Masalah kulit sensitif merupakan masalah yang berlaku kepada sesetengah orang. Masalah ini terjadi kepada bayi, remaja dan juga golongan dewasa tanpa kira jantina. Apakah yang menyebabkan kulit mereka menjadi sensitif?

Orang yang menghadapi masalah ini memerlukan penjagaan wajah yang khusus. Jika dibiarkan masalah ini boleh menjejaskan kulit. Muncul biji-biji dan ruam pada wajah yang menyakitkan. Ini akan mencacatkan penampilan dan membuatkan kita kurang keyakinan.

Justeru, dalam artikel ini penulis akan kongsikan punca dan cara rawatan untuk orang yang menghadapi masalah kulit sensitif. Sebelum itu, mari kita fahamkan dulu maksud dan tanda-tanda kulit sensitif.

Maksud Kulit Sensitif

Istilah kulit sensitif merujuk keadaan kulit yang mudah mengalami iritasi akibat reaksi berlebihan terhadap beberapa punca. Antaranya ialah bahan kimia dalam kosmetik dan produk wajah dan persekitaran.

Bagi mengelakkan masalah kulit menjadi lebih serius, mereka perlu menjaga kulit dengan baik dan berwaspada. Jangan sesekali menggunakan sebarang produk yang viral hanya disebabkan testimoni yang nampak begitu menyakinkan.

Kulit Sensitif VS Alahan Kulit

Sebenarnya, ada perbezaan antara kulit sensitif dan alergik. Ramai yang terkeliru dengan dua istilah ini. Walaupun kedua-dua masalah ini secara luarannya nampak sama tetapi punca berlaku tetap berbeza.

Kulit yang mengalami alahan atau alergik berlaku disebabkan sistem kekebalan tubuh menjadi aktif. Apabila berada di kawasan yang berdebu, makanan, haiwan peliharaan atau ubatan tertentu, tubuh akan bertindak balas secara berlebihan.

Ini menyebabkan wujudnya ruam-ruam kemerahan, gatal, pedih dan mengakibatkan bengkak pada bahagian tubuh. Masalah alergik ini perlu diberi perhatian kerana boleh mengancam nyawa.

Kulit sensitif pula terjadi bukan disebabkan oleh faktor pemakanaan dan persekitaran (bergantung kepada situasi). Penyumbang utama ialah penggunaan produk wajah yang tak sesuai. Misalnya, ada orang yang sensitif dengan vitamin C dan alkohol dalam produk wajah. Jika menggunakan produk tersebut, wajah akan muncul ruam dan menjadi kering.

Tindak balas iritasi ini bukan disebabkan oleh alergik kepada bahan tersebut tetapi sifat kimia produk tersebut terlalu kuat untuk kulit. Itulah sebabnya kita digalakkan menyapu dulu sedikit produk wajah pada bahagian siku. Jika tiada sebarang kesan, kemungkinan ia selamat digunakan.

Tanda-Tanda Kulit Sensitif

Jika ada tanda-tanda di bawah ni, kemungkinan anda mempunyai kulit sensitif. Antaranya ialah:

  • Kulit terasa gatal, merenyam dan tidak selesa
  • Terjadi kemerahan, nipis dan rengsa terhadap pancaran cahaya matahari
  • Terasa pedih, mencucuk-cucuk dan seperti rasa terbakar
  • Mudah breakout seperti keluar jerawat dan ruam-ruam jika produk wajah yang dipakai tinggi bahan kimia
  • Parut jerawat sukar untuk hilang

Punca Berlakunya Kulit Sensitif

Terdapat beberapa masalah kulit sensitif terjadi kepada sesetengan orang. Antara puncanya ialah:

  • Gangguan pada kulit seperti eksim, rosacea dan contact dermatitis
  • Persekitaran yang berdebu dan asap kenderaan
  • Cuaca yang terlalu panas dan sejuk
  • Sering bertukar-tukar produk wajah dan kosmetik
  • Perubahan hormon misalnya ketika didatangi haid atau mengalami menopause
  • Stres dan tekanan hidup
  • Panik dan cemas yang berlebihan

Cara Rawatan Kulit Sensitif

Bagi mengatasi masalah ini, terdapat beberapa tips yang boleh diamalkan oleh orang yang mempunyai kulit sensitif.

  • Pilih produk yang sesuai dengan kulit

Bagi individu yang ada masalah ini, jangan sesekali membeli produk wajah tanpa mengkaji kandungannya. Jika produk A sesuai dengan kawan sepejabat atau adik anda, ia tak mungkin sesuai untuk anda.

Kebanyakan syarikat yang menghasilkan produk kulit akan mengeluarkan produk khas untuk kulit sensitif. Biasanya kandungan bahan kimia di dalamnya lebih rendah, dan baik untuk kulit. Biasanya akan dilabelkan sebagai ‘hypoallergenic.’

  • Kerap menggunakan pelembap

Kulit sensitif mudah mengalami kekeringan dan pengelupasan. Apa yang anda boleh buat ialah menyapu pelembap selepas mandi. Jangan salah pilih pelembap pula. Pastikan ia mengandungi petroleum, minyak mineral, gliserin, ceramide, dimethicone dan sebagainya.

  • Berhati-hati dengan kandungan

Disebabkan kulit yang sensitif, jika anda salah pilih produk meranalah badan. Oleh itu, berhati-hati dengan kandungan bahan. Hindari bahan yang menggalakkan iritasi seperti antibakteria, benzoil perosksida, retinoid, sulfur, alkohol atau glycolic acid.

  • Gunakan krim sunblock

Jika anda sensitif dengan pancaran matahari dan cuaca panas, kurangkan aktiviti di luar. Jangan berada terlalu lama di luar. Jika terpaksa berada di luar, jangan sesekali lupa untuk memakai krim sunblock. Pakai juga cermin mata hitam, topi dan pakaian yang tertutup.

Pilihlah krim sunblock khas untuk kulit sensitif dengan SPF 30 atau lebih. Pilih juga pakaian yang diperbuat daripada kain kapas kerana ia dapat menyerap peluh dengan baik. Ini akan mengurangkan gejala-gejala kulit sensitif.

  • Bersihkan wajah secara rutin

Kulit sensitif perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih. Jika anda berada di luar terlalu lama, mengenakan solekan atau produk wajah, pastikan ia dibersihkan. Jangan sesekali malas untuk mencuci wajah, ini akan mengeruhkan lagi keadaan.

  • Berjumpa dengan dermatologis

Jika masalah kulit anda makin melarat akibat salah pakai produk, hentikan pemakaian dengan segera. Berjumpalah dengan dermatologis untuk mendapatkan rawatan dan nasihat. Anda akan dapat banyak maklumat tentang bahan yang sesuai dan tidak untuk kulit anda.

Selain itu, ubatan yang dibekalkan juga akan mengurangkan masalah kulit sensitif anda itu. Anda harus berdisiplin dalam menjaga kulit wajah selepas rawatan.

  • Jangan memicit jerawat

Jangan sesekali memicit jerawat walaupun tangan terasa gatal melihatnya. Apabila kita memicit jerawat, ia akan menjadi luka dan parut. Malahan, bakteria yang tersebar ke bahagian lain akan membuatkan kulit jadi lebih teruk. Jika masih berlarutan, anda perlulah berjumpa dengan pakar kulit dan bukannya dapatkan nasihat penjual online.

  • Kurangkan menyentuh muka

Tangan kita penuh dengan bakteria yang kita tak boleh nampak walaupun selepas dicuci. Bayangkan pula anda menyentuh muka tanpa mencuci tangan. Kulit yang memang bermasalah akan menjadi lebih teruk. Oleh itu, elakkan menyentuh muka dengan kerap.

Nampaknya sampai di sini sajalah topik kita pada kali ni iaitu tentang masalah kulit sensitif. Bagi yang menghadapi masalah ini, jangan risau. Cuba tips yang dikongsikan di atas. In shaa Allah masalah anda akan berkurangan.

Anda juga dijemput membaca tentang tips kulit cantik semula jadi dan juga tips penjagaan kulit ala Korea.

Rujukan

  • Mengenali Kulit Sensitif dan Cara Merawatnya (link)
  • Nak Tahu Kulit Anda Sensitif Atau Tak, Perhatikan 5 Tanda Ini! (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.