Kalau kita perhatikan, Lombok semakin mendapat tempat dihati pelancong dari Malaysia. Apa yang bestnya di Lombok? Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan 25 tempat menarik di Lombok yang pasti membuatkan anda terpesona.

1. Pink Beach (Pantai Tangsi)

Bagi pencinta warna pink, pasti teruja melihat keindahan Pink Beach ataupun Pantai Tangsi ini. Mana tidaknya, pasirnya cukup berbeza dari kawasan pantai yang lain disebabkan oleh terumbu karang dan pecahan cengkerang laut foraminifera yang berwarna kemerah-merahan yang terdapat di sini.

Pantai ini merupakan salah satu daripada 7 buah pantai yang berwarna pink di dunia. Amatlah rugi sekiranya anda melepaskan peluang untuk ke pantai ini sekiranya ke Lombok bukan?

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Thefinder

2. Pantai Sire

Pantai yang dikelilingi oleh pokok kelapa ini merupakan tempat rekreasi yang menarik untuk dilawati bersama keluarga. Aktiviti popular di sini ialah snorkeling. Anda juga boleh merancang untuk bermain golf di padang golf yang terletak berdekatan dengan pantai.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Holidayislombok

3. Lingkoq Datu, Pantai Penyisok

Keindahan lautan Hindi yang terbentang luas dapat dinikmati dari tebing karang yang berwarna keemasan di Lingkoq Datu, Pantai Penyisok ini. Apa yang menarik, sepanjang perjalanan ke sini, anda akan melalui ladang jagung yang terhampar luas. Serius, cantik sangat pemandangannya.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Ayokelombok

4. Gili Kedis

Pulau yang kecil dan tidak berpenghuni ini adalah sebuah pulau yang hanya mempunyai beberapa batang pokok untuk dijadikan tempat berteduh. Untuk mengelilingi sekitar pulau ini hanyalah memakan masa sekitar 10 minit.

Walaupun kecil, keindahan pulau ini tiada bandingnya, berpasir putih, berbatu karang unik dan kejernihan air yang memperlihatkan ikan-ikan berwarna-warni mengujakan sesiapa sahaja yang melawat pulau ini. Kalau anda pergi ke Lombok, jangan lupa untuk pergi ke sini.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Videoblocks

5. Batu Payung, Tanjung Aan

Tebing tinggi semulajadi yang ada di sini pastinya memukau anda. Semuanya berlainan saiz dan bentuk. Jika anda sukakan fotografi, jangan lupa untuk membawa kamera bila ke sini.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Thelangkahtravel

6. Pasar Seni Senggigi

Terletak di persisiran pantai, di Pasar Seni Senggigi terdapat banyak gerai yang menjual pelbagai jenis cenderamata yang terdiri daripada ukiran kayu, lukisan, kain tenun, mutiara, beg, keychain dan banyak lagi.

Sebelum meninggalkan Lombok, pastikan anda membeli sesuatu sebagai tanda ingatan kepada yang tersayang. Apa-apa pun, jangan segan untuk bertawar-menawar harga di sini.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Apwtour

7. Bukit Pergasingan

Terletak pada ketinggian 1670 meter dari aras laut, Bukit Perngasingan adalah sebuah tarikan indah yang perlu anda terokai di Lombok. Mengambil masa sekitar dua setengah jam untuk sampai ke puncaknya, penat lelah pendakian anda ke puncak ini hilang sebaik melihat pemandangan petak-petak sawah dan kebun yang berwarna-warni terbentang ibarat tikar yang dihasilkan dengan penuh ketelitian.

Di sekitarnya pula dihiasi dengan kemegahan Gunung Rinjani, gunung berapi kedua yang tertinggi di Indonesia.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Liburmulu

8. Air Terjun Mangku Sakti

Apa yang menjadikan Air Terjun Mangku Sakti begitu istimewa kalau dibezakan dengan kawasan air terjun yang lain di Lombok? Jika anda menjejakkan kaki ke sini, anda akan dapat melihat pembentukan batuan yang indah, batuan-batuan ini terbentuk hasil aliran air yang tidak putus-putus dari zaman ke zaman.

Jika diamati air terjun ini, anda dapat melihat kondisi airnya yang kelihatan agak keruh kerana kandungan belerang yang terdapat di dalamnya yang dikatakan berkesan menyembuhkan pelbagai penyakit kulit.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Oknusantara

9. Pantai Semeti

Batuan berlapis-lapis yang menghiasi sekitar pantai ini menjadikan ia turut digelar Pantai Krypton.  Apa-apa pun berhati-hati melewati permukaan pantai yang berliku ini. Pastikan anda memakai kasut yang sesuai demi keselamatan anda sewaktu bergerak di atas batuan ini.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Wisatadilombok

10. Air Terjun Benang Kelambu

Indah seperti lukisan, inilah Air Terjun Benang Kelambu. Air terjun yang jatuh dari tebing tinggi ini kelihatan persis kelambu yang berwarna putih.

Air terjun ini bukan terus mengalir ke bawah seperti air terjun yang lain kerana ia melalui tumbuhan yang tumbuh lebat di sekitar tebing. Sebuah pemandangan yang mengasyikkan.

Perjalanan untuk menuju ke kawasan air terjun ini juga tidak kurang indahnya dengan sawah padi yang terhampar di kiri dan kanan serta ladang kopi. Untuk menaikkan lagi semangat anda ke kawasan air terjun ini, dikatakan sesiapa yang berendam badan di dalam air terjun ini akan menjadi awet muda.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Liburmulu

11.  Pantai Gunung Tunak

Salah sebuah lokasi yang menakjubkan yang ada di Lombok ialah Gunung Tunak. Dari gunung ini anda dapat melihat laut biru yang terbentang luas serta tebing-tebing karang yang terbentuk di sekitarnya.

Tak puas dengan pemandangan dari kawasan bukit ini? Anda juga boleh menikmati pemandangan dari sebuah menara yang kelihatan seperti menara elektrik yang terbina di sini. Namun begitu, pastikan jiwa anda kental untuk memanjat menuju ke dek pemerhatiannya kerana tiupan bayu dari laut agak kencang.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Lombokgilis

12. Pulau Gili (Gili Trawangan, Gili Meno & Gili Air)

Pulau Gili merupakan gugusan 3 buah pulau indah yang terletak di sebelah barat laut Lombok. 3 buah pulau ini adalah Gili Trawangan, Gili Meno  dan Gili Air. Antara 3 buah pulau ini, Gili Trawangan adalah pulau yang paling membangun dan popular dalam kalangan pelancong.

Pulau yang akan menyambut anda dengan kedamaian dan lebih privasi pula adalah Gili Meno yang merupakan sebuah pulau yang terkecil dengan pantai berpasir putih. Gili Meno menempatkan banyak lokasi menarik untuk aktiviti menyelam dan juga sebuah taman burung dengan lebih daripada 200 spesies burung.

Pulau yang nyaman tanpa gangguan ramai pelancong, pantai yang menakjubkan dan taman dengan ratusan spesies burung? Boleh bergetar jiwa melancong anda.

pulau-gili-lombok

Sumber Gambar: Wisatalombokaja

13. Gua Bangkang

Teringin merasa sendiri bagaimana perasaannya menjadi seorang ahli arkeologi? Kalau begitu masuklah ke Gua Bangkang. Gua yang sudah berusia ratusan tahun ini kelihatan serupa seperti di dalam filem Hollywood, Indiana Jones.

Nama lain bagi Gua Bangkang adalah Goa Gale-Gale, di sini, anda dapat melihat ribuan ekor kelawar mengepakkan sayap apabila matahari mula terbenam.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Firstlomboktour

 14. Gunung Rinjani

Apa gunanya ke Lombok jika tidak mendekati dan cuba menakluki gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia ini. Walaupun masih tidak berhenti mengeluarkan asapnya, panorama indah yang dihidangkan dari puncak Gunung Rinjani membuatkan ia sanggup didaki. Dengan ketinggian 3726 meter dari aras laut, masa yang diambil untuk sampai ke puncak bukanlah satu atau dua jam tetapi sekitar 4 ke 5 hari.

Oleh itu, sekiranya anda berniat untuk mendaki gunung ini, mantapkan dahulu stamina anda ya. Setelah penat mendaki dari kaki gunung untuk ke puncak, anda akan disambut dengan pemandangan yang sukar dilupakan. Alang-alang sudah sampai ke sini, bermalamlah di puncaknya untuk menikmati keindahan angkasa yang dipenuhi bintang bergemerlapan.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Tribunenews

15. Sumber Air Panas Aik Kalak

Air Panas Aik Kalak ini terletak di lokasi yang agak mencabar juga untuk dicapai iaitu berdekatan kawasan perkhemahan Gunung Rinjani. Walaupun anda perlu menempuhi cabaran sebelum sampai ke sini, khasiat yang dapat diberikan air panas ini sudah cukup untuk mengubati lelah anda.

Air panas di sini dikatakan dapat menyembuhkan seribu satu penyakit termasuklah mempertajamkan pandangan mata. Betul atau tidak, apa kata anda rasainya sendiri.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Phinemo

16. Rinjani Lodge

Siapa tidak excited bila terdengar sahaja kolam infiniti? Kolam yang menyajikan pemandangan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata ini terdapat di penginapan Rinjani Lodge. Dari kolam renang infiniti ini anda dapat menikmati pemandangan gunung dan hamparan hutan yang seluas pemandangan.

Tarikan utama Rinjani Lodge bukan sahaja pada kolamnya yang mampu membuatkan anda terasa seperti di dunia kayangan, malahan kerana lokasinya juga yang agak strategik, terletak berdekatan dengan banyak lagi tarikan lain di Lombok seperti Air Terjun Sendang Gile dan Air Terjun Tiu Kelep yang masing-masing mampu memukau jiwa yang sudah sedia terawang-awang hasil panahan pemandangan dari kolam infiniti tadi.

Jangan pula anda pengsan melihat keindahan alam semula jadi yang bertubi-tubi di Lombok ini, teguhkan jiwa untuk keindahan yang seterusnya.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Bobocantik

17.  Kampung Tetebatu

Lombok bukan sahaja memiliki pulau dan pantai yang indah, malahan juga kawasan sawah padinya yang menakjubkan setanding Bali dan Ubud. Yang mempercantikkan lagi pemandangan sawah padi di Tetebatu ini adalah kerana ianya berlatarbelakangkan Gunung Rinjani.

Selain sawah padi, penduduk di sini turut mengusahakan ladang tembakau, koko, cili, kopi, vanilla dan banyak lagi. Lawatan ke Tetebatu membolehkan anda mendapatkan kesemua penghasilan ini secara segar.  Selain itu, di Tetebatu jugalah anda dapat melihat kehidupan sebenar masyarakat Sasak Lombok.  Sebuah perjalanan yang cukup membuka minda.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Gilisislandfastboats

18. Pantai Senggigi

Tercari-cari di mana lokasi untuk menikmati pemandangan mempesonakan matahari terbenam tanpa perlu mendaki gunung atau melalui jalan-jalan yang sukar ditempuhi? Pantai Senggigi adalah lokasi ajaibnya.

Keindahan sewaktu senja di sini ditambah lagi dengan bayang-bayang hitam dari kejauhan Gunung Agung adalah sebuah pemandangan yang begitu menakjubkan.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Infobudayaindonesia

19. Pantai Tebing

Kalau Pantai Semeti membawa anda ke Planet Krypton, Pantai Tebing pula membawa anda ke Grand Canyon di Amerika. Wow! Di Lombok sahaja anda sudah merasa pengalaman berada di planet dan negara lain.

Pembentukan tebing yang unik di tepi pantai ini adalah kerana letusan Gunung Rinjani Tua pada tahun 1257. Datanglah ke sini untuk menyaksikan sendiri keunikan  yang terbentuk hasil daripada fenomena alam yang dahsyat puluhan ribu tahun yang lalu.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Sasakadie

20. Pantai Tanjung Bloam

Terletak di selatan Lombok, Pantai Tanjung Bloam agak tenang tanpa keriuhan pelancong. Pantai berpasir putih dengan dua buah tebing batu karang di kiri dan kanan menghasilkan sebuah panorama yang cukup memukau jiwa.

Bukan sahaja kerana keindahan pemandangannya, Pantai Tanjung Bloam juga adalah sebuah destinasi yang sesuai bagi anda yang tidak gentar meluncur air ombak yang ganas.

Walaupun tidak sesuai untuk bermandi-manda, aktiviti lain yang dapat dilakukan di sini adalah melihat penyu-penyu bertelur di pesisir pantai kerana Pantai Tanjung Bloam juga sebenarnya adalah salah sebuah kawasan konservasi penyu di Lombok.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Wisatadilombok

21. Pantai Selong Belanak

Panorama yang mengasyikkan dapat anda nikmati sewaktu dalam perjalanan ke Pantai Selong Belanak yang mana di kiri dan kanan anda terhampar bukit-bukau yang penuh kehijauan seperti di dalam certia Teletubbies.

Pemandangan yang sungguh menyegarkan fikiran ini dapat dilihat terutamanya dari bulan Januari ke Mei ketika mana tumbuhan di bukit-bukit ini tumbuh dengan lebatnya.

Setibanya anda di Pantai Selong Belanak pula, anda akan terlihat pasir putih dan lautan dengan ombak yang bergulung-gulung tanpa henti. Tidak jauh dari pantai ini juga terdapat kawasan pertanian yang suasananya dihidupkan dengan petani yang sibuk menggerakkan kerbau.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Eljohnews

22.  Danau Segara Anak

Untuk pengetahuan para anda, Segara Anak membawa maksud anak laut. Ini kerana air dari danau ataupun tasik ini mempunyai warna kebiru-biruan seperti air laut. Tasik ini dipercayai memiliki mitos yang mana sekiranya anda melihat kawasan danau ini dan ia kelihatan luas, bermakna anda memiliki umur yang panjang, tapi kalau danau ini kelihatan kecil, bermakna umur anda pendek.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Indonesiatravel

23. Desa Bayan Sasak

Kawasan perkampungan klasik ini terletak di kaki Gunung Rinjani. Anda sekeluarga pasti teruja melihat pondok-pondok unik milik penduduk di sini yang keseluruhannya dibuat daripada bahan-bahan semula jadi. Hidup di sini sangat tradisonal tanpa sebarang bentuk kemajuan.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Sasakadie

24. Pura Batu Bolong

Terletaknya di Pantai Senggigi, Pura Batu Bolong merupakan sebuah kuil hindu yang terletak di atas tebing batu karang di pantai ini. Kuil ini dibina berhadapan dengan Selat Lombok yang mengarah ke Gunung Agung di Pulau Bali kerana ianya dianggap sebagai tempat tinggal dewa.

Berdasarkan sebuah legenda, dikatakan bahawa pada suatu ketika dahulu kawasan ini dijadikan tempat pengorbanan anak dara untuk diberi makan kepada ikan hiu yang terdapat di laut. Keindahan yang menyimpan kisahnya yang tersendiri.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Tipsjalan

25. Pura Lingsar

Pura Lingsar adalah tempat beribadah yang boleh dikatakan paling unik sekali di Lombok. Pura Lingsar ini bukan sahaja merupakan tempat suci bagi penganut Hindu, tetapi juga bagi mereka yang beragama Islam yang menjadi pengikut Waktu Telu.

Waktu Telu ini adalah sejenis kepercayaan Islam yang hanya wujud di Lombok. Namun begitu, penyatuan tempat suci ini agak masuk akal kerana Waktu Telu sebenarnya merupakan kepercayaan Islam yang dicampuri dengan kepercayaan Hindu Bali dan animisme. Dibina pada tahun 1714, Pura Lingsar terletak di dalam kawasan sawah padi yang tumbuh dengan subur.

tempat menarik di lombok

Sumber Gambar: Flickr

Itulah dia 25 tempat menarik di Lombok yang pastinya buatkan anda terpesona. Selamat Bercuti!

<

Artikel Tempat Menarik Lain

Kami harap anda sukakan senari tempat menarik di Lombok, tidak kisalah sama ada pantai di Lombok ataupun tempat yang lain. Selain tempat di Lombok, kami juga menulis artikel lain. Jemput baca dan jangan lupa share untuk panduan masa hadapan.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.