Sebagai seorang ibu bapa, anda pastinya sentiasa memikirkan tentang masa hadapan anak-anak anda. Di antara perkara paling penting yang akan anda lakukan ialah menyimpan untuk anak anda. Pastinya anda tertanya-tanya apakah tempat simpanan untuk anak yang terbaik, selamat, dan menjanjikan pulangan yang menguntungkan.

simpanan untuk anak
Sumber: Onefamily

Emas

Mungkin anda sedikit skeptikal dengan idea menyimpan emas untuk anak-anak, lebih-lebih lagi jika anak anda ialah lelaki. Simpanan emas yang kami maksudkan ialah anda membeli emas pada hari ini dan menyimpannya untuk tempoh yang lama, katakan selama 18 tahun. Seperti yang anda tahu, harga emas akan sentiasa naik. Jika anda membeli emas dengan harga Rm180 satu gram pada hari ini, 18 tahun yang akan datang pastinya harga emas akan naik berkali ganda.

Bolehlah anda jual emas tadi dan gunakan untuk belanja anak anda masuk ke universiti misalnya, atau pun untuk majlis perkahwinan anak anda. Apakah bentuk simpanan emas yang boleh anda pilih? Anda boleh memilih untuk membeli:

  • Barang kemas 916. Ini adalah jenis emas yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Anda boleh beli barang kemas seperti rantai, rantai tangan, cincin, dan sebagainya dan disimpan sebagai pelaburan.
  • Jongkong emas 999. Ini adalah emas paling asli yang dijual di pasaran. Membeli emas 999 adalah 100% untuk tujuan pelaburan. Anda boleh pilih untuk membeli emas seberat 1 gram, 5 gram, 10 gram, 20 gram, dan sebagainya.
  • Dinar, dirham, dan matawang islam yang lain juga adalah simpanan emas yang boleh anda pilih kerana ia adalah pelaburan yang sangat menguntung dalam tempoh masa yang panjang. Ia adalah cara simpanan untuk anak yang anda wajib pilih.

SSPN-I

Bila sebut tentang PTPTN, pastinya anda terfikir tentang pinjaman pendidikan yang ditawarkan semasa melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. SSPN-i atau nama penuhnya Skim Simpanan Pendidikan Nasional adalah simpanan di bawah PTPTN yang menggalakkan ibu bapa menabung demi masa hadapan anak-anak. Akaun SSPN-I boleh dibuka seawal anak anda berumur 1 tahun. Apa yang lebih menarik, anda akan mendapat pengecualian cukai sebanyak RM6000.00 setahun apabila menyimpan di sini.

Akaun Remaja ASB

ASB adalah tempat simpanan untuk anak yang paling popular di Malaysia. Ini kerana kadar bonus dan pulangannya setiap tahun adalah sangat memberangsangkan. ASB juga terkenal sebagai pelaburan jangka masa panjang yang berisiko rendah dan mempunyai kadar keuntungan yang tinggi dan kompetitif dengan pasaran.

Akaun ASB Remaja adalah skim pelaburan yang boleh disertai oleh kanak-kanak yang berusia seawal 6 bulan. Menarik kan? Untuk mendaftarkan anak anda, dokumen yang perlu anda bawa ialah:

  • Borang Pendaftaran Unit Amanah yang boleh didapati di Pejabat ASB
  • Kad pengenalan dan/atau Sijil lahir anak anda
  • Kad pengenalan penjaga berdaftar
  • Wang tunai
simpanan untuk anak
Sumber: Ringgitmalaysia

Tabung Haji

Tabung Haji adalah satu tempat simpanan untuk anak yang merupakan sebuah pelaburan yang sangat berbaloi. Ini kerana selain nilai dividen dan bonus yang tinggi setiap tahun, jumlah simpanan permulaan untuk membuka akaun di Tabung Haji hanyalah RM2 sahaja. Semua ibu bapa mampu untuk membuka akaun anak di Tabung Haji.

Untuk membuka akaun anak anda di Tabung Haji, dokumen yang perlu anda bawa bersama ialah:

  • Sijil lahir / MyKid anak anda
  • Sijil Nikah ibu bapa

Apa yang lagi menarik, semasa membuka akaun untuk anak anda, anda boleh terus daftarkan haji untuk anak anda. Maksudnya, sebaik sahaja anak anda mempunyai akaun di Tabung Haji, anak anda akan terus masuk ke dalam senarai giliran haji. Menarik kan? Untuk mendaftarkan haji, anda perlu mendepositkan Rm1500 ke dalam akaun anak anda.

Di antara kelebihan menyimpan di Tabung Haji ialah:

  • Modal awal yang rendah iaitu serendah RM2.00 sahaja
  • Modal simpanan anda dijamin oleh kerajaan
  • Kos pengendalian yang rendah
  • Pemberian dividen dan bonus yang sangat kompetitif
  • Dividen dan bonus Tabung Haji adalah dikecualikan daripada cukai
  • Zakat akan terus dibayar oleh pihak Tabung Haji dengan menolak dari akaun anda
  • Simpanan dan pengeluaran tanpa had pada bila-bila masa anda memerlukannya
  • Simpanan patuh syariah
  • Menyimpan sambil menabung untuk menunaikan haji

Tabung Warna

Anda juga boleh menyimpan sendiri di rumah dengan menggunakan tabung warna. Apa yang dimaksudkan dengan tabung warna? Tabung warna adalah satu cara menabung yang paling menarik, mudah dan paling penting sangat menguntungkan. Namun awas! Ianya memerlukan disiplin yang sangat tinggi.

Untuk permulaan, anda perlu tetapkan dahulu warna tabung yang anda ingin simpan. Sebagai contoh, jika anda pilih warna hijau dan oren iaitu not RM5 dan RM20, jadi anda wajib menyimpan duit kertas RM5 dan RM20 setiap kali anda mendapat duit tersebut. Jangan mengelat! Anda perlu disiplin.

Sebaik sahaja mendapat not RM5 dan Rm20, adna wajib masukkan terus ke dalam tabung. Anda tidak boleh membelanjakan duit tersebut. Hujung tahun, adan boleh pecahkan tabung untuk mengeluarkan duit simpanan tadi dangunakan untuk dilaburkan di mana-mana saluran pilihan anda.

simpanan untuk anak
Sumber: Pesonapengantin

Itulah dia info tentang tempat simpanan untuk anak yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga mungkin menyukai perkongsian kami tentang skill komunikasi dengan anak , perkara yang perlu dielakkan jika tak mahu anak jadi biadap, dan kenapa anak suka bertanya sebagai panduan untuk anda.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.