Bagaimanakah cara qada solat yang tertinggal? Solat yang ditinggalkan wajib diganti dan dilakukan semula.
Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda panduan yang tepat tentang cara qada solat fardhu.
Dari sudut bahasa, solat bermaksud ‘berdoa dengan kebaikan’. Manakala dari sudut istilah syarak pula bermaksud ‘himpunan perkataan dan perbuatan yang dimulakan dengan takbir (membesarkan Allah), dan diakhiri dengan taslim (memberi salam) dengan syarat-syarat tertentu’.
Setiap umat Islam mengetahui bahawa solat adalah tiang agama, andai lemah atau longgar tiangnya maka runtuhlah agama seseorang itu.
Dengan itu solat adalah wajib hukumnya bagi muslim yang baligh, berakal, suci daripada hadas kecil dan besar. Kewajipan ini ditegaskan Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 43;
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”
Dengan itu, jika seseorang meninggalkan solat secara sengaja boleh membawa kepada kafir. Seperti sabda Nabi SAW;
“Perjanjian di antara kami dan mereka (orang-orang munafiq itu), ialah dengan solat. Maka sesiapa yang meninggalkannya sungguh dia telah menjadi kafir.” – (Hadis Riwayat Ahmad, al-Nasaie, al-Tirmizi dan Ibn Hibban)
Solat fardhu, sama ada ditinggalkan secara sengaja atau tidak adalah ajib diganti atau qada. Tidak kiralah sama ada seseorang itu meninggalkan solat lantaran sebab-sebab tidak ada ilmu, kurang kesedaran mahupun kesibukan urusan kerja dan tanggungjawab.
Solat yang tertinggal tetaplah dikira sebagai ‘hutang’, iaitu berhutang dengan Allah dan wajib ‘membayar’nya dengan menggantikan solat tersebut.
Ia juga disebut sebagai ‘qada’ solat yang bermaksud solat yang ditunaikan selepas waktunya.
Seperti sabda Nabi SAW;
“Hutang Allah itu lebih perlu ditunaikan(diganti)”– (Hadis Riwayat al-Bukhari dan al-Nasa’i)
Terdapat dua situasi solat perlu qada iaitu:
1. Seseorang yang terlupa atau tertidur (tidak sengaja) perlu menggantikannya segera apabila teringat atau terbangun daripada tidur.
Seperti dalam hadis Baginda SAW;
“Barangsiapa yang terlupa solat atau tidur dan terlepas waktunya, kafarahnya bersolatlah sebaik sahaja dia ingat.” – (Hadis Riwayat Imam Muslim)
2. Sengaja melewatkan solat atau mengingkari kewajipan solat fardhu.
Dalam karya al Fiqh al-Manhaji, menyatakan mereka yang melengah-lengahkan solat hingga terlepas waktu atau malas, hukumnya adalah berdosa besar dan perlu menggantikan solat tersebut.
Tidak terdapat lafaz niat khusus dalam menggantikan solat yang tertinggal. Seseorang boleh menggunakan apa-apa sahaja lafaz niat asalkan bermaksud untuk menggantikan solat tersebut.
Berikut panduan niat bagi solat qada lima waktu.
“Sahaja aku solat fardu subuh dua rakaat qada kerana Allah Taala.”
“Sahaja aku solat fardu zuhur empat rakaat qada kerana Allah Taala.”
“Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qada kerana Allah Taala.”
“Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qada kerana Allah Taala.”
“Sahaja aku solat fardu isyak empat rakaat qada kerana Allah Taala.”
Seseorang perlu mengetahui jumlah solat yang perlu diqadanya, iaitu solat yang telah ditinggalkan. Namun jika tidak pasti gantilah solat tersebut sehingga yakin bahawa semua solat sudah diganti (menurut ulama mazhab Syafi’i).
Sebagai mengganti solat, tidak ada waktu tertentu. Menurut Dr. Wahbah Zuhaili, solat harus diganti pada waktu solat fardhu, pada bila-bila masa pun termasuk waktu yang dilarang.
Ulama dalam kalangan Syafi’iyyah, Hanabilah dan Maliki juga mengharuskan solat qada dilakukan pada waktu yang dilarang dan waktu selain itu.
Namun, solat yang tertinggal lantaran terlupa atau tertidur hendaklah segera dilakukan apabila terbangun.
Kesimpulannya, setiap insan pasti pernah terlupa atau terleka, apatah lagi dalam hal mendirikan solat.
Dengan itu sebagai cara membaiki solat fardhu yang tertinggal, gantilah solat tersebut dengan sesegera mungkin. Dan, beristiqamahlah dalam usaha mengganti solat agar dapat ‘membayar’ hutang kepada Allah SWT dengan segera.
Bahkan, berusahalah untuk mendirikan solat pada awal waktu agar dapat sentiasa menjaga waktu solat, selain menghindari daripada tertinggal dan terlupa.
Allah SWT juga sangat suka kepada hamb-Nya yang berusaha mengubah diri ke arah yang lebih baik dan bertaubat pada-Nya. Dengan itu hidup pasti akan menjadi lebih berkat dan dilindungi Allah SWT. Amin.
Selain dari cara qada solat ini, anda juga boleh baca artikel tips kami yang lain berkenaan panduan solat seperti:
Sumber: