Mari bersama ketahui cara mendirikan solat sunat nikah ini.

Solat sunat nikah atau solat sunat mempelai juga dikenali sebagai solat sunat zifaf dalam kalangan ulama. Solat sunat ini merupakan solat yang dilakukan oleh pengantin selepas bernikah.

Berkenaan dengan solat sunat nikah ini tidak ada hadis daripada Rasulullah SAW tentang sunnahnya tetapi hal tersebut menjadi amalan sebahagian para sahabat berdasarkan athar mereka.

Menurut Syeikh Nawawi Bintan;

“Dan setengah dari solat-solat sunat itu ialah dua rakaat solat sunat zifaf. Disunatkan solat ni bagi setiap suami dan isteri yang berniat dengan solat itu akan sunat zifaf iaitu pengantin.”

(Kitab Nihayah Az-Zain)

Ini bermakna solat ini sunat dilakukan oleh kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan sewaktu mula dipertemukan, iaitu selepas berlakunya akad nikah. Dan ketika mendirikan solat sunat ini, iaitu dilakukan ketika mendatangi dan menemui si isteri dalam bilik. Bukannya dilakukan secara langsung selepas akad nikah.

Solat ini dilakukan bersama-sama dengan isteri sebagai makmum. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah; iaitu seorang lelaki telah datang berjumpa dengan Abdullah bin Mas’ud RA lalu berkata:

Sesungguhnya aku telah berkahwin dengan seorang hamba perempuan yang masih dara dan aku takut dia akan membenciku. Berkata Abdullah bin Mas’ud: “Sesungguhnya rasa kasih sayang serta kelembutan itu daripada Allah, dan kebencian itu daripada syaitan. Dia (syaitan) mahu menyemai rasa kebencian kepada kalian apa yang telah Allah halalkan. Sekiranya kamu mendatangi isterimu, arahkan dia untuk solat dibelakangmu dua rakaat.”

(Hadis Riwayat Ibn Abi Syaibah)

Diriwayatkan daripada Abu Said Maula Abu Usaid RA, berkata bahawa para sahabat Nabi yang dijemput ke majlis pernikahannya telah berkata :

“Apabila kamu bertemu dengan isterimu maka solatlah dua rakaat kemudian mintalah doa kepada Allah dari segala kebaikkan isterimu dan mintalah perlindungan dengan Allah dari keburukkannya kemudian hal kamu dengan isteri kamu.”

(Riwayat Ibnu Abi Syaibah)

Berdasarkan dua athar di atas, sebahagian ulama’ mengatakan bahawa hukum solat sunat selepas nikah itu dibolehkan berdasarkan perbuatan para salaf.

Manakala sesetengah ulama berpendapat bahawa solat nikah adalah sunat didirikan sebelum akad. Manakala solat sunat zifaf pula didirikan selepas akad dan ketika bertemu suami dan isteri.

Walau berlaku khilaf, perbuatan mendirikan solat sunat  nikah ini adalah sebuah perlakuan yang  baik dan terpuji, sebagai hamba yang mengharapkan rahmat dan reda Allah SWT.

Waktu Mengerjakan Solat Sunat Nikah

Solat sunat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja sama ada siang ataupun malam. Sebaik-baiknya dilakukan sebelum pasangan suami isteri itu mengadakan hubungan kelamin.

Jumlah rakaat bagi solat ini  adalah sebanyak dua rakaat dengan dituruti dengan sujud syukur. Solat ini sunat dilakukan secara bersendirian ataupun berjemaah bersama pasangan.

Cara Mendirikan Solat Sunat Nikah

Niat:

أُصَلِّي سُنَّةَ الْعُرُوسِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat sunat berkahwin (nikah) dua rakaat kerana Allah Taala.”

Langkah-langkah cara mengerjakan Solat Sunat Nikah:

  • Rakaat Pertama: Membaca surah al-Fatihah, diikuti dengan surah surah lazim seperti surah al-Kafirun. Diikuti dengan rukuk dan sujud seperti solat biasa.
  • Rakaat Kedua. Mulakan dengan takbir intiqalat, baca surah al-Fatihah, diikuti dengan surah lazim seperti Surah Al-Ikhlas. Lakukan rukuk dan sujud.
  • Duduk untuk tahiyyat akhir dan akhiri solat dengan memberi salam.
  • Setelah selesai solat, lanjutkan dengan bacaan doa meminta kepada Allah SWT agar pernikahan tersebut diberkati.

Doa Selepas Solat Sunat Nikah

Adalah sunah untuk pengantin lelaki memegang ubun-ubun isterinya, lalu berdoa memohon keberkatan Allah SWT dalam berumahtangga. Sambil berdoa;

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهَا وَخَيْرِ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا
وَشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ

“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya.”

Penutup: Solat Sunat Nikah Adalah Pengharapan Yang Baik Untuk Pernikahan

Para alim ulama sangat menggalakkan solat sunat nikah ini sebagai permulaan yang baik dalam membina sebuah keluarga, serta menjadi pasangan yang dirahmati Allah SWT.

Solat ini juga sebagai  permohonan ke hadrat Allah agar perkahwinan mereka dikurniakan dengan kebaikan dan dijauhi daripada sebarang keburukan.

Perbuatan yang baik merupakan doa yang baik dari seoang hamba kepada pencipta-Nya. Amiin.

Rujukan:

  1. Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Aku Islam
  3. Majalah Remaja

Bacaan Lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.