Ayuh ikuti kisah bayi-bayi yang boleh berkata-kata.

Bayi yang boleh berkata-kata merupakan salah satu keajaiban yang berlaku dengan izin Allah S.W.T. Pastinya keajaiban ini untuk memberi pengajaran yang bukan sahaja untuk dikagumi tetapi untuk mengakui keagungan Allah S.W.T yang berkuasa menjadikan sesuatu yang kelihatan mustahil dan luar biasa.

Nabi S.A.W bersabda:

“Tidak ada bayi yang dapat berkata-kata ketika masih dalam buaian kecuali tiga orang bayi. Tiga orang itu ialah Isa anak Maryam, bayi yang membela Juraij dan bayi yang menyusu pada ibunya.”

( Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berikut kisah tiga orang bayi yang terdapat dalam hadis Rasulullah S.A.W:

  1. Nabi Isa – seperti yang al-Quran rakamkan dalam surah Ali Imran: 46.
  2. Bayi dalam kisah Juraij, iaitu bayi yang merupakan anak kepada seorang penzina perempuan dengan penggembala kambing – (Hadis Riwayat Muslim)
  3. Seorang bayi yang bersama dengan ibunya pada zaman Bani Israel – (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi Isa Anak Maryam

Kaum jahiliyah memfitnah ibu Nabi Isa iaitu Maryam berbuat zina sehingga melahirkan anak. Nabi Isa menjawab semua tuduhan itu seperti dalam surah Maryam: 28-34:

“Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!”

(Maryam:28)

Kaum jahiliyah menyatakan kepada Maryam bahawa keturunannya bukanlah daripada penzina dan berakhlak buruk. Lalu Maryam menunjukkan anaknya untuk menjawab tuduhan zina kepadanya.

Melihat keajaiban itu mereka berasa mustahil untuk seorang bayi berbicara. Namun, mereka lupa bahawa Allah S.W.T memberi mukjizat kepada Nabi Isa.

Baginda menjawab tuduhan itu dengan menyatakan, baginda adalah seorang hamba Allah yang diberi kitab Injil dan seorang Nabi.

Baginda diberkati Allah dan diperintahkan untuk solat, berzakat dan taat kepada ibunya, selain tidak sombong, takbur dan derhaka. Bahkan baginda juga dijanjikan keselamatan dan kesejahteraan pada hari dilahirkan dan hari kematian serta pada hari kiamat.

Bayi Yang Membela Juraij

Juraij seorang ahli ibadat yang sangat taat.  Dia telah yang membina surau sebagai tempatnya beribadat. Suatu hari, ketika  dia sedang bersolat, ibunya datang dan memanggilnya di surau itu.

Awalnya, Juraij berkira-kira untuk menjawab panggilan ibunya. Namun, akhirnya dia memutuskan untuk meneruskan solatnya. Ibunya kecewa kerana anaknya itu tidak menyahut panggilannya.

Keesokan harinya, ibunya datang lagi dan memanggil anaknya itu ketika sedang solat. Juraij masih mengabaikan panggilan ibunya dengan meneruskan solatnya. Perkara itu berlaku sebanyak tiga kali sehingga ibu  sedih dan marah, lalu berdoa;

 “Ya Allah, janganlah matikan Juraij sebelum dia melihat wajah wanita-wanita penzina.”

Lalu, pada suatu hari datang seorang  pelacur untuk menggoda dan memfitnah Juraij. Namun Juraij langsung tidak tergugat dan terus khusyuk mendirikan solatnya. Wanita tersebut kecewa dan putus asa lalu menemui seorang pengembala kambing dan berzina.

Tidak lama kemudian, wanita itu hamil dan melahirkan seorang bayi. Namun wanita tersebut mendakwa dan menuduh Juraij adalah bapa kepada anaknya itu. Orang kampung yang terdiri daripada kaum bani Israel berasa marah lalu datang menghancurkan surau Juraij. Mereka sememangnya sudah lama menaruh rasa cemburu atas ketekunan Juraij beribadah.

Juraij terkejut dengan tindakan mereka lalu bertanya dengan sabar akan tindakan mereka. Mereka pun menceritakan hal yang sebenar. Juraij meminta izin untuk bersolat sunat dua rakaat,  kemudiannya meminta dibawakan bayi itu kepadanya, lalu dia  memegang perut bayi itu. Dan bertanya siapa ayahnya.

Bayi itu menjawab, bahawa ayahnya adalah seorang penggembala kambing. Orang kampung berasa sangat malu dan meminta maaf. Mereka mahu membina semula surau daripada emas. Juraij menolak dan meminta surau dibina daripada tanah sahaja.

Bayi Yang Sedang Menyusu Pada Ibunya

Ketika seorang bayi sedang menyusu ibunya, tiba-tiba lalu di hadapan mereka seorang lelaki yang tampan dan menunggang binatang yang cantik. Ibunya tertarik melihatnya dan berdoa agar anaknya menjadi seperti lelaki itu;

“Ya Allah, jadikanlah anakku ini kelak seperti lelaki itu.”

Namun, bayi tersebut berdoa agar dia tidak menjadi seperti lelaki itu. Kemudian, melintas pula seorang perempuan dengan wajah pucat dan kepenatan kerana dikejar oleh orang ramai. Mereka berteriak menyatakan wanita itu pencuri dan penzina. Dalam kepayahan untuk bernafas dan kesakitan, dia berdoa kepada Allah.

Ibu itu berdoa agar anaknya tidak menjadi seperti itu. Namun, anak itu berdoa dia mahu menjadi seperti wanita tersebut.

Ibunya berasa pelik, mengapa anaknya mahu menjadi seperti wanita itu dan bukan lelaki yang pertama melintas tadi. Anak itu menyatakan, lelaki pertama itu penjahat dan wanita tadi merupakan seorang yang mulia di sisi Allah S.W.T dan bukan seperti yang dituduh.

Penutup:

Kekuatan dan keajaiban kuasa Allah S.W.Tmampu melakukan sesuatu di luar ruang fikir kita. Setiap yang berlaku, pastinya memberi pengajaran dan menguatkan keimanan.

Jika anda menyukai artikel ini, pasti anda juga menyukai perkongsian kami yang lain tentang;

Rujukan

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.