Selalu guna lengkuas dalam masakan? Jom ketahui khasiatnya pula.

Pengenalan

Lengkuas atau nama saintifiknya Alpinia galanga terdiri daripada jenis besar dan kecil. Lengkuas besar (greater galangal) dikatakan berasal dari jawa dan digunakan dengan meluas di Malaysia di Indonesia.

Manakala lengkuas kecil (lesser galangal) pula dikatakan berasal dari china. Ia juga turut tumbuh di india dan seluruh Asia Tenggara

Lengkuas telah digunakan di Barat sejak zaman pertengahan. Sifat-sifat perangsang dan tonik dalam lengkuas pula telah membuatkan orang Arab memberikannya pada kuda untuk merangsangnya. Di Timur pula,lengkuas yang telah dijadikan serbuk digunakan dalam pembuatan pewangi dan minuman.

Imej via Bidadari

Apakah khasiat lengkuas?

1. Masalah pencernaan

Perubatan Cina dikatakan menggunakan lengkuas dalam formula untuk merawat masalah-masalah pencernaan dan kesihatan sistem penghadaman. Jom kami kongsikan resepi ayam goreng lengkuas yang baik untuk pencernaan.

Bahan-bahannya:

  • 10 ketul kepak atau peha ayam.

Bahan kisar:

  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 biji buah keras
  • 2 tangkai cili merah
  • 1 batang serai
  • 2 cm lengkuas
  • 2 cm kunyit basah
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil gula
  • 1 sudu kecil jus asam jawa
  • 2 cm lengkuas – hiris halus & goreng garing

Cara menyediakan:

  1. Gaulkan ayam dengan bahan kisar, biarkan perap selama 20 minit.
  2. Panaskan sedikit minyak, masukkan ayam tadi, kacau rata.
  3. Tutupkan periuk sebentar, masak dengan api kecil selama 10 minit.
  4. Angkat ayam tadi dan goreng hingga garing.
  5. Hidangkan dengan taburan lengkuas goreng.

Hal ini selari dengan penemuan oleh sekumpulan penyelidik dari Kyoto, Jepun pada tahun 2003 yang mendapati bahawa ekstrak lengkuas mampu melindungi dinding sistem perut.

Kandungan kumpulan asetoksi dalam lengkuas dikenal pasti sebagai bahan yang melindungi dan merawat sebarang kecederaan pada dinding perut tikus makmal mereka.

2. Menghilangkan bau busuk pada badan

Di India pula, lengkuas dikatakan digunakan sebagai pewangi tubuh, ketiak dan juga untuk menghilangkan masalah mulut berbau busuk atau halitosis.

Berdasarkan kajian lepas, komponen 1′-acetoxyeugenol acetate dalam lengkuas merupakan sebatian yang paling utama dalam membasmi pertumbuhan bakteria.

3. Menjaga kesihatan perut

Air rebusan lengkuas dikatakan mampu dijadikan sebagai ramuan ubatan bagi melegakan masalah-masalah seperti kembung, dispepsia (pencernaan yang terganggu), muntah-muntah, dan perut yang mengembung.

4. Merawat arthritis, ulser dan radang perut

Lengkuas juga dikatakan mampu digunakan untuk merawat arthritis, ulser dan keradangan perut, memperbaiki pengedaran darah pada tangan dan kaki, merawat cirit-birit dan melindungi tubuh daripada risiko-risiko kanser tertentu.

Semua pemerhatian ini dikaitkan dengan kehadiran antioksidan dan sebatian bioaktif lengkuas yang sangat bermanfaat.

5. Antioksidan

Lengkuas memiliki banyak agen-agen antioksidan yang berkuasa dan berpotensi melindungi tubuh daripada kerosakan yang disebabkan oleh toksin dan radikal-radikal bebas.

Menurut kajian sekumpulan penyelidik di Amerika Syarikat, kandungan antioksidan adalah paling tinggi dalam bunga lengkuas berbanding rizomnya.

Antara antioksidan yang dikenal pasti oleh mereka ialah α-humulane, pentadecane dan 1′-acetoxyeugenol acetate.

6. Mencantikkan kulit dan anti penuaan

Imej via Bidadari

Lengkuas banyak digunakan dalam penjagaan kulit. Jus lengkuas dikatakan boleh disapu pada kulit untuk merawat masalah kulit.

Berdasarkan laporan kajian-kajian lepas, lengkuas mengandungi lebih 40 jenis antioksidan dan banyak lagi yang masih belum ditemui dan dikenal pasti, yang boleh membantu dalam melindungi kulit terhadap penuaan kulit.

7. Membuang toksin dan membaiki aliran darah

Herba ini dikatakan mampu membuang toksin daripada tubuh dan memperbaiki aliran darah.

Kajian dari Singhad College of Pharmacy di India pada tahun 2010 telah mengulas bahawa komponen utama lengkuas iaitu acetoxychavicol acetate, yang turut memberi bau kuat lengkuas, berperanan sebagai antioksidan utama dalam membuang toksin dalam tubuh.

8. Menyembuhkan kulit terbakar

Apabila jus lengkuas ini disapu pada kulit terbakar, ini mampu melegakan rasa sakit serta menyembuhkan kulit terbakar.

Pelbagai sebatian bioaktif dalam lengkuas memberi kesan antiradang yang boleh melegakan bengkak dan kesakitan.

9. Mengurangkan parut

Anda juga boleh mengamalkan petua tradisi menggosokkan hirisan lengkuas segar pada kulit lebih kurang 2 hingga 3 kali setiap hari bagi mengurangkan parut.

10. Membersihkan kulit

Lengkuas juga merupakan antiseptik dan pencuci hebat yang boleh membantu memastikan kulit bersih dan halus tanpa sebarang noda.

Kajian para penyelidik dari Pakistan yang diterbitkan pada tahun 2005 di jurnal Fitoterapia, merumuskan bahawa lengkuas mempunyai sifat antimikrob yang sangat baik.

Mereka mendapati bahawa ekstrak lengkuas berupaya membunuh pelbagai jenis dan julat mikrob seperti T. longifusus dan Lemna minor.

11. Menghilangkan jeragat

Lengkuas juga boleh digunakan sebagai petua penentang semula jadi terhadap jeragat.

Apabila ia disapu pada jeragat, ia akan mengurangkan jeragat cara membersihkan bakteria daripada kulit melalui mekanisme antibakteria yang terkandung di dalam lengkuas.

Hal ini tidak asing bagi masyarakat Melayu yang mengamalkan cara ini bagi merawat penyakit kurap dan panau yang dialami, di sebalik fakta saintifik bahawa lengkuas sangat memberikan kesan antimikrob yang baik.

12. Melebatkan rambut

Imej via Bidadari

Perubatan Ayurveda telah menggunakan lengkuas dalam rawatan rambut dan kulit kepala. Jika minyak ekstrak lengkuas disapu pada kulit kepala, ia dikatakan mampu meningkatkan peredaran darah dan merangsang pertumbuhan rambut.

Jika anda mengalami masalah rambut rapuh dan kering, gunakan minyak lengkuas untuk kerana mengandungi zink, vitamin dan fosforus yang diperlukan bagi memastikan rambut sihat bersinar.

13. Merawat herpes

Rizom lengkuas yang diketuk dan dicampur dengan sedikit bawang putih dan cuka dapat digunakan sebagai rawatan herpes iaitu penyakit yang disebabkan oleh sejenis virus.

Kajian oleh para penyelidik di Nagasaki University, Jepun pada tahun 2011 melaporkan bahawa ekstrak lengkuas mampu merencat pertumbuhan virus yang menyebabkan pelbagai penyakit.

Didapati, komponen utama lengkuas iaitu 1′-acetoxychavicol acetate mampu menghentikan replikasi virus pada peringkat mekanisme sebelum virus terus merebak dengan lebih teruk.

Rujukan

  1. Chudiwal, A. K., Jain, D. P., & Somani, R. S. (2010). Alpinia galanga Willd.–An overview on phyto-pharmacological properties. (link)
  2. Khattak, S., Shah, H. U., Ahmad, W., & Ahmad, M. (2005). Biological effects of indigenous medicinal plants Curcuma longa and Alpinia galanga. Fitoterapia76(2), 254-257. (link)
  3. Matsuda, H., Pongpiriyadacha, Y., Morikawa, T., Ochi, M., & Yoshikawa, M. (2003). Gastroprotective effects of phenylpropanoids from the rhizomes of Alpinia galanga in rats: structural requirements and mode of action. European Journal of Pharmacology471(1), 59-67. (link)
  4. Oonmetta-aree, J., Suzuki, T., Gasaluck, P., & Eumkeb, G. (2006). Antimicrobial properties and action of galangal (Alpinia galanga Linn.) on Staphylococcus aureus. LWT-Food Science and Technology39(10), 1214-1220. (link)
  5. Tang, X., Xu, C., Yagiz, Y., Simonne, A., & Marshall, M. R. (2018). Phytochemical profiles, and antimicrobial and antioxidant activities of greater galangal [Alpinia galanga (Linn.) Swartz.] flowers. Food chemistry255, 300-308. (link)
  6. Watanabe, K., Takatsuki, H., Sonoda, M., Tamura, S., Murakami, N., & Kobayashi, N. (2011). Anti-influenza viral effects of novel nuclear export inhibitors from Valerianae Radix and Alpinia galanga. Drug Discoveries & Therapeutics5(1), 26-31. (link)

Itulah dia khasiat lengkuas yang ingin kami kongsikan kepada anda. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami mengenai khasiat kopi, khasiat madu kelulut, dan khasiat arabic gum.

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.