunggu sehingga ada wang yang lebih, niscaya takkan ada wang yang lebih itu. Namun jika kalian bersedekah, kalian takkan berasa kekurangan.”

Seorang Penyair dan Perawi

Asma’ binti Abu Bakar mempunyai akal yang sangat cerdas dan bijaksana. Selain keperibadiannya luhur serta mempunyai tekad yang kuat, bicaranya juga tegas dan jelas.

Kelebihannya juga sangat terserlah sebagai seorang penyair yang pandai berkata-kata, tajam dan menusuk kalbu.

Asma’ juga salah seorang periwayat hadis Rasulullah S.A.W yang diakui oleh para ahli hadis. Beliau menghafal dan meriwayatkan 58 hadis baginda dan 26 antaranya terdapat dalam Sahih Bukhari dan Muslim. Banyak perawi seperti Ibn Abbas dan Fatimah binti Mundhir yang meriwayatkan hadis dari Asma’.

Menyertai Peperangan

Asma’ seorang pemberani yang juga tidak ketingggalan dalam menyertai beberapa peperangan, antaranya menjadi saksi dan berada dalam Perang Yarmuk bersama dengan suaminya. Dia sering mengingatkan anak-anaknya supaya  sentiasa menjadi seorang berani dan tegas serta tidak takut dengan ancaman sesiapa pun, walau mati sekalipun.

Meninggal Dunia Pada Usia 100 Tahun

Allah S.W.T mengurniakan umur yang panjang pada Asma’ iaitu selama 100 tahun. Bermakna usianya genap satu abad sejak zaman jahiliyyah sehingga pemerintahan Bani Umayyah.

Ketika usianya semakin tua, Allah S.W.T telah memberinya ujian apabila kedua-dua belah matanya menjadi buta. Namun tidak ada satu pun giginya yang tertanggal, ingatannya masih kuat serta fikirannya masih cerdas.

Asma’ bin Abu Bakar meninggal dunia di Mekah pada tahun ke-73 selepas Hijrah.  Beliau  merupakan golongan Muhajirin yang terakhir meninggal dunia.

Penutup: Asma’ bin Abu Bakar Contoh Wanita yang Berani dan Kental

Asma’ antara ikon dan contoh ikutan masa kini yang sangat baik untuk diikuti. Bermula dari awal hidupanya sehingga beliau menutup mata, segalanya sangat relevan untuk diteladani dan diambil sebagai petunjuk demi menjadi muslimah yang berjaya di dunia dan akhirat.

Semoga Allah S.W.T mengurniakan kita sedikit keberanian dan kecerdasan yang dimiliki Asma’ binti Abu Bakar kepada kita dalam menjalani kehidupan seharian, amin.

Sila baca juga artikel-artikel menarik yang ingin kami kongsikan seperti;

Rujukan

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.