Siapa itu Wali Songo? Ayuh kenali sedikit sebanyak tentang Wali Songo.
Istilah ‘Wali’ merujuk kepada pelindung, teman akrab, dan pemimpin rohani atau orang soleh.
Manakala dalam konteks spiritual, bererti golongan yang memiliki kedekatan khusus atau spiritual dengan Allah SWT atau dikenali sebagai ‘Wali Allah’.
‘Songo’ pula bermaksud ‘sembilan’ dalam bahasa Jawa. Secara keseluruhannya, Wali Songo bermaksud sembilan orang wali atau pendakwah yang sangat berpengaruh dan dihormati sekitar abad ke-14.
Dalam sejarah penyebaran Islam di Nusantara, Wali Songo bukan hanya menyebar agama, tetapi sebagai simbol perjuangan dan pengorbanan dalam menyemai nilai-nilai Islam di Indonesia, khasnya kepulauan Jawa.
Wali Songo berperanan penting dan sangat berjasa dalam membawa masyarakat mendekati Islam, sehingga kekal sehingga hari ini.
Pada awalnya Wali songo adalah sebuah majlis dakwah yang pertama didirikan oleh Sunan Gresik (Maulana Malik Ibrahim) pada tahun 1404 (808 H). Wali Songo Kemudiannya dianggotai oleh; Maulana Malik Ibrahim, Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonang, Sunan Drajat, Sunan Kalijaga, Sunan Kudus, Sunan Muria, serta Sunan Gunung Jati.
Nama sebenarnya ialah Maulana Malik Ibrahim bin As-Sayyid Barakat Zainal Alam bin As-Sayyid Husain Jamaluddin. Beliau juga lebih dikenali sebagai Maulana Malik Ibrahim atau Sunan Gresik. Beliau berketurunan ke-22 Rasulullah SAW.
Sunan Gresik berasal dari Samarkand, dan ada yang menyatakan beliau berasal dari Iran Asia Tengah, Afrika Utara.
Sunan Gresik menjadi pendakwah yang pertama menyebarkan Islam di Jawa, terutamanya di wilayah Gresik, Jawa Timur. Beliau mendirikan masjid dan pusat pengajian atau pesantren di Makassar sebagai pusat mengajarkan agama Islam.
Dalam berdakwah, Sunan Gresik tidak menentang agama dan kepercayaan penduduk asli secara, malah menujukkan keindahan dan kebaikan dalam agama Islam terlebih dahulu. Beliau berdakwah dengan menggunakan budi bahasa yang sopan santun dan berakhlak mulia
Kedatangan Sunan Gresik bersama agama Islam pada masa itu juga telah berjaya mengambil hati masyarakat, terutamanya yang disisihkan akibat perbezaan kasta. Terutamanya dalam komuniti Hindu yang menjadi anutan utama ketika itu.
Dengan cara inilah masyarakat yang tertarik dan menerima Islam dalam kehidupan sehingga semakin ramai yang memeluk Islam. Tambahan lagi beliau bijak mengambil hati dengan mengajarkan cara bercucuk tanam dan ilmu tanama kepada penduduk.
Secara tidak langsung dakyah Islam yang dibawa diterima baik dan tidak ditentang oleh masyarakat setempat.
Sunan Gresik meninggal dunia pada tahun 1419 dan dimakamkan di Desa Gapura, Sukolilo, Gresik.
Nama sebenarnya ialah Sayyid Ali Ramatullah dan nama semasa kecilnya Raden Rahmat.
Sunan Ampel merupakan anak sulung Sunan Maulana Malik Ibrahim yang lahir pada tahun 1401. Beliau lahir di Phan Tiet, Champa (sebuah kerajaan Islam kuno di daerah Vietnam Selatan). Ada riwayat lain menyatakan Kemboja, selain Champa yang dimaksudkan adalah sebuah daerah di Aceh (kini bernama Jeumpa)
Dakwah beliau bermula pada tahun 1443 bersama saudaranya, Ali Musada, dan sepupunya yang bernama Raden Burere di Jawa Timur.
Sunan Ampel bukan sahaja berperanan besar dalam dakwah kepada masyarakat di Jawa dan Nusantara, tetapi berjaya mendidik beberapa pendakwah lain dalam menyebarkan agama Islam seperti: Sunan Giri, Raden Patah, Raden Kusen, Sunan Bonang, Sunan Drajat di pusat pengajiannya, Pesantren Ampeldenta.
Antara kaedah dakwah Sunan Ampel adalah dengan pernikahan. Iaitu dengan menikahkan para pendakwah Islam dengan puteri-puteri pemerintah kerajaan naungan Majapahit.
Walaupun ketika itu pemerintahan Majapahit masih kukuh dan kehidupan masyarakat mewah, Sunan Ampel berani menyebarkan ajarannya di wilayah kerajaan itu.
Usaha beliau ini berjaya mengislamkan lebih ramai golongan rakyat lantaran mengikuti anutan pemerintah mereka.
Secara tidak langsung berjaya mencipta jaringan kekerabatan antara sesama pemerintah yang berlainan wilayah. Sehinggakan dakwah Sunan Ampel tidak sahaja di Surabaya dan ibu kota Majapahit, tetapi meluas sampai ke daerah Sukadana di Kalimantan.
Sunan Ampel mengutamakan dasar Islam iaitu akidah dan ibadah; Moh Limo, iaitu moh main (tidak berjudi), moh ngombe (tidak minum-minuman keras), moh maling (tidak mencuri), moh madat (tidak mabuk), dan moh madon (tidak berzina).
Sunan Ampel memperkenalkan satu hasil kerja berbentuk kipas dari akar tumbuhan dan dianyam bersama rotan, yang akan dihadiahkan kepada penduduk yang mengucapkan dua kalimat syahadah. Para penduduk sangat senang hati kerana anyaman ini mampu mengubati demam dan batuk.
Ketika di Desa Kembangkuning, Sunan Ampel juga meneroka hutan dan mendirikan masjid di sana. Sunan Ampel meninggal pada 1481 di Demak dan dimakamkan di sebelah Masjid Ampel, Surabaya.
Sunan Giri lahir pada tahun 1442 M di Blanbangan, Jawa Timur. Beliau juga merupakan anakanda kepada Syeikh Maulana Ishak (saudara kepada Maulana Malik Ibrahim, ulama tersohor yang mengislamkan Samudera Pasai). Jadi Sunan Giri adalah anak saudara Sunan Gresik, dan bersepupu dengan Sunan Ampel.
Sewaktu kecil, nama beliau ialah Joko Samudro. Namun ketika dewasa berganti nama kepada Raden Paku. Beliau juga dikenali dengan nama Prabu Satmata, Sultan Abdul Faqih, dan Raden Ainul Yaqin.
Sunan Giri mengembangakn dakwah Islam dengan mengetengahkan perniagaan kepada masyarakat. Beliau juga mengembangkan pendidikan dengan menerima murid-murid dari pelbagai daerah lain di Nusantara.
Selain itu, beliau juga berdakwah melalui bidang seni yang sangat berjaya menarik minat masyarakat, dan meluas ke Banjar, Martapura, Pasir, Kutai di Kalimantan, Buton, Gowa di Sulawesi Selatan, Nusa Tenggara dan Kepulauan Maluku.
Sunan Giri telah mencipta banyak lagu dalam bahasa Jawa yang diterima masyarakat sehingga kini, seperti; Asmarandana dan Pucung, dan permainan anak-anak lir-ilir, cublak-cublak suweng. Sunan Giri juga menjadi orang pertama yang memperkenalkan seni pertunjukkan wayang.
Beliau meninggal dunia pada tahun 1506 M dan dimakamkan di Desa Giri, Kecamatan Kebomas.
Sunan Bonang atau nama sebenarnya Syeikh Maulana Makdum Ibrahim lahir pada tahun 1465 M. Beliau merupakan anakanda kepada Sunan Ampel dengan Nyai Ageng Manila. Beliau juga bersaudara dnegan Sunan Drajat.
Sunan Bonang membawa unsur Islam tanpa mengubah budaya dan adat kebiasaan masyarakat setempat. Beliau menggunakan pertunjukan wayang dan permainan gamelan bonang untuk menarik perhatian masyarakat dalam berdakwah.
Beliau juga seorang pendakwah yang sangat arif dalam ilmu Fekah, Usuluddin, Tasawuf, Seni, Sastera, Binaan, selain memiliki ilmu silat yang tinggi. Dan beliau sangat terkenal sebagai pakar dalam Ilmu Kalam dan Ilmu Tauhid.
Pada awalnya beliau menuntut ilmu di Pasai, sebelum pulang dan mendirikan pesantren di Tuban. Sunan Bonang sangat terkenal sebagai seseorang yang sangat pandai mencari sumber air di tempat-tempat yang kering.
Beliau meninggal dunia pada tahun 1525 dan dimakamkan di Tuban.
Sunan Drajat atau nama sebenarnya Raden Qasim lahir pada tahun 1470 di Ampeldenta, Surabaya. Beliau juga digelar Raden Syarifudin, selain memiliki beberapa nama lain, seperti Raden Syarifuddin, Masaikh Munat, Sunan Mayang Madu, Pangeran Kadrajat, dan Maulana Hasyim. Beliau juga mendapat gelaran Sunan Mayang Madu oleh Raden Patah dari Demak.
Sunan Drajat merupakan anak bongsu Sunan Ampel dengan Nyi Ageng Manila, dan adik kepada Sunan Bonang.
Sunan Drajat terkenal sebagai seorang pemuda yang cerdas. Beliau berdakwah dengan cara mendirikan rumah-rumah anak yatim piatu atau golongan miskin. Beliau membina beberapa pesantren untuk menyebarkan Islam. Antaranya Pesantren Dalem Duwur, di Desa Drajat, Paciran, Kabupaten Lamongan.
Sunan Drajat suka memberikan nasihat yang sesuai dengan ajaran Islam dan solusi dalam kehidupan kepada masyarakat.
Beliau juga menyebarkan Islam melalui kesenian seperti syair atau tembang-tembang yang diiringi alat muzik tradisional.
Pada tahun 1522 , Sunan Drajat meninggal dunia dan dimakamkan di Desa Drajat, Paciran, Lamongan, Jawa Timur.
Sunan Kudus atau nama aslinya Ja’far Shodiq merupakan putera dari Raden Ustman Haji dengan Syarifah. Beliau juga digelar sebagai ‘Waliyyul Ilmi’ kerana ketinggian ilmunya dalam pelbagai bidang agama termasuk sastera dan mantik.
Sunan Kudus berasal dari keluarga bangsawan kerajaan Demak, selain memiliki salasilah keturunan Rasulullah SAW melalui jalur Husain bin Ali RA. Bapanya, Usman Haji bin Ali Murtadha merupakan saudara kandung Sunan Ampel.
Beliau adalah penuntut terbaik dari Pesantren Ampeldenta milik Sunan Ampel sehingga akhirnya mahir dalam bidang agama seterusnya menyebarkan Islam.
Strategi dakwah Sunan Kudus adalah dengan mendekati dan mengadakan hubungan yang baik dengan penduduk setempat.
Selain itu, sambil berdakwah Sunan Kudus memahami keperluan penduduk. Beliau mengajarkan kepada penduduk membuat alat-alat pertukangan seperti keris dan alatan harian lain.
Sunan Kudus juga berdakwah melalui kesenian, termasuklah terlibat dalam seni bina bangunan Masjid Menara Kudus yang berunsurkan simbol Buddha. Ini bagi mendekatkan masyarakat dengan Islam, selain menjadikan Islam sebagai amalan hidup tanpa membuang budaya asal.
Sunan Kudus meninggal dunia pada tahun 1550, ketika menjadi Imam solat Subuh di Masjid Menara Kudus, dalam keadaan sujud. Jasadnya dikebumikan di masjid itu juga.
Nama sebenarnya ialah Raden Mas Said atau Raden Mas Syahid lantaran darah bangsawan yang dimilikinya. Sunan Kalijaga lahir pada tahun 1450 merupakan seorang putera dari Tumenggung Wilatiktam yang memimpin Tuban.
Ketika usia mudanya, Sunan Kalijaga gemar melakukan perjalanan jauh sehingga akhirnya bertemu dengan Sunan Bonang dan menjadi muridnya. Selepas itu beliau diperkenalkan kepada Sunan Ampel dan Sunan Giri.
Beliau memulai dakwahnya di Desa Kalijaga, Cirebon. Tumpuan dakwahnya ketika itu kepada masyarakat Indramayu dan Pamanukan.
Cara dakwah Sunan Kalijaga adalah melalui seni dan budaya, iaitu lagu dan muzik. Beliau telah mencipta lagu berjudul Kidung Tengah Wengi, Lir-ilir, Sluku-Sluku Batok, dan Turi-Turi Putih.
Beliau juga berdakwah dengan cara memainkan wayang dan mengadakan pertunjukan secara percuma. Sunan Kalijaga menciptakan beberapa lakon pewayangan, berjudul Dewi Ruci, Jimat Kalimasada, Petruk Dadi Ratu.
Strategi dakwah ini ternyata berhasil menarik perhatian dan minat dari masyarakat sekitar sehingga tersebar.
Diriwayatkan beliau meninggal sekitar tahun 1580 dan dimakamkan di di Desa Kadilangu, Kabupaten Demak.
Nama sebenar Sunan Muria ialah Raden Umar Said. Beliau merupakan anakanda kepada Sunan Kalijaga dan cucu kepada Maulana Ishak kerana ibunya Dewi Sarah adalah puteri Maulana Ishak.
Sunan Muria juga merupakan adik ipar kepada Sunan Kudus kerana isterinya Dewi Sujinah binti Sunan Ngudung adalah adinda Sunan Kudus.
Walaupun berasal dari keluarga kenamaan dan berpengaruh di Kesultanan Demak, Sunan Muria lebih senang untuk tinggal di daerah yang terpencil dan bergaul dengan rakyat jelata.
Nama ‘Sunan Muria’ diberikan lantaran beliau menetap di Gunung Muria di Kabupaten Kudus, Kabupaten Jepara, serta Kabupaten Pati.
Cara Sunan Muria menyampaikan dakwah hampir sama seperti bapanya Sunan Kalijaga, iaitu melalui pendekatan budaya, kesenian dan penulisan.
Sunan Muria mendekati masyarakat dengan mengajarkan mereka pelbagai jenis kemahiran dan pengetahuan asas seperti bercucuk tanam, membuat alatan kemudahan harian, cara berniaga, kesenian dan pelbagai lagi.
Sunan Muria meninggal dunia pada tahun 1551 dan dimakamnya di lereng Gunung Muria, Kecamatan Colo, Kota Kudus.
Sunan Gunung Jati atau nama sebenarnya Syarif Hidayatullah Al-Khan bin Sayyid ‘Umadtuddin Abdullah Al-Khan atau Syarif Al-Kamil, lahir pada tahun 1448. Sunan Gunung Jati juga merupakan Sultan Cirebon pada tahun 1479-1568 dan diberi gelar sebagai Susuhunan Jati.
Beliau mulakan dakwahnya kepada penduduk di daerah Cirebon, Jawa Barat dengan kaedah kebudayaan kesenian. Beliau akan mengenakan ‘bayaran’ ucapan dua kalimah syahadah kepada sesiapa yang ingin menonton pertunjukkan.
Selain itu strategi dakwahnya adalah melalui perkahwinan. Dengan susur galurnya sebagai pemerintah Cirebon, memudahkan beliau memperkuat kedudukan politik dan memperluas hubungannya dengan tokoh yang berpengaruh di daerah Cirebon, Banten, dan Demak.
Kedudukannya juga telah membenarkan usaha dakwah lebih mudah dan diterima baik oleh penduduk. Bahkan rakyat jelata menjalani kehidupan dengan baik dan sejahtera terutamanya di sepanjang pesisir Pantai Cirebon.
Sunan Gunung Jati meninggal dunia pada tahun 1568, di Keraton Kasepuhan, Kota Cirebon.
Bacaan Lain: