Apa Itu Solat Sunat Witir?

‘Witir’ atau ‘watir ‘merupakan istilah bahasa Arab yang bermaksud ‘ganjil’.

Menerusi hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda;

“Sesungguhnya Allah itu witir dan Dia suka kepada yang ganjil.”

 

Solat witir merupakan solat sunat yang dilaksanakan antara selepas solat isyak sehingga terbit fajar. Solat witir dilakukan untuk mengakhiri solat malam seperti solat sunat tahajjud dan solat tasbih hajat atau sebagai penutup kepada semua solat yang dilaksanakan.

"

Rasulullah SAW bersabda;

“Daripada Ibn Umar daripada Nabi SAW sabdanya; ‘Jadikanlah sembahyang witir sebagai sembahyang terakhir bagi kamu pada waktu malam’.”

 (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Nabi Muhammad SAW diriwayatkan tidak pernah meninggalkan solat witir walaupun ketika bermusafir, malah  baginda bersabda;

“Sesiapa yang tidak berwitir, maka bukanlah dia termasuk golongan kami.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

 

Hukum Solat Sunat Witir?

Solat sunat witir merupakan ibadat sunat muakkad, iaitu ibadat yang dituntut dan sangat digalakkan untuk ditunaikan.

Solat witir juga lebih utama daripada solat-solat sunat rawatib yang lain. Seperti sabda Rasulullah SAW;

“Wahai ahli al-Quran, kerjakanlah solat witir, sebab Allah itu witir (Maha Esa) dan suka sekali kepada witir.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

 

solat sunat witir

Imej via Bigbrain99

 

Berapa Rakaatnya?

Solat witir dilaksanakan dalam jumlah rakaat yang ganjil iaitu sama ada satu, tiga, lima dan rakaat ganjil seterusnya. Solat witir tidak sah jika ditunaikan dalam bilangan rakaat genap.

 

Waktu Solat Sunat Witir

Waktu yang sesuai untuk mendirikan solat sunat witir adalah selepas solat isyak sehingga menjelangnya waktu solat subuh. Iaitu waktu sunyi sepi disepertiga malam.

 

Cara Melaksanakan Solat Sunat Witir

Terdapat empat cara yang dianjurkan untuk melakukan solat sunat witir;

  1. Dua Kali Solat (2+1)

Solat witir  yang pertama dilakukan sebanyak dua rakaat dan salam dan diikuti dengan solat satu rakaat dan salam. Ini adalah solat witir yang dianjurkan oleh mazhab Imam Syafie dan Imam Hanbali.

Imam Syafie dan Imam Hanbali berpendapat bahawa menceraikan rakaaat lebih baik kerana ada penambahan salam. Hujah ini dikukuhkan lagi dengan hadis dari Ibn Umar yang menyatakan;

“Nabi Muhammad SAW menceraikan antara rakaat genap (dua rakaat) dan witir (satu rakaat) dengan salam.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

 

  1. Tiga Rakaat Dengan Satu Salam Tanpa Duduk

Menurut riwayat Muslim, Nabi Muhammad SAW melakukan solat sunat witir lima rakaat dan baginda tidak duduk tahiyat kecuali pada rakaat terakhir.

Solat witir tiga rakaat dengan satu salam dilakukakan tanpa duduk pada rakaat kedua.

 

  1. Tiga Rakaat Dengan Satu Salam Dan Disertai Duduk

Mazhab Hanafi menganjurkan solat witir dengan cara ini. Cara pelaksanaan sama seperti solat maghrib cuma pada rakaat ketiga dibacakan surah selepas al-Fatihah.

 

  1. Lebih Daripada Tiga Rakaat

Menurut Imam Syafie sebaiknya solat witir yang lebih dari tiga rakaat dilaksanakan dengan menceraikan satu salam pada setiap dua rakaat.

Cara mengerjakan solat witir lazimnya dilakukan dua rakaat, sekali salam diikuti dengan satu rakaat sekali salam.

 

Ini bermaksud:

1. Satu rakaat – sekali satu rakaat
2. Tiga rakaat – sekali dua rakaat dan sekali satu rakaat.
3. Lima rakaat – Dua kali dua rakaat dan sekali satu rakaat.
4. Tujuh rakaat – Tiga kali dua rakaat dan sekali satu rakaat.
5. Sembilan rakaat – Empat kali dua rakaat dan sekali satu rakaat.
6. Sebelas rakaat – Lima kali dua rakaat dan sekali satu rakaat.

 

Dua Belas Tertib Solat Sunat Witir

Supaya lebih jelas dan mudah dalam melaksanakan amalan sunnah ini, berikut disertakan tertib mengikut cara solat witir 2+1:

Rakaat pertama:

  1. Lafaz niat;ُ

أُصَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat witir dua rakaat kerana Allah Taala.”

  1. Takbiratul ihram
  2. Doa Iftitah
  3. Baca surah al-Fatihah
  4. Baca surah al-Quran : Surah al-A’laa
  5. Rukuk
  6. Iktidal
  7. Sujud
  8. Duduk antara dua sujud
  9. Sujud kali kedua
  10. Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat kedua:

  1. Ulang tertib nombor empat hingga 10.

Bacaan surah pada rakaat kedua: Surah al-Kafirun

  1. Duduk tahiyyat akhir
  2. Beri salam dan bangun semula untuk memulakan rakaat ketiga.

Rakaat ketiga:

  1. Lafaz niat:

صَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَةً لِلَّهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat kerana Allah Taala.”

 

  1. Takbiratul ikhram
  2. Doa iftitah
  3. Bacaan surah al-Fatihah
  4. Membaca surah muawwizat;
    • Al-Ikhlas
    • Al- Falaq
    • An-Nas
  5. Rukuk
  6. Iktidal
  7. Sujud
  8. Duduk antara dua sujud
  9. Duduk tahiyyat akhir
  10. Beri salam
  11. Membaca doa

 

Selepas membaca al-Fatihah, bacalah surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas, sebaik selesai tahiyyat dan salam, bacalah beberapa bacaan ini;

  1. سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ
  2. يَا لَطِيْفُ يَا كَافِي يَا حَفِيْظُ يَا شَافِي
  3. يَا لَطِيْفُ يَا وَافِي يَا كَرِيْمُ أَنْتَ الله
  4. لآ إِلٰهَ إِلَّا الله

 

Doa Selepas Solat Sunat Witir

 

12 tertib tepat dan mudah laksanakan solat sunat witir

 

 “Maha suci Allah kami mohon kepadaMu keimanan yang kekal, kami mohon kepadaMu hati yang khusyuk, kami mohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, kami mohon kepadaMu jadikan keyakinan kami pada kebenaran,

Kami mohon kepadaMu agar kami beramal soleh, kami mohon kepadaMu kemantapan beragama, kami mohon kepadaMu kebaikan yang banyak, kami mohon kepadaMu keampunan dan kesihatan, kami mohon kepadaMu kesenangan yang sempurna,

Kami mohon kepadaMu agar kami bersyukur di atas kesenangan tersebut, kami mohon kepadaMu kecukupan dalam kehidupan. Maha suci Allah Tuhan kami, Kau terimalah solat kami, puasa kami, kedudukan amalan kami, kekhusyukan kami kepadaMu,

Ketundukan kami kepadaMu Ya Allah Yang Maha Mengasihi(hamba-hambaNya) yang punya rasa mengasihi. Anugerah Allah lah ke atas kebaikan makhlukNya Muhammad serta ahli keluarganya juga sahabat-sahabatnya sekalian dan segala puji itu hanya bagi Allah Tuhan seru sekalian alam.”

 

kelebihan solat witir

Imej via musthaqsms

 

Namun bagaimana pula jika seseorang itu mahu menunaikan solat sunat lain lagi, tetapi telah bersolat witir sebelumnya?

Jika begitu, dia boleh bersolat lagi tetapi tidak boleh mengulangi lagi solat witir. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasullullah SAW yang bersabda;

“Tidak ada dua witir pada satu malam.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

 

Tetapi, mengikut pandangan para ulama, sesiapa yang telah mengerjakan solat sunat witir pada awal malam dan bangun semula di tengah malam untuk bersolat lagi, hendaklah didirikan solat sunat witir satu rakaat lagi dengan niat menggenapkan solat witir yang awalnya tadinya.

Kesimpulannya, solat sunat witir adalah solat yang didirikan sebagai mengakhiri solat-solat lain pada sesuatu hari tersebut. Ini bermaknya, sebelum mendirikan solat witir perlu didahulukan solat lain terlebih dahulu kerana solat ini adalah penutup dan tidak ada lagi solat selepasnya.

Semoga kita sentiasa melazimi solat-solat sunat dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dan sentiasa berdoa agar segala amalan kita diterima baik olehNya, amin.

 

 

 

Rujukan

Sukakan artikel ini? Jemput cuba membaca cara solat tahajud , solat sunat tasbih dan solat taubat.

Penulis: Noor Hazreen Mohd Mokhtiar

Noor Hazreen Mohd Mokhtiar

Berkhidmat sebagai seorang guru tuisyen Bahasa Melayu mendatangkan minat dalam bidang penulisan.Suka berkongsi idea dan info dengan rakan-rakan tak kira di alam maya atau realiti . Mengharapkan setiap yang membaca mendapat manfaat yang sebaiknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.