Jom kenali khasiat pegaga berdasarkan petua orang dulu-dulu dan juga melalui kajian saintifik yang pernah dijalankan. Jom baca.

Pengenalan

Pegaga atau nama saintifiknya Centella asiatica dari famili Apiaceae/Umbelliferae adalah sejenis ulam yang bukan sekadar memiliki kebaikan dari segi kesihatan dalaman, malah memberi impak besar kepada kecantikan. Herba berdaun hijau berbentuk kipas ini biasa terdapat di Jepun, India, China dan Indonesia.

Namun, kini ia semakin mendapat perhatian masyarakat Barat yang mula menyedari kebaikannya. Pegaga juga dikenali dengan nama Gotu Kola di India dan sering ditemui di kawasan berair. Pegaga boleh dimakan begitu saja sebagai ulam setiap hari, direbus atau dikisar menjadi minuman.

Imej via Gohil et al. (2010)

Antara kegunaan pegaga seperti yang disyorkan oleh orang-orang lama ialah:

  • Mengurangkan tekanan darah tinggi, mencegah nyanyuk, melambatkan proses penuaan dan menolong badan dari bahan toksik.
  • Digunakan di barat sebagai tonik saraf untuk merehatkan dan menambahkan ingatan.
  • Di India ia juga banyak digunakan untuk mengatasi masalah kulit.
  • Di Timur pula, pegaga juga digunakan untuk mengatasi masalah seperti kemurungan yang mungkin disebabkan oleh masalah fizikal.
  • Pegaga juga digunakan untuk masalah kesuburan wanita.
  • Pembengkakan Hati.
  • Demam campak.
  • Sakit Tekak.
  • Batuk Kering.
  • Radang Mata Merah.
  • Keputihan.
  • Tekanan Darah Tinggi.
  • Sakit Perut, Disentri, Cacing, Buasir.
  • Tidak Selera Makan.
  • Keracunan Makanan.
  • Batuk Darah, Muntah Darah.
  • Busung.
  • Bisul.
  • Infeksi Saluran Kencing (kencing kotor).

Kandungan Pegaga

Pegaga mengandungi pelbagai nutrien seperti asid asiatik, kalsium, potasium, fosforus, beta karotin, vitamin C, tiamin, niasin, riboflavin, protein, gentian, zat besi, dan vitamin A.

Sementara bahan aktif yang ada dalam pegaga ialah saponin dalam bentuk triterpenoid glikosida (terutama asiatikosida, asid asiatik, asid madecassik, madikassosida), flavenoids (kaemferol dan quercetin), minyak mudah meruap (vallerin, camphor, cineole dan sterols tumbuhan seperti campesterol, stigmasterol, sitosterol), pektin, asid amino, alkaloid hydrocotyline, myositol, asid bramik, asid centellik, asid isobrahmik dan asid betulik.

Khasiat Pegaga

Jom ketahui apakah khasiat pegaga dan sejauh mana kenyataan ini telah dibuktikan dengan penyelidikan saintifik.

1. Menaikkan seri muka

Pegaga dikatakan mampu merawat kerosakan kulit dan meningkatkan peredaran darah lalu menyebabkan wajah menjadi lebih berseri. Nak kulit cantik berseri? Amalkan makan daun pegaga atau minum air rebusannya. Resepi untuk menaikkan seri muka:

  • Ambil secekak daun pegaga bersama akarnya
  • Rebus dengan dua gelas air sehingga tinggal segelas air rebusan itu.
  • Tapiskan dan sejukkan.
  • Setelah itu, minumlah sekali sehari setelah makan malam.
  • Amalkan seminggu 3 kali. Anda akan dapati wajah anda akan lebih berseri.

2. Menghilangkan parut

Dalam perubatan tradisional, pegaga digunakan untuk merawat parut pada kulit muka dan seluruh badan. Selain itu, daun pegaga yang ditumbuk halus dan kemudian dicampurkan dengan bedak sejuk amat  mujarab untuk menghilangkan bintik-bintik hitam di muka.

3. Merawat selulit

Lebih menarik, perubatan tradisional turut menggunakan pegaga untuk merawat masalah selulit yang sering dialami wanita. Sifatnya yang diuretik dan menggalakkan peredaran darah membantu menghilangkan selulit.

4. Menyembuhkan luka dengan cepat dan mengelakkan parut

Apabila disapukan pada kulit, sifat antibakteria, antikuman dan antiradang yang ada pada pegaga dilihat dapat mempercepatkan pemulihan luka dengan merawat tisu yang rosak dan mengurangkan parut.

Kajian ini disokong oleh beberapa kajian praklinikal yang menggunakan formulasi pegaga dalam bentuk minyak sapuan, krim dan gel ke atas luka tikus makmal. Sebatian bernama asiaticoside yang dijumpai dalam pegaga dipercayai mencepatkan proses penyembuhan luka melalui proses keratinisasi atau penebalan sel kulit.

5. Menghilangkan stretch mark

Bahan aktif pada pegaga yang meranga­sang peredaran darah mempercepatkan proses pemulihan di bahagian kulit  selain menggalakkan pembentukan kolagen, sekali gus me­ngurangkan masalah stretch mark.

Selain kajian penyembuhan luka, sebatian asiaticoside menyumbang kepada pembentukan kolagen lebih banyak yang melicinkan lagi permukaan kulit bagi mengurangkan masalah stretch mark ini. Hal ini juga berkait rapat dengan kandungan antioksidan yang tinggi dalam pegaga.

6. Awet muda

Amalan meminum air rebusan pegaga atau jus pegaga dikatakan mampu menjadikan wajah kelihatan awet muda kerana ia membantu menyuburkan kulit, rambut dan kuku. Ini kerana ia menyokong pembentukan kolagen, seterusnya mengelakkan kulit dari menjadi kendur atau kehilangan lembapan semula jadi.

Mekanisme awet muda sama seperti mekanisme penyembuhan luka dan pertambahan kolagen dalam tubuh. Menariknya, selain awet muda, banyak lagi kesan kesihatan yang baik boleh dimanfaatkan melalui pengambilan pegaga ini seperti tambahan mineral dan vitamin yang membantu melawan radikal bebas yang seringkali menyebabkan penuaan sel.

7. Menegangkan kulit

Bukan sekadar menaikkan seri wajah, pegaga juga boleh dijadikan penyegar yang disapu bagi menegang­kan kulit.

Berdasarkan kajian penyelidik dari India, Gohil et al. pada tahun 2010, penggunaan ekstrak pegaga dengan hanya 0.2% bahan aktif asiaticoside sudah mampu memberikan kesan kekuatan regangan pada permukaan kulit yang meningkat sebanyak 57% dan  56% hidroksiproline yang membantu kecantikan kulit dari luaran.

Sementara itu, para saintis berpendapat bahawa pegaga membantu menstabilkan sambungan tisu dalam saluran darah yang lemah.

8. Menghilangkan masalah urat bersimpul

Pegaga juga dikatakan mampu meningkatkan aliran darah dan mengurangkan masalah berkaitan termasuk urat bersimpul atau salur darah lemah hingga menimbulkan urat berwarna ungu pada betis dan paha.

Kajian terbaru menunjukkan pegaga menunjukkan kesan positif terhadap sistem pengaliran darah dengan menguatkan salur darah dan kapilari. Ia telah menunjukkan kesan yang memberangsangkan bila digunakan untuk merawat kejang kaki, bengkak kaki dan masalah kaki terasa berat dan kebas.

Pegaga dilaporkan menyumbang kepada pembentukan hyaluronidase dan chondroitin sulfat pada peringkat tisu untuk menyeimbangkan sambungan jaringan tisu dan mengurangkan ketegangan pada saluran pembuluh darah.

9. Melawan jangkitan bakteria dan virus

Sifat antibakteria yang ada pada pegaga membuat­kan ia turut digunakan sebagai rawatan tradisi untuk jangkitan bakteria dan virus seperti selesema, jangkitan ­saluran kencing, influenza, batuk kering, kusta dan taun.

Pada tahun 2017, para penyelidik dari India, Ved Prakash dan rakan-rakan melaporkan aktiviti antimikrob ekstrak pegaga yang mampu membantutkan pertumbuhan bakteria dan kulat.

10. Mencantik dan melebatkan rambut

Selain kulit, pegaga memberi manfaat kepada kecantikan rambut terutama sekali untuk masalah keguguran rambut kerana kandungan nutrien didalamnya mampu me­nyuburkan kembali rambut yang tidak bermaya. Pegaga mampu menguatkan akar rambut, menyuburkan kulit kepala, menguatkan salur darah dan akar rambut serta mengelak masalah rambut yang lain.

Peredaran darah yang baik di kulit kepala juga membantu meningkat­kan aliran oksigen, seterusnya mengelakkan masalah rambut gugur dan menggalakkan pertumbuhan anak rambut.

11. Menambah selera makan

Pegaga boleh dimakan sebagai ulam dan jus. Rasa dan baunya boleh menambahkan selera.

Menariknya, kajian klinikal yang ingin melihat perubahan mood dan selera dalam kalangan kumpulan yang diberikan ekstrak pegaga telah dilakukan ke atas individu berusia 61 tahun ke bawah.

Hasilnya selepas 2 bulan berturut-turut, dicatatkan perubahan yang ketara antara mereka yang mengambil sekurang-kurangnya 750 gram dos ekstrak pegaga secara harian yang memperlihatkan perubahan mood dan selera yang lebih baik.

12. Mencegah masalah kekurangan nutrien di kalangan kanak-kanak

Di Sri Lanka pula pegaga dijadikan bubur dan diberikan pada kanak-kanak pra sekolah untuk menghalang kekurangan nutrien.

Disebabkan komposisi nutrien yang seimbang dan berkhasiat terutamanya pelbagai sebatian bioaktif vitamin dan mineral, diet pegaga dalam makanan harian boleh diamalkan oleh segenap lapisan umur untuk memastikan kesihatan sel tubuh.

13. Menyejuk dan menyegarkan badan

Di Malaysia, pegaga amat popular di kalangan tiga kaum utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan India. Ia dimakan secara segar sebagai ulam untuk menyejuk dan menyegarkan badan.

Secara saintifiknya, kandungan  brahmoside dan brahminoside akan mengikat reseptor otak untuk mengurangkan rasa kelesuan badan dan mengaktifkan rasa kesegaran. Tidak hairanlah, masyarakat di negara India sudah mengamalkan pegaga sebagai ulaman sejak turun-temurun!

14. Mengecutkan Peranakan

Petua tradisional ada mengesyorkan bagi wanita yang mengalami masalah peranakan kembang atau lepas kedatangan haid bolehlah makan pucuk pegaga dengan buat ulam atau digulai. Amalkan setiap hari sehingga peranakan kecut.

Bagi komuniti saintifik, masih belum ada penyelidikan ke arah ini dilakukan menggunakan sampel pegaga.

khasiat pegaga

Sumber: Daun

Kesan Sampingan Pengambilan Pegaga

Pengambilan pegaga yang terlalu banyak sehari boleh menyebabkan rasa sakit perut, mual, muntah, alahan kulit, sensasi haba dan pening.

Disebabkan pegaga turut memberikan rasa penenang, pengambilan pegaga bersama ubatan moden yang bertujuan untuk tidur atau menghilangkan kegelisahan perlulah dielakkan.

Pesakit yang sedang mengambil ubatan yang mengandungi agen penurunan kolestrol atau terapi gula dalam darah juga dinasihatkan tidak mengambil ubatan tersebut bersama pegaga kerana dikhuatiri mengganggu keberkesanan ubatan tersebut dan menimbulkan pula kesan sampingan yang lain.

Rujukan

  1. Jamil, S. S., Nizami, Q., & Salam, M. (2007). Centella asiatica (Linn.) Urban—a review.
  2. Prakash, V., Jaiswal, N. I. S. H. I. T. A., & Srivastava, M. R. I. N. A. L. (2017). A review on medicinal properties of Centella asiatica. Asian J Pharm Clin Res10(10), 69.
  3. Shukla, A., Rasik, A. M., Jain, G. K., Shankar, R., Kulshrestha, D. K., & Dhawan, B. N. (1999). In vitro and in vivo wound healing activity of asiaticoside isolated from Centella asiatica. Journal of ethnopharmacology65(1), 1-11.

Itulah dia khasiat pegaga yang ingin kami kongsikan pada hari ini.  Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami mengenai khasiat lengkuas , khasiat kurma, dan khasiat lonak putih.

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.