Sebenarnya, mencukur rambut bayi yang baru lahir bukan sekadar adat orang Melayu, tetapi ia merupakan amalan yang disarankan dalam Islam. Malah lebih afdal dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/299) ada menyatakan sunat mencukur rambut anak lelaki dan perempuan selepas penyembelihan aqiqah pada hari yang ketujuh dan bersedekah emas atau perak mengikut berat rambut tersebut.

 

Ini berdasarkan hadith daripada Saidina Ali R.A, katanya, Rasulullah SAW mengaqiqahkan seekor kambing bagi al-Hasan dan bersabda:

عَقَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْحَسَنِ بِشَاةٍ وَقَالَ: يَا فَاطِمَةُ احْلِقِى رَأْسَهُ وَتَصَدَّقِى بِزِنَةِ شَعْرِهِ فِضَّةً، قال: فَكَانَ وَزْنُهُ دِرْهَمًا أَوْ بَعْضَ دِرْهَمٍ

Maksudnya: “Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah perak mengikut berat rambut tersebut.” Ali berkata: “Fatimah pun menimbang rambut itu dan mendapati beratnya satu dirham atau setengah dirham.” (HR al-Tirmizi & Al-Baihaqi)

Imej via majalahpama

Memandangkan amalan mencukur rambut bayi yang baru dilahirkan ini adalah anjuran agama, maka adalah lebih baik kita lakukannya dengan cara yang betul mengikut sunnah iaitu mencukur rambut sehingga botak. Bukan sekadar menggunting beberapa helai rambut untuk buat syarat sahaja.

 

"

Apakah Hikmah Mencukur Rambut Bayi?

Islam sememangnya agama yang penuh dengan hikmah, malah amalannya selari dengan fakta sains. Mencukur rambut bayi bukan amalan yang sia-sia, malah tujuannya adalah untuk menjaga kebersihan dan memastikan anak kecil itu bebas dari penyakit. Ia bagi membuang rambut bayi yang pernah diselaputi darah semasa dalam kandungan dan proses kelahiran.

 

Tips Mencukur Rambut Bayi

Mengikut adat orang Melayu, kenduri cukur jambul akan diadakan untuk mencukur rambut bayi yang baru lahir. Hakikatnya, tanpa kenduri sekalipun, ayah dan ibu boleh melakukannya di rumah sendirian tanpa sebarang majlis keraian.

Memandangkan kepala bayi masih lagi lembut, jadi ayah dan ibu harus berhati-hati semasa mencukur rambut si kecil. Bagi mengelakkan kepala bayi tidak terluka semasa proses mencukur, terdapat beberapa tips yang anda boleh cuba.

 

1) Sediakan peralatan yang mencukupi

Sediakan peralatan yang perlu sebelum anda mula mencukur rambut bayi. Antara alatan yang diperlukan adalah:

– Pisau pencukur

– Gunting

– Bekas berisi air & syampu bayi

– Tuala

 

2) Persiapan sebelum mencukur

Sebelum anda mula cukur, pastikan anda telah bersedia. Cuci tangan anda sebelum mencukur. Dan bagi ayah ibu yang pertama kali melalui pengalaman ini, pastinya ada sedikit perasaan gementar. Oleh itu, adalah penting untuk anda pastikan diri anda dalam keadaan tenang. Selain itu, pastikan bayi berada dalam keadaan selesa dan nyaman. Mungkin anda boleh cukur kepala semasa bayi sedang tidur atau selepas menyusu. Namun, jika bayi sedang berjaga, ayah dan ibu perlu bekerjasama. Mungkin ibu boleh memangku bayi manakala ayah pula mencukur kepala bayi.

 

3) Cukur rambut bayi dengan cara yang betul

Untuk memastikan kepala bayi tidak terluka, anda harus tahu mencukur rambut bayi dengan cara yang betul. Semasa proses mencukur, mata pisau pencukur mungkin jadi tumpul, jadi sediakan beberapa pisau pencukur untuk melancarkan proses mencukur rambut bayi anda.

 

4) Sediakan bekas plastik dan penimbang

Sediakan bekas plastik dan penimbang untuk menimbang bekas plastik semasa kosong dan juga bekas plastik selepas diisi dengan rambut yang telah dicukur.

Alat penimbang yang digunakan haruslah penimbang yang digunakan untuk menimbang emas. Sekiranya tidak ada, anda bolehlah sediakan 2 bekas plastik yang sama. 1 biarkan kosong, 1 lagi untuk isi rambut yang telah dicukur. Selepas selesai proses mencukur, anda boleh ke kedai emas untuk menimbang berat rambut tersebut.

Imej via korbanaqiqah

Cara Mencukur Rambut Bayi

1) Setelah ayah ibu dan bayi dalam keadaan tenang, bolehlah mulakan proses mencukur rambut bayi.

2) Gunting rambut bayi terlebih dahulu sekiranya rambut terlalu lebat.

3) Kemudian, mula mencukur rambut bayi dari atas ke bawah.

4) Basuh pisau tadi dengan air berisi shampo tadi.

5) Setelah habis dicukur, rapikan dengan mencukur dari bawah ke atas hingga habis sisa rambut terbuang.

6) Selepas licin, lap kepala bayi dengan tuala.

 

Cara Menimbang Rambut Bayi

Menurut hadith di atas, adalah sunat untuk bersedekah dengan nilai timbangan rambut bayi yang baru lahir dengan nilaian perak atau emas. Oleh sebab itu, rambut bayi yang dicukur tadi perlu dikumpulkan untuk ditimbang.

1) Timbang bekas plastik yang kosong.

2) Timbang bekas plastik yang telah diisi dengan rambut yang dicukur.

3) Tolak perbezaan berat untuk dapatkan berat rambut sahaja tanpa berat plastik.

4) Darabkan berat rambut dengan nilai emas semasa. Jika tak mampu, boleh guna nilai perak.

Imej via thereporter

Contoh cara kiraan:

Nilai emas semasa: RM215/gram

Berat bekas platik kosong: 2g

Berat bekas plastik+rambut: 2.99g

Maka, berat rambut adalah 0.99gram

 

0.99g x RM215 = RM212.85

RM212.85 dibundarkan kepada nilai terdekat, iaitu RM213. Namun begitu, jika anda ingin bersedekah lebih dari nilai tersebut juga dibolehkan.

Setelah dapat nilai tersebut, maka bolehlah anda mencari orang fakir atau miskin dan bersedekah dengan nilai duit itu kepada mereka. Jika tak kenal sesiapa fakir dan miskin, anda bolehlah tanya kepada AJK surau atau masjid di kariah anda. Kebiasaannya mereka tahu siapa golongan fakir dan miskin di kawasan anda.

 

Kesimpulannya, cukup rambut bayi yang baru lahir adalah amalan yang disunatkan dalam agama Islam. Ia bukan sekadar adat orang Melayu. Oleh sebab itu, adalah lebih baik pelaksaannya mengikut cara yang diajarkan Nabi SAW kepada kita. Bukan sekadar ikut-ikutan seperti apa yang diamalkan dalam adat majlis cukur jambul.

Imej via hargaemas

Amalan bersedekah dengan nilai timbangan rambut bayi yang baru lahir dengan nilaian perak atau emas adalah tanda kesyukuran kerana dikurniakan cahaya mata. Kegembiraan itu dizahirkan dengan amalan bersedekah.

Marilah sama-sama kita mendoakan semoga anak dan zuriat keturunan kita menjadi anak-anak yang soleh solehah.

 

Rujukan:

Artikel Menarik Lain:

Penulis: Aniuna

Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.