Hidung tersumbat membuatkan urusan seharian boleh jadi terjejas. Kadang-kala, punca hidung tersumbat bukan sahaja disebabkan oleh demam, tetapi faktor-faktor lain. Ayuh ketahuinya punca hidung tersumbat dengan terus membaca artikel ini.

Pengenalan

Hidung merupakan laluan pertama dan utama bagi kemasukan udara ke dalam paru-paru untuk pernafasan. Terdapat banyak reseptor dalam lubang hidung yang memberi kita deria bau.

Selain itu, hidung dicipta dengan mekanisma khas menapis udara yang memasuki saluran pernafasan kita. Dengan itu, segala kotoran, bahan pencemar dan habuk ditapis lalu terkumpul membentuk tahi hidung.

Bentuk hidung sebenarnya ditentukan oleh tulang nasal dan kartilaj lembut, termasuklah spetum iaitu pembahagi nostril atau lubang hidung menjadi dua kaviti.

Secara puratanya, saiz hidung lelaki adalah lebih besar berbanding wanita kerana anatomi atau bentuk tulang yang berbeza mengikut jantina.

Fungsi Mucus (Hingus)

Hingus atau mucus ialah sejenis cairan licin yang terhasil bagi melindungi saluran pernafasan. Mucus bukan sahaja dijumpai di bahagian hidung, tetapi juga sehingga ke laluan paru-paru.

Sebatian polimer yang bernama mucin memberi sifat kelikatan kepada mucus. Komposisi mucus ialah 95% air, 3% mucin, 0.5% lipid, 0.5% proteoglikan dan DNA.

Dinding sel yang mengandungi mucus dihasilkan oleh sel goblet dan kelenjar submucosal. Kehadiran mucus ini membantu 3 fungsi utama pernafasan dengan:

  1. Memerangkap zarah kecil seperti bakteria, debunga, bahan pencemar, bahan alahan
  2. Menghalang objek asing memasuki paru-paru semasa bernafas
  3. Melembabkan udara yang memasuki bagi memudahkan penyerapan oksigen dalam paru-paru

Hidung Tersumbat

Imej via Bidadari

Mucus yang terhasil secara berlebihan akan menyekat laluan pernafasan pada hidung ini. Walau bagaimanapun, mucus boleh dihembus keluar.

Dalam keadaan tertentu, mucus yang berlebihan ini akan terus terhasil menyebabkan hidung terus tersumbat biarpun sudah banyak kali dihembus keluar.

Ringkasnya, apabila laluan nasal mengalami keradangan atau iritasi, mucus berlebihan akan terus dikeluarkan sebagai respon sistem imun tubuh untuk membuang bahan yang menyebabkan kerengsaan tersebut.

Simptom Hidung Tersumbat

Hidung tersumbat boleh mengganggu sistem pendengaran dengan mengenakan tekanan dan memberi rasa sakit pada kawasan telinga. Kehilangan pendengaran sementara turut boleh terjadi.

Rasa sakit merupakan simptom awal jika kawasan sinus sudah mula mengalami tekanan akibat hidung tersumbat.

Jika berlaku jangkitan, antara simptom tambahan ialah:

  • chill (kesejukan)
  • myalgia (sakit otot)
  • malaise (kelesuan)

Warna hingus yang kehijauan atau kekuningan menandakan kehadiran jangkitan bakteria atau virus.

Berikut disenaraikan beberapa gejala atau simptom hidung tersumbat yang perlu diberi perhatian dan mendapatkan khidmat nasihat doktor perubatan secepat yang mungkin:

  • Hidung tersumbat melebihi dua minggu
  • Demam panas
  • Hidung dan muka mengalami keras dan bengkak
  • Mula sakit tekak
  • Batuk lebih daripada 10 hari
  • Penghasilan hingus berwarna kuning atau hijau
  • Pil tahan sakit yang dibeli tidak mampu meredakan kesakitan

Punca Hidung Tersumbat

Jangkitan virus yang menyebabkan demam biasa dan influenza merupakan salah satu penyebab utama hidung tersumbat. Bagi kes ini, masalah hidung tersumbat hanya berlarutan sehingga selama 1 minggu sahaja.

Bahagian Pusat Maklumat Amayeza (Farmasi), Afrika Selatan pada tahun 2014 ada menghebahkan berkenaan punca hidung tersumbat dan langkah rawatan secara pencegahan seperti berikut:

  • Alahan terhadap udara persekitaran
  • Alahan makanan
  • Penggunaan penyembur hidung yang berlebihan
  • Bahang kimia yang merengsakan seperti minyak wangi
  • Asap rokok atau aktiviti merokok
  • Kehamilan
  • Ketumbuhan nasal polyp yang tidak berbahaya

Tips Melegakan Hidung Tersumbat

Bagi melegakan punca hidung tersumbat ini, beberapa tips dan petua berikut boleh diamalkan:

  • Minum banyak air masak untuk mencairkan hingus
  • Penggunaan alat humidifier atau vaporizer untuk memberi kelegaan kepada laluan hidung terutamanya dengan kemasukan minyak pati
  • Menggunakan penyembur nasal saline untuk mencegah pengeringan laluan nasal (jika laluan nasal kering, mucus akan dihasilkan dengan lebih banyak)
  • Membersihkan atau “berkumur” laluan hidung dengan air garam
  • Elakkan bahan beralkohol seperti minyak wangi, pewangi kenderaan dan cecair alkohol yang boleh mengeringkan laluan nasal
  • Tuam muka dengan apa-apa yang suam bagi melegakan kesakitan dan membantu pencairan mucus
  • Tinggikan bantal sewaktu tidur supaya kedudukan kepala lebih tinggi
  • Elakkan mandi di kolam renang awam yang mengandungi klorin kerana klorin boleh merengsakan laluan nasal

Langkah Pencegahan Punca Hidung Tersumbat

Imej via Bidadari

Jika bahan alahan seperti asap rokok dapat dielakkan, masalah pernafasan seperti hidung tersumbat, sinus dan alahan boleh dicegah.

Jangkitan demam dan masalah respiratori yang lain juga boleh mencegah risiko keradangan sinus yang teruk selepas hidung tersumbat. Lebih-lebih lagi ketika musim pandemik Covid-19 sekarang, kuarantin diri dan elakkan daripada bersesak di tempat awam adalah sangat praktikal.

Amalan kebersihan diri yang baik seperti kerap mencuci tangan juga boleh menghindarkan diri kita daripada terkena demam dan jangkitan.

Di samping itu, minum air masak yang mencukupi dan melembabkan udara dengan produk sedia ada di pasaran yang selamat, boleh memudahkan penyingkiran mucus berlebihan punca hidung tersumbat.

Kaitan Kanser Limfoma dengan Hidung Tersumbat

Malang sekali, terdapat sejenis kanser yang boleh menyerupai simptom hidung tersumbat. Namun, kanser jenis ini jarang sekali berlaku. Sekumpulan doktor perubatan dari Amsterdam pada tahun 2008 melaporkan kajian klinikal mereka ke atas seorang pesakit lelaki berusia 63 tahun.

Sebelum ini, pesakit tersebut dikatakan mengalami masalah keradangan hidung sinusitis dan alahan resdung yang kuat. Selepas sampel diambil dan dikaji, pesakit tersebut rupanya menghidapi kanser T/NK sel limfoma di kawasan hidung. Ubatan dan rawatan susulan diberikan dan berjaya meredakan sebaran kanser ini.

Kesimpulan

Masalah hidung tersumbat boleh berpunca daripada banyak faktor yang menyebabkan iritasi dan keradangan kepada laluan nasal.

Amalan gaya hidup yang sihat merupakan kunci untuk mencegah masalah ini selain memberikan kualiti hidup yang lebih baik.

Anda sentiasa disarankan untuk berjumpa dengan doktor perubatan bertauliah bagi sebarang khidmat bimbingan dan tindakan susulan sekiranya berhadapan dengan masalah hidung tersumbat yang semakin teruk. Jemput  juga baca artikel tentang punca kulit kepala gatal , punca tak boleh tidur malam dan punca kulit berminyak

Rujukan

  1. Farrer, F. (2014). Blocked nose and sinus headaches: clinical. SA Pharmacist’s Assistant14(3), 16-18. (link)
  2. Ketharanathan, N., van Kipshagen, P. J., Vasmel, W., Barbé, E., & de Vries, N. (2008). T/NK cell lymphoma presenting as a “blocked nose”. European archives of oto-rhino-laryngology265(9), 1131-1134. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.