Ayuh kenali kisah isteri Firaun yang bernama Asiah Binti Muzahim dan kehebatan beliau mempertahankan keimanannya.

Dalam al-Quran, nama Asiah tidak disebutkan namun dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W  dalam hadis baginda, sabda baginda:

“Wanita penghuni syurga yang paling utama adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran dan Asiyah binti Mazahim isteri Firaun.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Thabrani)

Asiah binti Muzahim merupakan isteri kepada Firaun serta ibu angkat kepada Nabi Musa A.S. Allah S.W.T menurunkan ujian kepada wanita hebat ini dengan diberikan seorang suami yang kufur, kejam serta kuat menentang agama Allah S.W.T.

Dalam kekejaman dan ketaksuban suaminya yang mengakui diri sebagai tuhan, Asiah telah bertindak ‘menentang suaminya’ dengan memeluk agama Islam dan beriman kepada Allah S.W.T secara rahsia dan sembunyi. Pengislaman dan keyakinannya terhadap agama Allah bermula sewaktu melihat mukjizat Nabi Musa A.S dengan tongkat baginda bertukar menjadi ular.

Dikatakan  Asiah berasal daripada kerabat yang kaya-raya selain seorang yang cantik serta mempunyai budi pekerti yang baik. Beliau juga seorang yang rendah diri serta tidak sombong dengan kekayaan serta pangkat kedudukannya.  

Namun setelah memeluk Islam, Asiah tidak lagi melihat istana Firaun sebagai sebuah kebahagian tetapi memilih cinta Allah S.W.T sehinggakan beliau rela disiksa oleh suaminya sendiri. Firaun yang sangat marah dan berdukacita dengan tindakan Asiah yang enggan mengakuinya sebagai tuhan telah bertindak menyiksa isterinya itu sehingga mati.

Kisah isteri Firaun ini dibicarakan Allah S.W.T dalam al-Quran menerusi surah at-Tahrim: 11. Allah berfirman yang bermaksud,

“Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata; “Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.”

(at-Tahrim : 11)

Doa Asiah ini dirakamkan oleh Allah S.W.T bagi memberikan gambaran bahawa kesenangan dan kebahagiaan hidup ini bukanlah di dunia semata-mata, tetapi ganjaran di akhirat adalah  lebih utama.

Keistimewaan Asiah binti Muzahim

  1. Ketabahan Asiah sangat luar biasa kerana mampu bertahan dengan suami yang sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan, selain kufur dan mengakui dirinya tuhan.
  2. Kesabaran yang ditanggung oleh Asiah tidak mungkin mampu dilakukan oleh orang lain.
  3. Kehebatan Asiah dalam menundukkan nafsunya; iaitu terhadapa kesenangan duniawi. Semua harta dan kemewahan telah ada di depan mata tetapi Asiah tetap memilih syurga Allah S.W.T.
  4. Asiah lebih memilih Allah daripada suaminya sendiri walaupun suaminya memliki kehebatan sebagai manusia yang berkuasa dan digeruni ketika itu.
  5. Asiah seorang wanita yang berfikiran luas dan sangat berpandangan jauh, beliau menunggu ganjaran Allah di syurga kelak dengan memilih agama Allah S.W.T.
  6. Asiah juga sangat  bijaksana, dia langsung tidak kisah dengan apa-apapun yang menimpa dirinya kerana keyakinannya yang begitu tinggi terhadap Allah. Dia memilih Allah S.W.T bukan suaminya yang mengakui dirinya Tuhan.
  7. Tumpuan  dan tujuan hidupnya adalah sangat jelas iaitu hidup dan mati kerana Allah S.W.T. Biarpun disiksa oleh suaminya sendiri, namun beliau tidak sedikit pun berubah fikiran dan ketetapan.
  8. Beliau adalah salah seorang daripada empat wanita yang mulia dan dijamin memasuki syurga Allah.
  9. Kisah ketabahan Asiah memelihara agama dan mentauhidkan Allah SWT telah diabadikan dalam al-Quran, dalam surah at-Tahrim.

Penutup: Takwa dan Keimanan Lebih Utama Berbanding Kemewahan Harta di Dunia

Kisah Asiah ini bukanlah  sekadar memperlihatkan ketabahan dan kesabaran sebagai seorang isteri kepada sosok yang mengakui dirinya tuhan, tetapi betapa pentingnya untuk bertunjangkan iman yang kuat dan kental sebagai tujuan hidup.

Asiah bukan sahaja wanita berani yang menentang suaminya, tetapi seorang pejuang yang hanya meletakkan Allah  S.W.T sahaja di hatinya, sebab itulah beliau tidak berasa takut atau gentar sedikit pun untuk mengakui bahawa beliau beriman hanya dengan Allah, bukan suaminya  Firaun.

Disebabkan itulah, disebutkan oleh Rasulullah S.A.W bahawa Asiah adalah wanita yang dijanjikan syurga, kerana  meletakkan kecintaan Allah S.W.T di tempat yang lebih utama.

Artikel Lain

Sila baca juga artikel-artikel menarik yang ingin kami kongsikan seperti;

Rujukan

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.