Sekilas nampak macam ikan keli namun bukan. Ikan haruan ialah sejenis ikan air tawar. Ikan haruan hidup di air payau dan biasa didapati di negara-negara rantau Asia Tenggara. Ikan Haruan boleh hidup dalam air yang bertakung, bergerak perlahan, cetek dan berlumpur. Bagaimanapun, kebiasaannya Haruan boleh didapati di kolam, sungai, tasik, terusan pertanian, sawah dan muara sungai.

Haruan terkenal dengan khasiatnya di mana ia dipercayai dapat membantu menyembuhkan luka dalaman serta luaran. Sejak turun-temurun, mereka yang menjalani pembedahan atau kecederaan serius digalakkan menikmati sup haruan. Bahkan kajian ilmiah pula banyak dilakukan untuk mengkaji lagi khasiat ikan haruan. Kita patut bersyukur masih boleh mendapati ikan ini sebagai penyembuh luka alami.

Oleh itu, apabila anda tercari resepi ikan haruan yang sesuai tekak, sinilah tempatnya. Kami telahpun tuliskan 10 resepi haruan. Sila cubakan mana-mana resepi yang rasa sedap dan sesuai tekak. Sayang sangat jika anda tidak cuba masak ikan yang kaya akan manfaat ini bukan? Jom sihat bersama ikan haruan.

Ikan Haruan Pekasam

Imej via Facebook

Imej via Facebook

Siapa biasa makan ikan pekasam? Kalau tahu cara masak yang betul, memang sedap sangat ikan haruan pekasam ini. Sedap dimakan dengan pulut @ nasi putih. resepi dikongsikan oleh Kherel Botaq di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • Ikan disiang bersih (saya pakai 2 ekor ikan haruan),
  • Tepung gandum,
  • Garam kasar,
  • 7-8 asam keping,
  • Beras 1 pot.
Cara-cara :
  1. Basuh ikan dengan tepung gandum untuk hilangkan lendir hanyir ikan haruan.
  2. Perap dengan garam kasar dan asam keping letak lapisan demi lapisan selama 2 malam.
  3. Lepas 2 malam keluarkan ikan tadi, toskan air ikan dan panaskan air ikan itu.
  4. Beras disangai (1 pot).
  5. Tumbuk beras sangai bagi hancur kasar.
  6. Gaulkan ikan dengan beras sangai dan air ikan tadi, tambahkan sedikit garam kasar. Kemudian perap lagi lama lagi sedap.

Asam Pedas Haruan

Imej via Facebook

Asam pedas ikan haruan cara orang kedah, resepi dari orang lama. Dengan kuah yang pekat, makan dengan nasi putih, sedap terangkat betul. Resepi dikongsikan oleh Ieta Afiya di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • Bawang merah*,
  • Cili kering*,
  • Beras 1 sudu*,
  • Belacan*,
  • Lada hitam*,
  • Biji ketumbar*,
  • Jintan manis*,
  • Jintan putih*,
  • Kunyit hidup*,
  • Asam jawa@asam keping,
  • Bunga kantan,
  • Daun kesum.
Cara-cara :
  1. Blend semua bahan bertanda *.
  2. Keladi direbus dulu asing bersama sedikit gula, petua keladi jadi lembik bila dimasak.
  3. Kemudian masukkan bahan blend dalam periuk.
  4. Masukkan air agak-agak kuah tidak cair dan tidak pekat sangat.
  5. Masukkan asam jawa@keping, bunga kantan, daun kesum. Siap.

Ikan Haruan Lada Hitam

Imej via Facebook

Ikan haruan masak lada hitam ini simple-simple saja tapi sedap menyengat. Resepi yang dikongsikan oleh Nazhatulshima Hashim di laman Facebook amat mudah, semudah campak-campak dan tumis-tumis sahaja.

Bahan-bahan :
  • Bawang besar,
  • Bawang putih,
  • Lada hitam,
  • Sedikit halia,
  • Garam dan gula,
  • Sos tiram,
  • Sedikit Ajinomoto,
  • Cabai Melaka.
Cara-cara :
  1. Blend bawang besar, bawang putih, lada hitam dan sedikit halia.
  2. Masukkan bahan blend, masak sampai pecah minyak.
  3. Tambahkan garam, gula, sos tiram, sedikit ajinomoto.
  4. Tambahkan sedikit air.
  5. Masukkan ikan haruan yang telah digoreng. Kacau-kacau.
  6. Akhir sekali masukkan cabai melaka dan hirisan bawang besar. Siap.

Ikan Haruan Masak Gulai Siam

Imej via Facebook

Bila haruan lada hitam belum buat anda terliur, mungkin boleh cuba masak gulai siam. Tidaklah kebosanan masak haruan goreng, dibuat sup atau dibakar cicah air asam. Daun limau purut itulah yang buat dia jadi rasa siam. Resepi dikongsikan oleh Arpah Musman di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • Serai dititik,
  • Ikan haruan,
  • Lobak merah,
  • Kacang panjang,
  • Terung pipit,
  • Daun limau purut,
  • Cili padi,
  • Pucuk lada.
Bahan blend :
  • Bawang merah,
  • Bawang putih,
  • Lengkuas,
  • Belacan,
  • Lada kering,
  • Sesudu lada hitam.
Cara-cara :
  1. Tumiskan semua bahan berserta 1@3 batang serai yang dititik sampai pecah minyak.
  2. Masukkan ikan dan air secukupnya. Biasa separas ikan cukup.
  3. Tambahkan santan sekotak dan asam keping.
  4. Renehkan sampai ikan separa masak.
  5. Masukkan lobak merah, kacang panjang, daun limau purut, terung pipit, pucuk lada, cili padi.
  6. Tambah garam dan perisa.
  7. Biarkan sekejap bagi serap rasa, siap.

Sup Ikan Haruan Mak Timah

Imej via Facebook

Orang yang selepas surgeri atau lepas sunat biasanya dibagi makan sup haruan sebab katanya cepat bagi sembuh luka. Jadi untuk mempercepatkan luka baik, baiknya anda cuba resepi Mastura Liyana untuk masak sup haruan. Tidak rasa hanyir dan boleh hirup kuah untuk buat ubat. Yang baru lepas bersalin pun bagus amalkan.

Bahan-bahan :
  • Ikan haruan,
  • Bawang Putih,
  • Halia,
  • Lada hitam,
  • Asam jawa,
  • Daun sup,
  • Garam.
Cara-cara :
  1. Rebus air agak-agak bagi ikan tenggelam dan berenang. Ikan jangan masuk dulu.
  2. Kemudian masukkan halia dan bawang putih ke dalam air rebusan. Ikut suka letak banyak mana.
  3. Bila air mendidih baru masuk ikan. Kemudian kecilkan api biar ikan mereneh.
  4. Selepas itu masukkan asam jawa 1 sudu dan lada hitam tumbuk ikut suka mahu pedas mana. Kalau ingin rasa lemak-lemak, bubuh garam sedikit.
  5. Bila siap tabur daun sup. Makan bersama nasi dan ulam.

Masak Cuka Ikan Haruan

Imej via Facebook

Ikutkan tips Zuraini Mat Arshad di laman Facebook, kalau ingin makan masak cuka esok, kita kena masak malam ini, baru umpphh! Apapun jom cubakan resepinya.

Bahan-bahan :
  • Ikan,
  • Bawang merah ros,
  • Bawang putih,
  • Halia hiris,
  • Bawang besar belah 4,
  • Biji sawi,
  • Serbuk kunyit,
  • Cuka agak-agak saja,
  • Cili besar belah 4 jangan putus,
  • Cili api belah 2,
  • Garam dan perasa.
Cara-cara :
  1. Ikan haruan dilumur garam kunyit, digoreng dan ketepikan.
  2. Tumis bawang merah ros, bawang putih, hirisan halia, bawang besar dan biji sawi. (Pastikan bawang besar dan bawang putih banyak).
  3. Masukkan air, sedikit kunyit serbuk.
  4. Masukkan cuka dan gula.
  5. Bila mendidih masukkan cili besar dan cili api.
  6. Masukkan garam dan serbuk perasa.
  7. Kecilkan api dan sesuaikan rasa. Mesti ada rasa masam, sedikit manis dan pedas.
  8. Masukkan ikan yang telah digoreng tadi.

Gulai Kuning Ikan Haruan

Imej via Facebook

Resepi gulai ikan haruan yang dikongsikan Ben Safwan ini sepatutnya pakai daun kaduk tapi di sini ganti dengan daun kesum dan letak pucuk manis, sedap juga rasanya. Tips dari mak tuan punya resepi cakap kena letak beras tumbuk/kisar supaya ikan tidak hanyir. Bila siap betul sedap tidak rasa hanyir langsung ikan itu.

Bahan-bahan :
  • 1 kg ikan,
  • 500 ml santan pekat,
  • 400-500 ml air,
  • Daun kesum 4-5 tangkai,
  • 1 keping asam,
  • Garam dan gula.
Bahan kisar :
  • 2 biji bawang saiz 50 sen,
  • 2 ulas bawang putih,
  • ½ sudu makan beras yang direndam air panas 10 minit,
  • 2 hirisan nipis lengkuas,
  • 1 sudu makan cili kisar,
  • 1 inci kunyit hidup.
Cara-cara :
  1. 1 kg ikan potong dan bersihkan. Basuh dengan gandum untuk hilang hanyir dan lendir.
  2. Kisar lumat bahan kisar.
  3. Jika siap kisar, masukkan dalam periuk sekali dengan santan pekat dan air.
  4. Letak daun kesum 4-5 tangkai.
  5. Masukkan 1 keping asam dan didihkan dengan api sederhana. Kacau sesekali untuk elak santan pecah minyak.
  6. Bagi kuah mendidih dulu, letak gula dan garam, terus masuk ikan haruan dan biarkan masak. (Ben guna gula melaka).
  7. Bila ikan sudah masak baru tambah pucuk manis dan perasakan kali kedua biar kena dengan tekak. Siap.

Ikan Haruan Masak Lemak

Imej via Facebook

Ikan haruan masak lemak versi Melaka. Resepi turun-temurun daripada arwah nenek sampai mak tuan punya resepi, Eqyn Lunch Box di laman Facebook. Resepi asal yang sejak dulu menggunakan cili kering dan lada hitam. Resepi ini tidak ada tumis-tumis sebab nanti minyaknya akan keluar sendiri. Lauk ini pula sedap dimakan dengan pucuk ubi celur ulam.

Bahan-bahan :
  • Bawang merah blend,
  • Cili kering (rebus) blend,
  • Lada hitam blend,
  • Kunyit (blend),
  • Kerisik,
  • Daun limau,
  • Asam keping,
  • Santan.
Cara-cara :
  1. Didihkan semua bahan bersama ikan haruan dengan api perlahan sehingga kuah naik minyak @ mendidih hingga ikan masak.

Bantut/Pais Ikan Haruan

Imej via Facebook

Ramaikah yang suka makan macam ini? Bantut haruan merupakan ikan dibelah belakang, disumbat dengan rempah ratus dan kelapa parut kemudian dibakar atau dipanggang. Bakar ikan ini lapik dengan daun kunyit atau daun pisang supaya makin wangi dan sedap. Resepi dikongsikan oleh Kordial Habbatus Sauda Jauzaa di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • Ikan haruan,
  • Daun kunyit@daun pisang buat balut ikan masa bakar.
Bahan A :
  • Cili hidup 4-5 biji,
  • Cili api 10-15 biji,
  • Serai (racik halus-halus dulu) 1 batang,
  • Belacan 2 cm,
  • Kunyit hidup 1 cm.
Bahan B :
  • Kelapa parut sebiji (ambil yang putih sahaja),
  • Air asam jawa,
  • Garam,
  • Gula.
Bahan C :
  • Bawang kecik (racik) 2-3 biji,
  • Daun kunyit muda (hiris halus-halus) 2-3 helai.
Cara buat inti :
  1. Mula-mula blend/kisar semua bahan A sampai halus.
  2. Kemudian campurkan bahan B dalam blender yang masih ada bahan kisar A tadi dan blend lagi bagi sebati cukup rasa semua.
  3. Jika sudah sebati dan cukup rasa semua, tuang masuk dalam mangkuk dan masukkan bahan C, kacau/gaul rata.
Cara-cara :
  1. Ambil ikan yang sudah dicuci bersih, belah belakang ikan, lumur garam kunyit dan sumbat masuk inti yang dibuat tadi.
  2. Kemudian balut ikan yang sudah siap sumbat inti tadi dengan daun kunyit @ daun pisang ikut mana suka.
  3. Kemudian bakar dalam oven suhu 20°C selama 30 minit (ikut saiz ikan ya ikan kami semalam besar saiz dia dalam 33cm) jadinya kalau ikan sederhana@kecil saiznya boleh kurangkan masa bakar ya kalau tidak nanti ikannya kering tidak juicy.

Haruan Lui Suan

Imej via Facebook

Ikan haruan lui suan (nama pangilan thailand) ala masakan thailand. Rasa dia macam ikan 3 rasa tapi bila masuk semua bahan dia lebih sedap dari ikan 3 rasa macam selalu. Nurul Ain Nalydia berkongsi resepi ikan haruan lui suan di laman Facebook. Kesedapannya ikut cita rasa masing-masing ingin pedas, manis atau masin mana yang kita mahu.

Bahan-bahan :
  • Ikan,
  • Air cuka,
  • Serai,
  • Bawang putih,
  • Bawang merah,
  • Kulit limau purut,
  • Lengkuas,
  • Air asam jawa,
  • Sos tiram,
  • Garam dan gula,
  • Tomato potong dadu,
  • Daun limau purut hiris nipis,
  • Daun bawang dan daun sup hiris nipis,
  • Cabai besar hiris nipis.
Cara-cara :
  1. Rendam ikan dalam air cuka dalam 5 minit.
  2. Kemudian basuh dengan air biasa supaya bila goreng jadi lebih garing, hilang bau hanyir dan ikan masak dengan sekata.
  3. Goreng seekor-seekor. Bila agak-agak merah sedikit baru angkat.
  4. Tumbuk serai, bawang putih, bawang merah, kulit limau purut, dan lengkuas. (Jangan blend ya sebab bila blend waktu kita tumis bau tidak sedap).
  5. Rendam air asam jawa untuk buat kuah nanti.
  6. Kemudian tumis bahan tumbuk sehingga garing dan wangi.
  7. Masuk sos tiram sedikit, garam sedikit, gula sedikit dan tumis sehingga pecah minyak.
  8. Jika sudah pecah minyak, masuk air asam jawa, tunggu sehingga berbuih.
  9. Selepas itu masukkan tomato, daun limau purut, daun bawang, daun sup, dan cabai besar hiris.
  10. Tunggu sehingga mendidih dan masukkan tepung jagung sedikit supaya kuah jadi likat.
  11. Jika sudah OK masuk secukup rasa.
  12. Kemudian tuang ke atas ikan tadi, jangan masuk ikan dalam kuali atau gaul dalam kuali sebab ikan akan jadi lembik tidak garing.

Resepi Menarik Lain

Selain resepi kumpulan ikan haruan, kami juga menulis resepi kumpulan lain yang menarik dan senang. Sila baca dan cubakan. Jangan lupa Like dan Share resepi ini ya.

Penulis: Rahayu Z

Pelajar yang menyukai kartun dan muzik. Memiliki hobi menulis mendorong ia untuk berkarya dan berkongsi di Bidadari.my

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.