Amalan tradisi Hari Raya Aidilfitri, pastinya dilakukan setiap kali menyambut perayaan ini. Bagi mereka yang beragama islam, Hari Raya Aidilfitri pastinya menjadi salah satu perayaan yang ditunggu. Sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula setelah habisnya ibadat puasa di bulan Ramadhan. Aidilfitri merupakan hari yang istimewa kerana mengandungi pelbagai peristiwa yang bermakna.

Kebiasaannya, pada Hari Raya, umat islam akan balik ke kampung halaman untuk berkumpul bersama keluarga. Mereka akan menikmati makanan tradisi seperti rendang, lemang, ketupat dan kuih raya. Pada hari ini juga, anak-anak akan bermaaf-maafan sesama mereka.

Lebih menarik lagi, sambutan Hari Raya Aidilfitri ini disambut oleh semua individu yang beragama islam tanpa mengira pangkat. Mereka akan memakai baju tradisional seperti baju kurung dan baju melayu yang baru. Sama seperti sambutan perayaan agama lain, agama islam juga menyambut perayaan mereka pada setiap tahun. Senarai di bawah merupakan antara amalan tradisi Hari Raya Aidilfitri yang selalu dilakukan oleh setiap individu.

Memberikan Duit Raya

Imej via [thevocket]

Memberikan duit raya pada kanak-kanak menjadi kebiasaan yang dilakukan semasa Raya Aidilfitri. Walaupun sebenarnya memberikan duit bukan satu kemestian, tetapi ia memberikan rasa gembira kepada kanak-kanak.

Pemberian duit raya dianggap sebagai sambungan sedekah ketika berakhirnya bulan Ramadhan. Ramai yang beranggapan dengan memberikan duit raya dapat merapatkan ikatan dan mewujudkan interaksi di antara kanak-kanak dan orang dewasa.

Lebih menarik lagi, kanak-kanak akan mengunjungi rumah-rumah jiran untuk mengutip duit raya. Hal ini secara tak langsung mendidik mereka untuk belajar mengunjungi jiran-jiran. Secara tak langsung, perbuatan ini dapat merapatkan silaturahim di antara jiran-jiran.

Walau bagaimanapun, duit raya hanya akan diberikan pada usia tertentu sahaja. Kebiasaannya, duit raya akan diberikan sehingga mereka tamat sekolah menengah. Tetapi ada juga keluarga yang memberikan duit raya selagi seseorang itu tidak bekerja. Jika anda belum bekerja, ada kemungkinan untuk anda mendapatkan duit raya!

Kunjung Mengunjungi

Imej via [bharian]

Pada Hari Raya Aidilfitri, ramai yang balik ke kampung untuk menyambut raya bersama keluarga besar. Disebabkan ramai sahabat dan sanak saudara yang balik, tuan rumah cenderung mengadakan rumah terbuka.

Semasa mengunjungi rumah terbuka juga, ramai yang melakukan konvoi. Rumah terbuka secara umumnya dibuat bagi menjamu tetamu yang datang ke rumah mereka. Kunjung mengunjung semasa hari raya menjadi tradisi yang diikuti sehingga kini.

Disebabkan kesibukan bekerja atau belajar menyebabkan kita jarang meluangkan masa dengan keluarga besar, Tetapi pada hari raya, mereka akan mengunjungi rumah sanak-saudara yang jauh mahupun dekat. Ini dilakukan untuk merapatkan silaturrahim dan bertanya khabar.

Tradisi kunjung mengunjungi ini bukan sahaja dilakukan sesama saudara-mara jauh mahupun terdekat, ia juga dilakukan sesama jiran tetangga. Walaupun amalan kunjung mengunjungi ini memenatkan, namun tradisi ini sangat seronok untuk dilakukan kerana dapat berjumpa dengan keluarga yang jauh.

Bermaaf-maafan

Imej via [theasianparent]

Antara amalan tradisi Hari Raya Aidilfitri ialah bermaaf-maafan. Bulan syawal juga dianggap sebagai bulan kemaafan. Disebabkan itu, semasa 1 syawal, ahli keluarga akan berkumpul beramai-ramai untuk bersalam-salaman dan meminta maaf.

Amalan ini kebiasaannya dilakukan mengikut turutan iaitu dari tua ke muda. Semasa bersalam untuk meminta maaf, mereka akan mengucapkan “Selamat Hari Raya” yang juga diikuti dengan kata “Maaf Zahir dan Batin”. Amalan ini telah dilakukan sejak dahulu dan sehingga kini masih menjadi adat yang wajib dilakukan setiap kali Raya menjelma.

Sebab bermaafan ialah untuk melupuskan kesalahan kita kepada individu yang tertentu. Meminta maaf juga dapat mengurangkan rasa bersalah dalam diri seseorang. Manakala, bagi yang memberikan maaf pastinya akan mengurangkan terasa hatinya kepada seseorang yang melakukan kesalahan kepadanya.

Kad Raya

Imej via [sinarharian]

Kad raya merupakan antara tradisi yang akan dilakukan ketika Raya Aidilfitri. Kad raya kebiasaannya mengandungi ucapan yang ditulis kepada keluarga mahupun rakan-rakan yang berada jauh dari kita. Mereka yang menerima kad raya pastinya akan merasa gembira.

Kad raya boleh didapati dalam pelbagai saiz, bentuk dan kata-kata. Lebih menarik lagi, terdapat juga kad raya dengan lagu raya apabila kad dibuka. Kad raya dengan kagu raya dianggap sebagai kad yang paling mahal pada zaman dahulu.

Tradisi menghantar kad raya sangat popular pada zaman dahulu. Pada masa Ramadhan, para posmen kebiasaannya sudah mula sibuk untuk menghantar kad raya pada bulan puasa. Kad raya yang diterima juga ada yang diperagakan di dinding-dinding semasa hari raya.

Walaupun pemberian kad raya semakin berkurang, tetapi amalan ini masih ada yang melakukannya sehingga kini.

Memasang Pelita

Imej via [alamy.com]

Pemasangan pelita pada malam raya telah menjadi amalan tradisi bagi memeriahkan suasana kampung semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri. Malah, terdapat juga pertandingan yang dianjurkan bagi melihat kampung mana yang paling cantik dan meriah.

Pelita yang dipasang juga terdapat dalam pelbagai bentuk dan warna. Ada yang diperbuat dari buluh, pelita tempurung, pelita plastik serta pelita elektrik yang berfungsi untuk menyinari rumah pada malam raya. Pelita ini juga kebiasaannya akan ditusuk ke tanah depan rumah mahupun diikat pada pagar-pagar.

Pemasangan pelita juga masih menjadi amalan wajib terutamanya mereka yang duduk di sebelah Timur. Munculnya idea-idea yang menarik dengan Menyusun pelita menjadi bentuk wau bulan, ketupat dan banyak lagi. Kebiasaannya, pada musim raya, kecerahan cahaya pelita dan lampu yang menghiasi jalan dapat dilihat pada malam raya.

Buat Kuih Raya

Imej via [says.com]

Juadah raya yang menjadi kebiasaan ialah kuih raya. Kuih raya akan dibuat bersama-sama keluarga seminggu sebelum raya menjelma. Masyarakat dulu akan meluangkan masa bersama keluarga bagi membuat kuih raya bagi dihidangkan kepada mereka yang datang beraya. Kuih raya yang biasa dibuat adalah kuih tart, kuih suji, kuih buah gajus dan banyak lagi.

Terdapat pelbagai biskut raya yang kebiasaannya dihidangkan oleh tuan rumah. Rasa kuih yang berbeza juga menjadi tarikan kerana kuih raya dibuat dengan air tangan mereka sendiri. Pada masa dahulu, setiap rumah akan menyajikan kuih raya yang berbeza. Jadi anda boleh merasai sendiri pelbagai jenis kuih ketika beraya.

Walaupun Nampak sukar, aktiviti membuat kuih raya ini dapat merapatkan hubungan kekeluargaan. Hal ini kerana kita akan berinteraksi dan meluangkan masa yang lama semasa proses pembuatan kuih raya. Walaupun kini ramai yang lebih suka untuk membeli kuih yang telah siap, tradisi membuat kuih sendiri ini masih kekal dalam diri sesetengah individu.

Gotong Royong Siapkan Juadah Raya

Imej via [twitter]

Tradisi raya ini masih ramai yang melakukannya. Ketika malam raya, ramai diantara kita yang akan menyediakan bahan-bahan untuk memasak rendang, lemang, menganyam ketupat dan banyak lagi.

Kaum wanita kebiasaannya akan berkumpul di dapur dan bergotong royong untuk menyiapkan bahan-bahan juadah raya. Pada malam raya juga, mereka akan mula mengisi balang-balang kuih untuk dihidangkan pada hari esok.

Lebih menarik lagi, pada zaman dulu, mereka akan mula memasak dodol dan rendang di dalam kawah yang besar. Kaum lelaki akan membantu untuk membakar lemang. Walaupun sesi membuat dodol tidak banyak dilakukan pada malam raya, masih ada diantara mereka yang masih memegang tradisi ini untuk merapatkan silaturrahim.

Bermain Mercun dan Bunga Api

Imej via [mynewshub]

Kalau bercakap mengenai bermain bunga api mahupun mercun, aktiviti ini menjadi satu hal yang sememangnya akan dilakukan pada malam raya. Aktiviti ini bukan sahaja menjadi kegemaran kanak-kanak, malah orang dewasa turut mengambil bahagian dalam memeriahkan malam raya.

Pada malam raya, hampir semua jiran akan berkumpul untuk melihat mercun dibakar. Kanak-kanak pula kebiasaannya akan diberikan bunga api untuk bermain di tengah laman rumah. Suasana bermain bunga api pastinya menjadi aktiviti yang dapat memeriahkan malam raya.

Walaupun mercun kini lebih pelbagai, namun fungsinya untuk memeriahkan malam raya adalah sama. Pada masa dahulu, orang dewasa akan membakar mercun buluh yang pastinya akan didengari oleh orang kampung kerana bunyi letupan yang kuat. Hari Raya dan mercun sememangnya tidak dapat dipisahkan.  

Kesimpulan

Walaupun tradisi raya pada masa kini tidak seperti dahulu, namun kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri masih meriah seperti masa dahulu. Kita seharusnya mengekalkan amalan tradisi Hari Raya Aidilfitri ini untuk generasi yang akan datang supaya tidak ditenggelami zaman.

Kemeriahan sambutan Raya Aidilfitri pada asasnya adalah untuk merapatkan silaturahim diantara umat islam dan keluarga yang jauh. Sangat penting untuk memahami dan menghargai amalan dan tradisi pada zaman dahulu agar kemeriahan semasa Hari Raya Aidilfitri dapat dirasai tidak kira tua atau muda.

Anda juga dijemput untuk membaca artikel menarik kami yang lain seperti:

Rujukan:

Penulis: Saiful Izzuan

Menulis berkenaan tips motivasi dan kejayaan di blog drInspirasi.com. Seorang yang gemar berkongsi mengenai prinsip Kejayaan dan Bakat. Kebanyakan artikel beliau boleh dibaca di www.drinspirasi.com

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.