Mencari resepi daging yang sedap dan menarik untuk keluarga? Ini dia, kami kongsikan 35 resepi daging sedia untuk dicuba.

Resepi-resepi yang kami sediakan ini sangat berbaloi jika anda buat dan hidangkan untuk keluarga. Selain itu, resepi di bawah ini juga sangat sesuai untuk hidangan majlis kenduri mahupun majlis istimewa. Bahkan resepi daging ala restoran boleh anda dapatkan di sini.

Memasak daging bukan lagi hal yang sukar jika anda mengikuti resepi yang kami kongsikan ini. Selamat mencuba resepi-resepi daging yang mudah lagi sedap ini.

Resepi Daging Harimau Menangis

Imej via Facebook

Rasanya kurang lengkap bila tidak letak daging harimau menangis dalam senarai resepi masakan anda. Harimau menangis ialah nama bahagian daging pada lembu. Dan tentunya banyak cara boleh diguna untuk olah daging harimau menangis tersebut antaranya daging bakar harimau menangis dihidang dengan sos seperti resepi yang dikongsikan oleh Cik Puan Sarah di laman Facebook. Namun disebabkan agak sukar cari daging harimau menangis anda boleh tukarkan dengan daging batang pinang sebab ia lembut juga cepat masak.

Bahan-bahan :
  • Lada hitam,
  • Daging,
  • Kicap manis 3 sudu,
  • Kicap lemak/manis 3 sudu,
  • Sos tiram 5 sudu,
  • Madu (suku botol).
    Kalau tidak ada kicap-kicap tersebut boleh bubuh kicap kipas udang saja. Kalau suka daging hitam, letak lebih kicap tersebut. Kalau tidak mau gelap bubuh dua sudu kicap sudah cukup.
  • Kalau suka masin boleh letak garam.
Cara-cara :
  1. Daging dihiris nipis.
  2. Lada hitam pula ditumbuk bagi hancur.
  3. Kemudian gaul rata semua bahan kicap tadi dengan daging.
  4. Simpan daging dalam bekas dan masukkan dalam peti ais. Perap daging lagi lama lagi sedap.
  5. Masak daging cara goreng atau bakar di atas pan non stick sampai kering air dagingnya.
Bahan Sos :
  • Daun ketumbar (hiris halus),
  • Limau/lemon (ambil air sahaja),
  • Cili (ikut kepedasan masing-masing),
  • Gula,
  • Sos thai.
Cara-cara :
  1. Bawang putih dipotong dadu halus.
  2. Masukkan semua bahan.
  3. Tuang sos thai, kacau semua bahan. Siap.

Resepi Daging Dendeng Perak

Imej via Facebook

Lain negeri lain pula masakan dia. Kali ini kami jemput anda terokai resepi daging dendeng Perak pula. Dinamakan begitu sebab dendeng ini dibuat berasaskan citarasa negeri Perak. Penasaran ingin cuba? Jom tengok resepi oleh Nor Hayati Jamaludin berkongsi di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • Daging,
  • Kicap,
  • Serbuk lada hitam,
  • Bawang merah,
  • Bawang putih,
  • Halia,
  • Serai,
  • Cili kering kisar,
  • Air asam jawa,
  • Garam,
  • Gula.
Cara-cara :
  1. Rebuskan daging dengan serai dan bawang putih. (Kalau ingin cepat masukkan dalam pressure cooker).
  2. Kemudian daging dihiris tipis dan ketukkan kemudian gaulkan dengan kicap manis dan kicap masin sedikit dan serbuk lada hitam.
  3. Perapkan sebentar dan goreng, asingkan.
  4. Seterusnya kisarkan bawang putih, merah, halia dan serai. Kemudian toskan airnya. Tapi airnya jangan dibuang boleh guna kemudian.
  5. Tumis bahan kisar tadi dan cili kering yang telah siap kisar sampai terbit minyak.
  6. Terus masukkan air bawang tadi dan sedikit air asam jawa. Masakkan sampai kering dengan api yang sederhana besar.
  7. Perasakan dengan gula, garam dan serbuk perasa.
  8. Bila sudah pekat masukkan daging yang telah digoreng tadi.

Resepi Asam Pedas Daging Tetel Melaka

Imej via Facebook

Tiap kali ke Melaka jangan lupa makan asam pedas daging tetel. Menu ini pedas pekat, makan dengan nasi putih mesti bertambah. Resepi asam pedas daging tetel didatangkan daripada Wan Muhammad Hafiz Satar di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • ½ kg daging tetel direbus hingga empuk,
  • 1-2 batang serai,
  • 1 mangkuk cili kering kisar. Kali ini guna 1 ½ senduk nasi (saya lebihkan cili bagi lagi pekat dan power pedas).
  • 1 biji buah tomato,
  • 1 sudu kecil pes asam jawa,
  • Daun kesum/daun limau purut,
  • Garam.
Bahan kisar :
  • 8 ulas bawang merah,
  • 6 ulas bawang putih,
  • 1 inci halia,
  • ½ inci kunyit hidup,
  • Sebesar ibu jari belacan,
  • 1 biji buah keras,
  • Sedikit halba.
Cara-cara:
  1. Tumis halba kemudian masukkan bahan kisar sehingga naik bau dan masukkan serai dan cili kisar. Tumis sehingga cili masak dan garing menggunakan api perlahan.
  2. Masukkan daging yang telah direbus bersama air rebusan sekali. Kacau rata sehingga daging empuk. Jika belum empuk, boleh tambah air lagi.
  3. Setelah daging empuk, masukkan daun limau purut, buah tomato dan pes asam jawa. Biarkan mendidih lama lama dan kuah sedikit pekat.
  4. Akhir sekali, masukkan garam. Bolehlah angkat dan sedia untuk dihidangkan.

Nota:
Daging boleh tidak perlu direbus dulu terutama jika guna daging batang pinang.

Resepi Kebab Daging

Imej via Facebook

Kebab daging arab punya. Bila makan terasa naik unta. Guna daging kisar Ramly sahaja. Mudah dan berbaloi untuk dicuba. Jemput resepi daripada Emee Sham di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • Daging kisar Ramly,
  • Wrap roll Gardenia,
  • Bawang putih,
  • Bawang Holland,
    (Potong dadu bahan di atas).
  • Cili benggala,
  • Timun potong dadu,
  • Sos cili,
  • Sos lada hitam,
  • Tomato ceri dibelah dua,
  • Italian herbs,
  • Planta.
Cara-cara :
  1. Panaskan planta, masukkan bawang holland dan bawang putih.
  2. Tumis sampai keperangan.
  3. Kemudian masukkan daging kisar, cincang halus dan biar mereneh.
  4. Jika sudah mereneh masukan sedikit air, kacau rata.
  5. Masukkan sos cili dan sos lada hitam, gaul rata.
  6. Taburkan Italian herbs, kacau rata. Biar basah sedikit.
  7. Kemudian masukkan timun, tomato ceri, dan cili benggala.
  8. Bubuh garam sedikit dan kacau rata. Tutup api. Siap.
Cara menyediakan :
  1. Panaskan wrap di atas pan, alih ke atas pinggan.
  2. Bubuh daging pada roti. Balut cantik-cantik dan gulung. Siap.

Resepi Murtabak Daging

Imej via Facebook

Teringin makan murtabak daging tapi selama berkurung ini malas pula keluar. Apa kata buat saja. Murtabak daging mudah tanpa menguli dan menebar, guna kulit popia sahaja. Jom cubakan resepi oleh Juju Minhad perkongsian di laman Facebook.

Bahan Inti Murtabak :
  • Daging kisar,
  • Bawang putih,
  • Bawang besar (potong dadu),
  • Serbuk kari,
  • Serbuk kurma,
  • Serbuk lada hitam,
  • Garam,
  • Daun sup.
Cara-cara :
  1. Tumis bawang putih dan bawang besar dengan sedikit minyak.
  2. Masukkan serbuk kari dan serbuk kurma.
  3. Bubuh air sedikit dan bubuh daging kisar. Kacau sampai daging masak.
  4. Bubuh serbuk lada hitam, garam, dan tutup api.
  5. Tabur daun sup.
  6. Salin inti dalam mangkuk. Pecahkan telur dalam inti. Kacau rata.
  7. Masukkan inti dalam kulit popia.
  8. Bubuh cheese jika suka.
  9. Goreng dalam kuali sampai garing.

Resepi Singgang Daging

singgang daging
Imej via Facebook

Makan singgang daging dengan telur dadar dan ulam budu nikmat sungguh rasanya. Dihidang dengan nasi putih sebagai menu makan siang untuk keluarga mesti semua suka. Makan sampai bertambah-tambah. Mari lihat resepi perkongsian ramai daripada Shareena Nana di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Daging,
  • Bawang putih,
  • Bawang merah,
  • Lengkuas,
  • Belacan,
  • Cili api,
  • Serai dititik,
  • Asam keping.
    *Semua bahan diketuk kecuali asam keping.

Cara-cara :

  1. Mula-mula masukkan air sehingga mendidih baru masukkan semua bahan kecuali asam keping.
  2. Bila bahan-bahan tadi sudah masak atau air sudah mendidih, masukkan daging dan tunggu daging separuh masak baru masukkan asam keping.
  3. Kemudian masukkan perasa seperti garam dan gula. Seeloknya guna gula melaka.
  4. Siap.

Resepi Bebola Daging

bakso bebola daging
Imej via Facebook

Di Indonesia, bebola daging dipanggil bakso dan disajikan dengan kuah yang mengandungi mihun, sayur, kailan  dan dihidangkan bersama bawang goreng dan daun saderi. Seperti resepi yang dikongsikan oleh Nasariah Aziz di Facebook pada resepi di bawah ini.

Bahan Bebola Daging :

  • 500 gram daging lembu cincang.
  • 2 ulas bawang putih.
  • Sebiji telur.
  • 1 sudu serbuk lada sulah.
  • Garam serbuk perasa secukupnya.
  • 5 senduk tepung ubi.
  • Air secukupnya.

Kuah Bebola Daging :

  • 600 gram tulang lembu.
  • 6 ulas bawang putih.
  • Sebiji bawang merah besar.
  • Halia.
  • Serai.
  • Serbuk lada hitam/sulah.
  • Garam secukup nya.
  • Kiub daging/ayam.
  • Air secukupnya.

Hiasan

  • Kobis dipotong halus.
  • Daun sup/daun bawang dihiris halus.
  • Bawang goreng.

Sambal :

  • Segenggam cili padi merah.
  • Segenggam cili padi hijau.
  • 6 biji bawang putih.
  • Cuka makan.
  • Perasa.
  • Air rebusan daging.

Cara Membuat Bebola Daging :

  1. Masukkan semua bahan bebola daging dalam satu bekas.
  2. Gaul hingga adunan menjadi halus.
  3. Selepas itu masukkan pada bekas lain dan tutup guna plastik.
  4. Masukkan adunan tadi dalam peti sejuk lebih kurang 30 minit.
  5. Kemudian bulat-bulatkan ikut saiz yang kita suka.
  6. Rebus air dalam periuk kemudian masukkan bebola daging.
  7. Rebus menggunakan api kecil hingga bebola timbul. Tutup api.

Cara Membuat Kuah :

  1. Tumbuk halia, bawang putih dan bawang merah hingga lumat.
  2. Rebus tulang lembu hingga sedikit empuk. Simpan sedikit air baki rebusan untuk sambal.
  3. Tumis bahan yang ditumbuk hingga naik bau.
  4. Masukkan serai yang sudah diketuk.
  5. Masukkan tulang lembu bersama air, rebus hingga empuk.
  6. Kemudian masukkan kiub daging, lada hitam/sulah, perasa, garam. Bila sudah masak, tutup api.
  7. Hidangkan bersama mihun/sohun, daun sup/bawang, bawang goreng, hirisan kobis.

Cara Membuat Sambal :

  1. Rebus semua bahan sambal.
  2. Asingkan cili hijau dan merah.
  3. Tumbuk kasar cili merah, letak sedikit cuka dan perasa, tambah sedikit air rebusan tulang tadi.
  4. Cara yang sama untuk sambal hijau.

Masa menyajikan bebola daging boleh letak kicap manis untuk dapatkan rasa yang lagi sedap.

Resepi Daging Malbari

daging malbari
Imej via Facebook

Daging malbari ini resepi wajib masak setiap tahun lagi bila hari raya. Ramai yang minta share resepi. Berbahagia lah anda kerana kami berkongsi resepi daging malbari. Resepi ini dikongsikan oleh‎ Saba Natasha‎ di Facebook.

Bahan Kisar :

  • Kayu manis – 1 batang kecik
  • Bunga lawang – 3 kuntum
  • Bunga cengkih – 5 kuntum
  • Rempah biji – 3 sb
  • Jintan putih – 1 sb
  • Jintan manis – 2 sb
  • Cabai kering – segenggam
  • Bawang merah – 5 ulas
  • Bawang putih – 5 ulas
  • Bawang besar – 2 biji
  • Halia – 2 inci

Bahan-bahan :

  1. Daging 1 kg potong kecik
  2. Kicap kipas udang 1/2 botol (botol kecik)
  3. Kerisik 3 bungkus
  4. Gula merah seringgit (masak dengan sedikit air tapis)

Cara Menyediakan :

  1. Goreng semua bahan kisar tanpa minyak sehingga wangi, kemudian kisar semua bahan.
  2. Seterusnya, masukkan bahan kisar bersama daging dan masukkan kicap, kacau sebati dan perapkan daging 1-2 jam.
  3. Setelah diperap, masukkan sedikit minyak ke dalam kuali kemudian tumis daging yang perap tadi, masukkan sedikit air.
  4. Masak sehingga daging lembut, tambahkan lagi air untuk lembutkan daging.
  5. Bila daging lembut, masukkan kerisik, garam , gula dan air gula.
  6. Masak sehingga kuat pekat berpalut di daging.

Resepi Daging Blackpepper @ Lada Hitam

daging black pepper
Imej via Facebook

Lada hitam sendiri memiliki banyak khasiat. Selain baik untuk kesihatan, lada hitam juga dapat merangsang selera makan. Daging lada hitam banyak dijual di restoran melayu, restoran thai, mahupun restoran cina. Harga daging lada hitam pula mencapai RM 10 untuk satu pinggan. Harga yang mahal namun sesuai dengan rasanya yang memang sangat sedap. Resepi dikongsikan oleh ‎Mazliza Ahmad‎ di Facebook.

Bahan-bahan :

  • 1/2 kg daging (potong nipis dan basuh).
  • 2-3 biji kentang (potong ikut suka).
  • *1 biji bawang besar.
  • *4 ulas bawang putih.
  • *1 inci halia.
  • *2 sudu makan lada hitam.
  • 3 sudu makan sos tiram.
  • 3 sudu makan cili sos.
  • Kicap lemak manis (tuang ikut hitam mana yang kita suka).
  • Garam dan perasa.
  • 1 sudu makan gula.
  • Cili masak/cili hijau, belah.
  • Cilipadi, 5-6 tangkai.
  • 1 biji bawang besar, hiris bulat.

Cara Membuat :

  1. Blend bahan bertanda*.
  2. Masukkan bahan blend dalam daging.
  3. Masukkan cili sos, sos tiram dan kicap.
  4. Gaul rata daging dan bahan.
  5. Panaskan sedikit minyak dan tumis daging tadi.
  6. Masukkan kentang.
  7. Masukkan garam, perasa dan gula.
  8. Masak hingga daging dan kentang empuk dan agak pekat (kalau daging belum empuk boleh tambahkan air).
  9. Akhir sekali, Masukkan cili padi, cili belah dan bawang hiris. Siap.

Resepi Gulai Daging Campur Lemak

Imej via Facebook

Daging campur lemak gulai merupakan hidangan yang tepat untuk dijadikan lauk makan tengah hari dan malam. Makan bersama nasi putih atau nasi impit dan letak keropok. Sila cubakan resepi gulai daging yang dikongsikan oleh Masni Bahari di laman Facebook. Sedap dan patut cuba.

Bahan-bahan :

  • Daging campur lemak,
  • Rempah daging,
  • Kerisik,
  • 4 sekawan,
  • Daun kari,
  • Ubi kentang,
  • Santan,
  • Asam keping,
  • Garam dan serbuk perisa.

Bahan blend :

  • Bawang besar,
  • Bawang putih,
  • Halia,
  • Bahan hiasan :
  • Cabai muda,
  • Tomato.

Cara-cara :

  1. Mula-mula rebus daging lemak dalam periuk atau kuali.
  2. Kemudian tuang bahan blend.
  3. Bubuh rempah kerisik, 4 sekawan dan daun kari.
  4. Bila daging lemak sudah hampir empuk, boleh bubuh ubi, asam keping, santan, garam dan serbuk perisa.
  5. Bila ubi sudah masak, boleh bubuh bahan hiasan.
  6. Tutup api dan siap dihidangkan.

Resepi Daging Kurma

daging kurma
Imej via Facebook

Aisyah Mansor berkongsikan resepi daging kurma resepi mertua di laman Facebook. “Memang tiada yang mampu menahan kelazatan resepi orang dulu” katanya. Juga resepi ini ialah anggaran satu ekor kambing.

Bahan-bahan :

  • Seekor daging kambing (anggaran 16 kg),
  • 7 biji kelapa (anggaran-ikut saiz kelapa),
  • Garam secukup rasa,
  • 1 paket (100gm) kulit kayu manis,
  • 1 paket (100gm) bunga lawang,
  • 1 paket (100gm) jintan manis,
  • 1 paket (100gm) buah pelaga,
  • 4-5 pek (220g) rempah kurma Faiza,
  • 10 ulas bawang merah – hiris,
  • 15 ulas bawang putih – hiris,
  • 7 inci halia- hiris,
  • 1 cawan minyak masak.

Bahan kisar :

  • 15 ulas bawang besar,
  • 18 ulas bawang putih,
  • 7 inci halia,
  • 18 biji buah keras – kuah jadi lemak,
  • Sayuran (untuk tabur selepas siap masak),
  • 4 tangkai cili hijau,
  • 15 biji ubi kentang,
  • 6 biji buah tomato – belah 2,
  • 6 biji bawang besar – belah 4,
  • Daun sup,
  • Daun pandan.

Cara-cara :

  1. Panaskan minyak dan masukkan rempah tumis bersama bahan kisar sehingga wangi.
  2. Masukkan rempah kurma (tidak bancuh dengan air) dan kacau dengan cepat. Masukkan sedikit air supaya tidak hangus. Terus kacau lagi.
  3. Masukkan daging serta air dan masak sehingga daging empuk.
  4. Ketika daging hampir empuk, masukkan ubi kentang.
  5. Siap dihidang.

Resepi Musa’gaah Daging Turkey Style

musa'gaah
Imej via Facebook

Kalau pernah ke Turki mesti pernah makan ini bukan? Musa’gaah, makanan yang sangat simple dan satu lauk saja sudah cukup. Semua sudah ada dalam makanan ini. Selalunya di Turki hidangan ini dimakan dengan nasi liat khas turki. Resepi oleh Emma Wan Noordin‎ di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • 2 biji terung besar yang dibuang kulit,
  • 2 sudu butter/minyak,
  • 1 biji bawang besar,
  • Daging cincang segar atau sepaket daging ramly pun boleh.
  • Garlic hancur,
  • Black pepper,
  • 1 sudu kecil serbuk ketumbar,
  • 1 sudu kecil jintan manis dan garam,
  • 2 biji tomato dipotong dadu,
  • 1 biji capsicum,
  • 1-2 cili padi dan 1 sudu besar tomato puree (pilihan).

Cara-cara :

  1. Goreng 2 biji terung besar yang dibuang kulit dalam minyak yang panas dan banyak sampai kekuningan dan lembik. Apabila sudah masak, toskan minyak. Ketepikan.
  2. Dalam kuali lain, panaskan 2 sudu butter/minyak. Masukkan sebiji bawang besar yang didadu.
  3. Masukkan daging cincang segar atau sepaket daging ramly pun boleh.
  4. Masukkan garlic hancur, black pepper, satu sudu kecil serbuk ketumbar, satu sudu kecil jintan manis dan garam. Biarkan sekejap di atas api yang sederhana sehingga daging masak.
  5. Masukkan 2 biji tomato dipotong dadu, sebiji capsicum, kalau ingin pedas masukkan sebiji dua cili padi dan satu sudu besar tomato puree (pilihan). Masak hingga siap.

Resepi Paprik Daging

daging paprik
Imej via Facebook

Teringin makan daging paprik ala restoran Thai? Sudah tak perlu pergi ke kedai. Anda boleh ciptakan sendiri daging paprik ala kedai Thai di rumah anda. Kami hadirkan ke hadapan anda resepi daging paprik daripada Murni Rahmat‎ yang dikongsikan di Facebook seperti di bawah ini.

Bahan-bahan :

  • Setengah kilo daging-kalau liat rebus dulu
  • Sebiji bawang Holland-potong dadu
  • Sebiji bawang besar-dikisar
  • 3 ulas bawang putih-dikisar
  • Cili kisar 1sudu
  • 3 batang serai-potong kasar
  • Seinci halia
  • 3 helai daun limau purut
  • Sedikit sos cili dan sos tomato
  • kicap manis
  • Kiub ayam/cukup rasa/perasa

Cara Menyediakan :

  1. Tumis bahan yang dikisar sampai naik bau dan pecah minyak.
  2. Masukkan serai, halia dan daun limau purut.
  3. Masukkan daging dan tunggu sampai empuk.
  4. Tambah sos cili, sos tomato dan kicap manis.
  5. Reneh sekejap hingga semua bahan mesra.
  6. Akhir sekali masukkan bawang holland, tomato dan daun saderi.
  7. Siap dihidang.

Resepi Serunding Daging

serunding
Imej via Google

Serunding sangat sesuai untuk dijadikan masakan jangka panjang kerana ia tahan berhari-hari untuk disimpan.  Untuk pelajar yang duduk di rumah sewa ataupun orang yang berjalan-jalan jauh boleh cuba buat serunding sebagai lauk untuk makan. Resepi serunding daging yang dikongsikan oleh ‎Mak Jemah Nelly‎ di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • 1/2 kilo daging,
  • 1 genggam cili kering,
  • 6 biji bawang merah besar*
  • 8 biji bawang putih*
  • 5 keping hirisan lengkuas*
  • 2 ketul halia besar*
  • 5 batang serai*
  • 6 ketul kunyit hidup kecil*
  • 2 sudu besar jintan putih,
  • 2 sudu besar jintan manis,
  • 3 sudu besar serbuk kari,
  • 2 sudu besar serbuk ketumbar,
  • 1 biji kelapa diperah dan sediakan santan jangan terlampau cair.

Cara-cara :

  1. Mula-mula rebus daging sehingga empuk supaya senang dicarik-carikkan nanti. Sentiasa cek air dan daging. Jika sudah empuk boleh tutup api.
  2. Carik-carik daging yang sudah empuk.
  3. Kemudian rebus 1 genggam cili kering yang telah digunting-gunting.
  4. Blend cili yang sudah empuk, ketepikan.
  5. Blend pula bahan blend bertanda * di atas.
  6. Panaskan minyak dengan api sederhana, bila sudah panas boleh masukkan bahan-bahan yang sudah diblend tadi dan tumis sehingga pecah minyak.
  7. Bila sudah pecah minyak, masukkan cili kering yang telah diblend dan dimasak hingga pecah minyak.
  8. Lalu masukkan jintan manis dan jintan putih.
  9. Terus masukkan serbuk ketumbar dan serbuk kari. Kacau sehingga betul-betul pecah minyak.
  10. Bila sudah pecah minyak, boleh masukkan santan. Kacau.
  11. Terus masukkan daging dan teruskan kacau.
  12. Masukkan garam, gula kerek 1 1/2 keping. (Kalau tidak ada gula kerek masukkan gula pasir).
  13. Sentiasa kacau sehingga kering. Siap.

Mudah bukan resepinya? Walaupun memakan masa yang cukup lama pada proses pengeringan namun hasilnya sangat memuaskan. Selamat mencuba.

Resepi Daging Goreng Madu Berempah

daging goreng
Imej via Facebook

Zaid Azizy Yaakob berkongsikan resepi di Facebook. Hidangan ini rasa manis-manis pedas dan wanginya menyelerakan. Sedap untuk dijadikan lauk kenduri kendara. Makan dengan nasi putih, nasi minyak dan jenis nasi lain. Selamat mencuba.

Bahan-bahan :

  • Daging,
  • Jintan manis,
  • Serbuk lada hitam,
  • Serbuk cili,
  • Serbuk kari,
  • Serai blender,
  • Halia blend,
  • Bawang merah blend,
  • Bawang putih blend,
  • Garam,
  • Gula,
  • Madu.

Cara-cara :

  1. Mula-mula perap daging dengan jintan manis, serbuk lada hitam sedikit, serbuk cili, sedikit serbuk kari, serai blender, halia, bawang merah, bawang putih blender, garam, gula dan madu.
  2. Perap malam ini, goreng besok supaya terasa perapannya.
  3. Selepas perap, goreng daging dengan api sederhana.
  4. Jika sudah agak masak, masukkan bawang potong dan cili api ketuk.
  5. Hias dengan daun sup dan bawang goreng.
  6. Siap.

Nota :

Untuk membangkitkan rasa daging dan mengelakkan rasa muak daging, perah sedikit asam limau nipis ke atas daging.

Resepi Rendang Daging

rendang daging
Imej via Facebook

Rendang ialah hidangan yang dikira wajib ada untuk hari raya dan kenduri. Tapi apa cara memasak rendang daging yang sedap? Jom ikuti resepi rendang daging yang dikongsikan oleh Noor Khadijah di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Serbuk jintan manis,
  • Serbuk jintan putih,
  • Lada hitam yang sudah siap tumbuk,
  • Bawang kecil,
  • Bawang putih,
  • Halia,
  • Kunyit hidup,
  • Serai,
  • Santan,
  • Cili kering,
  • Kerisik.

Cara-cara :

  1. Blender dan tumis semua bahan bertanda *.
  2. Jika sudah garing, masukkan cili kering.
  3. Apabila sudah pecah minyak masukkan daging. (Tidak perlu tambah air).
  4. Jika sudah kering masukkan santan dan juga kerisik. Gaul dan tunggu sehingga kering.
  5. Taburkan daun kunyit dan serai.
  6. Perasakan dengan garam.

Resepi Dendeng

dendeng
Imej via Facebook

Semua ahli keluarga paling suka lauk ini. ‎Tiap kali dihidangkan daging dendeng, mesti makan bertambah. Rasa yang sangat mencabar di tekak. Makan daging dendeng dengan nasi putih panas-panas, sedap sangat. Cik Tyna Shamsuddin‎ berkongsi resepi mudah dendeng di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Daging lembu,
  • Bawang besar, bawang kecil, bawang putih**,
  • Halia**,
  • Serai,
  • Daun limau purut
  • Kayu manis, bunga lawang,
  • Cili blend,
  • Air asam jawa,
  • Air rebusan daging,
  • Kicap.

Cara-cara :

  1. Bahan bertanda ** dimayang halus dan digoreng. Bawang goreng lagi banyak lagi sedap.
  2. Daging tadi dihiris nipis. Kemudian ambil anak lesung, tumbuk satu-satu hirisan daging tadi.
  3. Daging yang sudah siap ditumbuk tadi kemudian digoreng sebentar. Jangan terlalu lama kerana daging akan keras sangat nanti.
  4. Guna minyak yang sama tadi, tumis serai yang sudah diketuk, kayu manis, bunga lawang dan daun limau purut.
  5. Kacau-kacau kemudian masukkan cili blend. Goreng sehingga pecah minyak.
  6. Kemudian masukkan kicap lemak manis dalam ½ cawan (atau agak-agak).
  7. Masukkan sedikit air asam jawa.
  8. Perasakan dengan garam dan gula.
  9. Masukkan 1 mangkuk kecil air rebusan daging tadi.
  10. Kemudian masukkan daging yang siap digoreng. Kacau-kacau sehingga kuah kering sedikit.
  11. Masukkan bawang goreng yang sudah digoreng. Kacau sehingga bawang goreng sebati dengan warna masakkan.
  12. Kalau nampak pekat sangat, boleh tambah lagi air. Kalau terlalu banyak air tidak mengapa, tunggu sehingga kuahnya kering.
  13. Cili padi dipecahkan dan tambah ke dalam masakan kalau suka pedas. Siap.

Resepi Daging Masak Rempah

masak rempah
Imej via Facebook

Resepi kali ini namanya daging masak rempah, bukan gulai daging ya. Jauh bezanya, mari kami bagi resepi dekat anda. Dikongsikan oleh Masni Bahari di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Daging dipotong tebal dan lebar,
  • Rempah kari daging,
  • Serai diketuk,
  • Air asam jawa,
  • Kicap,
  • 4 sekawan,
  • Sedikit gula,
  • Garam dan serbuk perasa,
  • Daun kari,
  • Minyak masak.

Bahan Blend :

  • Bawang besar,
  • Bawang putih,
  • Halia.

Bahan Hiasan :

  • Tomato dibelah 4,
  • Cili hijau,
  • Bawang besar dihiris tebal.

Cara-cara :

  1. Masukkan daging dalam kuali kemudian tuang bahan blend, rempah serai, daun kari, 4 sekawan, minyak dan air sedikit. Masak sampai daging empuk.
  2. Bila daging sudah empuk, tuang kicap, air asam jawa, gula, garam dan serbuk perasa.
  3. Bila kuah sudah pekat elok, boleh bubuh bahan hiasan tadi. Kacau-kacau siap untuk dihidang.

Resepi Daging Kerutuk

kerutuk
Imej via Facebook

Jarang buat kerutuk daging, tapi kalau sudah buat memang 1 kampung makan untuk tengahari saja. Resepi kerutuk daging oleh Mazliza Ahmad di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • 1 kg daging (daging lembut guna batang pinang),
  • 2 biji kentang dibelah,
  • 1½ paket rempah kerutub adabi,
  • 1 sudu makan rempah kurma,
  • ½ kotak santan (kotak kecil 100 ml ),
  • 3 sudu makan bawang goreng,
  • 4 sudu makan cili kisar,
  • 2 sudu makan gula merah,
  • 3 sudu makan kicap,
  • *1 biji bawang besar
  • *4 ulas bawang putih,
  • *1 inci halia,
  • *sedikit belacan,
  • Kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga,
  • Garam dan perasa,
  • 2 keping asam keping,
  • Cili padi/cili besar-belah,
  • 1 biji bawang besar-belah 4.

Cara-cara :

  1. Gaulkan daging dengan rempah yang sudah dibancuh dengan sedikit air.
  2. Mesin bahan bertanda *.
  3. Dalam kuali, tumis rempah 3 sekawan.
  4. Tumis bahan blend hingga naik bau.
  5. Masukkan cili kisar, tumis hingga agak garing.
  6. Masukkan garam, gula merah dan perasa.
  7. Masukkan daging yang sudah digaul dengan rempah tadi.
  8. Biarkan rempah agak masak dan kemudian masukkan air dalam 3 cawan.
  9. Masukkan kentang.
  10. Masukkan asam keping.
  11. Masukkan bawang goreng dan kicap.
  12. Bila daging dan kentang sudah empuk, masukkan santan dan biarkan hingga daging agak pekat.
  13. Akhir sekali masukkan cili padi dan bawang belah.
  14. Kalau daging belum cukup empuk boleh tambahkn air lagi ya.

Resepi Sambal Daging

sambal daging
Imej via Facebook

Sambal daging kegemaran keluarga. Kalau beli daging mesti semua request masak sambal ini. Semangkuk ini boleh habis dalam sekali makan. Sila cubakan resepi sambal daging daripada Zanariyah Zahir di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Daging dipotong, kemudian rebus. Tutup periuk untuk bagi daging lembut. Jika air sudah kering, angkat daging.
  • Cili kering direbus 17 biji,
  • Bawang merah 5 ulas,
  • Halia 2 inci,
  • Serai 2 batang,
  • Belacan sedikit ujung kuku saja.

Cara-cara :

  1. Blend semua bahan di atas.
  2. Panaskan minyak dan tumis semua bahan blend sampai pecah minyak.
  3. Sambil-sambil itu masukkan sos cili sedikit garam gula dan perasa. Masak sambal kena lama supaya jadi sedap.
  4. Agak-agak sambal sudah pekat sedikit baru masukkan daging yang siap direbus tadi.
  5. Akhir skali masukkan asam keping 1 @ 2 keping.

Resepi Daging Masak Merah Ala Thai

masak merah thai
Imej via Facebook

Seterusnya, kita menjamah resepi masakan daging ala Thai pula. Resepi daging masak merah ala Thai style Farahziana Jarahim yang berkongsi di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Daging,
  • Bawang putih 3-4 ulas,
  • Bawang besar,
  • Lada besar,
  • Cili kisar,
  • Sos cili,
  • Sos tomato,
  • Sos tiram,
  • Perasa garam gula.

Resepi Daging Masak Merah Daging Burger

burger masak merah
Imej via Facebook

Rasa macam teringin masak daging burger ramly hari ini tapi kita buat masak merah. Rasa sedap dan lembut. Masak yang senang, simple dan pastinya yummy. Resepi daripada Finas Osman‎ di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • 4 keping daging burger,
  • 4 biji bawang merah,
  • 2 ulas bawang putih,
  • 1 batang serai diketuk,
  • 4 sekawan – kayu manis, lawang, cengkih, pelaga sedikit,
  • 1 biji bawang holland potong bulat,
  • 4 sudu cili kisar,
  • 5 sudu cili sos,
  • Gula garam secukup rasa,
  • Air sedikit.

Cara-cara :

  1. Potong 4 daging burger kemudian goreng, ketepikan.
  2. Hiris bawang merah dan putih, ketuk serai dan 4 sekawan. Kemudian tumis bahan.
  3. Kalau sudah naik bau, masukkan cili kisar, sos cili dan sedikit air bagi berkuah sikit.
  4. Masukkan garam gula secukup rasa.
  5. Akhir sekali masukkan daging burger yang sudah digoreng tadi bersama bawang holland yang dipotong bulat dan cili merah dan hijau yang dihiris besar. Jika sudah sebati boleh dihidangkan.

Resepi Kari Daging Bangladesh

kari bangla
Imej via Facebook

Makan malam sudah sedia. Adakah yang berani berdiet apabila dihidangkan lauk ini di atas meja? Kari daging Bangladesh citarasa meletop dikongsikan oleh MrsMoon MJ di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Daging dicuci bersih,
  • Ubi kentang,
  • Sebiji bawang besar, 6 ulas bawang putih, 2 cm halia dikisar,
  • Separuh bawang holland dihiris,
  • Tomato dipotong empat,
  • 2 sudu besar yogurt asli,
  • 1 sudu besar serbuk cili,
  • ½ sudu besar serbuk jintan manis,
  • ½ sudu besar serbuk ketumbar,
  • ½ sudu besar serbuk kunyit,
  • 4-5 biji buah pelaga,
  • 4-5 biji bunga cengkih,
  • 1-2 biji bunga lawing,
  • 1-2 batang kulit kayu manis,
  • 5-7 biji cili api,
  • Sehelai daun bay,
  • Garam secukupnya,
  • 1 senduk nasi minak masak,
  • 1 cawan air.

Cara-cara :

  1. Gaul kesemua bahan dalam satu pot. Boleh guna pressure cooker. Set masa 25 minit. Kalau guna pot biasa, guna api perlahan.
  2. Tutup pot sepanjang masak. Kalau ingin kacau kenalah buka penutupnya.
  3. Kalau air kering, tambah air.
  4. Masak sampai daging empuk dan kuah pekat.

‎ ‎Resepi Daging Masak Kicap

masak kicap
Imej via Facebook

Aduhai sedap betul daging masak kicap. Ben Safwan berkongsikan resepi di laman Facebook. Boleh guna daging import atau daging tempatan. Kuantiti bahan resepi untuk 500 gram daging.

Bahan-bahan :

  • 500 gram daging lembu dihiris nipis melintang.
  • ½ sudu makan serbuk kunyit*,
  • 1 sudu makan cili kisar*,
  • 1 sudu teh jintan manis dan jintan putih tumbuk*,
  • 1 sudu makan bawang kisar*,
  • 2 sudu makan kicap pekat*,
  • 2 sudu makan kicap manis*,
  • ½ sudu makan gula*,
  • 1 ½ sudu teh garam*,
  • 1 batang kecil kulit kayu manis,
  • 3-4 biji buah pelaga,
  • 2 ½ sudu makan bawang merah,
  • Bawang putih,
  • Halia kisar,
  • 1 ½ sudu makan cili kisar,
  • Air asam jawa.

Cara-cara :

  • Gaul dan perap 10 minit bersama bahan bertanda *.
  • Dalam kuali, tumiskan kulit kayu manis bersama buah pelaga sampai naik bau.
  • Kemudian masukkan bawang merah, bawang putih, halia kisar dan cili kisar. Tumis sampai pecah minyak.
  • Baru masukkan daging dan kacau sesekali pada api sederhana. Biar daging lembut dan keluar air daging.
  • Tunggu air daging hingga hampir kering barulah tambahkan air asam jawa ( ½ sudu makan asam jawa) dan sesuaikan rasa mengikut selera. Jika perlu tambah kicap pekat secukupnya untuk nampak hitam.

Resepi Sup Daging Siam

sup siam
Imej via Facebook

Resepi berikutnya juga daripada Ben Safwan di laman Facebook. Sup daging siam, kalau dapat makan masa hujan macam ini, hirup kuah panas-panas, Oh nikmatnya. Resepi paling mudah. Rasa dia sama macam beli di kedai masakan panas cuma lagi terbaik sebab guna daging lembu tempatan, minyak tidak banyak dan lazat.

Bahan-bahan :

  • 500-800 gram daging lembu direbus dengan 200 ml air selama 35-40 minit dengan api kecil dan tutup periuk. Buka sedikit sahaja bagi ruang keluar.
  • 500 ml air kosong,
  • 1 ½ pek perencah sup siam Adabi,
  • 2 ulas bawang putih ketuk,
  • 1 batang saderi panjang,
  • 1 batang akar daun ketumbar ketuk,
  • 4-5 tangkai daun ketumbar,
  • 1-2 tangkai daun bawang,
  • 2-3 cili Thai ketuk,
  • ½ bawang Holland saiz besar,
  • 2 biji tomato belah 4,
  • 1 biji besar asam limau,
  • 3 sudu makan sos ikan,
  • Garam, serbuk perasa, bawang goreng secukupnya.

Cara-cara :

  1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih, hirisan bawang Holland, lada Thai ketuk, akar daun ketumbar, 2/3 bahagian tomato. Tumis hingga bawang betul-betul layu.
  2. Tambah 700 ml air (air + air rebusan daging ), daging rebus, daun ketumbar, perencah, sos ikan dan tomato. Buka api besar, tutup periuk dan didihkan.
  3. Bila sudah mendidih, perasakan ikut tekak dengan serbuk perasa, garam sedikit, hirisan asam limau hingga rasa masam pedas aroma sup. Air jangan kurang jangan lebih.
  4. Jika sudah siap. Boleh taburkan bawang goreng.
    Nota : Kalau nak betul-betul sedap memang kena guna daun ketumbar, dan proses layukan itu kena main peranan serta api besar.

Resepi Kari Daging Tanpa Santan

Imej via Facebook

Sejatinya kari mestilah guna santan. Tapi tidak semua orang makan santan dikeranakan pelbagai sebab. Maka itu Zuraini Mat Arshad mencetuskan idea masak kari daging tanpa santan. Sesiapa yang takut makan santan bolehlah cuba resepi ini.

Bahan-bahan :
  • Daging ½ kg – potong lawan urat,
  • Kentang,
  • Garam,
  • Air,
  • Rempah kari Ayam BABAS – 4@5 sudu besar,
Bahan tumis :
  • Bawang merah,
  • Bawang putih,
  • Halia,
  • Halba campur,
  • Rempah 4 sekawan,
  • Kerisik 2 sudu besar,
  • Cili mesin 2 sudu,
  • Daun kari,
  • Minyak untuk menumis.
Cara-cara :
  1. Bawang merah, bawang putih, dan halia dimayang halus.
  2. Panaskan minyak dan tumis bahan tumis dan rempah 4 sekawan sampai naik bau.
  3. Masukkan cili kisar dan rempah kari ayam BABAS.
  4. Tambahkan sedikit air. Reneh sampai pecah minyak.
  5. Masukkan daging dan gaul sebati dengan rempah. Gunakan api sederhana. Masak sampai daging kecut dan empuk.
  6. Kemudian tambah air, jangan banyak sangat (ikut pekat yang disuka).
  7. Masukkan kentang dan biar mendidih.
  8. Masukkan pula kerisik.
  9. Kecilkan api dan reneh 10 minit sampai kentang empuk.
  10. Masukkan garam dan perasa.
  11. Jika sudah pecah minyak, tutup api. Siap.

Resepi Dalca Daging

Imej via Facebook

Siapa peminat masakan dalca? Berikut ini ialah resepi dalca daging menggunakan 500 gram daging boleh dapat hidang untuk 10 orang. Bolehlah dicuba buat makan sendiri di rumah. Resepi dikongsikan oleh Diana Jalal di laman facebook.

Bahan-bahan :
  • 500 gram daging,
  • 4 sudu besar rempah kari daging,
  • 4 sudu besar cili kering blend,
  • 3 cawan santan,
  • 180 gram kacang dhal,
  • 3 biji kentang, kupas kulit dan potong 4,
  • 2 biji cili hijau/merah,
  • 4 tangkai kacang panjang, potong panjang 2 inci,
  • 3 biji terung panjang, belah dua dan potong panjang 2 inci,
  • 1 biji tomato, potong empat,
  • 2 biji karot, potong memanjang,
  • 2 tangkai daun kari,
  • Asam keping/air asam jawa.
Bahan kisar halus :
  • 4 ulas bawang putih,
  • 2 inci halia,
  • 2 biji bawang besar.
Bahan mayang halus :
  • 3 ulas bawang putih,
  • 2 inci halia,
  • 4 biji bawang merah (kecil).
Bahan rempah tumis :
  • 1 batang kayu manis,
  • 2 biji bunga lawang,
  • 5 biji buah pelaga.
Cara-cara :
  1. Rebus kacang dhal sehingga lembut.
  2. Kemudian rebus daging sehingga lembut dan hiris nipis. Jangan buang airnya.
  3. Panaskan minyak. Tumis bahan mayang dan kisar halus, daun kari dan bahan rempah tumis sehingga naik bau.
  4. Kemudian masukkan pula rempah kari, cili kering dan masak sehingga pecah minyak.
  5. Masukkan daging dan air rebusannya, kacang dalca, karot, kentang, cili hijau/merah, asam keping dan juga santan. Masak sehingga sayur empuk.
  6. Masukkan tomat,terung dan masak sehingga lembut.
  7. Perasakan dengan garam secukup rasa.
  8. Jika kuah terlalu pekat, tambahkan sedikit air.
  9. Angkat dan hidangkan.

Resepi Daging Bakar Danok

Imej via Facebook

Siapa tengah mengidam daging bakar danok? Mari sini kami kongsi resepi sedap daging bakar danok. Lagi senang sebab boleh bakar guna pan sahaja. Jom cubakan resepi oleh Suryani Muhamad Makhtar di laman Facebook.

Bahan perapan daging: Perap semalaman
  • Daging ½ kilo,
  • 1 sb sos ikan,
  • 2 sb sos tiram,
  • 3 sb gula perang,
  • 1 sk lada hitam,
  • Sedikit minyak,
  • Serbuk cukup rasa 2 sudu.
Bahan sos :
  • Akar daun ketumbar,
  • Daun ketumbar,
  • 1 sb beras (sangaikan dulu dan tumbuk),
  • 2 ulas bawang putih,
  • 2 sb sos ikan,
  • 2 biji limau nipis,
  • 2 sb gula perang,
  • 5 tangkai cili padi,
  • 2 sb sos cili,
  • 2 sb sos tiram,
  • 1 bawang besar (hiris nipis).
Cara menyediakan sos :
  1. Tumbuk akar daun ketumbar, bawang putih, dan cili padi sampai lumat.
  2. Masukkan sos ikan, gula melaka, gula perang, beras yang disangai (ditumbuk), dan perahan limau nipis.
  3. Masukkan sos cili dan sos tiram.
  4. Masukkan daun ketumbar yang dipotong.
  5. Masukkan bawang besar yang dipotong tadi.
  6. Masukkan garam sedikit.
Cara menyediakan daging :
  1. Perap daging semalam.
  2. Bakar dalam suhu 150°C selama 20-30 minit.

Resepi Daging Burger Homemade

Imej via Facebook

Burger ialah makanan cepat saji yang disukai ramai kerana ianya lazat dan mengenyangkan. Kalau mau beli pun senang tidak perlu tunggu lama. Teringin buat burger di rumah tapi daging burger mahal pula. Jangan risau kerana anda boleh buat sendiri daging burgernya. Dengan cara mudah oleh Sue Faizah berkongsi di laman Facebook, buat daging burger jadi senang.

Bahan-bahan :
  • 2 biji telur,
  • 1 sudu makan salted butter,
  • 1 biji bawang holland saiz kecil. Kalau saiz besar guna separuh,
  • 1 sudu teh serbuk black pepper,
  • 1 sudu teh mixed herbs,
  • 500 gram daging lembu yang sudah dipotong kecil.
Cara-cara :
  1. Blend telur sampai berbuih.
  2. Masukkan butter, bawang holand, black pepper dan mixed herbs, blend lagi.
  3. Masukkan daging. Blend lagi.
  4. Keluarkan bahan dari blender dan masukkan dalam acuan untuk bentukkan. (Lapikkan plastik yang digris dengan minyak masak sebelum dibentukkan, takut nanti melekat masa ambil untuk kukus/masuk direct freezer).
    Ada dua pilihan untuk step ini :

     

    1. Terus masukkan daging yang dibentuk tadi ke dalam freezer (dalam setengah jam-sejam). Jika sudah keras sedikit boleh ambil dan pack untuk disimpan. Atau,
    2. Kukus dahulu sebentar dalam setengah minit (sekadar untuk lekatkan daging dengan elok, kalau kukus telalu lama daging akan kurang juicy bila kita masak nanti). Lepas itu boleh trus pack untuk frozenkan.

*Kalau yang suka masin, boleh tambah sedikit garam.

Resepi Daging Kicap Ala Korea

Imej via Facebook

Resepi ini Maryam Durian Kimci punya penangan. Ramai yang cuba buat sendiri sebab menyelerakan sangat. Cara menyediakannya pula cukup mudah. Mari cuba buat daging kicap ala korea dikongsikan oleh Khairuzetti Zaini di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • 1 ½ kg daging batang pinang,
  • 2 sudu besar sos tiram (seafood sauce),
  • 2 sudu besar kicap manis Mudim,
  • 2 sudu besar kicap manis Jalen,
  • 4 gram garam bukit Himalaya Pink halus,
  • 1 sudu kecil gula perang (optional),
  • Daun bawang (potong 2 cm),
  • 3 biji cili api hijau (hiris nipis),
  • 2 biji bawang besar bombay (hiris tebal),
  • 1 biji cili besar merah (hiris tebal),
  • 1 sudu kecil lada hitam (tumbuk hancur). Campur lada hitam dengan
  • 100 ml air.
Cara-cara :
  1. Lumuri daging dengan serbuk kunyit Adabi, garam, dan minyak sedikit. Gaul dan perap sekejap.
  2. Kemudian panaskan minyak dengan api kecil, goreng daging sehingga air daging keluar. Renehkan sehingga daging empuk.
  3. Lalu masukkan air tapis sedikit-sedikit sehingga daging empuk.
  4. Masukkan lagi air bancuhan lada hitam untuk hilangkan rasa hanyir daging.
  5. Terus masukkan sos tiram.
  6. Masukkan pula kicap Mudim.
  7. Masukkan kicap lemak manis Jalen.
  8. Terus masukkan sedikit garam.
  9. Masukkan gula sedikit bagi seimbangkan rasa.
  10. Reneh lagi sehingga kuah jd caramelized cantik pekat likat.
  11. Masukkan bawang besar bombay dipotong tebal.
  12. Akhir sekali masukkan cili besar merah dan cili api hijau Thai.

Nota : Hiris nipis daging ‘ lawan urat’ untuk daging cepat masak dan tidak liat. Beli daging batang pinang lebih cepat lembut.

Resepi Daging Goreng Kunyit Kelantan Style

daging goreng kunyit
Imej via Facebook

Punya daging korban berlebih tapi tak tahu nak masak apa? Apa kata anda cuba resepi simple ini. Resepi yang bersumber daripada Mas Aura‎ ini sangat famous di Facebook. Jom tengok dan cuba.

Bahan-bahan :

  • Daging
  • Kunyit serbuk
  • Halia, hiris nipis
  • bawang putih, hiris nipis
  • bawang besar/bawang holland
  • Cili merah, hiris nipis
  • Minyak secukupnya
  • Garam
  • Kacang panjang atau kacang buncis (jika suka)

Cara Menyediakan :

  1. Daging dihiris nipis.
  2. Kemudian gaul dengan serbuk kunyit dan garam secukupnya.
  3. Masukkan air paras daging, direbus didalam kuali sehingga empuk.
  4. Jika sudah kering airnya, tuang sedikit minyak dalam kuali dan buka api.
  5. Seterusnya, goreng daging.
  6. Masukkan garam jika perlu.
  7. Akhir sekali, masukkan bawang besar, bawang putih, halia dan cili potong.
  8. Masak sehingga layu dan siap.

Resepi Daging Rebus Air Asam

daging rebus air asam
Imej via Facebook

Kepada yang bertanya daging nak masak apa, macam mana kalau buat daging rebus air asam pula. Campur sekali senang nak makan, tak perlu mencicah. Dengan resepi sedap daripada ‎Atiekah Mustapha‎ di Facebook, sila buat menu paling sedap anda.

Bahan-bahan :

  • Daging
  • 1 biji tomato
  • 5 biji cili padi (ikut suka jika nak pedas boleh masuk lebih )
  • 2 ulas bwg merah
  • Ais asam jawa
  • Sedikit air rebusan daging
  • Gula
  • Garam
  • Sedikit belacan (tak letak belacan pun tak apa)
    (Semua bahan di blend separuh hancur, kecuali daging)

Cara Menyediakan :

Step 1

  1. Daging di rebus sampai empuk (daging rebus seketul besar).
  2. Masukkan semua bahan yang telah diblend tadi dalam periuk kecik.
  3. Jika mahu kuah lebih boleh masukkan air lebihan rebus daging tadi.
  4. panaskan lebih kurang 10 minit bersama hirisan daging yang telah empuk tadi.
  5. Perah air asam limau secukup rasa dan tutup api.

Step 2

  1. Potong dadu tomato.
  2. Mayang bawang merah.
  3. Potong dadu bawang besar.
  4. Hiris daun bawang jika suka.
  5. Semua bahan ini digaul bersama air asam bersama daging tadi.

Resepi Daging Bakar Sos Homemade

daging bakar harimau menangis
Imej via Facebook

Yang punya banyak daging dalam peti ais tu boleh cuba buat daging bakar harimau menangis pula. Menangis kerana kesedapan. Kena pula dengan sos pencicah. Memang mables. Jom intip resepi viral yang dibagikan di Facebook oleh ‎AmiRatul Aziera‎ ini.

Bahan Perapan Daging (perap 1 jam) :

  • Daging ambil bahagian yang ada lemak baru sedap (cucuk-cucuk daging dengan garfu bagi bahan perapan mudah serap ke dalam daging)
  • Gula
  • Sos ikan (nampla)
  • Sos tiram
  • Minyak masak
  • Lada hitam

Bahan Untuk Sos Cicah Daging :

  • Sos ikan (nampla)
  • Air asam jawa
  • Jus limau nipis
  • Thai palm sugar (namtan peep)
  • Serbuk cili thai
  • Bawang merah
  • Beras sangai (goreng tanpa minyak & tumbuk halus)
  • Daun saderi (hiasan)

Cara Menyediakan :

  1. Perap daging dengan bahan perap
  2. Bakar hingga lembut.
  3. Cicah dengan sos pencicah.

Resepi Daging Masak Asam

daging masak asam
Imej via Sanuja Nuja‎

Daging masak asam, ramai orang suka sangat masak ini. Pebret satu keluarga, ada yang nak resepi kan. Ini kami bagi kepada anda resepi daripada Sanuja Nuja‎ di Facebook.

Bahan-bahan :

  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Jintan manis
  • Halia
  • Kunyit hidup

Cara Menyediakan :

  1. Tumbuk semua bahan diatas.
  2. Kemudian tumis sampai wangi dan masukkan daging.
  3. Masak daging sampai empok dan masukkan air asam jawa.
  4. Perasakan dan hias dengan bawang besar dan cili.

Resepi Daging Masak Hitam

daging masak hitam
Imej via Facebook

Tidak hanya untuk masa raya, hari-hari biasa pun boleh buat daging masak hitam. Jom tengok resepi daripada ‎Rose Misymuchy‎ di Facebook ini.

Bahan Tumis:

  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Halia

Bahan Sangai :

  • Jintan kasar
  • Jintan halus
  • Bunga lawang
  • Kayu manis
  • Buah pelaga

Cara Menyediakan :

  1. Sangai kesemua bahan sangai sampai harum.
  2. Kemudian tambahkan cili kering ikut kepedasan masing-masing.
  3. Blend halus bahan-bahan yang disangai tersebut dan gaul dengan daging yang sudah dibasuh.
  4. Perap dalam setengah jam.
  5. Seterusnya, tumis kesemua bahan tumis yang sudah dihiris nipis.
  6. Jika sudah garing masukkan daging yang diperap tadi.
  7. Sambil kacau masukkan kicap kipas udang dan gula
  8. Kalau nak pekat, tambah sikit kicap pekat.
  9. Kemudian masukan ke dalam preasure cooker supaya lagi cepat empuk.
  10. Masak sampai kering dan bersalut rempah dengan daging. Siap.

‎Resepi Menarik Lain

Resepi-resepi di atas sangat sedap dan menarik bukan? Terliur semuanya.Selamat mencuba.

Terima kasih telah berkunjung ke laman web kami. Jangan lupa share dan like resepi ini ya. Jemput juga baca koleksi resepi kuih, koleksi resepi ikan dan koleksi resepi sotong.

Penulis: Rahayu Z

Pelajar yang menyukai kartun dan muzik. Memiliki hobi menulis mendorong ia untuk berkarya dan berkongsi di Bidadari.my

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.