Nak tahu punca sakit pinggang? Sakit pinggang bukanlah masalah yang asing bagi masyarakat di Malaysia. Kami pasti anda biasa mengalaminya.

Namun apa yang membezakan ialah kekerapan anda dilanda sakit pinggang dan tahap kesakitan yang dialami. Ada orang cuma sakit pinggang biasa yang boleh hilang apabila berbaring. Ada orang sakitnya tahap serius, diurut oleh tukang urut berpengalaman masih tidak hilang.

Apakah yang dimaksudkan dengan sakit pinggang? Apakah puncanya? Apa yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan daripada kerap sakit pinggang? Dan yang paling penting, apakah rawatan terbaik untuk sakit pinggang yang sedang anda alami sekarang.

punca sakit pinggang
Sumber: Maskulin

Apakah yang dimaksudkan dengan sakit pinggang?

Sakit pinggang adalah ketidak selesaan atau kesakitan yang dialami pada kawasan pinggang. Sama ada di tengah pinggang, pinggang kanan, pinggang kiri, bahagian atas, atau bawah pinggang. Kesakitan pada kawasan tersebut digelar sebagai sakit pinggang. Tahap kesakitan sakit pinggang juga berbeza. Ada yang mengalami kesakitan pada satu-satu bahagian, dan ada yang mengalami kesakitan pada keseluruhan pinggang termasuk bahagian abdomen.

Apakah punca sakit pinggang?

Dalam dunia perubatan moden, terdapat beberapa punca sakit pinggang yang telah dikenal-pasti. Jika anda kerap mengalami sakit pinggang dan tahap kesakitan menjadi semakin teruk, kami nasihatkan anda untuk berjumpa doktor dengan segera bagi memastikan bahawa adakah sakit pinggang yang anda alami berpunca daripada perkara-perkara berikut:

1. Masalah tulang

Jika anda mengalami sakit pinggang disebabkan oleh masalah tulang, kesakitan yang anda alami adalah pada bahagian tengah pinggang di mana tulang belakang anda berada. Di antara masalah tulang yang boleh menyebabkan anda mengalami sakit pinggang ialah:

  • Spondilolisis atau patah tulang belakang. Jika anda mengalami patah tulang belakang, sakit pinggang yang kuat adalah di antara komplikasi yang akan anda alami.
  • Patah tulang rusuk. Jika tulang rusuk anda patah disebabkan kemalangan contohnya, anda akan mengalami sakit pinggang.
  • Scoliosis. Scoliosis adalah keadaan di mana berlaku bengkokan pada tulang belakang anda di mana ia membengkok ke tepi. Keadaan ini akan menyebabkan anda mengalami kesakitan yang kuat pada bahagian tengah pinggang.
  • Kyphosis. Kyphosis pula adalah keadaan di mana tulang belakang anda membengkok ke bawah. Ia juga akan menyebabkan anda mengalami kesakitan yang teramat.
  • Kemampatan cakera intervertebral. Ini adalah keadaan di mana cakera intervertebral anda menjadi mampat lalu menyebabkan anda mula sakit pinggang.
  • Spondilosis iaitu degenerasi cakera intervertebral. Seperti mampatan pada cakera intervertebral, degenerasi pada cakera ini juga akan menyebabkan anda mengalami sakit belakang yang teramat.
  • Spondilolithesis iaitu kegelongsoran tulang belakang. Ini adalah keadaan di mana tulang belakang menggelongsor atau berubah dari lokasi asal yang sepatutnya.

2. Masalah otot

Sakit pinggang yang disebabkan oleh masalah otot dikenali sebagai Lumbago. Ini adalah di antara punca sakit pinggang yang paling kerap berlaku di Malaysia, terutamanya pada golongan yang berusis 30 tahun ke atas. Di antara masalah otot yang boleh menyebabkan anda sakit pinggang adalah:

  • Otot belakang terseliuh. Ianya boleh terseliuh disebabkan oleh kemalangan atau pun kerana mengangkat benda yang terlalu berat.
  • Ketegangan pada otot belakang. Ketegangan pada otot boleh berlaku kerana duduk yang terlalu lama, baring terlalu lama, atau juga mengangkat barang yang terlalu berat.

3. Masalah organ

Sakit pinggang juga boleh berlaku disebabkan oleh masalah organ yang terlatak pada bahagian yang sakit, iaitu sama ada sakit di pinggang kanan atau pinggang kiri.

  • Sakit belakang sebelah kanan biasanya berlaku disebabkan oleh masalah pada organ hempedu seperti jangkitan kuman atau pun halangan pada asid hempedu. Sakit pinggang belah kanan juga boleh berpunca daripada masalah pada buah pinggang seperti jangkitan buah pinggang, batu karang dalam buah pinggang, penyakit autoimun, barah buah pinggang dan sebagainya.
  • Sakit belakang sebelah kiri juga boleh disebabkan oleh buah pinggang yang duduk di belah kiri. Di antara masalah buah pinggang yang selalu terjadi ialah jangkitan buah pinggang, batu karang dalam buah pinggang, penyakit autoimun, barah buah pinggang dan sebagainya.
  • Bagi seorang wanita, sakit pinggang juga boleh berlaku disebabkan oleh masalah pada organ rahim dan juga ovari seperti kanser, cyst, dan fibroid.

4. Trauma

Sakit pinggang juga boleh berlaku disebabkan oleh trauma pada bahagian belakang yang menyebabkan berlakunya kecederaan pada organ, tulang ataupun otot yang terdapat pada bahagian tersebut.

5. Masalah saraf 

Punca sakit pinggang yang seterusnya ialah masalah pada saraf yang terdapat di bahagian pinggang. Saraf yang biasanya terjejas ialah saraf sciatica ataupun saraf cengkeraman. Apabila saraf ini bermasalah, anda akan mengalami sakit pinggang yang teruk dengan kerap.

Bagaimanakah cara untuk mengelakkan daripada sakit pinggang dengan kerap?

Anda boleh mengelakkan sakit pinggang dengan mengamalkan tips-tips berikut:

  • Selalu bersenam.
  • Pastikan anda berdiri dan duduk dengan tegak supaya tulang belakang tidak mengalami tekanan yang kuat.
  • Bengokkan kaki dan pinggul, bukannya tulang belakang semasa mengangkat barang yang berat.
  • Ambil kalsium yang mencukupi.
  • Dapatkan berat badan yang ideal bagi mengurangkan tekanan ke atas tulang belakang.
  • Jangan merokok.
  • Jangan pakai kasut bertumit tinggi.
punca sakit pinggang
Sumber: Antoniasaintny

Apakah rawatan untuk sakit pinggang?

Rawatan sakit pinggang bergantung kepada puncanya. Namun secara am, sakit pinggang boleh dihilangkan dengan pengambilan ubat seperti Ibuprofen, Naproxen, Mephenamic acid dan juga Paracetamol. Anda juga boleh tuam ais atau air panas pada bahagian yang sakit untuk menghilangkan sakit pinggang yang dialami.

Itulah dia punca sakit pinggang yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang punca kaki kebaspunca kerap sembelit, dan punca pedih ulu hati.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.