Kegatalan merupakan rasa yang dihasilkan secara neurobiologi yang mengarahkan kita untuk menggaru kawasan tersebut. Adakah kegatalan kulit suatu hal yang normal? Atau petunjuk awal untuk masalah kesihatan yang lebih serius? Ayuh ketahuinya dengan lebih lanjut punca kulit gatal melalui pembacaan artikel ini.

Pengenalan

Terma perubatan bagi kegatalan atau kulit gatal ini ialah pruritus. Kegatalan akan mendorong rasa dan tindak balas refleks untuk menggaru kawasan kulit gatal.

Secara asasnya, kulit gatal mempunyai beberapa persamaan dengan rasa kesakitan dari segi laluan neurobiologi. Tetapi secara kontrasnya, kesakitan mengarahkan kita untuk “lari” daripada sumber kesakitan, manakala kegatalan menyuruh kita untuk “pergi” ke kawasan gatal tersebut untuk menghilangkannya.

Menurut kajian, masalah kegatalan kulit yang serius berlaku dalam kalangan 4% penduduk dunia. Hal ini melibatkan hampir 300 juta orang!

Terdapat 2 jenis rangsangan refleks yang terhasil akibat kulit gatal ini iaitu (1) kegatalan setempat akibat dirangsang yang akan hilang setelah digaru atau digosok dan (2) kegatalan berperingkat yang muncul dan semakin bertambah selepas dikenakan rangsangan kegatalan. Dari segi perubatan, sensasi kegatalan ini dipanggil alloknesis.

Oleh itu, berikut disenaraikan jenis pruritus atau kegatalan beserta punca kulit gatal.

Imej via Bidadari

Jenis Pruritus Kulit Gatal dan Puncanya

Sekumpulan penyelidik dari Bahagian Dermatologi di PPUKM (Malaysia), Wake Forest Universiti (North Carolina, USA) dan Universiti Manhelm (Heldeberg, Jerman) pada tahun 2003 mendefinisikan kulit gatal kepada 4 jenis iaitu:

1. Kegatalan Prutioseptif

Kulit gatal jenis ini berasal dari kulit yang disebabkan faktor seperti keradangan, kulit kering dan kulit rosak yang disebarkan melalui saraf C.

Antara contoh kegatalan jenis ini ialah:

  • scabies (disebabkan kutu Sarcoptes scabiei)
  • urticaria (bengkak merah gatal-gatal disebabkan oleh alahan kepada ubatan, makanan atau bahan kimia tertentu)
  • tindak balas terhadap gigitan serangga

2. Kegatalan Neuropatik

Punca kulit gatal jenis ini adalah disebabkan penyakit yang berada di kawasan laluan aferen (sistem saraf atau sistem peredaran darah).

Antara penyakit yang dikaitkan dengan jenis kegatalan ini ialah post-herpes zoster neuropati, sklerosis dan tumor otak.

3. Kegatalan Neurogenik

Masalah kulit gatal neurogenik ini ditafsirkan sebagai kegatalan yang datang secara berpusat tanpa pengesanan secara patologi yang jelas.

Contoh biasa bagi jenis kulit gatal ini ialah kolestasis iaitu sejenis penyakit hati yang berlaku apabila laluan cecair hempedu dari hati berkurangan atau tersekat.

Kegatalan ini berpusat daripada reseptor μ-opioid hasil tindakan neuropeptida opioid yang tidak diketahui secara jelas laluan patologinya.

4. Kegatalan Psikogenik

Jenis kulit gatal yang ke-4 ini bersifat psikogenik atau lebih dikenali sebagai keadaan delusional berkenaan parasitofobia (fobia akan parasit).

Menariknya, mekanisme kegatalan yang terhasil adalah sama seperti kegatalan yang disebabkan oleh faktor fizikal yang lain, biarpun kegatalan psikogenik ini hanyalah bersifat mentaliti atau imaginasi semata-mata.

Pengelasan Pruritus dari Segi Klinikal

Sementara itu, pada tahun 2007, satu laporan khas telah disediakan oleh 16 pakar dermatologi seluruh dunia yang membincangkan mengenai pengelasan kulit gatal secara klinikal. Hasil perbincangan forum tersebut yang diterbitkan dalam Acta Dermato-Venereologica telah mengelaskan pruritus kepada 3 jenis, iaitu:

  1. Pruritus pada kulit yang mengalami kegatalan dan penyakit tertentu
  2. Kegatalan kulit pada kulit yang normal tanpa gejala atau masalah keradangan
  3. Masalah pruritus dengan kelukaan sekunder akibat menggaru pada tahap kronik

Kaitan Kulit Gatal dengan Penyakit Sistemik

Berdasarkan kemajuan ilmu dan pemahaman berkenaan patofisiologi dan mekanisme molekul dalam bidang perubatan, gejala kegatalan yang berkaitan dengan penyakit tertentu berjaya dikenal pasti, antaranya:

1. Penyakit HIV

Antara gejala awal penyakit HIV-1 dan HIV-2 ialah kegatalan dan boleh dikaitkan dengan beberapa penyakit berkaitan kegatalan yang lain seperti:

  • scabies
  • eczema
  • xerosis
  • psoriasis
  • penyakit hati kronik
  • masalah buang pinggang
  • kanser limfoma

Jangkitan awal virus HIV juga akan menunjukkan gejala kegatalan kepada seseorang yang baru dijangkiti.

2. Psoriasis

Hampir 80% daripada pesakit psoriasis melaporkan gejala kegatalan. Kebanyakan daripada mereka mengadu masalah ini berlaku setiap hari terutamanya pada belah malam.

Rasa kegatalan berlaku pada seluruh bahagian tubuh, bukan hanya di bahagian plak psoriatik (kawasan psoriasis muncul).

Lebih mendukacitakan, kegatalan ini berlaku dalam suatu tempoh yang lama dan masih belum ada ubatan antipruritik (anti kegatalan) yang boleh menghilangkan rasa kegatalan ini.

3. Eczema

Para saintis masih belum menjumpai mekanisme penyebab kegatalan disebabkan eczema dan hanya merumuskan punca kulit gatal ini sebagai berpusat yang menyebabkan kegatalan.

Bagi penghidap eczema, sensasi kegatalan ini akan semakin bertambah apabila digaru atau digosok dengan bahan tertentu.

Pertambahan rasa kegatalan ini akan disertai oleh rasa tidak selesa yang lain seperti:

  • perubahan suhu badan mendadak
  • ruam
  • kemerahan
  • berpeluh-peluh

4. Masalah Neurologikal

Punca kulit gatal akibat masalah neurologikal ini disebabkan oleh penyakit atau masalah berkaitan sistem tunjang atau sistem saraf berpusat.

Antara kemungkinan yang boleh menyebabkan kegatalan ini ialah:

  • kerosakan saraf
  • mampatan saraf
  • kerengsaan saraf

5. Lain-lain Punca

Selain itu, masalah kulit gatal boleh berpunca daripada gabungan atau kewujudan pelbagai jenis penyakit yang menyebabkan kegatalan. Kesannya, intensiti atau keamatan kegatalan yang ditanggung oleh pesakit akan menjadi bertambah kuat dan boleh menyebabkan rasa yang sangat tidak selesa.

Terdapat juga punca kulit gatal yang tidak boleh dikenal pasti.

Kesimpulan

Pengelasan jenis pruritus atau kegatalan ini boleh memberikan gambaran terperinci kepada kita mengenai punca sebenar dan langkah rawatan atau pencegahan yang boleh diambil.

Sentiasa gunakan produk rawatan yang diakui selamat dan sah, seeloknya yang dicadangkan oleh doktor bertauliah sahaja. Jom baca juga artikel kulit sawo matang dan masalah kulit sensitif

Rujukan

  1. Ikoma, A., Steinhoff, M., Ständer, S., Yosipovitch, G., & Schmelz, M. (2006). The neurobiology of itch. Nature reviews neuroscience7(7), 535-547. (link)
  2. Ständer, S., WEISShAAr, E., Mettang, T., SzEPIEToWSkI, J. C., CArSTENS, E., IkoMA, A., … & Darsow, U. (2007). Clinical classification of itch: a position paper of the International Forum for the Study of Itch. Acta dermato-venereologica87(4), 291-294. (link)
  3. Yosipovitch, G., Greaves, M. W., & Schmelz, M. (2003). Itch. The Lancet361(9358), 690-694. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.